Rabu, 8 Mei 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cabaran pelawak wanita

Posted:

Cabaran pelawak wanita

Cabaran pelawak wanita

KALI pertama bertemu dengan pelawak Jihan Muse menerusi satu sesi fotografi yang diatur bersama Kosmo! pada minggu lalu, tidak terlalu kelihatan unsur-unsur humor yang ada pada dirinya.

Sedangkan ketika melihat aksinya di kaca televisyen atau membuat persembahan di pentas, pasti para penonton tidak kering gusi melihat telatahnya itu.

Menurut Jihan, dia sendiri mengakui tidak menjangka mampu bertapak kukuh dalam dunia komedi tempatan sehingga kini, meskipun pembabitannya dalam bidang seni sudah agak lama.

"Sebelum menyertai program Raja Lawak 3 pada tahun 2009, saya memang cukup aktif dalam pementasan teater dan langsung tidak terlintas di fikiran untuk menjadi seorang pelawak.

"Biasanya, kalau lepak bersama rakan-rakan saya suka membuat lawak dengan mereka. Kemudian saya telah didorong oleh rakan-rakan supaya menyertai ujibakat untuk rancangan tersebut," ceritanya tentang pembabitan awalnya dalam bidang komedi.

Bercerita lebih lanjut tentang pembabitannya sebagai seorang pelawak selama empat tahun, Jihan menyatakan ia memberi cabaran yang cukup besar buat dirinya.

Sebagai seorang pelawak wanita, ujar Jihan, aksi yang ditampilkan sebenarnya begitu terbatas berbanding lelaki.

Sebagai wanita dia tidak boleh terikut-ikut dengan cara persembahan seperti golongan lelaki yang lebih terbuka dan diterima ramai.

"Sebenarnya bukan mudah buat pelawak wanita untuk menghiburkan orang ramai kerana sebagai seorang gadis Melayu tentunya saya perlu menjaga tatasusila dan tidak boleh terlalu bebas.

"Bagi saya, itu merupakan salah satu faktor utama yang menjadi punca tidak ramai pelawak wanita yang mampu dilahirkan.

"Kebanyakan pelawak wanita yang ada sekarang pun semuanya bermula daripada seorang pelakon biasa sebelum terjun ke dunia komedi," ujarnya.

Biarpun ia dilihat sebagai satu kelebihan buat dirinya apabila lebih banyak tawaran yang diperoleh, namun dia turut berharap agar lebih ramai pelawak wanita yang muncul.

JIHAN mengakui perlu menjaga penampilan untuk masa depan kariernya.


"Ketika ini sudah ada beberapa rancangan yang diterbitkan untuk mencungkil bakat pelawak dan seharusnya golongan wanita tidak perlu takut mempersembahkan bakat komedi yang dimiliki.

"Sekiranya lebih ramai pelawak wanita yang muncul sudah tentu ia akan memeriahkan lagi dunia komedi tempatan. Jadi, tidaklah penonton akan bosan melihat muka yang sama setiap masa," ujarnya.

Ditanya sama ada dia mahu terus dikenali sebagai seorang pelawak sahaja, Jihan meluahkan bahawa jauh di suduh hati dia memang begitu teringin membawakan watak yang lebih serius.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur apabila tidak ramai pengarah yang mahu memberi kepercayaan buat dirinya kerana label pelakon komedi yang sudah sebati dalam dirinya.

"Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam drama-drama yang lebih serius, tetapi tetap diberikan karakter komedi. Kalau boleh saya berharap agar dapat mempelbagaikan watak lakonan supaya kerjaya saya dalam bidang seni lebih berkembang.

"Lagipun, saya begitu yakin dapat membawakan lain-lain watak berdasarkan pengalaman saya dalam teater dan masih aktif sehingga sekarang. Saya memang sangat menantikan kalau ada pengarah yang dapat memberikan satu watak yang berbeza," luahnya.

Jaga penampilan

Jika melihat kepada penampilan Jihan sewaktu mula-mula muncul dalam industri hiburan dan sekarang tidak dinafikan terdapat begitu banyak perubahan pada dirinya.

Menurut pelawak berusia 30 tahun itu, sebelum ini dia agak kurang menitikberatkan tentang penampilan diri kerana beranggapan seorang pelawak tidak perlu terlalu kelihatan cantik dan bergaya.

"Dahulu, saya tidak begitu mementingkan sangat tentang penampilan dan kecantikan, tetapi sekarang saya rasa perlu membuat perubahan supaya mendapat keyakinan diri yang lebih tinggi ketika membuat persembahan.

"Antaranya, saya kini memakai pendakap gigi dan sekiranya mempunyai masa terluang saya akan menghabiskan masa untuk pergi ke spa atau salun kecantikan," ujarnya.

Menurut Jihan, memandangkan rezekinya dalam bidang seni sekarang yang semakin murah, dia juga tidak lokek untuk berbelanja membeli pakaian yang sesuai untuk kelihatan bergaya.

"Saya tidak mahu penonton beranggapan seseorang pelawak itu mesti nampak selekeh bagi membuat orang ketawa. Sesuatu persembahan komedi itu tidak dinilai berdasarkan penampilan, tetapi ia lebih kepada isi kandungan persembahan," jelasnya.

Berhenti kerja

Sebelum bergiat aktif dalam dunia lakonan, ramai yang sudah mengetahui bahawa Jihan pernah menjawat jawatan Penguat Kuasa Bangunan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama empat tahun.

Memandangkan kerjaya seninya yang semakin berkembang dengan pelbagai tawaran yang diperoleh, akhirnya dia meletakkan jawatan tersebut pada tahun 2011.

FIGURA ini mengakui aksi lawaknya agak terbatas kerana dirinya seorang wanita.


"Selepas bertanding dalam Raja Lawak 3, saya masih meneruskan kerjaya saya di MBSA. Ketika itu banyak juga tawaran yang terpaksa saya tolak kerana perlu memberi komitmen terhadap kerjaya.

"Selepas dua tahun akhirnya saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti kerja kerana mahu lebih serius dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang seni," ujarnya.

Menurut Jihan, dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk meletakkan jawatan kerana tidak begitu yakin karier seninya itu mampu pergi dengan lebih jauh.

"Secara jujurnya, saya tidak berani kerana risau sekiranya tersilap langkah. Bagaimanapun, selepas berhenti kerja, tiba-tiba saya rasa menyesal pula kerana tidak membuat keputusan terlalu awal," ujarnya.

Mengenai perkembangan kerjayanya pula, Jihan meluahkan rasa gembira kerana kehadirannya dalam industri semakin diterima ramai dengan pelbagai tawaran yang diraihnya.

Tambahnya, namanya juga kini menjadi sebutan apabila aksi parodi yang dilakukannya menerusi rancangan MeleTOP mendapat sambutan baik dan begitu diminati penonton.

"Setakat ini saya mendapat tahu memang ramai yang suka aksi parodi (lakonan semula secara sinis) saya itu. Begitu juga dengan artis-artis yang saya tiru itu, mereka turut memberi maklum balas yang sangat positif," jelasnya.

Berkenaan jadual lakonannya pula, Jihan menyatakan dia baru sahaja selesai penggambaran drama berjudul Diandra dan kini dia berlakon dalam drama Fira Ayuni untuk slot Samarinda di TV3.

Amirul tak sangka

Posted:

Amirul tak sangka

Amirul tak sangka

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


TOP 3. Mohd. Amirul Husni diapit Irsa (kanan) dan Jamiah.


APABILA menyebut nama Datuk Ahmad Jais dan Datin Rafeah Buang, kedua-duanya cukup sinonim sebagai ikon sekitar era 60-an dan 70-an.

Biarpun kedua-dua penyanyi itu sudah meninggal dunia, tetapi lagu-lagu nyanyian mereka masih lagi terus berkumandang sehingga ke hari ini.

Bagi mengenang kembali nostalgia terhadap kedua-dua penyanyi itu, stesen radio Klasik Nasional dengan kerjasama TZ Emas Ventures Sdn. Bhd. telah menganjurkan sebuah pertandingan nyanyian iaitu Irama Kenangan Ahmad Jais dan Rafeah Buang.

Menerusi pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 28 April lalu, seramai 10 peserta telah terpilih untuk menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Ahmad Jais dan Rafeah Buang.

Berlangsung dalam suasana yang cukup sengit, ternyata kemenangan berpihak kepada peserta dari Ampang, Selangor, Mohd. Amirul Husni Mustafa yang baru berusia 20 tahun. Amirul mengalunkan lagu nyanyian Ahmad Jais iaitu Lima Tahun Ku Cari.

Menurut Mohd. Amirul Husni, dia sendiri tidak menyangka mampu untuk bergelar juara memandangkan para peserta yang turut bertanding dilihat menampilkan persembahan yang cukup menarik.

"Sebelum ini sudah banyak pertandingan nyanyian yang saya sertai, tetapi pada malam ini saya rasa cukup bertuah kerana telah berjaya menewaskan sembilan lagi peserta yang cukup hebat.

"Dengan kejayaan ini sudah pasti ia akan menjadi semangat buat diri saya untuk menyertai lebih banyak pertandingan nyanyian pada masa akan datang," ujarnya yang meluahkan rasa gembiranya atas kemenangan tersebut.

Ketika ditanya apakah yang membuatkan dia tertarik untuk menyertai pertandingan tersebut, Amirul menyatakan dia dan ahli keluarganya begitu minat dengan lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais.

Menurut penuntut jurusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, usia langsung tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk meminati lagu-lagu penyanyi tersohor tersebut.

"Antara lagu-lagu Ahmad Jais yang cukup saya minati seperti Lima Tahun Ku Cari dan Gelisah, malah saya begitu kagum dengan suaranya yang mampu menarik ramai pendengar," ujarnya.

Sementara itu, Irsa Sahabuddin yang muncul sebagai naib juara dengan membawakan lagu nyanyian Rafeah Buang iaitu Mustika Hatiku tetap berpuas hati dengan kejayaan yang diraihnya itu.

Ujarnya, dia memang meminati lagu-lagu lama dan pernah muncul sebagai juara Idola P. Ramlee & Saloma 2007 peringkat kebangsaan dan naib juara Bintang Klasik 2012.

"Tidak dinafikan kekuatan saya terletak kepada nyanyian lagu-lagu lama dan itu yang menyebabkan saya tertarik untuk menyertai pertandingan ini," ujarnya peserta yang begitu meminati Ella itu.

Sebagai juara, Mohd. Amirul Husni berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala pusingan dan sijil, manakala Irsa pula telah memenangi wang tunai RM1,500, piala dan sijil.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta dari Perak, Jamiah Lambed dengan hadiah berupa wang tunai RM1,000, piala dan sijil.

Tujuh peserta lain pula, sekadar membawa pulang hadiah saguhati iaitu wang tunai RM200, baucar membeli-belah sebanyak RM300 dan sijil.

Hadiah-hadiah kepada peserta telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhayati Ismail yang turut meluangkan masa hadir pada pertandingan tersebut.

AKSI Amirul ketika mengalunkan lagu Lima Tahun Ku Cari.


Sambutan hangat

Pengerusi Eksekutif TZ Emas Ventures Sdn. Bhd., Tengku Zaini Raja Baharudin berkata, selaku penganjur bersama, pihaknya agak terkejut dengan sambutan hangat yang diterima.

Ujarnya, sesuatu yang cukup menarik tentang penganjuran pertandingan tersebut apabila pihaknya menerima banyak penyertaan daripada peserta yang masih muda dan berusia 20-an.

"Matlamat utama kami menganjurkan pertandingan sebegini adalah mahu mengembalikan nostalgia lagu-lagu nyanyian Ahmad Jais dan Rafeah Buang agar ia terus malar segar.

"Bagaimanapun, penyertaan yang cukup ramai daripada golongan muda sudah cukup membuktikan lagu nyanyian kedua-dua penyanyi ini terus mendapat tempat tanpa mengira usia," jelasnya.

Bercerita lebih lanjut tentang pertandingan tersebut, Tengku Zaini memberitahu, pada peringkat awal pihaknya telah menerima sebanyak 424 penyertaan.

Kemudian para peserta perlu menjalani peringkat saringan terlebih dulu yang diadakan di Auditorium P. Ramlee Angkasapuri pada 20 April lalu untuk memilih 35 peserta yang layak ke peringkat seterusnya.

"Untuk saingan akhir hanya 10 peserta yang terpilih untuk bersaing. Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati kerana semua peserta telah tampil dengan persembahan yang menarik dan bersemangat," ujarnya.

Knightley kahwin di Perancis

Posted:

Knightley kahwin di Perancis

Knightley kahwin di Perancis


KEIRA dan James dirakam selepas selesai upacara perkahwinan tertutup mereka.


AKTRES terkenal Britain, Keira Knightley kini bergelar isteri kepada penyanyi rock, James Righton selepas berkahwin di Perancis pada Sabtu, 4 Mei lepas.

Pelakon siri filem pecah panggung, The Pirates of the Caribbean itu mengahwini anggota band rock, The Klaxons itu pada upacara tertutup yang hanya dihadiri kaum keluarga dan rakan-rakan rapat.

Pasangan pengantin masing-masing memakai busana dan sut daripada jenama Chanel. Menerusi foto yang dirakam paparazi, kedua-duanya dilihat saling berpegangan tangan penuh intim meninggalkan bangunan tempat majlis perkahwinan berlangsung menuju untuk masuk ke dalam kenderaan yang sedang menunggu mereka.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved