Selasa, 23 April 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penyanyi lagu pilihan raya pertama

Posted:

Penyanyi lagu pilihan raya pertama

Penyanyi lagu pilihan raya pertama

LAGU berjudul Mari Mengundi (Undilah) ciptaan penuh Allahyarham Datuk Zainal Alam Zainul Abidin barangkali asing kepada generasi muda. Namun, sekiranya lagu itu dicari di laman perkongsian video YouTube, anda pasti dapat menonton video hitam putih berdurasi 4 minit 35 saat tersebut.

Segak berbaju Melayu lengkap, Zainal Alam atau ramah dipanggil Pak Alam dengan penuh semangat melantunkan lagu yang dicipta khusus untuk Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan 1955.

Ia merupakan satu-satunya pilihan raya umum ketika negara masih menggunakan gelaran Persekutuan Tanah Melayu sebelum mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Lirik ringkas dan mesej secara langsung dalam lagu itu membuatkan ia mudah difahami masyarakat sekali gus meningkatkan kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab mengundi bagi memilih tampuk pemerintahan yang mampu membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

"Ketika itu saya belum dilahirkan. Seperti yang diceritakan emak saya, Rokiah Abu Bakar, pada tahun itu rakyat di negara ini masih belum mempunyai televisyen. Jadi video lagu kempen pilihan raya itu ditayangkan menerusi wayang pacak.

"Video Mari Mengundi dimainkan di setiap kampung di seluruh negara agar setiap individu dapat menontonnya.

"Namun, pada era tersebut radio merupakan medium paling berpengaruh dan lagu itu diputarkan dengan kerap di Radio Malaya menjelang musim pilihan raya," cerita anak bongsu Zainal Alam, Zainal Akhiruddin Zainal Alam, 54, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.


BERMULA sebagai juruhebah radio, Allahyarham Zainal Alam kemudiannya dilantik selaku Pengarah RTM Kawasan Utara.


Lambang perpaduan

"Selain lagu Mari Mengundi, bapa juga menyanyikan lagu-lagu lain yang bersifat patriotik seperti Rose Rose I Love You yang didendangkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

"Di sinilah terletaknya kehebatan bapa. Beliau boleh bertutur dalam empat bahasa dengan mahir membuatkan beliau amat disegani di Pulau Pinang. Jika anda ingin melihat rakyat sejati 1Malaysia, beliaulah orangnya.

"Cerita emak, ketika negara berdepan peristiwa berdarah 13 Mei 1969, bapa menjalankan tanggungjawabnya selaku juruhebah radio dengan penuh dedikasi. Beliau mengingatkan semua rakyat agar bertenang dan bersatu padu menggunakan empat bahasa," kongsi Zainal Akhiruddin yang bertugas sebagai perunding pengurusan.

Sebagai antara individu penting dalam mencorakkan industri penyiaran negara, Zainal Alam sering diberi kepercayaan bagi melatih juruhebah radio di Kuala Lumpur tentang teknik penyampaian ketika musim pilihan raya.

Profesionalisme anak ketiga daripada 12 adik-beradik itu dapat dilihat menerusi penyampaian neutralnya dalam mengajak rakyat keluar mengundi.

Tambah Zainal Akhiruddin, bahang pilihan raya di Pulau Pinang pada zaman kegemilangan Zainal Alam amat berbeza dengan sekarang.

Ujarnya: "Dahulu, parti politik yang berbeza masih boleh duduk semeja dan bergurau antara satu sama lain. Situasi itu antara kejayaan peribadi Zainal Alam yang tidak diketahui orang.

"Menjelang musim pilihan raya, suasana sangat meriah dan penduduk negeri itu berasa seronok untuk mengundi. Semuanya atas nilai perpaduan yang diterapkan bapa khususnya selepas peristiwa 13 Mei.

"Beliau mahukan pilihan raya di Pulau Pinang berjalan dalam suasana terhibur. Saya sendiri pun rasa pilihan raya di Pulau Pinang dahulu macam satu pesta yang meriah disambut seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik mahupun bangsa."


ZAINAL ALAM (depan tengah) bersama kumpulan Orkestra Radio Rindu Malam yang ditubuhkannya di Pulau Pinang.


Evolusi lagu

Selepas melewati 11 pilihan raya umum (selepas Malaysia terbentuk), lagu Mari Mengundi kembali digunakan sebagai lagu kempen mengundi utama untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertanggungjawab menggubah semula lagu tersebut agar sesuai dengan peredaran zaman. Walaupun lagu itu, baru digunakan dua kali secara rasmi, pengaruhnya dalam menarik minat rakyat untuk mengundi amat besar.

"Sebanyak 60 peratus melodi lagu asal dikekalkan, manakala muziknya diberikan nafas baharu agar bersesuaian dengan zaman," jelas Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang menggubah semula lagu Mari Mengundi menjadi Undilah dan dinyanyikan semula oleh Mohammed Rauzan Alwi atau popular dengan nama Roy.

Tambah Mokhzani, lagu-lagu pilihan raya pada zaman dahulu sering menjadi pilihan ramai kerana kuasanya dalam mengembalikan nostalgia sangat berkesan. Bagaimanapun kemunculan lagu-lagu kempen mengundi baharu juga perlu diberi perhatian serius masyarakat.

"Lagu pilihan raya sama konsepnya dengan lagu hari raya. Ia akan diputarkan selama hampir sebulan, cuma bezanya hari raya disambut setiap tahun, manakala pilihan raya dijalankan setiap lima tahun sekali.

"Jadi lagu-lagu pilihan raya yang baharu mungkin berdepan kesukaran menangkap memori masyarakat dalam tempoh yang singkat.

"Tambahan pula, dahulu hanya RTM yang memainkan peranan memutarkan lagu kempen mengundi tetapi kini setiap stesen televisyen sudah mula menyiarkan lagu musim pilihan raya sendiri.

"Situasi ini mewujudkan persaingan sesama lagu dan hanya lagu yang efektif akan kekal dalam ingatan pendengar," jelas Mokhzani ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Bangunan Rentak 50, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Evolusi lagu pilihan raya

Posted:

Evolusi lagu pilihan raya

Evolusi lagu pilihan raya


TOMOK menyanyikan lagu pilihan raya, Jom Mengundi yang dicipta khusus untuk golongan muda.


LAGU-LAGU pilihan raya lama kekal malar segar sehingga ke hari ini. Contoh paling ketara ialah lagu Mari Mengundi ciptaan Ahmad Shariff dan Daud Hamzah. Ia didendangkan oleh Surya Booty yang terkenal dengan bait lirik, 'Marilah mari, pergi mengundi, jangan lupa kewajipan pada negara.'

Meskipun legasi lagu sebegitu sukar digugat dan masih digemari ramai, pembaharuan ke atas lagu pilihan raya masih perlu dilakukan. Peralihan generasi yang menyaksikan dominasi pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan turut memaksa penciptaan lagu-lagu baharu kempen mengundi dihasilkan.

Menyedari perubahan yang dialami itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kerjasama grup muzik tanah air, One Nation Emcees (ONE) telah memberikan nafas baharu kepada lagu Mari Mengundi.

Sebagai lagu rasmi yang dikeluarkan SPR, Mari Mengundi dendangan ONE masih mengekalkan rentak yang sama, namun ditambah dengan beberapa instrumen seperti dram dan trompet.

"Bahagian chorus lagu ini dikekalkan dan bahagian lain digantikan dengan lirik baharu yang disampaikan secara rap oleh anggota ONE. Lenggok yang digunakan juga berbeza dan lebih lembut untuk memujuk orang ramai turun mengundi.

"Lagu ini cuba menyampaikan maklumat kepada orang ramai tentang proses mengundi ketika hari membuang undi. Ia memberitahu pendengar agar memakai pakaian yang sesuai, membawa kad pengenalan dan prosedur ketika mengundi," ujar Pengurus ONE, Zaijaluddin Abdul Jalil, 42, ketika dihubungi Kosmo!.

Video lagu tersebut yang dimuat naik dalam YouTube menerusi akaun rasmi SPR itu juga telah ditonton melebihi 24,851 kali.

Tambah Zaijaluddin, lagu tersebut memang ditujukan kepada generasi muda yang kebanyakannya merupakan pengundi pertama agar tidak terlupa menunaikan tanggungjawab kepada negara.


LAGU Mari Mengundi diberikan nafas baharu oleh ONE.


Lagu ciptaan Tomok

Sementara itu, sebuah lagi lagu mengundi berjudul Jom Mengundi nyanyian bersama penyanyi muda iaitu Tomok, Black, Shiha dan Ayu sedang rancak ditayangkan di stesen-stesen televisyen di bawah Kumpulan Media Prima.

Lirik mudah dan melodi rancak menjadi pertaruhan lagu ciptaan Tomok manakala lirik nukilan Timbalan Pengarah Editorial Kumpulan, Rangkaian Televisyen dan Radio Media Prima Berhad, Datuk Mohd. Asyraf Abdullah itu.

Menurut Tomok, lagu itu memang dicipta khusus kepada generasi muda. Atas sebab itu, komposisi muziknya perlu segar dan ringkas agar keterujaan untuk mengundi dapat dipupuk.

"Walaupun lagu ini difokuskan kepada golongan muda, saya masih merujuk kepada lagu-lagu pilihan lama supaya genre lagu sebegini tidak lari.

"Saya cuma ubah pengisiannya agar lebih moden dan jika dahulu lagu mengundi kedengaran patriotik, lagu ini pula sesuai untuk dipersembahkan secara langsung dan disampaikan dalam suasana menghiburkan," ujar Tomok yang akan mengundi di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pengakhiran pilu Dhow Mandvi

Posted:

Pengakhiran pilu Dhow Mandvi

Pengakhiran pilu Dhow Mandvi


TERDAPAT kira-kira 10 buah keluarga di Mandvi yang enggan berhijrah ke UAE.


KESAYUAN jelas kelihatan pada wajah Shailesh Madiyar saat dia memeriksa limbungan kapal yang terletak di pelabuhan Mandvi, India. Lokasi yang sinonim dengan pembinaan kapal kayu sejak berabad lamanya itu kini terbiar sepi tanpa penjagaan rapi.

"Empat tahun lalu, kira-kira 20 buah kapal dibuat pada satu-satu masa tetapi kini hanya dua buah kapal yang tinggal," ujar Shailesh daripada Persatuan Pembina Kapal Mandvi.

"Hari ini kapal yang dibina tidak melebihi lima atau enam buah dalam setahun," tambahnya sambil menunjuk ke arah beberapa buah kapal separuh siap yang tersadai selepas pembinaan dihentikan.

Mandvi terletak di tebing sungai Rukmavati yang mengalir menuju ke Laut Arab. Bandar terpencil yang terletak di barat Gujarat itu merupakan tempat pembinaan kapal dan perdagangan laut yang popular sejak zaman dahulu.

Namun kedua-dua industri itu lumpuh ekoran pengharaman pelayaran di kawasan perairan yang dipenuhi lanun berhampiran Somalia, kawasan yang suatu ketika dahulu menjadi destinasi perdagangan yang menguntungkan.

Sekatan ke atas beberapa kapal dari India diperkenalkan pada tahun 2010 susulan penawanan yang dilakukan sekumpulan lanun Somalia ke atas lapan bot dari Gujarat yang menyebabkan 100 anak kapal terperangkap dalam serangan yang berlangsung selama beberapa hari itu.

Bot-bot kargo kecil atau kapal layar bermotor kini dilarang belayar ke selatan Oman sekali gus menyekat perdagangan ke Somalia dan beberapa negara Afrika lain seperti Kenya, Tanzania dan Yemen.

"Tanpa Somalia, maka tiada perdagangan. Pengharaman ini membuatkan perniagaan kami terjejas teruk," kata Musabhai Sameja yang telah terlibat dengan urus niaga perkapalan keluarganya di Mandvi selama tiga generasi.

"Kebanyakan pedagang mendapati separuh pendapatan mereka mula merosot," tambah Musabhai yang sedih dengan situasi pelaburan pembinaan kapal yang hampir musnah.

Selama empat abad, pembuat kapal dari bandar kecil itu telah membina kapal bagi menghantar barangan merentasi Lautan India yang merupakan laluan dagangan menghubungkan Asia Timur ke Asia Barat dan Afrika.

Difahamkan, kapal dagang kecil yang dipanggil dhow di Mandvi sangat terkenal dengan ketahanan dan saiznya, membolehkan ia masuk ke kawasan yang mempunyai pelabuhan kecil.


MASIH ada sebilangan pembuat kapal kayu di Mandvi, India yang setia bekerja.


Kelengkapan kurang

Dengan kapasiti kargo sederhana sebanyak 1,000 tan, Musabhai memberitahu, kapal-kapal akan dipenuhi barangan perdagangan seperti beras dan tepung untuk dihantar ke Somalia.

Berdasarkan pengharaman yang dikuatkuasakan Direktorat Besar Perkapalan pada bulan Mac 2010, kapal-kapal di kawasan itu didapati mudah dijadikan sasaran lanun yang beroperasi di salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia itu.

Dhow sememangnya lebih kecil daripada kapal tangki dan ketiadaan kelengkapan seperti alat pengesan membuatkannya mudah ditawan dan dijadikan kapal ibu bagi menyerang kapal besar yang lain.

Bagaimanapun, Musabhai memberitahu, para pedagang bersedia untuk mengambil risiko dan memilih menggaji pengawal keselamatan bagi melindungi kapal mereka.

Sementara itu, urus niaga ke Somalia bagi pedagang yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dikatakan kian berkembang tanpa sebarang sekatan.

Pakar perdagangan dhow, Edward Simpson dari Fakulti Pengajian Timur dan Afrika di London memberitahu, pembuat kapal di Dubai membina bot-bot kayu dengan ruang dua kali ganda lebih besar berbanding kapal-kapal dari Mandvi.

Baru-baru ini beliau melihat sendiri kapal dari Somalia di Dubai diisi dengan barangan berupa kereta terpakai Jepun, generator, traktor dan minyak wangi.

Tutup perniagaan

Sementara itu, sebahagian pembuat kapal telah memindahkan perniagaan mereka dari Mandvi ke UAE, tetapi ada juga yang menutup terus perniagaan.

"Hanya tinggal kira-kira 10 keluarga dalam perniagaan ini," ujar Saleh Mohammed yang telah menjual bot kargo terakhirnya pada tahun lalu.

"Sebelum sekatan ini saya mempunyai 30 kapal," tambahnya yang memberitahu, sekatan itu membuatkan dia hanya boleh berurus niaga dengan Negara Teluk seperti Iran dan Iraq yang mempunyai pelabuhan besar.

"Maka adalah lebih bagus menutup terus perniagaan ini," katanya yang kemudian membeli sebuah hotel untuk mencuba industri perhotelan.

Bagaimanapun, kemahiran pembuat kapal di Mandvi akan terus ditagih untuk beberapa tahun akan datang bagi menyelenggara dan membaiki kapal sedia ada yang masih boleh belayar sekurang-kurangnya untuk tempoh 40 tahun.

Saleh menyatakan, dia merindui era perdagangan yang dilalui moyangnya.

Kata Saleh, datuknya sering belayar selama dua bulan ke Afrika Timur dan menjangkau kawasan sejauh Zanzibar iaitu pulau yang terkenal dengan rempah-ratus.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved