Sabtu, 20 April 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tiada masa miliki anak

Posted:

Tiada masa miliki anak

Tiada masa miliki anak

SETELAH 20 tahun berada dalam industri seni, penyanyi yang juga aktres Hong Kong popular, Karen Mok akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk menghasilkan sebuah album jazz. Album jazz pertama Karen yang berjudul Somewhere I Belong itu juga merupakan album Inggeris pertama penyanyi berusia 42 tahun itu.

Sebelum ini, Karen telah muncul dengan 15 album berbahasa Cina yang berentak balada, tarian dan rancak.

Melalui usia dan pengalamannya dalam dunia nyanyian, penyanyi kekal jelita itu tidak gentar untuk mencuba irama jazz yang belum pernah diterokai lagi menerusi album-albumnya sebelum ini.

Menurut Karen, minatnya dalam muzik jazz bermula sebelum dia menceburi dunia hiburan lagi. Ketika itu, dia merupakan seorang pelajar universiti di United Kingdom.

"Ketika saya berjalan di Charing Cross Road, London, terdapat sebuah kedai yang menjual buku-buku dan cakera padat (CD).

"Terdapat timbunan CD yang benar-benar murah. Jadi, saya ambil sebuah CD yang mengandungi nama-nama penyanyi yang tidak saya kenali iaitu Ella Fitzgerald dan Louis Armstrong."

"Bila mendengarnya, saya terus kata wow! Jadi, ini yang dikatakan rentak jazz. Saya mula jatuh cinta pada irama jazz dan cuba menyelami irama itu dengan lebih mendalam," ungkapnya ketika ditemui pada majlis sesi bertemu peminat di Hotel Double Tree Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui albumnya, Somewhere I Belong, Karen memuatkan sebanyak 12 buah lagu berentak jazz.

Paling mencuri perhatian adalah lagu While My Guitar Gently Weeps yang merupakan lagu asal George Harrison dari kumpulan The Beatles. Selain suara Karen yang merdu, apa yang membuatkan lagu versi itu unik adalah penggunaan alat muzik tradisional Cina yang dikenali sebagai guzheng (muzik yang berteraskan kepada bunyi gitar dan bass).


FIGURA tersohor Hong Kong ini kini muncul dengan album Inggeris sulungnya, Somewhere I Belong.


Keanu Reeves

Selain album Inggeris pertamanya, Karen juga bakal bergandingan dengan pelakon popular Hollywood iaitu Keanu Reeves dalam sebuah filem aksi berjudul Man Of Tai Chi.

Filem arahan Keanu Reeves itu juga bakal membuka lembaran buat aktres berdarah Cina, Wales, Iran dan Jerman itu ke pasaran Barat. Kongsi Karen, dalam filem tersebut dia membawa peranan sebagai seorang polis Hong Kong.

"Filem Man Of Tai Chi akan ditayangkan pada pertengahan tahun ini dan ia berkisah mengenai sebuah kelab pertarungan bawah tanah di China," jelasnya.

Biarpun Karen menggunakan bahasa Kantonis dalam produksi tersebut, ujarnya, dia optimistis terhadap bintang siri filem Matrix itu kerana mengetahui adegan terbaik buat dirinya.

Anak tiri

Di luar lapangan seninya, Karen telah berkahwin dengan seorang lelaki Jerman bernama Johannes pada Oktober, 2011.

Melalui hari yang begitu sibuk sebagai seorang penyanyi dan juga pelakon, ujar Karen, bagaimanapun dia akan cuba menghubungi atau membuat panggilan video kepada suaminya jika berjauhan.


KAREN sudah menghambakan diri sebagai insan seni selama dua dekad.


"Kini, saya rasa sudah mempunyai kehidupan yang seimbang. Saya sedar sebelum ini saya seorang wanita yang gigih bekerja dan tidak mempunyai masa untuk hal lain tetapi setelah berkahwin saya patut membahagikan masa untuk keluarga dan juga kerjaya.

"Saya harus memastikan mempunyai cukup masa untuk diri sendiri, suami dan juga keluarga," ujarnya yang mempunyai tiga orang anak tiri melalui perkahwinan suaminya sebelum ini.

Jika ada sesetengah wanita yang berasa sukar untuk rapat dan berkomunikasi dengan anak tiri mereka tetapi tidak bagi Karen.

Karen menyayangi anak-anak tirinya dan menganggap mereka seperti anaknya sendiri.

"Sebenarnya tidak sukar untuk rapat dan berkomunikasi dengan mereka kerana mereka sudah dewasa," ujar Karen.

Ditebak sama ada dia bersedia untuk menimang cahaya matanya sendiri, Karen menyatakan dia terlalu sibuk untuk mempunyai anak.

"Saya tidak berkeinginan untuk menjadi ibu. Saya benar-benar sibuk. Lagipun, saya sangat gembira dengan kehidupan yang saya kecapi kini," jelasnya yang menganggap tahun 2013 merupakan tahun yang paling sibuk buat dirinya.

Konsert Mizz Nina undang Jay Park

Posted:

Konsert Mizz Nina undang Jay Park

Konsert Mizz Nina undang Jay Park

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


MIZZ NINA turut mengundang suaminya, Noh dalam konsert sulungnya nanti.


PENYANYI wanita hip hop, Mizz Nina mendedahkan konsert pertamanya yang bakal berlangsung pada 18 Mei ini di KL Live, Kuala Lumpur, akan disertai penyanyi popular dari Korea iaitu Jay Park.

Bakal menyanyikan single terbaharunya bersama Jay Park berjudul Around The World, ulas Mizz Nina, penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu juga akan membuat kejutan pada konsert yang menampilkan tema yang sama iaitu Around The World Concert With Mizz Nina.

Begitupun, Mizz Nina tidak dapat memberitahu apakah kejutan yang bakal dilakukan Jay Park pada malam konsert yang berlangsung selama sejam bermula pukul 8.30 malam itu.

Ditebak berapakah nilai yang dilaburkan untuk membawa Jay Park ke konsertnya pada malam itu, anak kepada Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim itu lebih selesa untuk tidak mendedahkan mengenainya.

"Perbelanjaan konsert ini masih berterusan buat masa ini. Tetapi saya gembira kerana Jay Park turut sama menyanyi pada konsert pertama saya ini. Tidak sukar sebenarnya membawa Jay Park. Selepas saya menyuarakan hasrat untuk berkolaborasi, dia bersetuju.


MIZZ Nina enggan mendedahkan harga yang perlu dibayar kepada Jay Park untuk membawa penyanyi terkenal Korea Selatan itu ke Malaysia.


"Memang sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan konsert yang menceritakan perjalanan hidup saya sejak mula menceburkan diri dalam bidang muzik," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar pengumuman konsert Around The World Concert With Mizz Nina di The Bee, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Jay Park, Mizz Nina turut mengundang suaminya, Noh Salleh (vokalis kumpulan Hujan) dan juga kumpulan Teh Tarik Crew untuk bersama-sama menjayakan konsert pada malam itu.

Memilih KL Live untuk konsert pertamanya, ulas Mizz Nina, dia tidak mahu mengambil risiko kerana ia merupakan konsert pertamanya.

"Saya sanggup ambil risiko untuk mengadakan konsert di tempat yang kecil berbanding tempat yang besar. Lagipun, saya selesa buat konsert di sana," ujarnya mengenai KL Live yang mampu memuatkan lebih 3,000 orang itu.

Mizz Nina turut ditanya andai kemunculan Jay Park di pentas nanti bakal membuatnya tenggelam berikutan populariti Jay Park di Malaysia.


JAY PARK yang berkolaborasi dengan Mizz Nina untuk lagu Around The World akan muncul pada konsert sulung Mizz Nina di KL Live, Kuala Lumpur pada 18 Mei ini.


Ujar Mizz Nina, dia tidak takut dibayangi Jay Park kerana dia akan memgadakan persembahan yang bagus di hadapan peminat-peminatnya nanti.

Pada majlis sidang akhbar itu juga, Mizz Nina turut memaparkan klip video Around The World Mizz Nina yang menampilkan Jay Park yang dihasilkan di Korea Selatan itu.

Jelasnya, sejak dilancarkan pada 25 Mac lalu, klip video itu mendapat sambutan hangat peminat tempatan mahupun luar negara. Sehingga kini, ia telah mencecah 692,889 tontonan di YouTube.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyaksikan konsert Mizz Nina bersama Jay Park, Noh Hujan dan juga Teh Tarik Crew itu, anda boleh membeli tiket-tiket yang dijual pada harga RM70 dan RM100 di http://redtix.airasia.com/Events/mizznina atau kunjungi outlet Rock Corner dan Victoria Music yang berhampiran.

Yasmin nafi hamil

Posted:

Yasmin nafi hamil

Yasmin nafi hamil

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my


INDAH. Yasmin Hani dan Shahrin pada majlis persandingan mereka pada 21 Oktober, 2011 lalu.


KHAMIS lalu, Kosmo! berpeluang ke majlis pelancaran perniagaan pakaian online, Baajookoo, milik tiga selebriti jelita yang bersahabat baik menggelarkan diri mereka Geng Celepets iaitu Daphne Iking, Atilia dan Yasmin Hani.

Kosmo! bagaimanapun dikejutkan dengan berita gembira mengenai kehamilan sulung Yasmin Hani yang dikatakan baru berusia dua minggu - disampaikan terus ke telinga daripada sumber yang benar-benar rapat dengan pengacara dan pelakon jelita tersebut.

Terlanjur menerima berita baik itu, Kosmo! lantas bersua dengan suami Yasmin Hani iaitu Shahrin atau nama sebenarnya Sha'arin Mohd. dan bertanya sendiri kepadanya bagi mengesahan tentang kehamilan tersebut.


FIGURA jelita ini memohon supaya jangan mendengar khabar angin tentang kehamilannya.


Terkejut dengan pertanyaan Kosmo!, Shahrin bagaimanapun tidak menafikan atau mengiyakan mengenai perkara tersebut (Yasmin Hani mengandung).

Yasmin Hani dan Shahrin telah mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober, 2011 di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama bekas pemain drum kumpulan Blackrose itu selanjutnya:

Kosmo!: Tahniah Shahrin, khabarnya Hani sudah mengandung?

SHAHRIN: Mana awak tahu perkara ini? Perkara ini (Yasmin Hani mengandung) belum confirm lagi.

Kenapakah anda kata belum disahkan lagi sedangkan saya tahu berita kehamilan ini pun daripada seorang sumber yang rapat dengan Yasmin Hani sendiri?

Ada sebab-sebabnya. Nanti kami akan buat pengumuman.

Kenapa tidak beritahu sahaja Yasmin Hani sudah mengandung?

Saya rasa baik awak tanya Hani sendiri mengenai perkara ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved