Rabu, 10 April 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Menu warisan Negeri Sembilan

Posted:

Menu warisan Negeri Sembilan

Menu warisan Negeri Sembilan

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI

PERJALANAN selama lebih sejam dari ibu negara ke pekan Tanjung Ipoh yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dilatari dengan pemandangan indah sawah padi dan reka bentuk rumah tradisional masyarakat setempat.

Lokasinya yang terletak di laluan alternatif ke lebuh raya Pantai Timur menjadi kawasan persinggahan orang ramai mencuba makanan eksotik di Tanjung Ipoh.

Tanjung Ipoh cukup terkenal dengan pelbagai jenis pilihan hidangan salai seperti daging lembu, itik, ayam, keli dan puyuh yang membuka selera jika dimasak bersama gulai lemak cili padi.

Pengguna jalan raya yang sering berulang-alik dari selatan Selangor ke Pantai Timur atau menuju ke selatan tanah air pasti sudah biasa mendengar tentang keenakan pilihan daging lembu salai di Tanjung Ipoh.

Resipi turun-temurun diwarisi sejak zaman nenek moyang dalam menyediakan daging salai tahan lama menjadi rahsia perniagaan Mohd. Shafie Jahaluddin, 33. Dia mempunyai berpengalaman 12 tahun menjual hidangan eksotik tersebut.

"Penggemar daging salai pasti singgah membeli daging salai di Tanjung Ipoh kerana ia sukar ditemui di tempat lain.

"Saya menggunakan resipi tradisi keluarga untuk memastikan daging salai yang disediakan tahan lama dan mengekalkan aromanya walaupun disimpan selama tiga atau empat bulan dalam peti sejuk," katanya yang mengakui persaingan perniagaan daging salai di Tanjung Ipoh agak tinggi.

Katanya, pelanggan gemar membeli daging salai untuk masakan seperti masak lemak cili padi, kari, rendang dan gulai tempoyak.

Menariknya, permintaan terhadap daging itik salai juga menggalakkan kerana ramai pelanggan beranggapan hidangan kaki itik mampu menghilangkan sakit lutut.


RUANG makan di dalam Restoran Warisan.


Mengawet makanan

Mengikut sejarah, penyediaan daging salai sebenarnya sudah diamalkan sejak zaman prasejarah bagi tujuan mengawet makanan kaya protein itu agar boleh disimpan untuk tempoh lama.

Kini, hidangan unik itu turut popular dalam kalangan kaum India dan Cina.

Selain daging salai, telur masin juga banyak terdapat di Tanjung Ipoh dan penyediaan berbeza dengan telur masin biasa.

Pengusaha telur masin, Kamarul Anuar Abdullah, 26, menjelaskan, telur itik yang dijadikan telur masin direndam dalam air garam selama seminggu sebelum dijual kepada pelanggan.

Lazimnya, telur itik yang mahu dijadikan telur masin disalut tanah liat dan sekam padi bakar.

Sejak mengusahakan perniagaan itu setahun lalu, dia sering mendapat tempatan untuk majlis perkahwinan. Pelanggan dari Kuala Lumpur dan selatan tanah air juga ramai yang datang membelinya.

"Telur masin yang dijeruk tidak terlalu masin dan selalu dihidangkan sebagai pembuka selera.

"Ada pelanggan yang menghidap hipertensi dan diabetes juga suka makan telur masin dari Tanjung Ipoh kerana dipercayai tidak menjejaskan kesihatan mereka," katanya yang menghasilkan kira-kira 300 biji telur masin seminggu.

Telur masin yang dihidangkan dalam masakan perlu direbus selama lima minit sebelum dihidang.

Pencinta makanan pula pasti tidak melepaskan peluang berkunjung ke Restoran Warisan yang terletak bertentangan dengan pintu gerbang masuk ke Istana Besar Seri Menanti .

Reka bentuk restoran tersebut yang mengekalkan ciri tradisional rumah Minangkabau dan bersebelahan bendang sawah padi menyuntik suasana kampung tatkala menjamu selera.

Restoran Warisan menawarkan lebih 100 jenis hidangan asli masakan tradisional ala Minang yang terkenal dengan rasa pedas luar biasa.

Seorang pekerja di restoran itu, Siti Aisyah Latif, 28, berkata, hidangan lazim yang menjadi kemestian pengunjung ialah sambal tempoyak daun kayu, daging dan ayam salai masak lemak serta keli berlada.

Rasa pedas

"Lauk yang dihidangkan di sini sememangnya pedas-pedas belaka kerana ia sinonim dengan selera masyarakat setempat.

"Kami sering menerima kunjungan pelanggan dari Pahang, Kuala Lumpur dan Melaka pada hujung minggu yang ingin menikmati masakan tradisional Negeri Sembilan," jelasnya


BANGUNAN Istana Besar Seri Menanti masih kukuh sehingga kini.


Setiap malam Ahad, restoran berkenaan mengadakan persembahan 'Bongai' yang mendendangkan lagu dalam loghat nogori oleh penyanyi veteran kebudayaan Negeri Sembilan.

"Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan artis kebudayaan menggunakan alat muzik tradisional seperti gong dan kerincing ketika membuat persembahan," ujar Siti Aisyah.

Walaupun pembangunan mula mengintai tapak di Tanjung Ipoh, masih banyak rumah yang bercirikan reka bentuk Minangkabau.

Reka bentuk rumah tradisional yang memanjang dan bumbung sedikit melengkung di bahagian hujung menambahkan keindahan pemandangan landskap di kampung halaman.

Kebiasaannya, rekaan rumah tradisional tersebut terdiri daripada rumah ibu, ruang tengah dan dapur yang lengkap dengan serambi di bahagian hadapan rumah.

Bukan itu sahaja, orang ramai boleh meluangkan masa melawat istana lama iaitu Istana Besar Seri Menanti yang dibina pada tahun 1902.

Istana lama yang diperbuat daripada kayu itu pernah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum dijadikan muzium.

Ketenangan Kota Dublin

Posted:

Ketenangan Kota Dublin

Ketenangan Kota Dublin

MONUMEN Light di O'Connel mudah ditemui di Dublin.


PENERBANGAN dari Malaysia ke Ireland memakan masa selama 25 jam. Dalam tempoh itu, dua transit disinggahi iaitu Singapura dan Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kepenatan berada di awan bagaikan hilang sekelip mata sebaik kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin, Ireland.

Ketika itu bulan Februari, suhu di Dublin melewati paras beku. Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah kecantikan wanita Ireland.

Sejak kecil, saya sering mendengar cerita orang mengenai kecantikan rupa paras warga Ireland tidak kira lelaki mahupun wanita.

Saya kemudiannya dijemput seorang rakan rakyat Malaysia, Kamarulzaman Abdul yang kini bekerja di Dublin. Sepanjang 20 minit perjalanan dari lapangan terbang ke ibu kota Dublin, saya masih tidak percaya telah berada di bumi Ireland.

Kurang dilawati

Ireland merupakan negara yang kurang dilawati rakyat Malaysia. Ini kerana, kedudukan geografinya jauh di ufuk barat daya Malaysia. Tambahan pula, cuaca sejuk sepanjang tahun antara faktor kurangnya rakyat Malaysia melancong ke negara itu.

Apabila Kamarulzaman mempelawa saya untuk bertandang ke salah satu bandar tertua di benua Eropah itu, saya tidak teragak-agak menerimanya. Iklim sejuk juga merupakan faktor saya memilih negara tersebut sebagai destinasi untuk berlibur.

Pusat beli-belah

Grafton Street merupakan tempat pertama saya lawati di Dublin. Kawasan tersebut merupakan pusat beli-belah untuk pejalan yang kaki paling popular di tengah-tengah kota Dublin.

Pusat beli-belah itu terletak antara St. Stephen's Green dan Kolej Trinity. Sepanjang jalan tersebut, saya dapat melihat deretan bangunan lama yang dikategorikan sebagai zon Architectural Conservation.

Namakan apa sahaja jenama antarabangsa yang terkenal dunia, logo dan cap dagangannya pasti terpampang di sepanjang jalan itu.


SYURGA beli-belah barangan berjenama di Kildare Village Factory Outlet.


Tiang besi

Lebih kurang satu kilometer dari Grafton Sreet, mata saya tertumpu kepada tiang besi yang dikenali sebagai The Spire of Dublin. Ia terletak di seberang jambatan Sungai Liffey.

Ia kelihatan seperti tiang bendera dengan ketinggian 120 meter dan berdiameter tiga meter. Ia dibina di tengah-tengah O'Connell Street di hadapan bangunan Pejabat Pos Besar Dublin.

Diperbuat sepenuhnya daripada keluli tahan karat yang berbentuk abstrak membuatkan The Spire menjadi salah satu mercu tanda di kota Dublin.

Pada waktu malam pula, kota Dublin agak sunyi dan tidak sibuk seperti bandar-bandar besar lain di dunia. Hanya sepanjang Temple Bar Street menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk berhibur pada waktu malam.

Kota Belfast

Selain ibu kota Ireland, saya juga berkesempatan berkunjung ke Kota Belfast di bahagian Utara Ireland yang mengambil masa lebih kurang dua jam dari Dublin dengan menaiki kereta.

Bagi saya, istimewa kota itu ialah ia merupakan pangkalan asal kapal Titanic dibina pada tahun 1912 di County Antrim. Di samping itu, saya juga berasa amat bertuah kerana berkesempatan menikmati panorama cantik Kota Belfast.

Tidak banyak tempat yang dapat saya lawati di Kota Belfast kerana cuaca hujan dan sejuk. Waktu perniagaan kebanyakan kedai di kota itu hanya dibuka sehingga 6 petang.

Pada hujung minggu di Dublin, saya dibawa ke Kildare Village Factory Outlet. Di situ, pelbagai barangan berjenama dijual jauh lebih murah berbanding harga di tanah air.

Saya menghabiskan masa sepanjang hari membeli-belah termasuk membeli cenderamata sebagai kenangan.


TREN merupakan salah satu pengangkutan awam yang sering digunakan penduduk di Dublin.


Menunggang basikal

Istimewanya ketika berada di benua Eropah, aktiviti berbasikal di bandar-bandar sudah menjadi kelaziman penduduknya. Kota Dublin juga tidak terkecuali apabila kemudahan menyewa basikal mudah didapati.

Walaupun menunggang basikal di tengah-tengah kesibukan kota, saya tetap berasa selamat.

Selain itu, menunggang basikal dapat menjimatkan masa dan tenaga untuk meneroka tarikan pelancongan di kota tersebut. Selain kadar sewa yang murah, kemudahan tempat letak basikal juga mudah didapati.

Berbasikal merupakan satu aktiviti yang amat menyeronokkan. Cuaca sejuk yang sentiasa menjadi peneman setia membuatkan saya tidak mudah penat ketika menunggang basikal.

Seperti kebanyakan negara-negara Eropah yang lain, Ireland juga mempunyai terusan dan sungai yang cantik dan bersih. Saya tidak melepaskan peluang untuk menghabiskan masa melihat kecantikan sungai dan terusan di dalam kota tersebut.

Beberapa hari sebelum pulang ke Malaysia, saya juga berpeluang menghadiri sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh pihak Malaysian Student Department, Dublin.

Sambutan perayaan itu turut dihadiri Duta Besar Malaysia di Ireland, kakitangan Kedutaan Malaysia dan para pelajar Malaysia yang menetap di Dublin.

Sambutan itu berlangsung meriah malah para pelajar tersebut turut membuat pelbagai persembahan.

Bagi saya, Ireland merupakan satu destinasi pelancongan yang sangat tenang jika dibandingkan dengan kebanyakan negara-negara Eropah lain. Ireland merupakan sebuah kota yang bersih dan saya berpeluang melihat bangsa kulit putih yang ramai berbanding negara-negara Eropah lain.

Pelancong London dilanda kesejukan

Posted:

Pelancong London dilanda kesejukan

Pelancong London dilanda kesejukan

Oleh HAZLINDA HAMZAH

SALAH seorang warga Malaysia Noorshazeele Zakaria yang ditemui di Buckingham Palace, London.


MINGGU terakhir bulan Mac tahun ini menyaksikan suhu kekal sejuk sehingga waktu siang mencecah negatif darjah Celsius. Suhu sejuk membeku ini amat dirasai ramai pengunjung dari negara panas yang datang ke kota raya London.

Ada juga ketikanya, suhu menjunam ke bawah paras beku, serendah negatif 3 darjah Celsius pada waktu siang, diselubungi angin sejuk yang bertiup sederhana.

"Saya datang ke London untuk bercuti. Saya dapat merasakan kesejukan yang melampau. Ia satu kejutan untuk saya dan kawan-kawan kerana kami datang dari Mexico yang berhawa panas," kata pelancong yang mahu dikenali sebagi Jenny, 30-an, ketika ditemui tidak jauh dari Istana Buckingham.

Musim bunga sepatutnya bermula pada awal bulan Mac apabila musim sejuk melabuhkan tirai pada hujung Februari lalu di Britain dan kebanyakan negara lain di benua Eropah. Bagaimanapun tahun ini suhu beku hadir lebih lama yang pernah dialami sejak lebih lima dekad. Kali terakhir cuaca sejuk sebegini lama dikatakan pada tahun 1963.

Seorang wanita Inggeris yang ditemui di Muzium Britain berkata, kali ini salji turun lebih lama sehingga bulan Mac.

Menurut laporan London Evening Standard, ramai dalam kalangan warga Britain memilih menyambut perayaan Easter tahun ini di negara cuaca panas seperti Mesir, Turki, Tunisia, Sepanyol dan Kepulauan Caribbean.

Easter ialah antara perayaan utama dalam kalendar penganut Kristian. Minggu menyambutnya dinamakan minggu suci dan Jumaat sebelum Easter dikenali sebagai Good Friday.

Bagi pengunjung yang berada di London, mereka tiba dengan persediaan untuk menghadapi musim sejuk yang panjang. Bagi mereka yang sudah biasa dengan musim sejuk kerana bermastautin di Britain dan negara-negara yang mengalami empat musim, turut merasai tempias kesejukan suhu negatif kali ini.

Berhelai-helai pakaian tebal dipakai untuk mengelakkan rasa sejuk dan keadaan berangin ini.

Seorang pengunjung dari Denmark yang bercuti di London selama enam hari bersama keluarganya berkata, di Denmark suhunya jauh lebih rendah berbanding London.


WALAUPUN cuaca sejuk melampau orang ramai masih berkunjung ke tempat-tempat menarik di kota raya bersejarah di London seperti Dataran Trafalgar, Taman Covent, Menara Jambatan, Istana Buckingham dan Sungai Thames.


Berpakaian tebal

"Saya memang sudah biasa dengan cuaca sebegini tetapi tidak menyangka akan menyambut Easter dalam cuaca sejuk juga. Terpaksalah kami bercuti dengan berbekalkan pakaian tebal seperti ini," katanya.

"Saya akan pergi bercuti ke Maghribi, cuaca terlalu sejuk di sini," kata seorang lelaki Inggeris ketika ditanya mengenai suhu sejuk melampau ini di stesen kereta api bawah tanah Oxford Circus.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu baru saja selesai membeli-belah di deretan gedung terkemuka seperti Selfridges, H&M, Marks & Spencer, Hamleys dan Top Shop yang kebetulan ketika ini mengadakan jualan murah musim bunga bersempena sambutan Easter.

Penulis juga menemui beberapa orang rakyat Malaysia yang bercuti di kota raya London.

"Sejuk, memang sejuk sungguh. Tapi kami telah dinasihatkan untuk membawa pakaian termal dan tebal supaya dapat bertahan dalam cuaca sejuk," kata Noorshazeele Zakaria, 25, yang lengkap berstokin panjang dan sarung tangan tebal.

Hazman Sapawi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau berkunjung ke London pada tahun 2012 dalam tempoh waktu yang sama.

"Saya sudah bersedia dengan pakaian tebal untuk musim sejuk, tetapi terpaksa menyarung pakaian yang lebih tebal lagi kali ini," katanya.

Akhbar di kota raya London juga melaporkan agensi ramalan kaji cuaca menjangkakan musim dingin kini akan berpanjangan sehingga sebulan lagi. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved