Jumaat, 26 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tiga generasi sertai jentera kempen

Posted:

Tiga generasi sertai jentera kempen

Tiga generasi sertai jentera kempen

SEJAK pembubaran parlimen pada 3 April lalu, Mohd. Shameer Mohd. Shaari, 21, kerap tidur lewat. Jika pada hari Isnin hingga Jumaat, dia pasti tidur sekitar pukul 3 pagi, manakala hujung minggu pula boleh menghampiri azan Subuh.

Selain Mohd. Shameer, anak-anak muda yang juga ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) lain di Keramat Wangsa, Kuala Lumpur turut mengerah kudrat memasang bendera di kawasan kejiranan tersebut.

Menggunakan peralatan yang sangat ringkas iaitu tali, playar dan tangga, mereka sanggup memanjat tiang dan bangunan semata-mata mahu bendera parti berada di tempat yang strategik.

Kongsi Mohd. Shameer, dia mula mengikuti aktiviti berkempen sejak berumur 11 tahun lagi dan kini, pada Pilihan Raya ke-13 (PRU-13), dia lebih teruja apabila akan mengundi buat kali pertama.

"Paling tinggi saya pernah pasang semasa berumur 16 tahun pada tahun 2008 di Flat Kelompok Pinang. Bendera tersebut dari atas bangunan sehingga ke bawah. Sejak itu, saya rasa begitu teruja dalam kempen sebegini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Setakat ini, dia belum lagi mengalami sebarang kemalangan, tetapi jika tercedera sekali pun, Mohd. Shameer tegas berkata, dia tetap akan meneruskan kerja-kerja sukarela itu.

Tampak tidak seiring dengan usia muda dengan apa yang dia sedang lakukan, lelaki yang bekerja sebagai pembantu pengurus gedung di Jalan Bukit Bintang mengakui dapat merasai pelbagai pengalaman.

Antaranya, dapat bergaul dengan orang lebih dewasa dan mengikut aktiviti yang melibatkan Perdana Menteri. Dia berkesempatan berjumpa dengan pemimpin negara itu ketika di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Daripada gaya perbualan dan pergaulannya dengan mereka yang lebih tua di bilik gerakan di situ, boleh dikatakan Mohd. Shameer agak matang dan mampu bergaul serta pandai menghormati individu yang lebih tua.

Parlimen Setiawangsa sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Zulhasnan Rafique, manakala Datuk Ahmad Fauzi Zahari menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk PRU-13.

Kumpulan itu terdiri daripada pelbagai lapisan usia daripada kalangan remaja sehinggalah yang berusia 70 tahun.

Kesemuanya mempunyai peranan masing-masing sama ada memasang bendera, menjaga bilik gerakan atau pun menyediakan makanan dan minuman.


KAUM wanita di bilik gerakan Keramat Wangsa menjahit bendera Barisan Nasional untuk membentuk kain rentang.


Bangga lihat bendera berkibar

Ayahnya, Mohd. Shaari Sidek, 55, yang merupakan Ketua Cawangan UMNO Keramat Wangsa juga mula terlibat dengan kempen mengundi sejak zaman remaja lagi.

Dahulu, Mohd. Shaari sendiri mengikut bapanya, Sidek Abd. Latiff ketika menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur sejak berusia 18 tahun. Sekarang, giliran Mohd. Shaari pula mengajak Mohd. Shameer selain isterinya untuk berjuang dalam kempen PRU.

Setiap kali musim PRU, menurutnya, suasana berkempen terutamanya pemasangan bendera parti dan poster calon sangat meriah. Ia satu musim yang sangat ditunggu-tunggu.

"Apabila melihat bendera dinaikkan tinggi, saya rasa puas melihatnya," ungkapnya tatkala menceritakan perasaannya menyertai kempen sebegitu.

Terdapat enam saiz bendera yang berbeza bagi memastikan setiap arah dan tempat boleh diletakkan selain bendera yang kecil yang dijahit membentuk satu kain rentang besar.

Perang poster berlangsung sebaik sahaja penamaan calon, permit bertugas dan insurans pekerja dikeluarkan, kemudian poster calon boleh dinaikkan.

Pantang larang pasang bendera

Berpengalaman dalam menggerakkan jentera berkempen, Mohd, Shaari berkata, terdapat beberapa tempat yang amat strategik untuk menggantung bendera.

"Kaki lima sepanjang jalan merupakan tempat yang sangat elok kerana dapat dilihat oleh ramai, manakala kain rentang panjang digantung antara dua batang pokok juga menjadi rebutan," terangnya.

Namun, menggantung bendera tidak boleh secara semberono. Terdapat larangan yang perlu dipatuhi seperti kain rentang tidak boleh merentangi jalan raya.

Ujarnya, ia akan membahayakan pengguna, manakala premis-premis seperti rumah ibadah dan kuarters kerajaan tidak dibenarkan sama sekali.

Keterujaan bersaing merebut tempat untuk memasang poster berdasarkan strategi siapa cepat, dia dapat merupakan intipati perang poster.

Jika gagal mendapat tempat terbaik, maka perlu mengalah dengan memacak bendera berdekatan sama ada di atas atau bawah sedikit.

Persiapan bilik gerakan Keramat Wangsa sudah pun 80 peratus bersedia untuk menggempur parti lawan pada PRU kali ini, selebihnya terletak pada kekuatan ahli jentera.

Pada malam pertengahan bulan April lalu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad datang meninjau bilik gerakan Keramat Wangsa sekitar pada pukul 1 pagi.

Pada pandangan beliau, persiapan yang telah dibuat telah membolehkan pasukan di kejiranan itu bersedia pada bila-bila masa dan bakal lebih rancak dalam tempoh terdekat.

Nasihat Abd. Halim, supaya setiap ahli bersedia pada setiap peringkat dengan mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan fakta.

"Jangan jadi pemimpin bangau oh bangau, mulut ternganga masuk langau. Jadilah pemimpin landak oh landak, otak berfikir, bijak bertindak," ungkap Abd. Halim melontarkan sebaris pepatah Melayu berkisar ajaran yang baik.

Ia penting kerana setiap hujah-hujah yang dikeluarkan perlu ditangkis dengan cara yang berhemat dan berilmu, kata beliau lagi.


PERANG poster di Keramat Wangsa semakin meriah selepas pengumuman pembubaran Parlimen awal April lalu.


Lambang kekuatan parti

Selain itu, Mohd. Zaidi Bahrom, 44, penduduk tempatan di situ turut sama menyertai jentera berkempen dengan memasang bendera.

Tiada sebarang bayaran diperoleh, tambahan pula Mohd. Zaidi merupakan pekerja dalam bidang profesional di sektor swasta.

"Pada musim berkempen ini, pukul 10 malam saja, saya mesti 'gatal tangan' untuk membantu memasang bendera. Semangat masyarakat di sini yang akrab sebenarnya menjadikan kerja-kerja sukarela sebegini menyeronokkan," akuinya.

Mohd. Zaidi amat aktif berkempen ketika zaman remaja bersama-sama dengan rakan seusia, tetapi terhenti buat seketika.

Namun, selepas berpindah ke Keramat Wangsa dan rapat dengan penduduk sekitar, dia kembali menjadi sukarelawan berkempen kerana ikatan silaturrahim yang kuat antara penduduk di situ.

Kini, laman sosial seperti Facebook dan Twitter menjadi platform baharu berkempen selain memacakkan bendera di kawasan kejiranan.

Melalui analisis yang dijalankan oleh Ericsson ConsumerLab di Asia Tenggara dan Oceania kesan kempen laman sosial pada PRU kali ini dilihat lebih panas dan pantas seiring dengan penembusan telefon pintar penduduk Malaysia.

Kadar penembusan telefon pintar penduduk Malaysia dijangka naik secara mendadak daripada 47 kepada 73 peratus pada tahun ini.

Ketika ditanya mengenai relevan pemasangan bendera parti pada musim pilihan raya, pantas Mohd. Shaari mengakui, ia masih signifikan.

"Perang poster memberikan kesan psikologi mengenai kekuatan parti di sesuatu tempat, selain memeriahkan lagi suasana PRU," terangnya.

Malah, dia menyifatkan suasana perang poster pada zaman sekarang lebih meriah berbanding dulu kerana persaingan yang ada.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved