Isnin, 8 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Peluang wanita asah bakat berniaga

Posted:

Peluang wanita asah bakat berniaga

Peluang wanita asah bakat berniaga

SUASANA di rumah banglo di Seksyen 16, Petaling Jaya itu pada pertengahan Mac lalu berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari biasa. Suara riuh-rendah yang diselangi dengan hilai tawa golongan wanita menggambarkan mereka bagaikan mengenali antara satu sama lain.

Sambil rancak berbual, mereka sibuk menjalankan perniagaan menjual kain, kraf tangan, pakaian, aksesori dan wangian untuk lelaki mahupun wanita di dalam rumah banglo yang tersergam indah.

Di bahagian patio rumah pula, pengunjung yang hadir asyik menjamu selera hidangan ala Barat seperti lasagna, ayam goreng dan pencuci mulut yang dijual.

Senario itu merupakan situasi normal bagi penjual atau pengunjung di bazar yang dikenali sebagai Souq di Villa 16. Bazar itu menempatkan seramai 17 peniaga yang keseluruhannya terdiri daripada kaum Hawa.

Walaupun keseluruhan peniaga terdiri daripada golongan wanita, namun masih ada kelibat lelaki yang memeriahkan bazar itu.

"Saya meminati barangan kraf tangan yang dijual di sini. Corak dan ukirannya tampak jujur manakala harga yang dijual juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan harga pasaran," ujar seorang pengunjung, Khalid Ibrahim, yang memeriahkan bazar itu bersama keluarganya.

Souq di Villa 16 diilhamkan oleh tiga wanita iaitu Marina Mustafa, 48, Annette Isaac, 38, dan Azlinda Arshad, 42, tahun lalu. Sehingga kini, bazar itu telah tiga kali dianjurkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Kebanyakan peniaga yang berniaga di bazar itu terdiri daripada golongan ibu yang menjalankan perniagaan produk jualan mereka dalam talian. Penyertaan mereka menerusi bazar itu merupakan satu bonus untuk mempromosikan barangan kepada orang ramai.


KANAK-KANAK juga boleh belajar teknik jahitan yang bersesuaian dengan mereka di gerai Sekolah Jahit Nawal.


Meriahkan rumah

Pemilik banglo dan juga pengasas Souq di Villa 16, Marina, 48, memberitahu, banglo tersebut merupakan rumah arwah ibu mertuanya yang kembali ke rahmatullah kira-kira lima tahun lalu.

"Beberapa hari selepas itu, bapa mertua saya pula meninggal dunia. Selepas ketiadaan mereka, banglo itu sunyi kerana kami jarang-jarang ke sana.

"Suami memberi cadangan agar mengadakan satu aktiviti bagi memeriahkan kembali rumah itu pada tahun lalu. Sejak itu, timbul idea untuk mengadakan bazar di rumah itu," ujarnya.

Souq merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud bazar. Bazar yang bermula dari pukul 11 pagi hingga pukul 5 petang itu ternyata menarik pelbagai golongan untuk membeli-belah atau sekadar bertemu rakan-rakan lama.

Zubaidah Abd. Kadir, 38, merupakan peniaga awal yang menggunakan label saphyrafashion and accessories telah menyertai bazar itu sejak kali pertama ia dianjurkan.

Perkenalan dengan Marina telah membuka ruang kepadanya membuka gerai di Souq di Villa 16. Marina merupakan pelanggan tetapnya yang menjual pakaian daripada fabrik yang diimport dari India.

Dia amat meminati barangan dari India seperti pakaian masyarakat Punjabi, sari, gelang dan pelbagai jenis hijab. Disebabkan minatnya itu, dia mengambil keputusan untuk menjual barangan import kepada rakan-rakan sejak lima tahun lalu.

Laman sosial

"Ketika Souq dianjurkan buat julung-julung kali, saya bersama lima rakan lain yang juga peniaga barangan kelengkapan wanita telah bersetuju untuk menyertai bazar ini. Dengan menggunakan laman sosial Facebook, kami telah menghebahkan mengenai bazar itu kepada rakan-rakan terdekat.

"Bagi saya, penyertaan dalam bazar ini merupakan salah satu cara untuk berkongsi minat kepada rakan-rakan mahupun pembeli. Kesibukan dengan dunia kerjaya sehari-hari terubat apabila saya dapat menjual dan berkongsi barangan saya kepada pembeli," ujar perunding kewangan di salah sebuah bank di ibu negara itu.

Selain aktiviti jual beli, Souq di Villa 16 turut mengadakan kutipan derma untuk para pesakit kanser. Bagi bazar edisi ketiga baru-baru ini, pihaknya telah memilih untuk membantu mengumpul dana bagi organisasi Friends Of Y yang membantu seorang pesakit kanser yang tinggal di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Patricia Rocky merupakan salah seorang peniaga yang terlibat dalam bazar tersebut. Dia yang berumur 55 tahun menderita kanser payu dara sejak tahun tiga tahun lalu tidak mengharapkan belas kasihan orang ramai tetapi berusaha untuk mengumpul dana sebanyak RM7,000 untuk rawatan radiasi dan suntikan kalsium.

Sebelum ini, dia merupakan seorang staf yang bertanggungjawab dalam sistem pentadbiran sebuah syarikat swasta. Namun, selepas disahkan menghidap kanser payu dara, dia terpaksa meninggalkan kerjayanya itu kerana kerap bercuti bagi mendapatkan rawatan di hospital.

Kini, Patricia hanya bergantung kepada hasil jualan jeruk selain bantuan kewangan daripada dua orang anaknya. Patricia menjual jeruk ikan dan sayur-sayuran seperti limau dan terung telah menyertai bazar itu kali kedua berturut-turut.


SUASANA banglo ini meriah sepanjang seharian bazar Souq di Villa 16, Petaling Jaya berlangsung.


"Sejak disahkan menghidap kanser, saya telah membelanjakan hampir RM30,000 untuk kos rawatan. Saya dan anak-anak berusaha mengumpul RM7,000 untuk rawatan susulan tujuh bulan akan datang.

"Saya tidak mempunyai pekerjaan. Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menerima saya untuk menyertai bazar ini buat kali kedua," ujar Patricia yang menggunakan nama sendiri sebagai label jeruknya.

Antara 17 peniaga yang berniaga di bazar itu, kelihatan seorang remaja memperagakan hasil kreatifnya melalui aksesori wanita seperti gelang, rantai dan subang.

Masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gerai milik Sarah Amelia Mohd. Nor dengan labelnya twenty six by Sarah menjadi tumpuan pengunjung. Dengan batu-batuan yang berwarna-warni, harga yang ditawarkan oleh Sarah melalui produk hasil kreatifnya itu dijual pada harga RM25 hingga RM145.

"Saya belajar membuat gelang, rantai dan subang ini sejak kecil kerana sering ikut ibu, Azlinda Arshad ke bazar-bazar. Sejak itu, timbul minat untuk membuatnya sendiri," ujarnya.

Sarah, salah seorang peserta terawal Souq di Villa 16 sejak kali pertama ia dianjurkan. Beliau juga berkolaborasi dengan label ibunya iaitu Mahani Moleque yang juga menjual aksesori wanita.

Sokongan suami

Sementara itu, seorang suri rumah, Alinna Fitri, 40, turut menyertai bazar itu sebagai salah satu cara untuk mendapatkan pendapatan tambahan untuk keluarganya.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu mahir dalam jahitan manik dan sulaman. Dia juga mendapat sokongan daripada suami untuk melakukan perkara yang diminatinya.

"Penyertaan pertama kali saya dalam Souq di Villa 16 ini juga dapat menarik pelanggan baharu untuk mengenali pakaian daripada label Allinaz Collection. Jahitan manik yang teliti juga menjadi keutamaan saya kepada pelanggan.

"Pada pendapat saya, bazar ini merupakan salah satu cara yang baik untuk melatih golongan wanita bergelar usahawan dalam perkara yang mereka mahir. Bagi suri rumah sepenuh masa seperti saya, bazar ini juga dapat membantu menambah pendapatan keluarga," ujarnya yang ditemani anaknya, Myra Zulkifli, 17, ketika di bazar itu.

Souq di Villa 16 penawar Marina

Posted:

Souq di Villa 16 penawar Marina

Souq di Villa 16 penawar Marina


MARINA beranggapan Souq di Villa 16, Petaling Jaya merupakan medan bagi kaum hawa berbangga dengan produk keluaran mereka.


SEPANJANG bazar Souq di Villa dibuka pada 16 Mac lalu, Marina Mustafa kelihatan sibuk di bahagian patio rumah milik arwah ibu mertuanya itu. Beliau bertungkus-lumus memasak hidangan ala Barat untuk santapan para pengunjung dan peniaga di rumah itu.

Pengunjung-pengunjung yang hadir ke bazar tidak putus-putus berbual dan bertanya khabar. Ketika itu, senyum di bibirnya sentiasa terukir walaupun sibuk.

Beliau turut dibantu oleh sahabatnya, Annette Isaac, 38, dan empat orang anaknya di ruang patio itu.

"Daripada raut wajah dan senyuman ibu, saya lihat dia begitu gembira sepanjang hari ini," ujar anak sulung Marina, Aziff Azuddin, 23, ketika ditemui Kosmo! di bazar itu pada 16 Mac lalu.

Menurut Aziff, walaupun ibunya menghidap kanser tiroid, itu tidak menjadi halangan utama dalam penganjuran bazar yang rata-ratanya dihadiri oleh kaum wanita.

"Ini cara ibu saya menunjukkan kecintaannya terhadap keluarga dan rakan-rakan. Saya sentiasa menyokong ibu," tambah penuntut semester akhir dalam jurusan Kewartawanan, Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Hidap kanser

Mengimbau kenangan pada tahun 1997, cerita Marina, ketika itu beliau disahkan menghidap kanser tiroid. Pada awalnya anak jati Muar, Johor itu sangat tertekan sehingga setiap kali menunaikan solat, dia pasti akan membaca surah Yasin.

Dalam pada itu, beliau berjanji dengan Allah SWT sekiranya diberi sedikit masa untuk hidup, dia pasti akan menjadi hamba dan manusia yang lebih baik di samping dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Dugaan yang dihadapinya semakin bertambah apabila disahkan pula menghidap kanser paru-paru. Ekoran daripada penyakit yang dihidapinya itu, beliau terpaksa menutup perniagaan restoran Kafe Dania di Petaling Jaya setelah 14 tahun mengusahakannya.

"Alhamdulilah, walaupun sudah 16 tahun bergelumang dengan dua penyakit kanser, saya rasa diri semakin sihat," ujarnya yang mengamalkan minum air serai dan kunyit yang mampu membunuh sel kanser.

Marina yang terkenal dengan program masakan di saluran Astro Awani, Dari Dapur Marina tiga tahun lalu, kini masih dalam rawatan radiasi untuk mengubati penyakitnya itu.

Tutur Marina, idea suaminya, Azuddin Abdul Rahman, 55, untuk menganjurkan Souq di Villa 16 turut disokong oleh anak-anak kerana mampu memeriahkan kembali rumah allahyarham ibu mertuanya.

"Souq di Villa 16 ini merupakan cara saya untuk berkongsi minat bersama rakan-rakan. Pada awalnya, saya hanya menjemput lima peniaga yang terdiri daripada rakan-rakan terdekat. Dengan bantuan mereka menerusi laman Facebook, ramai orang luar tertarik untuk turut sama berniaga di sini untuk edisi ketiga.


TIGA buku masakan hasil nukilan Marina yang telah menjengah pasaran sejak tiga tahun lalu.


"Selain perniagaan, saya juga mahu merapatkan silaturrahim antara pengunjung dan peniaga dalam suasana santai seperti di rumahnya sendiri," ujarnya yang mengenakan bayaran sebanyak RM80 kepada setiap peniaga yang membuka gerai di bazar itu.

Minatnya terhadap bidang masakan tidak mungkin terhenti walaupun tidak lagi mengendalikan restoran. Cara beliau berkongsi resipi bersama orang ramai ialah dengan menulis buku masakan.

Antara buku yang telah menjengah pasaran bermula dengan terbitan buku Memorable Recipes for Malay Occasion empat tahun lalu. Kemudian disusuli dengan Hidangan Sunnah dan Nostalgia bersama Marina Mustafa.

"Dalam tempoh rawatan kanser, keluarga saya memberi dorongan untuk melakukan perkara yang saya suka. Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk menulis buku masakan.

"Pada saya buku Memorable Recipes for Malay Occasion merupakan buku yang penuh bermakna untuk saya. Ia merupakan himpunan resipi untuk majlis-majlis masyarakat Melayu seperti akikah, cukur jambul, pertunangan, perkahwinan dan majlis tahlil," ujarnya yang masih mempunyai 20 tumor kecil di dalam paru-parunya.

Banglo yang terletak di Seksyen 16, Petaling Jaya itu turut dijadikan sebagai tempat untuk dia mengajar wanita memasak melalui program Villa Home Cooking. - MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved