Isnin, 20 Mei 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Luna masih berhubung dengan Ariel

Posted:

Luna masih berhubung dengan Ariel

Luna masih berhubung dengan Ariel

TOLAK ketepi kontroversi video seks bintang popular Indonesia, Luna Maya bersama bekas teman lelakinya, Ariel Peterpan (kini Ariel Noah) yang melanda satu ketika dulu. Pertama kali bertemu dengan aktres tinggi lampai itu, ternyata Luna bukan sahaja seorang yang jelita, tetapi juga bijak dalam mengeluarkan kata-kata.

Aktres berusia 30 tahun itu juga sangat merendah diri dan tenang sahaja memberi jawapan biarpun diasak pelbagai soalan daripada media Malaysia yang begitu ingin mengetahui cerita terbaharu mengenai dirinya.

Hadir ke Malaysia bagi mempromosikan filem pertama arahan dan terbitannya berjudul Pintu Harmonika, aktres kelahiran Bali, Indonesia itu mengakui berasa kaget (gementar) kerana diminta berucap secara tiba-tiba ketika majlis pelancaran filem tersebut untuk tayangan eksklusif Astro First di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

"Saya tidak persiapkan ucapan, jadi agak kaget bila dijemput untuk berucap. Saya bangga dan rasa luar biasa berada bersama pihak-pihak seperti anda yang menyokong industri perfileman," ungkapnya ringkas.

Satu filem lima pengarah

Berkongsi pengalaman menghasilkan filem Pintu Harmonika, dedah Luna, dia yang mengarah filem itu bersama dua lagi temannya iaitu Ilya Sigma dan Sigi Wimala pada mulanya ingin menjemput Dian Sastrowardoyo dan Sherina Munaf untuk mengarah bersama.

Bagaimanapun, keinginan Luna tidak kesampaian apabila Dian dan Sherina mempunyai alasan tersendiri.

"Sepatutnya filem ini mempunyai lima pengarah, tetapi Dian dan Sherina tidak dapat turut serta mengarah. Ini kerana Dian baru sahaja mendapat anak, sementara Sherina pula belum bersedia untuk mengarah," jelasnya mengenai filem Pintu Harmonika yang bakal ditayangkan secara serentak di Astro First dan juga di pawagam-pawagam Indonesia pada 23 Mei ini.

Bercerita mengenai filemnya itu, jelas Luna, ia menceritakan tentang tiga cerita berbeza yang berlatarbelakangkan kawasan kejiranan rumah kedai serba sederhana di Indonesia.

Bicara lanjut daripada Luna, kisah pertama ialah sebuah kisah seram arahan Sigi Wimala yang menonjolkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang cuba untuk menyelamatkan nyawa ibunya daripada terus menderita akibat sering terdengar suara aneh dari tingkat atas rumah kedai mereka.

"Cerita kedua pula mengangkat kisah komedi romantik arahan saya. Ia menceritakan tentang seorang gadis bijak berusia 13 tahun, tetapi hidup terasing dan hatinya penuh dengan kemarahan.

"Cerita ketiga arahan Ilya Sigma pula memfokuskan tentang budak lelaki berusia 17 tahun yang kacak dan sempurna pada luarannya, tetapi ingin berbohong mengenai kemiskinannya kerana cuba memenangi hati seorang gadis," tutur Luna yang memberitahu ketiga-tiga cerita tersebut berkaitan kerana mereka berjiran dan menjalankan perniagaan di bawah dan tinggal di tingkat atas secara bersebelahan.

Ditanya tentang berapakah perbelanjaan dan masa yang diambil untuk menghasilkan filem tersebut, beritahu Luna, ia mencecah nilai RM750,000.

Mula menghasilkan filem itu pada Disember 2011, kata Luna, proses penggambaran cuma berjalan selama dua minggu, tetapi untuk menyiapkannya ia mengambil masa selama sembilan bulan.

"Kalau ikutkan filem ini sudah siap pada Disember 2012, tetapi kerana saya ingin ia sempurna tanpa cacat cela, jadi proses pasca produksi mengambil masa yang agak lama. Ada juga kesulitan-kesulitan semasa proses menyiapkannya. Namun, ada hikmah di sebalik kesulitan kerana saya bertemu dengan pihak Astro dan dapat bekerjasama dengan mereka," jelasnya lagi.


LUNA MAYA yang pernah berhadapan dengan kontroversi video porno bersama vokalis Ariel mengaku keluarga dan teman rapat banyak memberi semangat buat dia bangkit menghadapi realiti kehidupan.


Perniagaan kasut bersama Ariel

Jika di Indonesia, Luna mengambil pendekatan untuk enggan mengulas mengenai perihal Ariel kerana sedar kata-katanya sering dimanipulasi atau ditokok tambah, tetapi apabila pihak media Malaysia menyoal tentang Ariel, Luna tanpa berselindung terbuka bercerita mengenainya.

Disoal dia ada bertemu Ariel selepas penyanyi popular itu keluar dari penjara, Luna mengakui ada beberapa kali bertemu dengannya atas urusan kerja.

"Ada berjumpa. Saya dan dia merupakan rakan niaga untuk bisnes sepatu (kasut). Bisnes tersebut sudah berjalan sejak tahun lalu," akuinya.

Ditebak adakah dia dan Ariel bakal bercinta semula, ungkap Luna, mereka kini hanya fokus kepada kerjaya masing-masing.

Tuturnya jujur: "Dia lebih banyak membangunkan (menghasilkan) karyanya sementara saya juga membangunkan karya saya. Tetapi, kita tidak tahu akan datang bagaimana ya".

Menjawab persoalan bilakah dia bakal berumah tangga, jelas Luna, dia tidak mempunyai sasaran dan tidak mahu memaksa dirinya mencintai orang yang tidak dicintainya.

Kalau boleh, katanya, biarlah dia bertemu lelaki yang benar-benar mampu membuatnya berasa senang hati.

Akademi New York

Sudah 14 tahun berada dalam industri lakonan membuatkan Luna berani menerokai bidang pengarahan pula. Begitupun, Luna sedar pengalaman yang diperoleh daripada teman-teman penerbit dan pengarah tidak mencukupi jika tiada ilmu perfileman di dada.

Atas sebab itu, Luna sudah berhasrat untuk mendapatkan ilmu perfileman di Akademi New York.

"Saya sudah daftar dan bayar untuk pengajian di Akademi New York, malah saya juga sudah bertemu ketua program bidang perfileman di sana. Namun, malangnya saya tidak mempunyai waktu untuk memulakan pengajian. Ia asyik tertangguh sejak tahun lalu. Insya-Allah saya akan mula belajar awal tahun depan," ulasnya.

Ditebak kenapa dia tidak berlakon dalam filem arahannya Pintu Harmonika, ujar Luna, dia lebih selesa fokus sebagai pengarah.

Bicaranya lanjut, dia mahu melihat hasil keseluruhan kerja filemnya dan mahukan ia sempurna.

"Mengarah sahaja saya sudah pusing (pening). Ini pula ingin berlakon dan mengarah. Kecuali jika saya sudah profesional seperti Clint Eastwood," ujarnya sambil ketawa.

Berkongsi cerita mengenai kerjaya nyanyiannya pula, kata Luna, dia bakal mengeluarkan single keduanya tidak lama lagi.

Sekadar mencuba bidang nyanyian kerana ia menyeronokkan, ungkap Luna, dia tidak terlalu serius menyanyi kerana sedar akan kemampuannya dalam bidang itu.

Hanez Suraya mahu kurangkan imej seksi

Posted:

Hanez Suraya mahu kurangkan imej seksi

Hanez Suraya mahu kurangkan imej seksi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


JIKA jodohnya bersama Awi Rafael panjang, Hanez yang kini berusia 28 tahun mahu berkahwin sebelum mencecah umur 30 tahun.


KETIKA ini karier pelakon Hanez Suraya dilihat semakin berkembang apabila wajahnya sentiasa menghiasi kaca televisyen menerusi drama dan telemovie lakonannya.

Bagaimanapun, kekasih kepada penyanyi Awi Rafael itu ternyata tidak sunyi daripada berhadapan dengan pelbagai kontroversi yang sedikit mencalar imejnya sebagai pelakon.

Terkini, pelakon tersebut telah mendapat kritikan segelintir pihak ekoran pakaiannye ketika bercuti di Pulau Redang Terengganu bersama pihak media dan peminat baru-baru ini.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut, Kosmo! telah menghubungi Hanez untuk mengetahui cerita sebenar.

KOSMO!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Hanez tampil seksi semasa bercuti di Pulau Redang?

HANEZ: Sejujurnya saya sendiri sangat terkejut dan hairan apabila dikatakan berpakaian seksi sepanjang percutian tersebut. Takkan dengan memakai t-shirt dan berseluar legging ada yang menganggap saya seksi pula. Lagipun dalam percutian tersebut saya pergi dengan peminat dan beberapa orang rakan wartawan. Jadi, sudah tentu saya perlu berhati-hati menjaga penampilan saya.

Apakah komen anda apabila tidak sudah-sudah dihimpit dengan pelbagai kontroversi?

Kepada saya, kontroversi itu ada kalanya boleh memberikan publisiti kepada seseorang artis, tetapi bukanlah kontroversi yang terlalu negatif sehingga memberi kesan buruk terhadap kerjaya. Sebenarnya saya sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu lagi terus dikaitkan dengan kontroversi. Dahulu saya memang selalu tampil seksi, tetapi kini saya sedang berusaha mengurangkan imej seksi dan lebih berhati-hati apabila berpakaian.

Bagaimanakah pandangan anda terhadap kerjaya setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan?

Saya bersyukur kerana semakin banyak tawaran berlakon yang diterima dan ramai pihak yang semakin yakin dengan bakat dan mutu lakonan saya, cuma saya berharap supaya diberi peluang mencuba pelbagai watak supaya tidak dilihat sebagai stereotaip.


INILAH pakaian yang dipakai Hanez yang didakwa sebagai seksi sewaktu bercuti ke Pulau Redang baru-baru ini.


Pada usia yang sudah mencecah 28 tahun, adakah anda teringin untuk mendirikan rumah tangga?

Perancangan untuk berkahwin itu memang ada, namun ia tidak dibincangkan secara serius dengan Awi. Buat masa ini kami berdua memang agak sibuk dan masing-masing mahu mengumpul duit dahulu sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Hubungan saya dan Awi pula masih lagi berjalan seperti biasa dan hubungan keluarga kami juga sangat rapat. Namun begitu, saya harap dapat mendirikan rumah tangga sebelum berusia 30 tahun.

Apakah aktiviti terbaharu anda sekarang?

Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama komedi 13 episod iaitu Kerana Putera Idaman untuk saluran TVi 180. Selain itu, saya juga agak sibuk mempromosikan produk kecantikan Aura White yang baru sahaja dilancarkan. Sebagai duta saya turut terlibat dalam penggambaran iklan komersial untuk produk berkenaan dan akan terlibat dalam rangka promosi siri jelajah di seluruh negara.

Adakah anda pernah dilantik untuk menjadi duta kepada produk yang lain?

Setakat ini saya cuma menjalinkan kerjasama sebagai duta kepada produk Aura White. Ini merupakan kali pertama saya dilantik sebagai duta produk dan berterima kasih kepada pihak Aura White yang telah memberikan kepercayaan kepada saya.

Mawi tukar profesion

Posted:

Mawi tukar profesion

Mawi tukar profesion

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN


MAWI dan Ekini giat mempromosikan produk kesihatan dan kecantikan mereka, UniQuein.


KEHADIRAN jejaka ini di dalam persada seni pada suatu ketika dulu telah memberi fenomena baharu dalam dunia hiburan apabila namanya yang sebelum ini tidak pernah diketahui secara tiba-tiba melonjak naik.

Semuanya bermula apabila Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani menyertai rancangan realiti televisyen Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2005 dan seterusnya memenangi gelaran juara.

Sejak itu Mawi mula mendapat perhatian ramai. Namun, oleh kerana dia masih mentah dalam bidang seni ketika itu, ramai yang berpendapat Mawi tidak tahu bergaul dan seperti tidak serius untuk berada dalam bidang yang penuh mencabar itu.

Berbeza kini, setelah hampir 10 tahun berada dalam dunia seni, Mawi sudah matang dalam setiap jawapan yang diberikan dan sentiasa berhati-hati ketika melemparkan tutur kata.

Perubahan positif ayah kepada seorang puteri, Cahaya Malaika ini boleh dilihat apabila setiap kali diajukan soalan, Mawi akan menjawab dengan berhemah sekali.

Menurut Mawi, pengalaman banyak mengajarnya untuk sentiasa belajar menjadi manusia yang lebih baik lebih-lebih lagi apabila dia kini sudah mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan.

"Saya akui kini saya lebih pandai menjawab soalan dan pertanyaan orang ramai kerana setelah beberapa tahun berada dalam bidang seni, banyak benda yang saya pelajari.

"Lebih-lebih lagi kini saya sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan yang memerlukan saya bertemu dengan ramai rakan korporat," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk UniQuein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Mawi, kekuatan dan perubahan positifnya itu banyak didorong oleh isterinya, Ekin yang turut sama membantu dan memberi kata-kata semangat dalam setiap apa yang dilakukannya.

"Ekin selalu berada di belakang saya dan saya bersyukur kerana memiliki isteri yang tidak pernah berputus asa dalam memberi segala pertolongan atau bantuan ketika saya senang mahupun susah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mawi sedang aktif menjalankan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan UniQuein bersama isteri dan adik iparnya, Aein.

Katanya, pada tahun ini dia ingin memberi fokus kepada perniagaannya yang semakin berkembang positif, namun itu tidak bermakna dia melupakan bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya.

"Saya fikirkan juga tentang perkara itu (menyanyi), bukanlah kata saya nak tinggalkan terus bidang nyanyian. Cuma buat masa sekarang saya juga berjinak dengan bidang produksi, penulisan skrip dan pengarahan. Semuanya dalam proses untuk saya belajar," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai album, Mawi masih belum mengeluarkan album baharu, tetapi terdapat beberapa single akan dikeluarkan dalam waktu terdekat ini, antaranya Termolek ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Ad Samad.

Selepas Termolek, lagu Kau Adalah Aku ciptaan M. Nasir pula dijangka akan menyusul dan kedua-dua lagu itu dijangka diterbitkan pada tahun ini juga.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved