Jumaat, 26 April 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Rawatan awal selamatkan nyawa

Posted:

Rawatan awal selamatkan nyawa

Rawatan awal selamatkan nyawa

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

RAUNGAN seorang penunggang motosikal di bahu jalan yang kesakitan akibat dilanggar sebuah kereta membuatkan ramai pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan masing-masing.

Luka teruk di dahinya membuatkan darah tidak berhenti mengalir, malah tangannya juga mungkin patah.

Ramai yang mula berkumpul di tempat kejadian, namun tiada seorang pun berani tampil memberikan bantuan kecemasan kepada lelaki tersebut.

Hanya seorang dua yang mendekati lelaki tersebut untuk menenangkannya sementara menunggu kehadiran ambulans untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Mujur ambulans tiba awal ke lokasi kejadian. Jika lewat, mungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas mangsa kemalangan tersebut.

Orang awam yang mengerumuni tempat kejadian sambil berpeluk tubuh menjadi penonton, tidak boleh dipersalahkan kerana kemungkinan mereka juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang rawatan kecemasan.

Ilmu pertolongan cemas

Insiden yang berlaku beberapa bulan lalu itu membuatkan penulis sedar mengenai kepentingan ilmu pertolongan cemas dalam diri setiap individu kerana tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa.

Bukan sahaja ilmu asas pertolongan cemas perlu ditimba, malah kit pertolongan cemas juga perlu ada di dalam setiap kereta untuk memberikan rawatan awal kecemasan andai berlaku kemalangan sementara menunggu pasukan paramedik tiba.

"Sepatutnya semua orang perlu memiliki kit pertolongan cemas memandangkan kita sering berdepan dengan situasi yang memungkinkan terjadinya kecederaan atau kes kemalangan kecil.

SETIAP kit pertolongan cemas mengandungi barang-barang mengikut keperluan sesuatu tempat.


"Banyak kes yang dibawa ke hospital berdepan dengan komplikasi besar gara-gara kecederaan tersebut tidak diberikan bantuan kecemasan awal," kata Dr. Mohammad Hazimi Hamzah yang merupakan seorang pengamal perubatan.

Tambahnya, pendarahan banyak yang lambat dihentikan atau luka yang tidak dicuci dengan baik mendedahkan seseorang itu dengan jangkitan kuman.

Kit pertolongan cemas

Menurut Mohammad Hazimi, rawatan awal kecemasan sebenarnya lebih penting, namun ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara yang remeh.

"Tidak dinafikan ramai yang khilaf mengenai ilmu bantuan kecemasan. Jadi, seseorang itu perlu mengambil inisiatif belajar mengenainya dengan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan pihak Kementerian Kesihatan.

"Kit pertolongan cemas perlu ada dalam setiap rumah. Ia bukan sekadar untuk kegunaan kecemasan sahaja, malah boleh dijadikan tempat kita meletakkan dokumen dan rekod kesihatan supaya tidak hilang," katanya sambil memberitahu, kepentingan kad kesihatan diletakkan di dalam dompet bagi membolehkan seseorang itu membuat rujukan jika ada alergi terhadap ubat.

Mohammad Hazimi juga menyarankan supaya kit pertolongan cemas diletakkan di kawasan terbuka yang mudah diingat dan dilihat bagi memudahkannya dicapai apabila berlaku kecemasan.

"Ia perlu diletakkan pada ketinggian yang ditetapkan iaitu tidak terlalu rendah hingga mudah dicapai oleh anak-anak kecil," ujarnya sambil menyarankan kit pertolongan cemas wajib ada di dalam setiap rumah, pejabat dan kenderaan.

Dalam pada itu, ahli farmasi yang juga merupakan pemilik Farmasi Srisuria Sdn. Bhd., Azean Abdul Ghani, 35, memberitahu, kandungan yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas bergantung kepada tempat kerana keperluannya berbeza.


DENGAN adanya kit pertolongan cemas, segala ubat-ubatan dapat disimpan secara sistematik.


"Jika di kilang, kandungan di dalam kit pertolongan cemas mungkin berbeza dengan di rumah kerana kecederaan yang berlaku di kilang lebih serius berbanding di rumah.

"Sungguhpun begitu, keperluan asas yang perlu ada dalam sesebuah kit pertolongan cemas ialah pembalut luka, pencuci luka, gunting, forsep, kapas, sarung tangan, anduh, plaster dan kain kasa (gauze)," katanya sambil memberitahu, kit tersebut juga boleh ditambah dengan parasetamol atau tablet-tablet lain yang bukan dalam kategori dadah yang memerlukan nasihat ahli farmasi.

Periksa tarikh luput

Jelas Azean, apabila sudah ada kit pertolongan cemas, seseorang itu perlu memeriksa tarikh luput senarai barang-barang di dalamnya selain mengisi semula barang-barang yang telah habis digunakan untuk kegunaan pada masa akan datang.

"Biasanya, barang-barang dalam kit pertolongan cemas luput tempohnya dalam masa dua hingga tiga tahun. Jika seseorang itu langsung tidak pernah menggunakannya, pemeriksaan setahun sekali wajar dilakukan.

"Ia mungkin kedengaran tidak penting, namun dengan adanya kit pertolongan cemas ini, ia memudahkan kita apabila berlakunya kecemasan kerana dalam satu kotak, segala keperluan ada," ujarnya.

Menurut Azean, kit pertolongan cemas dijual antara harga RM70 hingga RM100.

"Kotak pertolongan cemas ini ada yang diperbuat daripada metal, plastik dan polyvinyl chloride (PVC) yang didatangkan dengan warna putih dan merah.

"Seseorang itu juga perlu ada ilmu asas tentang rawatan kecemasan. Pernah terjadi kepada seorang pelanggan lukanya tidak sembuh-sembuh kerana cara cucian luka yang salah," katanya sambil memberitahu, kebiasaannya dalam setiap kotak kecemasan terdapat manual merawat kecederaan mudah.

Temasya Gemilang Keris Mas

Posted:

Temasya Gemilang Keris Mas

Temasya Gemilang Keris Mas

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my


PARA pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan dan mengambil gambar kereta Ferrari yang dipamerkan.


PENUH warna-warni. Itu kesimpulan yang dapat dibuat apabila menyaksikan kemeriahan Temasya Gemilang Kolej Keris Mas (TG2KM) yang melabuhkan tirainya penghujung bulan lalu.

Berlangsung di Dataran Kolej Keris Mas (KKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 hingga 31 Mac lalu, acara tahunan yang dianjurkan buat kali ke-12 itu berjaya menarik penyertaan 4,000 pelajar.

Ketua Pengarah Eksekutif TG2KM, Nur Fatin Adilin Mohamed Ashri berkata, temasya itu bertujuan untuk menyediakan platform kepada para pelajar khususnya warga kolej mengasah bakat dalam menguruskan program di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pihak luar.

"Sepanjang 14 hari temasya ini diadakan, pelbagai aktiviti menarik telah diatur. Antaranya, pameran teknologi maklumat, pesta buku, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, pertandingan lagu ketuhanan dan malam apresiasi wanita.

"Selain itu, terdapat juga acara explorace keusahawanan, Fear factor: food edition, pertandingan khat & kollam, kugiran rentak juara, pementasan teater Patung Patung, kejohanan bola sepak jalanan, konsert nasyid, pertandingan tudung dan busana muslimah serta pesta kebudayaanTinghua.

"Kami berharap melalui penganjuran TG2KM, ia dapat membuka mata ramai pihak terhadap keunggulan Kolej Keris Mas sekali gus menjulang nama kolej ini ke peringkat lebih tinggi," ungkap Nur Fatin Adilin.


ACARA pertandingan menghias kek cawan menguji kreativiti pelajar lelaki yang tidak ketinggalan menyertainya.


Tidak ketinggalan, Forum Bicara Cinta turut diadakan dengan menampilkan selebriti seperti Yatt Hamzah dan pendakwah muda, Fatimah Syarha Mohd. Noordin sebagai panel jemputan. Program tersebut telah disiarkan secara langsung menerusi media rasmi TG2KM, Radio Streaming Online Nasyid FM.

Aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah rumah hantu, gerai mengambil gambar, pertunjukan kereta Ferrari, persembahan capoeira dan perkhidmatan sewa basikal baring.

Majlis penutup temasya itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim. Ia turut dihadiri Pengetua KKM, Dr. Ruslin Amir, barisan felo dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi Kolej Kediaman.

Bertemakan Citra Budaya, Warna Perpaduan, majlis itu dimulakan dengan persembahan tarian Ulek Mayang oleh Kelab Tarian Pawana Mas.

Membina semangat kekitaan

Dalam ucapannya, Othman menyatakan bahawa temasya sedemikian dapat membina semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga KKM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Pemilihan tema ini juga diharap mampu menyemai semangat perpaduan antara kaum dalam diri setiap mahasiswa bagi mengekalkan keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama.


PERTANDINGAN membuat kollam turut dimeriahkan oleh pelajar pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina.


"Apa yang lebih penting, jangan jadikan kolej kediaman sekadar tempat tidur semata-mata. Sebaliknya, libatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan kerana ia berfaedah terhadap pembinaan kebolehpasaran mahasiswa.

"Harus diingat, kehidupan di kolej ini dapat memberi banyak pengalaman untuk berjaya dalam kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan selepas tamat pengajian kelak," tutur beliau.

Majlis penutup TG2KM diakhiri dengan persembahan hebat artis, Najwa Latif dan kumpulan band IamNeeta dengan lagu mereka bertajuk AdaMu dan Tuhan Tolong Aku.

Hakikatnya, temasya kali ini berjaya mencapai objektif utama dalam mewarnai hari-hari pelajar di KKM. Ini terbukti dengan lebih daripada 9,000 tweet yang dihantar oleh pengguna-pengguna laman sosial Twitter.

"Terima kasih pada Kolej Keris Mas sebab buat event #TG2KM dan terima kasih juga pada krew-krew #TG2KM kerana beri kami peluang untuk buka gerai," kata seorang pelajar yang menggunakan nama @9gageneral pada laman Twitter.

"Done with #TG2KM. It was such a great event. A beautiful opportunity and a great memory there," ujar @pangeran_lautan pula.

Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet

Posted:

Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet

Tangani isteri atau suami yang sangat cerewet


GURAU senda dalam rumah tangga dapat 'menggebukan' lagi kasih sayang antara suami dan isteri.


MEMPUNYAI isteri yang cerewet bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sememangnya kaum wanita sinonim dengan sikap mudah meluah rasa.

Mempunyai suami yang cerewet pula bukan takdir semua isteri tetapi hanya kepada sebahagian kecil sahaja. Sebabnya, makhluk Allah bernama lelaki ini sinonim dengan tidak bercakap banyak kerana lebih suka memendam rasa.

Biarpun itu fitrahnya, sudah namanya manusia yang mempunyai satu persamaan besar iaitu berbeza dengan orang lain, sikap cerewet seorang suami bukanlah perkara yang terlalu luar biasa malah bukan juga bebanan yang berat, Insya–Allah!

Rasa bersyukur

Kepada mereka yang ditakdirkan mempunyai pasangan yang cerewet, sama ada suami atau isteri, anda masih perlu rasa bersyukur atas kurniaan-Nya.

Kenapa perlu bersyukur? Sebabnya anda berpeluang mengetahui segala isi hatinya yang tidak puas hati dengan tindakan anda.

Khususnya buat para isteri kerana kajian membuktikan ramai isteri yang mempunyai suami diam dan tidak memberi sebarang maklum balas dalam apa juga tindakan hingga isteri tidak tahu kesilapan atau kelemahan sendiri.

Isteri hanya tahu ada yang tidak kena selepas cinta suami beralih arah kerana kononnya ada orang lain yang lebih memahami kehendak dan selera si suami.

Buat para suami pula, anda perlu bersyukur kerana cerewet isteri anda adalah satu hiburan yang anda tidak pernah jangka. Percayalah! Apabila sikap cerewet tersebut tiba-tiba hilang, anda akan merinduinya malah anda boleh faham sesungguhnya ada sesuatu yang tidak kena dengan isteri anda.

Perlu difahami juga bahawa isteri adalah wanita, sinonim dengan sikap seorang ibu yang akan bikin kecoh sebagai tanda sayang. Apabila tiada lagi kasih, biasanya anda akan tidak dipedulikan, tiada lagi cerewet sekali gus membuatkan anda rasa tersisih.

Usaha penuhi kehendaknya

Antara sebab seseorang itu jadi cerewet ialah apabila sesuatu yang dilakukan oleh orang lain gagal memenuhi kehendaknya.

KOMUNIKASI antara suami dan isteri penting bagi memastikan rumah tangga tidak dilanda badai. - Gambar hiasan


Lantaran, bagi mengelakkan cerewet pasangan anda berleluasa, anda perlu berusaha untuk memenuhi kehendak pasangan anda.

Jangan cepat putus asa biarpun usaha anda nampaknya seperti tidak berbaloi kerana sikap pasangan masih sama. Bagi menangani situasi yang masih sama ini, anda perlu kembali ke titik mula.

Contohnya, suami anda cerewet dalam hal makanan maka anda perlu tahu kehendak dan selera suami. Makanan kegemarannya, jenis hidangan kesukaannya dan bentuk hidangan tersebut.

Bagi suami pula, fahami juga kesukaan isteri seperti pakaian, susun atur rumah dan jadual perjalanan. Jika tahu isteri akan bising kalau kasut anda tidak disusun, lantas bagi mengelakkan isteri anda berceloteh dan buat kecoh, pastikanlah kasut anda tersusun kemas.

Bertanya dan berterus terang

Kebanyakan pasangan mengambil jalan mudah, merasakan diri difahami oleh pasangan kerana telah melalui hidup bersama dalam tempoh yang lama.

Realitinya, andai berkawan atau bercinta lama sebelum kahwin ataupun telah melalui tempoh perkahwinan yang lama, anda takkan mengenali pasangan anda sepenuhnya.

Sikap manusia umpama pasir di pantai, boleh berubah sepanjang masa, bezanya perubahan yang sedikit tanpa disedari atau perubahan besar dan mudah disedari.

Lantas, amalkan untuk sentiasa bertanya, berbincang dan berterus terang dengan pasangan anda apabila merancang sesuatu perkara berkaitan perjalanan hidup rumah tangga anda termasuk jadual kerja anda.

Bersabar dan berdoa

Di samping usaha dan tindakan perlu dilaksana, tidak dinafikan anda perlu lebih bersabar menghadapi kerenah pasangan sebegini.

Anda juga perlu berdoa agar pasangan anda menghentikan tabiatnya yang merimaskan itu.

Berubahlah. Mereka yang bersikap cerewet, jangan hanya harapkan pasangan memahami anda sebaliknya berubahlah demi keselesaan pasangan anda.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved