Ahad, 31 Mac 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


United kukuh cengkaman

Posted:

United kukuh cengkaman

United kukuh cengkaman

VAN PERSIE (kanan) menjadi watak penting yang membantu kemenangan 1-0 United ke atas Sunderland di Stadium of Light semalam


SUNDERLAND, England - Manchester United semakin hampir untuk memenangi gelaran ke-20 Liga Perdana England selepas menewaskan Sunderland 1-0 di Stadium of Light malam tadi.

Kemenangan tipis itu sudah cukup untuk mengukuhkan kedudukan skuad bimbingan Alex Ferguson di persada liga dengan kelebihan 18 mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.

Pada perlawanan tersebut, Ferguson merehatkan beberapa pemain utama seperti Rio Ferdinand dan Wayne Rooney untuk memberi peluang kepada Rafael, Michael Carrick, Antonio Valencia dan Shinji Kagawa bagi persiapan menghadapi aksi ulangan suku akhir PIala FA menentang Chelsea di Stamford Bridge malam esok.

Pasukan pelawat memperoleh gol tunggal perlawanan pada minit ke-27 apabila rembatan penyerang Belanda, Robin van Persie terkena kaki pemain pertahanan Sunderland, Titus Bramble.

Bagaimanapun, kem United cemas seketika apabila kepala penjaga gol, David de Gea berlaga dengan kapten, Nemanja Vidic pada minit ke-61.

Insiden itu memaksa de Gea mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan United tetapi dia masih mampu meneruskan permainan dan menampilkan aksi yang menakjubkan terutamanya menafikan percubaan pemain gantian Sunderland, Connor Wickham.

Kemenangan itu cukup menggembirakan United terutamanya selepas para penyokong Sunderland meraikan kegagalan skuad The Red Devils memenangi trofi Liga Perdana England pada perlawanan terakhir musim lalu.

Bagi Sunderland, kekalahan itu meletakkan mereka hampir pada zon penyingkiran dan bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan yang menduduki kelompok bawahan.

Sementara itu, United berpeluang untuk memperbaharui rekod Chelsea yang mengutip mata paling banyak dalam satu musim pada tahun 2004-05 iaitu 95 mata ketika menjadi juara.

Ketika ini, United sudah mengumpul 77 mata daripada 30 perlawanan. - Agensi

Impian Nicol berkecai

Posted:

Impian Nicol berkecai

Impian Nicol berkecai

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


NICOL gagal meraih gelaran juara buat kali kesembilan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur-CIMB 2013.


BADI gelanggang kaca di tanah air sendiri terus menghantui ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.

Lebih mengejutkan, Nicol gagal meraih gelaran juara buat kali kesembilan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur-CIMB 2013 apabila tumpas 12-10, 6-11, 8-11, 11-5 kepada pemain pilihan ketiga, Laura Massaro dari England di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur semalam.

"Sangat mengecewakan, terutamanya apabila tewas sekali lagi di venue dan di hadapan peminat sendiri. Bagaimanapun, saya sudah melakukan yang terbaik," kata Nicol selepas bermain selama 67 minit di gelanggang kaca itu.

"Massaro seorang pemain yang hebat dan saya tidak akan mengambil masa yang lama untuk menebus kekalahan ini.

Massaro menewaskan juara dunia tujuh kali itu sebanyak dua kali iaitu pada aksi final Cleveland Classsic 2011 dan separuh akhir Terbuka Singapura pada tahun yang sama.

Nicol juga menafikan yang tumpuannya dalam gelanggang terganggu sejak dia dilantik sebagai duta skuasy ke Sukan Olimpik 2020.

"Langsung tidak terganggu, malah latihan dan penyertaan saya pada kejohanan berjalan seperti biasa.

"Apa yang berlaku hari ini (semalam) adalah Massaro terlebih dahulu mendapat rentak permainan dan itu memberi kelebihan kepadanya untuk menguasai gelanggang," ulas pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

"Pukulan dan lantunan bola yang dilakukan Massaro sangat tajam dan kemas. Saya sendiri mengakui yang tumpuan saya sedikit meningkat dan menurun kerana mahu mengejar kedudukan mata serta menyesuaikan diri."

Nicol bermula cemerlang pada set pertama meskipun Massaro mendahului 3-1 sebelum lawannya itu memimpin set kedua 4-0, sekali gus menamatkan permainan dengan catatan 11-6.

"Saya tidak akan putus asa dengan kekalahan ini dan aksi seterusnya di Terbuka Britain, saya akan lakukan dengan lebih baik," katanya.

Malaysia ke separuh akhir

Posted:

Malaysia ke separuh akhir

Malaysia ke separuh akhir

Oleh MOHD. IKHSAN
FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

PASANGAN Boon Heong-Yin Loo tampil cemerlang meskipun mereka baru pertama kali digandingkan.


MALAYSIA mengesahkan slot ke separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata 2013 selepas menewaskan Vietnam 4-0 untuk menghuni tangga kedua peringkat kumpulan di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Skuad negara kini meraih 18 mata daripada enam perlawanan sejak kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$1 juta (RM 3.1 juta) pada 21 Mac lalu.

Mengulas mengenai pencapaian itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, beliau berharap para pemain akan tampil dengan lebih baik dan kekal di tangga kedua.

"Sasaran untuk ke separuh akhir sudah tercapai. Jadi, kami letak sasaran baharu untuk mara ke final pula.

"Saya harap laluan pada separuh akhir akan lebih mudah dan undian tidak menemukan kami dengan Indonesia.

"Begitupun, kami akan cuba sedaya upaya untuk menewaskan siapa yang akan menjadi pencabar kami kelak," kata Ra- shid.

Saingan peringkat kumpulan masih belum berakhir dan pasukan Malaysia akan menentang Pilihan Bintang Asia sebagai perlawanan terakhir pusingan round robin di venue yang sama pada pukul 2 petang hari ini.

Pada aksi keenam peringkat kumpulan semalam, Sonia Cheah Su Ya yang sekali lagi diberi keutamaan menggalas tugas selaku perseorangan wanita meraih mata pertama untuk negara selepas dia menewaskan Vu Thi Trang 21-11, 18-21, 21-11.

Perlawanan kedua terus menyaksikan Malaysia mendahului Vietnam apabila perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng mudah menundukkan pencabarnya, Nguyen Hoang Nam dengan straight set 21-16, 21-13.

Kejayaan yang sama turut dilakarkan oleh gandingan campuran negara, Tan Boon Heong-Lim Yin Loo yang mencatat kemenangan 22-20, 17-21, 21-7 ke atas Duong Bao Duc-Thai Thi Hong Gan.

Biarpun baru pertama kali digandingkan sebagai beregu campuran, namun Boon Heong mengakui yang dia terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

"Ini kali pertama saya beraksi dengan Lim Yoo dalam satu kejohanan. Kami tidak pernah berlatih bersama dan saya masih belum sesuai untuk beraksi dalam kategori ini (beregu campuran)," jelas Boon Heong.

Kemudian, pungutan mata keempat disempurnakan oleh beregu lelaki, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang ternyata begitu mudah menundukkan lawan mereka, Nguyen Khang Huynh-Bao Minh dengan 21-7, 21-12.

Dalam perkembangan lain, Indonesia turut mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir apabila mereka mendahului peringkat kumpulan dengan pungutan 19 mata.

Empat pasukan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur pada 13 April ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved