Selasa, 16 April 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Sedekad bakti As-Siddiq

Posted:

Sedekad bakti As-Siddiq

Sedekad bakti As-Siddiq

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI

LEBIH 49 kanak-kanak di Kampung Batu Hampar Dalam teruja saat menerima bantuan persekolahan daripada As-Siddiq.


BAGI penduduk sekitar Taiping, Perak khususnya di kawasan Bukit Gantang, kelibat sukarelawan sebuah pertubuhan kebajikan tempatan, As-Siddiq bukanlah sesuatu yang asing.

Rutin mereka adalah menjelajah ke kampung-kampung, menjengah dari pintu ke pintu, mencari individu yang memerlukan bantuan serta perhatian sama ada miskin atau cacat anggota.

Tanpa mengira kaum dan agama, semua yang mengalami kesulitan dibantu oleh anggota sukarelawan terbabit.

Pelbagai bentuk sumbangan dihulurkan melibatkan wang tunai, perkakasan rumah, bahkan ada yang menerima rumah yang dibina sendiri Pengerusi Pertubuhan As-Siddiq, Habidi Zain.

Selain itu, ratusan penduduk berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya turut menerima sumbangan barangan makanan untuk sebulan secara tetap daripada sukarelawan terbabit.

Apa yang pasti, sukarelawan As-Siddiq yang genap 10 tahun penubuhannya pada hari ini bertekad meneruskan komitmen mereka meringankan beban ditanggung penduduk terlibat.

Menurut Habidi, sukarelawan As-Siddiq bukan sahaja dianggotai individu Melayu, tetapi turut disertai masyarakat Cina dan India.

Katanya, penglibatan golongan belia dalam beberapa aktiviti yang dilaksanakan sukarelawan As-Siddiq sebelum ini membuktikan komitmen pertubuhan itu sentiasa disokong dan didokong semua lapisan masyarakat.

"Banyak program kemasyarakatan yang dianjurkan sebelum ini mendapat kerjasama kelompok belia dan ia menyemarakkan semangat kami untuk terus berbakti," kata Pengerusi Eksekutif Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Seri Manjung itu kepada Kosmo!.

Habidi memberitahu, sukarelawan As-Siddiq bergerak aktif menggunakan dana persendirian dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Selain menjelajah ke pelosok kampung dan memberi bantuan kepada golongan memerlukan, sukarelawan As-Siddiq sebagai sebuah pertubuhan berdaftar turut aktif menganjurkan acara-acara lain seperti sukaneka dan klinik kesihatan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.

Bersihkan makam

Pada September 2012, Habidi bersama kira-kira 30 belia berusia 20 hingga 30-an memilih menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 dengan bergotong-royong memulihara makam Datuk Seri Amar Diraja Alang Idin Tok Pandak Jamaludin.

Ujarnya, sebagai individu yang bertanggungjawab membuka Bukit Gantang, tokoh itu membangunkan mukim berkenaan yang pernah menjadi pusat bandar Taiping berteraskan perniagaan bijih timah.


MEMBINA dan membaiki rumah penduduk juga merupakan sebahagian aktiviti sukarelawan As-Siddiq sejak penubuhannya 10 tahun lalu


"Agenda ekonomi dan sosial Alang Idin kemudian diteruskan menantu lelakinya, Long Jaafar dan cucunya, Ngah Ibrahim.

"Sumbangan pembesar yang meninggal dunia pada 20 April 1818 ketika berusia 117 tahun itu amat besar dan kesannya dapat dirasai masyarakat sehingga hari ini," katanya.

Selain itu, Habidi yang juga Pengarah Urusan Ujimaju Fly Travel & Tours berkata, bantuan berupa satu kampit beras kepada penduduk Melayu, Cina dan India yang giat dilaksanakan sejak empat tahun lalu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Melalui acara-acara penyerahan beras ini, saya dapat memperkenalkan para sukarelawan kita kepada masyarakat dan sebagai individu korporat, inilah cara terbaik saya membantu semula masyarakat yang memerlukan," katanya.

Sumbangan beras

Pada satu majlis di Kuala Sepetang, Taiping baru-baru ini, rata-rata penerima sumbangan tidak dapat menyembunyikan rasa terharu, malah sebahagian besar tanpa rasa segan mengalirkan air mata ketika menerima bantuan berkenaan.

Warga emas, Leong Mun Fatt, 62, berkata, beliau tidak pernah menyangka kesusahan hidup dialaminya akan mendapat perhatian pihak luar lebih-lebih lagi pertubuhan seperti As-Siddiq.

"Keprihatinan mereka menjengah dan membantu saya serta penduduk miskin lain di sini telah mengubah tanggapan kami bahawa As-Siddiq bukan sahaja membela nasib orang Melayu, tetapi juga kaum lain," katanya.

Bagi seorang warga emas, T. Ramanathan, 65, majlis sumbangan tersebut jelas memperlihatkan keterbukaan As-Siddiq dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

"Banyak atau sedikit pemberian As-Siddiq, kami sememangnya amat berterima kasih bahkan berharap ia diteruskan selepas ini," katanya.

Kampus USM bebas rokok

Posted:

Kampus USM bebas rokok

Kampus USM bebas rokok

Oleh ZAKI SALLEH


YAHYA (tujuh dari kiri) bergambar bersama para peserta Bengkel Perancangan Strategik Projek USM Bebas Tembakau di USM, baru-baru ini.


SITUASI terpaksa menyedut asap rokok daripada perokok pasti memeritkan bagi mereka yang tidak merokok.

Ini kerana kepekatan bahan kimia beracun yang terkandung dalam asap rokok adalah lebih bahaya jika dibandingkan dengan kepekatan asap disedut oleh perokok aktif.

Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif dengan mengisytiharkan kawasan kampusnya bebas rokok pada 1 Januari lepas. Pendekatan itu sejajar dengan status USM sebagai universiti Apex.

Seiring itu, USM bukan sahaja bebas daripada pencemaran asap malah pengiklanan, promosi, penjualan dan sebarang penajaan membabitkan syarikat rokok.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Omar Osman berkata, pendekatan itu dapat memastikan warga USM menjauhi rokok sekali gus dapat mengelakkan implikasi buruk tembakau.

"USM akan memberikan komitmen dan sokongan kepada semua pihak untuk menjayakan matlamat ini termasuk menggunakan segala kepakaran yang ada," ujarnya pada sidang akhbar selepas menandatangan memorandum perjanjian (MoA) di USM, baru-baru ini.

MOA berkenaan dimeterai USM bersama Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai rakan kolaborasi strategik bagi melaksanakan program tersebut.

MySihat diwakili oleh Pengerusinya, Toh Puan Dr. Aishah Ong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Yahya Baba.

Menurut Omar, kempen bebas merokok itu dimulakan dengan sokongan geran MySihat berjumlah RM500,000 untuk tempoh tiga tahun sehingga 2015.

Program bina upaya

Katanya, geran itu bagi membiayai program bina upaya dan promosi kesihatan khususnya kawalan tembakau untuk pelajar USM, penyediaan bahan promosi dan advokasi serta Majlis Pelancaran USM Bebas Tembakau.

"Lebih 80 peratus daripada keseluruhan pembiayaan adalah untuk program bina upaya melibatkan 1,500 pelajar USM yang terpilih sebagai sukarelawan bagi program antimerokok dan bebas tembakau.

"Mereka akan melalui kursus intensif promosi kesihatan, bengkel inisiatif bebas tembakau seterusnya melaksanakan projek komuniti di luar kampus berhubung bahaya asap rokok," ujarnya.


SERAMAI 1,500 pelajar USM terbabit sebagai sukarelawan program antimerokok dan bebas tembakau.


Tambah beliau, kakitangan dan para pelajar USM yang didapati menghisap rokok secara terbuka akan diminta mengikuti sesi bengkel tersebut yang lebih bersifat mendidik dan bukan menghukum.

USM sebelum ini telah menggerakkan kempen antimerokok menerusi Pusat Sejahtera dan Persatuan Green Lung.

Pusat Sejahtera USM telah mewujudkan Klinik Berhenti Merokok sejak 2002 dan menyediakan kemudahan seperti khidmat kaunseling serta terapi gentian nikotin.

Persatuan Green Lung pula merupakan usaha para pelajar Pusat Pengajian Sains Farmasi yang bergiat aktif membantu USM menerusi kempen serta tinjauan kawasan dalam kampus supaya tiada kesan-kesan merokok.

Persatuan tersebut turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain untuk memastikan usaha yang dilakukan mencapai matlamat iaitu menjadikan kawasan IPT masing-masing bebas tembakau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Projek USM Bebas Tembakau, Profesor Rahmat Awang berkata, data rasmi dunia menunjukkan seorang perokok meninggal dunia bagi setiap lima saat manakala di Malaysia satu kematian setiap jam.

Tegasnya, setiap batang rokok mengandungi 7,000 bahan kimia dan 5,000 daripadanya adalah bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser.

"Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan, bagi dua perokok yang menghisap rokok selama 40 tahun, seorang daripadanya akan mati. Jika empat perokok menghisap rokok selama 20 tahun pula, seorang daripada mereka akan mati.

"Lebih membimbangkan, statistik itu menunjukkan peningkatan saban tahun apabila sebahagian besar perokok mula merokok ketika berusia sembilan tahun," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved