Khamis, 23 Mei 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Melangkah ke persada Hollywood

Posted:

Melangkah ke persada Hollywood

Melangkah ke persada Hollywood

"SAYA rasa lebih selesa sekiranya kita berbicara dalam bahasa Melayu sahaja. Lagipun Malaysia dan Indonesia menggunakan satu bahasa yang sama," ujar pelakon Joe Taslim, 31, ketika membuka perbualan bersama Kosmo! menerusi panggilan telefon yang dibuat dari Los Angeles, Amerika Syarikat.

Itu jawapan yang diberikan Joe atau nama sebenarnya Johannes Taslim apabila ditanya sama ada dia mahu perbualan dilakukan dalam bahasa Inggeris atau Melayu ketika temu bual secara eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Joe, ketika ini dia sedang sibuk menjalani promosi filem Hollywood iaitu Fast & Furious 6 yang menampilkan aktor popular seperti Vin Diesel, Paul Walker, Dwayne Johnson dan Luke Evans.

Menceritakan tentang penglibatannya dalam filem tersebut, pelakon kelahiran Palembang, Indonesia itu berkata, semuanya bermula daripada filem lakonannya sebelum ini iaitu The Raid: Redemption yang ditayangkan pada tahun 2011.

"Ia merupakan sebuah filem yang diterbitkan di Indonesia dan turut dipasarkan di Amerika Syarikat. Tanpa dijangka, filem itu mendapat sambutan yang baik di sana.

"Atas kejayaan filem tersebut, salah seorang rakan telah mencadangkan supaya saya menjalani uji bakat untuk filem Fast & Furious 6 dan akhirnya saya berjaya," ujarnya yang membawakan watak sebagai seorang pembunuh upahan bernama Jah.

Mengenai pengalamannya sepanjang berlakon di samping pelakon hebat Hollywood yang lain, Joe meluahkan bahawa ia merupakan kenangan yang amat sukar untuk dilupakan.

Ujarnya, sepanjang menjalani penggambaran di London dan Los Angeles selama empat bulan bermula Ogos hingga November 2012, dia merasakan dirinya begitu kerdil berbanding pelakon-pelakon yang lain.

"Kalau ditanya tentang perbezaan bekerja dengan produksi Indonesia dan Hollywood, sudah tentu budaya kerja yang diamalkan serta teknologi yang lebih hebat.

"Namun begitu, apa yang membuatkan saya lebih kagum apabila para pelakonnya mempunyai sikap rendah diri yang tinggi dan sangat baik dengan pelakon baharu seperti saya," ujar pelakon berusia 32 tahun itu.


JOE di samping aktor Luke Evans yang merupakan antara pelakon penting Fast & Furious 6.


Menurutnya, Fast & Furious 6 juga menjadi batu loncatan buat dirinya untuk terus mengembangkan kerjaya di Hollywood setelah dia mengikat kontrak dengan syarikat pengurusan ICM Partners.

Ujarnya, dengan bernaung di bawah syarikat yang telah menguruskan ramai artis Hollywood popular, peluangnya berkelana di Amerika Syarikat akan menjadi lebih mudah.

"Selepas ini saya akan terlibat dengan beberapa lagi projek bersama produksi di Hollywood dan ini menyebabkan saya terpaksa berulang-alik antara Jakarta dan Los Angeles.

"Bagi saya, ia merupakan satu cabaran yang cukup tinggi, termasuk terpaksa berjauhan dengan keluarga.

"Bagaimanapun, ia bukanlah masalah besar kerana sekarang ini saya mampu berhubung dengan anak dan isteri menerusi telefon atau Skype," ujarnya.

Jelasnya, ketika ini dia mahu membuktikan kepada industri perfileman Hollywood bahawa para pelakon dari Asia Tenggara mampu meraih kejayaan yang besar sekiranya lebih banyak peluang yang diberikan.

Atlet judo

Apabila berbicara tentang karier lakonannya pula, Joe mengakui dia sendiri tidak menyangka untuk bergelar seorang pelakon kerana dia merupakan seorang atlet sukan.

Joe berkata, sebelum ini dia aktif dalam sukan Judo dan pernah mewakili negaranya, Indonesia dalam pertandingan peringkat antarabangsa termasuk Sukan SEA.

"Saya mewakili negara dalam sukan Judo sejak tahun 2001 dan pernah datang ke Kuala Lumpur ketika Sukan SEA. Kemudian saya terpaksa bersara kerana mengalami kecederaan pada tahun 2009.

"Selepas bersara saya mula berjinak-jinak dengan lakonan sehinggalah dua tahun kemudian saya ditawarkan untuk membintangi filem The Raid: Redemption," ujarnya.

Menurut Joe lagi, semasa zaman persekolahan dahulu dia memang sudah meminati bidang lakonan dan setiap minggu akan ke pawagam untuk menonton filem, terutamanya yang bergenre aksi.

"Sejak kecil lagi saya sudah berangan-angan dan mempunyai cita-cita menjadi seorang pelakon. Tidak sangka hasrat itu tercapai dan lebih menggembirakan apabila kini saya dapat menjejakkan kaki ke Hollywood," ujarnya.


AKSI Joe Taslim dalam satu babak Fast & Furious 6.


Kelas lakonan

Memandangkan ketika ini Joe bakal melebarkan sayap di Hollywood, pelakon itu menyatakan dia kini mahu lebih berusaha keras mempertingkatkan mutu lakonannya.

Ujarnya, dalam tempoh terdekat dia mahu mengikuti kelas lakonan bagi memantapkan lagi cara lakonannya kerana dia tidak mempunyai sebarang asas dalam lakonan.

"Saya lebih dikenali sebagai seorang pelakon aksi menerusi The Raid: Redemption, Dead Mine dan Fast & Furious 6. Namun, saya tidak mahu terlalu stereotaip dan terikat dengan satu-satu genre.

"Bukannya mahu terlalu selektif atau mula rasa bangga kerana karier lakonan yang semakin berkembang, cuma tidak mahu kemampuan lakonan saya sekadar filem aksi sahaja," ujarnya.

Menurutnya, dia lebih berminat sekiranya ditawarkan berlakon dalam sesebuah karya yang berbentuk kekeluargaan atau romantik serta memegang watak yang lebih ringan.

"Tidak dinafikan pemilihan saya dalam filem bergenre aksi kerana mempunyai kelebihan dan asas dalam seni mempertahankan diri.

"Namun begitu, ia tidak bermakna saya akan berlakon filem aksi selama-lamanya. Sebagai pelakon saya pasti mahu mencuba pelbagai lagi watak dan tidak terikat dengan satu-satu karakter sahaja," ujarnya mengakhiri bicara.

Hattan, bekas isteri kahwin 15 Ramadan

Posted:

Hattan, bekas isteri kahwin 15 Ramadan

Hattan, bekas isteri kahwin 15 Ramadan

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


HATTAN mahu kembali rujuk dengan bekas isterinya, Arianie selepas bercerai selama lapan tahun.


GAGAL dua kali dalam perkahwinan, penyanyi Biso Bonar, Datuk Hattan tidak pernah serik untuk berkahwin lagi malah, pemilik sebenar nama Mohd. Shukri Shahabudin itu bakal berkahwin semula dengan bekas isteri pertamanya iaitu Arianie Mohd. Abidin.

Hattan dan Arianie pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 15 tahun.

Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hattan selanjutnya berhubung perancangan pernikahannya bersama Arianie, selain mengenai projek terbaharunya bersama seorang rapper terkenal.

KOSMO: Bilakah anda bakal berkahwin dengan bekas isteri?

HATTAN: Saya rancang ingin menikahi dia (Arianie) pada 15 Ramadan ini. Tetapi saya ada juga terfikir untuk melangsungkan perkahwinan pada hari jadi anak kami, Adam, iaitu 21 Ogos.

Jadi manakah tarikh yang menjadi pilihan kalian?

Saya lebih suka kami berkahwin pada 15 Ramadan sebab mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama. Lagipun lebih elok jika kami berkahwin pada bulan Ramadan.

Boleh kongsikan persiapan perkahwinan anda?

Majlis sederhana sahaja. Tiada hantaran pun. Tetapi mungkin ada majlis makan-makan.

Kenapa bekas isteri menjadi pilihan semula?

Saya tidak jumpa wanita lain yang boleh dijadikan isteri. Kami juga sudah serasi bersama. Seluruh keluarga saya juga tidak mahu orang lain selain dia (Arianie).

Apakah harapan melalui perkahwinan kedua anda bersama Arianie?

Kami mahu lupakan perkara silam dan buka lembaran baharu untuk hidup bersama.

Apa kata Adam bila anda ingin berkahwin semula dengan ibunya?

Budak lelaki yang paling bahagia. Bila saya cakap mahu kahwin dengan ibunya semula, dia cuma cakap okay. Tetapi saya tahu dia sangat gembira.

Adam kini sudah berusia 15 tahun. Tidakkah dia mengikuti jejak langkah anda sebagai penyanyi?

Dia (Adam) suka muzik. Saya sokong apa juga keinginannya pada masa depan. Cuma kalau boleh saya mahu dia tumpukan pada pelajaran dan peroleh ijazah dahulu. Sebabnya, saya ini tiada ijazah jadi saya mahu lihat anak saya mempunyai ijazah.

Sudah lama tidak mengeluarkan sebarang single, apakah perkembangan terbaharu anda dalam bidang muzik?

Saya diberitahu yang Waris Rembau Most Wanted sangat meminati dan ingin berduet dengan saya. Saya setuju dan kini sedang dalam proses merakamkan lagu bersama dia (Waris) untuk dua buah lagu.

Apakah judul lagunya dan siapakah penciptanya?

Ada dua lagu iaitu daripada Waris sendiri dan Datuk M. Nasir. Lagu saya dengan Waris itu berjudul Ke Jelobak Ke Jolobu (nama tempat di Negeri Sembilan), manakala lagu M. Nasir itu masih belum mempunyai judul.

Anda seorang penyanyi otai. Adakah anda begitu selektif dalam pemilihan pasangan duet ataupun lagu?

Saya tengok Waris seorang penyanyi muda yang sangat kreatif. Saya percaya 300 peratus kreativiti dia.

Beralih pada soalan lain, ramai orang yang mengatakan begitu sukar untuk mengetahui perkembangan diri anda sama ada mengenai hal peribadi ataupun kerjaya seni anda? Adakah diri anda terlalu eksklusif?

Saya memang seorang yang tidak mengikuti perkembangan teknologi. Jadi, sehingga kini saya tidak mempunyai akaun Facebook atau Twitter. Pernah jugalah ada akaun Twitter sekejap, tetapi saya rasa bosan dan rimas lalu menutup akaun Twitter tersebut. Bagus juga saya tidak terlalu terdedah kepada peminat, sebab jika saya muncul nilai saya akan naik (ketawa).

Lee Seung-gi ingin jadi jahat

Posted:

Lee Seung-gi ingin jadi jahat

Lee Seung-gi ingin jadi jahat


LEE SEUNG-GI


PENYANYI, pengacara dan pelakon popular yang sentiasa tampil dengan imej bersih baik di layar kaca mahupun pada pandangan masyarakat, Lee Seung-gi berhasrat untuk bertukar menjadi jahat.

Katanya pada sidang media drama Gu Family Book baru-baru ini, dia teringin untuk memegang watak jahat pada masa hadapan.

"Saya ingin cuba memegang watak jahat pada masa depan bila saya sudah lebih berusia dan ingin menang anugerah.

"Aura dan pengalaman sangat penting sebab itu saya fikir saya mencuba watak jahat pada usia lewat 30-an atau 40-an," katanya yang kini berusia 26 tahun.

Sebelum ini pelakon tersebut telah memegang watak sebagai putera dalam drama The King 2 Hearts, watak pelajar dalam drama My Girlfriend is a Gumiho dan watak lelaki kaya dalam drama Shining Inheritance.

Kebanyakan wataknya menampilkan imej comel dan baik. Disebabkan itu, Seung-gi cemburu melihat lakonan yang diberikan aktor Yoo Dong-geun dalam drama tersebut.

"Kadangkala saya cemburu melihat Dong-geun membawakan wataknya yang mendapat kritikan dan perhatian ramai," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved