Isnin, 20 Mei 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Catu makanan untuk sihat

Posted:

Catu makanan untuk sihat

Catu makanan untuk sihat

IA bagai satu tamparan hebat buat lelaki itu apabila doktor mengesahkan bahawa salah satu daripada buah pinggangnya rosak. Siapa sangka, pada usia 34 tahun, seorang jurutera awam yang menjalani gaya hidup sihat menghidap penyakit yang sinonim dengan golongan berusia.

Namun, itu hakikat yang perlu ditelan oleh Shazuddin Shaari, 52, ketika didiagnosis mengalami kegagalan buah pinggang dua dekad lalu.

"Memang sukar untuk percaya dan terima bahawa saya mengalami kegagalan buah pinggang pada usia 34 tahun.

"Ia cabaran yang besar buat saya kerana tiba-tiba jatuh sakit. Dua minggu sebelum itu, saya mengalami muntah-muntah dan demam, kemudian doktor sahkan bahawa buah pinggang saya rosak," kata bapa kepada tiga orang anak itu yang mengambil masa setahun untuk menerima hakikat keadaan yang dialaminya.

Kegagalan buah pinggangnya disebabkan paras antibodi immunoglobulin A (IgA) yang tinggi yang tersimpan di dalam organ.

Peningkatan paras IgA merosakkan keupayaan buah pinggang untuk menapis sisa dan air yang berlebihan dalam darah untuk dihantar ke pundi kencing sebagai air kencing.

Lama-kelamaan, keadaan tersebut menyebabkan kehadiran protein dalam darah dan mengakibatkan bengkak pada tangan dan kaki yang akhirnya merosakkan buah pinggang.

Tidak betah melihat penderitaan yang ditanggung Shazuddin, ibunya Wan Zaliha Wan Abdullah, 73, mendermakan buah pinggangnya. Namun, selepas 18 tahun, buah pinggang pemberian ibunya turut 'dimusnahkan' oleh IgA.

Rentetan daripada itu, Shazuddin perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu dan empat jam bagi setiap sesi sejak tahun 2006 di Hospital Kuala Lumpur (HKL)

"Penjagaan makanan memang susah nak kawal memandangkan isteri saya pandai memasak. Makan sikit-sikit, pilih lauk dan menyesuaikannya dengan keadaan kesihatan.

"Saya sudah biasa dengan keadaan ini. Nasi putih dan ikan goreng pun sudah sangat sedap," katanya yang merupakan jurugambar penuh inspirasi dan pemain tenis pada hujung minggu.

Segala yang masuk ke perut Shazuddin perlu 'disukat'. Dia perlu mengambil jumlah protein yang betul, mengurangkan pengambilan garam serta makanan yang mengandungi kalium dan fosfat.


DIET masyarakat Malaysia mengandungi tinggi fosfat yang tidak sesuai untuk pesakit dialisis. – Gambar hiasan.


Tanpa diet yang betul, pesakit dialisis akan berdepan dengan risiko komplikasi penyakit lain.

Isterinya, Noorliza Abu Bakar, 53, dan anak-anak mereka kini mengikuti diet Shazuddin sebagai tanda sokongan.

"Saya semakin sihat. Anda ialah apa yang anda makan kerana ia akan mendatangkan kebaikan dan keburukan, pilihan di tangan anda.

"Saya mahu hidup lebih aktif, proaktif dan positif. Pelbagaikan aktiviti, jangan duduk di rumah menonton televisyen. Alihkan fikiran anda daripada memikirkan perihal penyakit sahaja," katanya yang kini aktif membantu pesakit dialisis yang lain.

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi HKL merangkap Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Ghazali Ahmad, penyakit buah pinggang kronik merupakan masalah kesihatan yang serius di Malaysia.

Pada penghujung tahun 2011, Malaysia mempunyai seramai 25,688 pesakit dialisis dan seramai 1,884 penerima pemindahan buah pinggang berdaftar.

"Bilangan pesakit penyakit buah pinggang kronik (CKD) kian bertambah dan boleh berada di tahap membimbangkan sekiranya orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal," katanya.

Dalam pada itu, Perunding Nefrologi HKL, Dr. Sunita Bavanandan memberitahu, CKD terjadi apabila struktur dan fungsi buah pinggang rosak.

"CKD memberi kesan kepada kira-kira 10 peratus penduduk dewasa di Barat dan di Malaysia dianggarkan sebanyak lapan hingga sembilan peratus merujuk kepada Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2011.

"CKD pada tahap akhir menyebabkan seseorang pesakit itu perlu menjalani terapi buah pinggang seperti dialisis, penggantian dan pemindahan buah pinggang," katanya pada majlis pelancaran Buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 di Akademi Perubatan Malaysia, di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

CKD juga dikaitkan dengan peningkatan penyakit kardiovaskular dan kematian awal.

Terdapat beberapa komplikasi perubatan akibat CKD iaitu hipertensi, hiperlipidemia (kehadiran lemak yang berlebihan dalam darah), anemia (keadaan darah yang kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dan menyebabkan penghidapnya berasa lemah), malnutrisi, gangguan mineral tulang dan penyakit kardiovaskular yang menjadi penyebab utama kematian.

"Kajian terkini melaporkan antara 30 hingga 50 peratus pesakit memiliki tanda-tanda kekurangan zat makanan.

"Nutrisi penting untuk pesakit dialisis kerana tanpa nutrisi yang baik, penyembuhan luka terjejas, kecenderungan berlakunya jangkitan, lemah badan, keletihan dan kadar pemulihan merosot," jelas Sunita.

Pengawalan pengambilan fosfat sangat penting bagi pesakit buah pinggang. Paras fosfat yang tinggi merangsang hormon paratiroid dan menyekat pengeluaran vitamin D3, sekali gus mendorong penyakit tulang paratiroid.

Ia juga menyumbang kepada punca kematian jantung melalui pangkalsiuman dalam jantung dan saluran darah.

Sehubungan itu, kawalan fosfat sangat penting dalam pengurusan pesakit dengan CKD. Ia sukar dicapai memandangkan diet di Malaysia tinggi fosfat.


NOORLIZA menunjukkan keadaan lengan suaminya, Shazuddin yang menjalani rawatan dialisis.


Seseorang pesakit yang menjalani terapi dialisis bukan sahaja perlu mengawal kadar pengambilan fosfat bahkan mengawasi pengambilan makanan yang mengandungi protein, sodium, kalium dan pengambilan cecair.

"Pesakit perlu mengambil protein yang mencukupi iaitu lebih tinggi daripada orang biasa.

"Sodium atau garam dalam makanan memberikan rasa pada makanan, namun jika diambil secara berlebihan, kaki pesakit dialisis akan menjadi bengkak air dan mengalami masalah kesukaran bernafas yang akhirnya pesakit terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi," jelas Pakar Pemakanan HKL, Datin Nor Sharita Mohd. Saad.

Potasium atau kalium berfungsi untuk mengawal otot. Pengambilan yang terlalu tinggi dalam kalangan pesakit akan mengakibatkan jantung mereka terhenti.

Biasanya potasium banyak terkandung dalam sayur-sayuran seperti kailan, jantung pisang, cekur manis, sawi, bayam, petai, brokoli dan keledek.

Pesakit perlu bijak memilih dan menyediakan masakan. Antara sayur rendah potasium ialah terung, kacang buncis, kacang botol dan petola.

Benar, masakan yang banyak kuah itu lebih sedap, walhal kandungan potasiumnya tinggi. Begitu juga dengan buah-buahan dalam tin.

"Pesakit perlu mengelakkan makanan yang tinggi kandungan fosfatnya seperti kaki ayam, kuning telur, minuman bikarbonat dan minuman bersusu.

"Mereka boleh menggantikan minuman bersusu kepada minuman biasa seperti teh O, air masak dan menggunakan krimer bukan tenusu," terangnya. Pesakit juga perlu menyukat pengambilan cecair setiap hari.

Jika cecair diambil secara berlebihan, ia akan mengakibatkan pengumpulan cecair yang luar biasa abnormal dalam sistem peredaran sehingga menyukarkan pergerakan pesakit.

Cecair yang diambil perlu disukat. Dalam sehari mereka hanya boleh mengambil 500 mililiter (ml) air sahaja.

"Ada yang beritahu mereka minum tidak sampai 500ml tetapi mereka makan aiskrim, jeli, sup, air batu, bubur, yogurt dan sebagainya yang menyumbang kepada penambahan cecair," katanya memberitahu, pesakit hanya minum sedikit demi sedikit sahaja tidak seperti orang biasa.

Resipi khusus pesakit dialisis

Posted:

Resipi khusus pesakit dialisis

Resipi khusus pesakit dialisis

BUKU resipi ini mendidik pesakit dialisis cara-cara penyediaan makanan.


MENJALANI hidup sebagai pesakit buah pinggang memerlukan keperluan asas sama seperti mereka yang sihat. Antaranya, termasuklah makan, minum, melakukan aktiviti dan sebagainya meskipun dengan pendekatan yang berbeza.

Menyedari kekangan sebagai pengamal perubatan dan jururawat ekoran pertambahan bilangan pesakit saban tahun, mereka tampil dengan buku panduan pengambilan nutrien.

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Ghazali Ahmad memberitahu, pihaknya sedar kebanyakan masalah dihadapi pesakit yang menjalani rawatan dialisis adalah berkaitan dengan pengurusan pengambilan makanan dan minuman.

"Pemakanan boleh memberi impak sama ada secara langsung dan tidak kepada keupayaan pesakit. Pemakanan yang tidak betul boleh menyumbang kepada kematian secara tiba-tiba," jelas beliau ketika ditemui pada majlis pelancaran Buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 di Akademi Perubatan Malaysia, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kualiti hidup pesakit boleh terjejas akibat komplikasi pemakanan.

Pesakit yang menjalani dialisis jelas Ghazali, perlu mengawal pengambilan makanan dan minuman.

"Pengambilan garam yang berlebihan menyebabkan kawalan tekanan darah terganggu. Buah dan sayur pula menyebabkan paras potasium meningkat, jika tidak, pesakit berkemungkinan berdepan dengan masalah sembelit," ujarnya bahawa pesakit dialisis berdepan dengan diet yang sangat ketat.

Prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh majoriti pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, sekumpulan pegawai-pegawai di HKL dari Jabatan Dietetik dibantu oleh pakar-pakar nefrologi tampil dengan buku resipi khusus buat pesakit dialisis iaitu Resipi Pesakit Dialisis 2013 yang diterbitkan dengan sokongan sebuah syarikat global berasaskan penyelidikan biofarmaseutikal, Abbvie Sdn. Bhd.

Ghazali memberitahu, resipi-resipi dalam buku tersebut telah diuji oleh pesakit, pakar pemakanan dan dirinya sendiri.

Dialih bahasa

"Ini buku resipi pertama yang dibuat khas untuk pesakit dialisis di Malaysia. Sebelum ini pesakit merujuk kepada pakar pemakanan di klinik dan hospital mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dimakan tanpa memberikan panduan penyediaan," katanya sambil memberitahu, buku tersebut sedikit sebanyak membantu pesakit dialisis mengenai cara-cara penyediaan makanan yang sewajarnya.

Buku resipi yang dicetak sebanyak 1,000 naskhah itu boleh didapati di klinik nefrologi di HKL. Bagi memudahkan orang ramai mendapat akses kepada buku tersebut ia boleh didapati untuk dimuat turun di www.hkl.gov.my.

Buku tersebut diterbitkan dalam bahasa Melayu dan akan dialih bahasa ke dalam bahasa Inggeris, Cina dan Tamil bagi versi secara talian.

Setiap resipi yang terdapat dalam buku ini disediakan mengikut keperluan pesakit buah pinggang dengan mengambil kira nilai kalori, protein, potasium, lemak, sodium, karbohidrat dan fosfat.

IKAN berkuah asam pedas merupakan salah satu resipi di dalam buku Resipi Pesakit Dialisis 2013.


Dalam pada itu, Pengurus Besar Rantau Abbvie Asia Selatan, Muru Annamalai bangga menjadi sebahagian daripada usaha tersebut.

"Mengubah dan memperbaiki kehidupan pesakit-pesakit dialisis adalah fokus utama AbbVie Malaysia.

"Pengurusan pemakanan penting dalam mengekalkan status kesihatan sekali gus dapat mencegah atau merawat komplikasi," katanya ketika ditemui pada majlis yang sama.

Tambah beliau, pihaknya komited untuk membantu pesakit-pesakit dialisis di negara ini dengan memberikan mereka kuasa untuk menjadikan hari-hari yang dilalui lebih baik daripada sebelumnya.

"Walaupun terpaksa melalui rejim diet yang ketat, kami mahu melihat pesakit tersenyum dan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti," ujarnya.

Perbezaan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 berbanding buku resipi lain ialah resipi yang dipilih merupakan resipi biasa.

"Resipi-resipi yang dibukukan ini adalah resipi biasa yang dimasak setiap hari tetapi telah dianalisis kandungan protein, sodium (garam), potasium, fosfat dan cecair dalam resipi tersebut.

"Kita lampirkan juga resipi masakan bergoreng kerana ramai orang kata bahawa orang sakit tidak boleh makan makanan bergoreng," jelas Pakar Pemakanan HKL, Datin Nor Sharita Mohd. Saad. sambil menasihatkan pesakit supaya tidak mengambil masakan bergoreng setiap hari.

Dalam buku tersebut juga dinyatakan kandungan potasium dan fosfat dalam setiap makanan yang diambil.

Antara resipi yang terkandung dalam buku tersebut ialah ikan berkuah asam pedas, ikan bawal tiga rasa, ikan tenggiri masak kari, ayam goreng berempah, nasi goreng Cina, nasi kerabu ikan, popia goreng bersos, agar-agar mangga dan smoothie strawberi.

Buku resipi yang dicetak sebanyak 1,000 naskhah boleh didapati di klinik nefrologi di HKL. - NURUL IZZA ROSLY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved