Selasa, 16 April 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Piala Sudirman jadi sasaran

Posted:

Piala Sudirman jadi sasaran

Piala Sudirman jadi sasaran

Oleh MOHD. IKHSAN
FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

BARISAN pemain negara yang muncul juara Piala Axiata 2013 akan terus diberi kepercayaan menggalas tugas pada Piala Sudirman pada Mei nanti.


SELEPAS kejayaan menjulang gelaran juara pada Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 kelmarin, skuad negara kini mengalih fokus untuk melakar kejayaan serupa pada Piala Sudirman yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 19 hingga 26 Mei nanti.

Misi untuk menjulang Piala Sudirman tidak mustahil dapat direalisasikan andai skuad negara meneruskan rentak cemerlang, seperti yang dipamerkan pada final Piala Axiata kelmarin, yang menyaksikan mereka menewaskan Thailand 3-1.

Keyakinan itu turut dirasai pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang percaya, skuad negara akan tampil dengan lebih cemerlang pada Piala Sudirman nanti.

Keyakinan yang diluahkan Chong Wei itu ekoran kejayaan skuad negara menjuarai acara berpasukan campuran pada Piala Axiata yang beraksi di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.

Jelasnya, kejayaan yang diraih skuad negara ketika membenam Thailand 3-1 di pentas final Piala Axiata itu membuktikan Malaysia mampu tampil dengan aksi lebih bertenaga sekiranya beraksi di laman sendiri.

"Sudah pasti keyakinan kami bertambah, tetapi kami harus meneruskan konsistensi ini dalam beberapa lagi kejohanan kerana Piala Sudirman akan bermula dua minggu selepas Grand Prix Emas Terbuka Malaysia (30 April hingga 4 Mei).

"Kami akan membuat persiapan yang terbaik kerana Malaysia menjadi tuan rumah Piala Sudirman tahun ini, dan sudah tentu kami akan bekerja keras untuk melangkah ke separuh akhir.

"Saya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) serta pemain-pemain perseorangan wanita dan beregu wanita akan berusaha, dan akan memberikan yang terbaik pada Piala Sudirman nanti," kata Chong Wei.

Sebelum bermulanya kempen Piala Sudirman, pemain-pemain negara akan beraksi pada Kejohanan Badminton Asia di Taiwan (16-21 April), Siri Super Terbuka India (23-28 April) dan Terbuka Malaysia.

Oleh itu, Chong Wei menasihatkan setiap pemain negara agar lebih berwaspada dalam setiap kejohanan yang disertai serta mengukuhkan lagi semangat berpasukan seperti mana yang dipamerkan pada kempen Piala Axiata.

"Saya berharap setiap pemain akan lebih berhati-hati selepas ini agar tidak mengalami sebarang kecederaan, kerana kami akan menyertai beberapa kejohanan lagi seperti Terbuka India dan Terbuka Malaysia.

"Sebenarnya dalam tempoh yang singkat memang sukar untuk kami meningkatkan lagi tahap kecergasan atau kemahiran, tetapi kami akan cuba dan pada masa yang sama menguatkan lagi semangat berpasukan dan memberikan sokongan antara satu sama lain," jelas Chong Wei.

Menjelang aksi Piala Sudirman bulan depan, Malaysia dijangka mendapat laluan yang mudah ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan C menentang Jerman dan Taiwan.

Juara lapan kali, China diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia dan India, manakala Kumpulan B akan menyaksikan Korea Selatan pernah meraih tiga gelaran Piala Sudirman menentang Thailand dan Hong Kong.

Pasukan gergasi Eropah, Denmark diundi bersama Jepun dan Singapura dalam Kumpulan D.

Pencapaian terbaik skuad negara pada kejohanan berpasukan campuran itu ialah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

Siapa atlet terbaik negara?

Posted:

Siapa atlet terbaik negara?

Siapa atlet terbaik negara?

ATLET terbaik negara untuk tahun 2012 bakal terjawab pada satu majlis yang akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Subang malam ini.

Persaingan kali ini dilihat sengit kerana sebahagian besar atlet negara yang dicalonkan telah menunjukkan pencapaian yang cukup cemerlang pada penampilan mereka pada peringkat antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Tujuh atlet bakal bersaing untuk anugerah Olahragawan Negara 2012 dan tujuh lagi akan bersaing bagi anugerah Olahragawati Negara 2012.

Nama-nama besar yang disenarai pendek termasuk jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Muhd. Syafiq Ridhwan (tenpin boling), Sazali Samad (bina badan), Pandelela Rinong (terjun wanita), Datuk Nicol David (skuasy) serta jaguh lumba basikal wanita negara, Fatehah Mustapha.

Atas kertas, Chong Wei dan Pandelela dilihat pilihan untuk membolot anugerah tersebut tetapi mereka perlu bersaing dengan calon-calon lain sebelum boleh bergelar atlet terbaik negara untuk tahun 2012.

Berikut senarai calon yang disenarai pendek untuk anugerah tersebut.

CALON-CALON ANUGERAH OLAHRAGAWAN

DATUK LEE CHONG WEI (Badminton)

Menggenggam kemas gelaran pemain badminton No. 1 dunia selama 40 bulan sejak September 2008, sudah cukup untuk menceritakan keunggulannya di persada antarabangsa.

Kehebatan itu diteruskan apabila dia menjuarai empat siri super termasuk muncul naib juara Kejohanan Badminton Seluruh England.

Pada temasya Sukan Olimpik London, Chong Wei menampilkan aksi cukup memikat, namun nasib tidak memihak kepadanya apabila Tembok Besar China yang dipagari Lin Dan masih utuh untuk dirobohkan buat Chong Wei berpuas hati dengan kalungan pingat perak.

BRYAN NICKSON LOMAS (Terjun)

Kehandalan Bryan ternyata lebih menyerlah menerusi acara terjun.

Daripada deretan peserta 42 negara bertanding, Bryan Nickson muncul penerjun kelapan terbaik pada Kejohanan Terjun Dunia di London menerusi acara 10 meter platform.

Pada Sukan Olimpik London, atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu turut menampilkan gaya terjunan menarik menerusi acara 3 meter papan anjal untuk berada di tangga ke-19 daripada 32 peserta bertanding.

MUHD. SYAFIQ RIDHWAN

(Tenpin Boling)

Arena boling di Wrocland, Poland yang menjadi gelanggang pertarungan Piala Dunia Qubica-AMF, menjadi saksi kehebatan atlet muda negara ini.

Dengan semangat Malaysia Boleh, Syafiq mengejutkan pencabar dari 84 negara bertanding apabila meraih pingat emas acara masters.

Dia turut meraih pingat emas dalam acara Masters pada Kejohanan Antarabangsa Taiwan.

RICKY LEONG TZE WAI (Karate)

Satu-satunya peserta yang berjaya menewaskan peserta pilihan dari Jepun dua kali berturut-turut pada Kejohanan Senior Persekutuan Karate Asia.

Tidak hairan kelibat Leong Tze Wai digeruni lawan setiap kali membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

Bermula dengan dua emas acara Kata perseorangan dan berpasukan pada Kejuaraan Asia di Tashkent, Uzbezkistan, Julai 2012.

Kemuncak kehebatan Tze Wai adalah kejayaan membawa pulang dua lagi pingat emas sebulan kemudian, juga menerusi acara Kata perseorangan dan berpasukan pada Kejohanan Dunia di Busan, Korea.

SAZALI ABD. SAMAD (Bina Badan)

Anugerah Sukan Negara bagaikan hilang serinya tanpa nama 'badang' negara ini.

Biarpun sudah dipanjat usia, kegigihan dan kesungguhan Sazali tidak perlu disangkal lagi setiap kali tampil membawa cabaran Malaysia.

Pada usia 44 tahun, tubuh sasanya masih belum mampu dicabar apabila meraih pingat emas pada Kejuaraan Dunia di Bangkok, Thailand menerusi kategori 70 kilogram.

KHAIRUL ANUAR MUHAMMAD (Memanah)

Warga Kemaman, Terengganu pastinya bangga dengan atlet muda negara ini.

Ketepatan panahannya menuju sasaran meletakkan Khairul antara pemanah terbaik Asia.

Pingat gangsa pada Grand Prix Asia di Bangkok menerusi acara recurve Februari tahun lalu membuka langkah gemilangnya pada tahun tersebut.

Pada Sukan Olimpik di London, panahan tepat Khairul menyaksikan kemaraannya ke suku akhir bagi mengulangi pencapaian sama pada Kejuaraan Dunia di Shanghai, China, November 2012.

YU PENG KEAN (Lawan Pedang)

Muncul atlet lawan pedang pertama negara layak ke Sukan Olimpik selepas 48 tahun, dia menuruti jejak legenda, Ronnie Theseira pada temasya di Tokyo 1964.

Biarpun sekadar berjaya mara ke pusingan kedua pada Sukan Olimpik 2012 di London, namun kekalahan Peng Kean cukup bermaruah.

Dia tewas kepada peserta Hungary, Aron Szilagyi yang akhirnya muncul pemenang emas individu acara Sabre.

CALON-CALON ANUGERAH OLAHRAGAWATI

DATUK NICOL ANN DAVID (skuasy)

Masih mengekalkan kedudukan sebagai pemain No. 1 dunia sejak Ogos 2006.

Dia juga telah memenangi tujuh daripada sembilan kejohanan yang disertai sepanjang tahun 2012.

Antara kejayaan paling bermakna ialah ketika menjuarai Kejohanan Dunia di Kepulauan Cayman pada Disember 2012.

NUR SURYANI MUHAMED TAIBI (Menembak)

Belum pun melepaskan bidikan di Lapang Sasar Sukan Olimpik London 2012, Nur Suryani awal-awal lagi mencuri tumpuan dunia.

Akhbar-akhbar terkemuka antaranya New York Times, New York Daily News dan Columbus Despatch, ternyata kagum dengan kehadiran Nur Suryani yang hamil lapan bulan ketika itu.

Meskipun gagal melangkah jauh, pakar acara 10 meter Air Rifle ini membuktikan semangat Malaysia Boleh dan jati diri yang dimiliki atlet negara.

PANDALELA RINONG (Terjun)

Selepas badminton, satu-satunya acara yang menghasilkan pingat dalam sejarah pembabitan negara pada Sukan Olimpik.

Atlet keturunan Bidayuh ini memahat catatan gemilang sukan terjun apabila meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012.

Lebih gah, Pandelela muncul atlet wanita pertama negara memenangi pingat Sukan Olimpik yang dihasilkan menerusi acara 10 meter platform.

CHEAH MEI LAN (Tenpin Boling)

Kerinduan peminat sukan negara khasnya tenpin boling terubat dengan kemunculan jaguh baharu, Cheah Mei Lan atau lebih dikenali sebagai Esther Cheah.

Hayunan penuh bertenaga Esther ketika membutirkan dua pingat emas, masing-masing menerusi acara Masters pada Terbuka Hong Kong dan Daejorn pada Jun dan Julai 2012.

Dia terus menyinar apabila meraih pingat gangsa acara perseorangan pada Kejuaraan Dunia di Cyprus, September 2012.

CHAI FONG YING (Wusyu)

Bakatnya dalam seni mempertahankan diri mula dikesan ketika usianya baru mencecah empat tahun.

Demi keinginan yang tinggi untuk membawa cabaran negara, Fong Ying sanggup berkorban menangguhkan pengajiannya di Universiti Putra Malaysia.

Ternyata hasrat murni Fong Ying tidak sia-sia.

Menerusi kombinasi acara Tajiquan, Fong Ying meraih pingat perak pada Kejohanan Asia di Ho Chi Minh, Vietnam, Ogos 2012.

QUZANDRIA NUR MUHAMAD FATHIL (Ekuestrian)

Di sebalik keayuan wajahnya, tiada yang menyangka gadis ini berkemahiran tinggi dalam sukan ekuestrian.

Pada Februari 2012, ketika beraksi pada Kejohanan Wroclaw, Partynice Grand Prix Special di Jerman, Quzandria mendudukki tempat ketiga acara dressage.

Menerima tunjuk ajar daripada abangnya Qabil Ambak, Quzandria, pada bulan sama, sekali lagi menampilkan tunggangan mantap untuk mendudukki tempat ketiga acara dressage pada Kejohanan Wanita Shakir Grand Prix di Bahrain.

FATEHAH MUSTAPHA (Basikal)

Memperkatakan kecemerlangan atlet berbasikal kebangsaan, tidak dapat disangkal lagi keberkesanan projek pembangunan Terengganu.

Selepas negara megah dengan kehebatan anak Terengganu, Mohd. Azizulhasni Awang dan Anuar Manan, muncul pula pelumba wanita, Fatehah Mustapha.

Berbekalkan semangat beraksi di laman sendiri pada Kejohanan Berbasikal Asia yang berlangsung Februari tahun lalu di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, Fatehah meraih pingat emas acara keirin dan melengkapkan kejayaannya memenangi pingat perak acara pecut 200 meter.

Dia turut beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Wan Zack terpaksa berehat selama dua minggu

Posted:

Wan Zack terpaksa berehat selama dua minggu

Wan Zack terpaksa berehat selama dua minggu


WAN Zack dipapah keluar padang oleh pegawai pasukan selepas mengalami kecederaan pada sesi latihan semalam.


OKINAWA, Jepun - Kem latihan FC Ryukyu menerima tamparan hebat apabila kelab Divisyen Ketiga Liga Jepun (Liga J) itu bakal terlepas khidmat pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor menjelang aksi menentang Yokohama Sports and Culture Club (YSCC), Sabtu ini.

Pemain kelahiran Pahang itu mengalami kecederaan ketika menjalani latihan semalam.

Jurulatih FC Ryukyu, Norihiro Satsukawa muncul individu paling kecewa dengan perkhabaran buruk itu.

Satsukawa menjelaskan, beliau bakal terlepas khidmat Wan Zack yang mempamerkan prestasi cemerlang ketika menewaskan Sagawa Printing 2-1 pada penampilan pertamanya di Stadium Okinawa City Atheltics, Sabtu lalu.

Beliau secara terbuka mendedahkan, kehilangan Wan Zack mungkin menjejaskan perancangannya pada aksi menentang YSCC di Stadium NHK Springs Mitsuzawa Football itu nanti.

Jelasnya, Wan Zack yang baru pulih daripada kecederaan kaki kirinya, bakal direhatkan sekurang-kurang dua minggu.

Katanya, beliau kini terpaksa merangka strategi baharu dalam usaha untuk terus memburu tiga mata berharga di gelanggang lawan, sebagai usaha untuk terus berada dalam kelompok lima teratas liga.

Untuk rekod, FC Ryukyu kini menduduki tangga kelima daripada 18 pasukan yang bersaing selepas mengutip 11 mata sepanjang enam perlawanan.

"Ia merupakan satu tamparan hebat buat kami kerana dia merupakan seorang pemain yang cukup berpotensi.

"Kehilangan Wan Zack bakal dirasai memandangkan dia telah mempamerkan prestasi cukup cemerlang selain menjadi senjata sulit buat FC Ryukyu.

"Apa yang pasti, dia tidak akan beraksi ketika menentang YSCC pada hujung minggu ini dan saya terpaksa mencari alternatif baharu bagi mengekalkan rentak cemerlang pasukan.

"Harapan untuk mengutip tiga mata ketika bertandang di gelanggang lawan bukan satu tugas yang mudah dan kami harus lakukan yang terbaik tanpa khidmat Wan Zack," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kendaliannya itu semalam.

Dalam perkembangan lain, Satsukawa memberitahu, kehadiran Wan Zack dan Nazirul Naim Che Hashim memberikan lebih banyak pilihan dalam usaha memperkuatkan skuad FC Ryukyu musim ini.

Begitupun, beliau turut mendedahkan kelemahan yang ada pada dua pemain negara itu, namun Satsukawa yakin ia dapat diatasi seandainya mereka bekerja keras dalam setiap sesi latihan.

"Sejujurnya, mereka merupakan pemain muda yang memiliki potensi," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved