Selasa, 21 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Shahrin mencerap bintang dari rumah

Posted:

Shahrin mencerap bintang dari rumah

Shahrin mencerap bintang dari rumah

SAMBIL dikelilingi isteri dan empat anaknya, Shahrin Ahmad, 38, pantas membetulkan kedudukan teleskop pemantul jenama Meade yang jika ditegakkan hampir menyamai ketinggiannya.

Warna teleskop itu sedikit kusam dengan beberapa tompok coklat kekuningan. Namun, ia masih berfungsi dengan baik untuk meneropong ruang angkasa yang dipenuhi jutaan bintang pada waktu malam.

"Ini teleskop yang paling bermakna dalam hidup saya. Arwah ayah, Ahmad Abdul Wahab menghadiahkan teleskop ini atas kejayaan saya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1995.

"Ia juga sebagai penyuntik semangat untuk saya meneruskan minat dalam dunia astronomi yang diminati sejak kecil.

"Malah, teleskop yang dibeli pada harga RM3,500 ini juga membuatkan saya dikenali di kampus sehingga digelar sebagai 'orang bintang' dan 'orang bulan' oleh rakan-rakan sekuliah," terang Shahrin, peminat tegar dunia astronomi yang juga merupakan pengasas laman web Falak Online.

Turut dikenali sebagai Shahgazer dalam kalangan peminat astronomi tempatan, Shahrin mula berkecimpung dalam arena ini sejak tahun 1984.

Ketika itu, dia baru menginjak usia 10 tahun. Pada satu malam, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu teruja melihat keindahan langit dan ruang angkasa yang dipenuhi jutaan bintang.

Naluri kanak-kanaknya membuatkan dia tertanya-tanya apa yang ada di sebalik kerlipan bintang itu dan bagaimana agaknya kehidupan dunia di atas sana?

Rentetan itu, Shahrin pantas membina impian dan cita-cita sendiri untuk mendalami ilmu berkaitan astronomi dan angkasa lepas. Nasibnya baik kerana minat tersebut mendapat sokongan keluarga.

Persahabatan dengan Mr. Looi

"Waktu itu boleh dikatakan tidak ada rakan sekolah yang mempunyai minat serupa. Namun, ia bukan penghalang untuk saya mencari maklumat dalam bidang tersebut melalui pembacaan buku di perpustakaan.

"Paling seronok apabila saya berjaya mendapat keputusan 5A dalam Penilaian Darjah Lima, ayah dan mak, Kalthum Jaafar telah menghadiahkan sebuah teleskop kecil berharga RM300," cerita Shahrin mengenai zaman kecilnya.

Pada tahun 1988, Shahrin telah bertemu dengan seorang penjual buku-buku astronomi yang dikenali sebagai Mr. Looi sewaktu mengunjungi Pesta Buku Kuala Lumpur.


MINAT Shahrin (tiga dari kanan) dalam bidang astronomi membuatkannya sering mengembara ke pelbagai destinasi di seluruh dunia termasuk Australia, China dan Turki.


"Apabila berbual dengannya, saya dapat tahu bahawa beliau mempunyai sebuah kedai yang turut menjual peralatan mencerap bintang seperti teleskop. Hubungan kami terus akrab kerana saya sering berkampung di kedainya.

"Boleh dikatakan, beliau merupakan guru pertama saya dalam bidang astronomi ini. Malah, daripada Mr. Looi juga, saya mula membina hubungan dengan ahli-ahli Persatuan Astronomi Malaysia," terang bapa kepada empat cahaya mata ini.

Sewaktu berusia 16 tahun, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu kemudian mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Astronomi Sekolah Menengah Lelaki Bukit Bintang. Ia bertujuan untuk mengumpul para pelajar yang berminat dalam bidang tersebut.

Shahrin berjaya menarik kira-kira 30 pelajar untuk mendaftar sebagai ahli. Sejak itu, mereka sering berhubung dengan kelab astronomi sekolah-sekolah lain untuk bertukar-tukar pandangan dan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk mencerap langit.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang, Shahrin cuba mencari kursus yang sesuai dengan bidang astronomi, namun tidak ketemu.

Justeru, bapanya mencadangkan agar dia mengambil kursus berkaitan Sains Komputer di UPM. Walaupun masih belajar, tetapi Shahrin tidak mengenepikan minatnya. Dia tetap melakukan beberapa aktiviti mencerap langit bersama rakan-rakan di kampus.

Pada tahun 1995, berlaku gerhana matahari penuh di Kudat, Sabah yang menyebabkan Shahrin teruja untuk ke sana. Bagaimanapun, disebabkan peperiksaan masih berjalan, dia cuma memantau fenomena itu dari rumahnya.

"Di Petaling Jaya, hanya berlaku gerhana matahari separuh. Jadi, saya pasang teleskop pemberian ayah di luar rumah. Sambil itu, televisyen yang menyiarkan liputan tentang gerhana tersebut tetap dipasang.

"Saya berulang-alik dari luar ke dalam rumah. Tiba-tiba, saya terbau sesuatu yang hangit. Rupa-rupanya, bahagian tepi kanta teleskop itu terbakar. Sejak itu, saya lebih berhati-hati mengendalikan peralatan tersebut," terangnya sambil tersenyum lebar.

Disambar petir

Ketika membuat projek berkaitan perisian bagi pengajian tahun akhir di universiti, berlaku satu peristiwa yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

Ketika itu, Shahrin membuat keputusan untuk menghasilkan perisian astronomi yang dinamakan Sistem Pencerapan Samawi di bawah seliaan pensyarah bahagian fizik, Prof. Madya Dr. Zaidan Abdul Wahab.

Menariknya, perisian ciptaan Shahrin itu terpilih sebagai projek terbaik bagi jurusan Sains Komputer. Kemudian beliau menjadi wakil untuk pertandingan projek terbaik peringkat Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, UPM.

Namun, tiga hari sebelum pembentangan projek di hadapan panel juri yang dilantik pihak fakulti, komputer Shahrin rosak akibat disambar petir. Ia menyebabkan semua bahan yang telah siap hilang dan tidak dapat diselamatkan.

"Apa yang ada cuma gambar skrin shot untuk projek tersebut. Jadi, hanya itu yang saya gunakan sewaktu sesi pembentangan tersebut. Walaupun kecewa tapi saya tetap menerangkan projek Perisian Sistem Pencerapan Samawi dengan bersungguh-sungguh.

"Tanpa disangka, akhirnya saya berjaya mendapat tempat kedua dalam pembentangan tersebut meskipun bersandar pada skrin shot sahaja," ungkap Shahrin lagi.

Melangkah ke alam pekerjaan sebagai pengaturcara komputer di sebuah syarikat swasta pada tahun 1998, Shahrin masih tegar dengan dunia astronominya. Meskipun baru bekerja, dia sanggup meminta cuti selama tiga hari semata-mata untuk menyaksikan gerhana matahari cincin.

Dia menyertai kumpulan Persatuan Pencinta Alam (MNS) untuk merakam fenomena tersebut di Pulau Aur, Johor dengan menaiki bot laju dari Mersing yang memakan masa tiga jam.

"Waktu itu, saya turut membawa peralatan mencerap termasuk teleskop Meade pemberian ayah. Saya rasa amat puas apabila dapat menyaksikan gerhana matahari cincin dengan mata sendiri.

"Kemudian, pada sebelah malamnya, langit malam yang dilihat dari Pulau Aur dipenuhi jutaan bintang tanpa dilindungi sebarang gugusan awan. Ia teramat cantik dan sukar diungkap dengan kata-kata. Itulah kali pertama dan terakhir saya melihat keindahan langit malam sedemikian rupa," jelas Shahrin sambil memberitahu, aktiviti mencerap langit mampu meningkatkan lagi keimanan kita terhadap kebesaran Allah dalam penciptaan alam semesta.

Selepas itu, Shahrin menubuhkan laman falak.net pada tahun 1998 sebagai platform untuk peminat astronomi bertukar-tukar pandangan. Ia kemudian ditukar kepada Falak Online pada tahun berikutnya.


SHAHRIN bersantai bersama anak-anak di balai cerap yang terletak di bumbung rumahnya.


Ubah suai loteng

Melalui forum yang dibuat dalam laman web tersebut, nama Shahrin semakin dikenali. Rentetan daripada itu, Shahrin mula menubuhkan syarikat sendiri, Equatorial Sky Innovations Sdn. Bhd. pada tahun 2009 yang memberi tumpuan terhadap penyelidikan serta pembangunan perisian dan perkakasan astronomi.

Sebagai Pengarah Urusan, Shahrin turut menawarkan khidmat konsultansi kepada pihak Agensi Angkasa Negara (Angkasa), jabatan-jabatan mufti termasuk Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang.

Kini, selepas 29 tahun, beliau sudah boleh digelar sifu bidang astronomi. Kemuncak minatnya diterjemahkan melalui pembinaan balai cerap di rumahnya sendiri pada tahun 2011.

Bermodalkan RM20,000, Shahrin mengubah suai loteng rumahnya menjadi sebuah balai cerap mini. Sebanyak enam buah teleskop yang dianggarkan bernilai RM30,000 menjadi 'penghuni tetap' di bilik dengan bukaan bumbung beroda itu.

"Di sinilah saya menghabiskan masa pada waktu malam untuk meneropong bintang-bintang di langit bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, menggunakan kamera khas dan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR), saya dapat merakam pelbagai objek yang ada di atas sana.

"Dahulu, saya sendiri meragui kesahihan gambar astronomi yang dikeluarkan pihak Barat, tetapi kini saya dapat melihatnya sendiri melalui teleskop dan peralatan canggih ini," ungkap Shahrin sambil menjelaskan bahawa dengan peralatan fotografi yang hebat, dia dapat mencerap dan merakam kira-kira 5,000 objek terang yang ada di langit.

Sisa pepejal bandaran bebankan Hong Kong

Posted:

Sisa pepejal bandaran bebankan Hong Kong

Sisa pepejal bandaran bebankan Hong Kong


SEORANG kakitangan organisasi Kitar Semula Hong Kong mengutip sampah di depan pintu premis ahli yang berdaftar dengan kumpulan itu untuk dikitar semula.


DI pusat bandar raya Hong Kong, sepasukan penyapu sampah di jalanan dan pemungut sampah sentiasa memastikan setiap pelosok jalan di situ bersih. Bagaimanapun, berbukit-bukit sampah yang semakin hari semakin menimbun di pinggir bandar pula menjadi bukti kepada dakwaan para aktivis mengenai krisis alam sekitar.

Sementara bahagian bandar tampak seperti diuruskan dengan sempurna, tiga buah tapak pelupusan sampah bertimbun dengan sisa pembuangan manusia sekali gus bakal mencapai kapasiti maksimum pada tahun 2020, menurut agensi kerajaan, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD).

Terdapat beberapa ramalan mengenai kepadatan sampah di situ. Antara yang menakutkan adalah ia akan penuh dalam tempoh satu hingga dua tahun saja lagi.

Tapak pelupusan

"Kami mesti mencari pelan cadangan untuk mengurangkan sampah, jika tidak sampah sarap akan berada di jalanan dalam tempoh tujuh tahun ini," kata saintis alam sekitar, Profesor Jonathan Wong dari Universiti Baptis Hong Kong.

Majoriti daripada 13,000 tan sampah yang dibuang di tapak pelupusan di Hong Kong setiap hari dikategori sebagai sisa pepejal bandaran (MSW) yang dihasilkan di rumah, perniagaan dan industri.

Dengan populasi lebih 7 juta orang, Hong Kong menghantar 1.3 kilogram MSW bagi setiap orang ke tapak pelupusan sehari.

Kebanyakan adalah sisa domestik iaitu sampah dari perumahan dan institusi-institusi termasuk sekolah.

Ia adalah lebih tinggi berbanding bandar-bandar Asia lain termasuk Tokyo, Seoul dan Taipei.

Sikap orang awam dipersalahkan kerana menjadi punca kepada pertambahan sampah MSW.

"Hong Kong merupakan bandar yang bergerak pantas dan penduduknya mahu mengikut trend sama ada pakaian, perabot atau telefon bimbit.

"Mereka barangkali memiliki sebuah perabot yang masih baik, tetapi akan dibuang untuk digantikan dengan baharu," kata Pengarah Eksekutif Greeners Action, Angus Ho. Greeners Action merupakan sebuah badan bukan kerajaan di Hong Kong.

Angus bersama-sama para aktivis lain turut menyalahkan kerajaan kerana tiada tindakan yang diambil sehingga sampah sarap Hong Kong berbukit-bukit.

EPD menerbitkan sebuah rangka kerja untuk tempoh 10 tahun bagi menguruskan sisa bandaran pada tahun 2005, tetapi mendapat banyak kritikan.

Banyak cadangan yang dikemukakan gagal dibuat selain tiada penjadualan tepat dan konkrit untuk memulakannya.

Buat masa ini, pihak tersebut sedang dalam usaha merangka tindakan pada satu lagi pengurusan sampah yang bakal dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu.

EPD mengakui Hong Kong mengalami krisis sampah.

Tambahnya, ia hanya boleh ditangani dengan mengambil langkah yang mempunyai pelbagai penjuru iaitu daripada pengurangan sampah pada peringkat sumber sehingga meningkatkan pemulihan sisa.

Selain itu, pembinaan infrastruktur moden merawat sampah yang komprehensif juga penting terutamanya yang dapat menangani jenis-jenis sampah berbeza.

Kerajaan dan kumpulan-kumpulan alam sekitar percaya bayaran yang dikenakan kepada isi rumah dan perniagaan terhadap sampah yang dihasilkan mengikut jumlah merupakan cara tepat dalam mengurangkan sampah. Skim yang sama berjaya dilakukan di Taipei dan Seoul.

Namun, pihak pentadbiran teragak-agak untuk melaksanakan tindakan tersebut kepada orang awam, perniagaan, manakala ahli politik pembangkang pula asyik mendesak supaya polisi terbabit dijalankan.

"Kerajaan tidak mahu melakukan sebarang tindakan terlalu drastik dan kreatif kerana akan berdepan kesusahan dalam LegCo (Majlis Undangan Hong Kong)," kata Pengarah Sahabat Bumi Hong Kong, Edwin Lau.


TIMBUNAN sampah sarap yang semakin tinggi di Hong Kong menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar.


Kitar semula

Edwin berkata, levi beg plastik sebanyak HK$0.50 (RM0.18) yang diperkenalkan pada tahun 2009, kini meliputi 3,000 buah kedai termasuk pasar raya dan kedai serbaneka telah menunjukkan sistem bayaran sangat efektif dalam mengubah tingkah laku orang ramai.

Menurut EPD, penggunaan beg plastik dalam kalangan peruncit di bawah skim terbabit mampu mengurangkan bahan tersebut sehingga 90 peratus.

Cadangan-cadangan yang dibincangkan adalah seperti membesarkan tapak pelupusan sampah sekarang dan membina insinerator.

Bagaimanapun, kedua-dua kertas cadangan itu tidak popular dalam kalangan penduduk tempatan dan beberapa kumpulan aktivis alam sekitar.

Sementara itu, beberapa kumpulan dengan skala kecil cuba menyampaikan mesej pada peringkat akar umbi.

Kitar Semula Hong Kong merupakan sebuah lagi organisasi tidak berasaskan keuntungan dan ditubuhkan pada tahun lalu. Kumpulan itu memberikan empat buah beg boleh diguna semula kepada pelanggan.

Beg-beg itu digunakan dengan cara mengasingkan sampah bergantung kepada jenis iaitu kertas, plastik, metal dan kaca untuk kitar semula. Ia dikutip di pintu rumah sekali seminggu.

"Kami fikir ini merupakan jalan yang paling senang untuk mereka kerana kitar semula sebelum ini tidak mendapat sambutan kerana orang ramai malas berjalan sambil membawa sampah ke pusat komuniti," kata pengurus operasinya, Joshua Tan.

Pelanggan berdaftar membayar HK$25 (RM8.95) seminggu untuk perkhidmatan itu.

Pengarah syarikat peruncitan, Marc Dambrines, 39, yang menetap di Hong Kong selama 17 tahun berkata, dia mendaftar kerana Kitar Semula Hong Kong dapat menerangkan dengan jelas kepadanya destinasi sampah yang dikutip dan cara digunakan.

"Mudah mengitar semula, itu jalan terbaik yang kita ada," katanya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved