Ahad, 31 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


MUG satukan pencinta ukulele

Posted:

MUG satukan pencinta ukulele

MUG satukan pencinta ukulele

TERDAPAT pelbagai jenis saiz dan reka bentuk ukulele di pasaran.


Mega mendung di angkasa

Hembusan bayu dingin terasa

Gerimis berderai di merata

bagai mutiara

Rahmat dibawa bersama

Limpahannya meresap di jiwa

Adakala bahagia terasa

Meskipun duka nestapa...

KEDENGARAN suara milik jejaka berusia 27 tahun mula mengalunkan lagu Keroncong Rembulan sambil jari-jemarinya rancak memetik alat muzik.

Walaupun suaranya tidaklah semerdu mana, namun dengan iringan petikan tali instrumen muzik bersaiz kecil yang bentuknya persis gitar membuatkan suara Muhd. Satria Utama Gawe berpadu dengan irama lagu yang dimainkan.

Nyanyiannya kemudian disambut oleh tiga rakan lain termasuk seorang perempuan Cina, Doreen Lim, 35, yang tidak canggung menyanyikan lagu keroncong.

Kehadiran empat sahabat bermain alat muzik berasal dari Hawaii iaitu ukulele di tepi siar kaki sebuah galeri lukisan di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur ternyata menarik perhatian pengunjung yang lalu-lalang.

Bagi Satria, Doreen, Anuar Omar, 32, dan Zarith Sofia Syed Ramli, 25, pandangan pelik khalayak pengunjung terhadap mereka sesuatu yang biasa.

"Mula-mula dulu, malu juga apabila orang pandang semacam pada kami, tapi lama-kelamaan sudah biasa kerana kami bermula dengan bermain muzik di jalanan.

"Soalan paling lazim orang tanya adalah mengenai gitar kecil yang kami mainkan ini. Jika dulu ukulele ini agak asing di Malaysia, kini ia sedang meraih populariti dengan pendedahan media dan artis," kata Anuar yang merupakan Presiden Malaysia Ukulele Group (MUG).

EMPAT sekawan ini sering kali meluangkan masa berkumpul bersama bermain ukulele sambil menyanyi bersama.


Belajar daripada YouTube

Anuar sendiri hanya mengenali ukulele melalui filem animasi Lilo & Stitch pada tahun 2004 selepas tertarik dengan bunyi alat muzik yang dimainkan Stitch.

Selepas mendapat tahu, alat muzik tersebut ialah ukulele, anak kelahiran Kluang, Johor itu keluar masuk kedai muzik untuk mendapatkannya. Akhirnya dia berjaya membeli ukulele di Kedai Muzik Woh Fatt yang terletak di Jalan Silang, Kuala Lumpur.

"Walaupun tidak tahu memainkannya dan tiada kelas ukulele, saya hanya belajar melalui YouTube. Dalam masa dua minggu saya sudah boleh menguasainya kerana sebelum ini saya memang mempunyai asas bermain gitar.

"Ukulele lebih mudah berbanding alat-alat muzik bertali yang lain, malah ia lebih senang daripada main rekorder," ujarnya yang kini memiliki tiga buah ukulele terdiri daripada jenis soprano dan tenor.

Berbanding dengan gitar yang mempunyai enam tali, ukulele memiliki empat tali sahaja dan bunyinya lebih tinggi daripada bunyi gitar.

Dek minat yang mendalam terhadap ukulele, empat sahabat itu menubuhkan komuniti Malaysia Ukulele Group (MUG) pada tahun 2010 dan secara rasmi menemui khalayak selepas didaftarkan pada bulan Mac 2012.

Melihatkan perkembangan ukulele yang meluas, ahli MUG sudah mencecah 1,000 di laman rangkaian sosial, Facebook dan jumlahnya semakin bertambah saban hari.

"MUG terdiri daripada pelbagai bangsa dan ahlinya dalam lingkungan umur empat tahun hingga 70 tahun. Sebenarnya ramai yang mahir bermain ukulele, tetapi masing-masing malu untuk tampil ke depan.

"Ada suatu ketika selepas kami menubuhkan MUG, ukulele kehabisan stok di Malaysia," katanya yang pernah bermain ukulele dalam kereta ketika berada dalam kesesakan lalu lintas.

Bukan sekadar main syok sendiri, MUG turut menerima undangan bermain muzik pada parti hari lahir, perkahwinan, rumah amal dan menganjurkan bengkel ketika sesi jamming yang selalunya dilakukan di Tasik Titiwangsa.

MUG juga bergerak ke negeri-negeri bertemu rakan-rakan seperjuangan bagi mengeratkan ukhuwah melalui muzik sambil bertukar-tukar pendapat.

"Dahulu ketika YouTube menjadi rujukan utama, kita belajar seorang diri. Walaupun tidak tahu main, redah juga, tapi apabila adanya MUG, kita boleh belajar sesama sendiri.

"Kebanyakan ahli yang masuk komuniti MUG ini tidak tahu main muzik, tetapi mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap ukulele," ujar Doreen yang berjinak-jinak dengan ukulele pada penghujung Oktober 2009.

Enak dengan muzik keroncong

Ukulele sesuai dimainkan untuk semua jenis lagu lebih-lebih lagi irama lagu klasik seperti keroncong, lagu 60-an dan lagu P. Ramlee. Lagu moden juga tidak kurang menariknya.

"Kebanyakan lagu-lagunya berunsur ceria. Mendengar muziknya sahaja sudah memberikan perasaan yang gembira. Mainkan lagu sedih pun tiada mood sedih.

"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu keroncong, apabila bergaul dengan mereka saya belajar lagu keroncong dan mula menyukainya. Pada masa yang sama saya juga mainkan lagu-lagu Cina dan mengajar mereka," katanya sambil menyifatkan MUG sebagai platform pertukaran budaya.

Bagi Satria pula, saiz ukulele yang kecil memudahkannya membawa alat muzik comel itu ke mana sahaja sejak mengenali ukulele 2004.

Pelukis sepenuh masa dari Kota Kinabalu, Sabah itu membeli ukulele soprano pertamanya pada harga RM50 dan memainkannya tidak kira tempat walaupun khalayak menganggapnya bermain gitar mainan.

"Ukulele ada empat jenis iaitu soprano, concert, tenor dan baritone. Sopranino pula lebih kecil daripada soprano.

"Cara penjagaannya lebih kurang seperti gitar. Tukar tali apabila putus atau talinya sudah mati. Jika mahu ukulele kelihatan berkilat dan cantik, sapukannya dengan minyak," katanya.


MUG turut menerima undangan bermain muzik sama ada untuk parti hari lahir, aktiviti amal dan majlis perkahwinan.


Jemputan persembahan

Menurut Satria, MUG menjadi platform bagi ahli-ahlinya bermain ukulele kerana kelas-kelas belajar ukulele sangat terhad. Jika adapun ia lebih kepada kelas permulaan sahaja, tiada untuk peringkat pertengahan dan lanjutan.

"Cara paling senang bermain ukulele ini dengan belajar bersama-sama," ujarnya.

Dalam pada itu, selaku Setiausaha MUG, Sofia sendiri pada awalnya hampir putus asa, namun selepas mempelajari teknik yang betul daripada rakan-rakan lain, pereka hiasan dalaman Plaza Sentral itu semakin ligat bermain ukulele.

Menguasai ukulele dalam masa sebulan, Sofia tidak menafikan bahawa dia agak tertekan bermain ukulele pada awal pembabitannya memandangkan ia memerlukan seseorang itu memetik ukulele, menukar-nukar not dan menyanyi dalam masa yang sama.

"Nak bermain ukulele ini perlu ada minat, sabar, jangan mudah putus dan perlu selalu berlatih. Jangan ingat main sekali terus dapat tangkap.

"Ini merupakan aktiviti sihat dan ahli-ahli MUG umpama sebuah keluarga besar. Di sini kita boleh lihat, ibu dan anak, bapa dan anak belajar ukulele bersama-sama, secara tidak langsung ia merapatkan hubungan kekeluargaan," katanya sambil memberitahu lebih ramai wanita bermain ukulele berbanding lelaki, namun mereka segan untuk menonjolkan diri.

Walaupun adakalanya Sofia kepenatan kerana memenuhi banyak permintaan membuat persembahan, waktu 'rehat' bermain ukulele tidak boleh terlalu lama kerana rindu yang menggamit.

"Tiada bayaran tetap dikenakan jika ada yang menjemput kami untuk membuat persembahan. Lihat pada bajet mereka.

"Melalui cara ini, secara tidak langsung kami dapat memperkenal dan mempromosikan ukulele dan MUG kepada khalayak," ujarnya.

Variasi ukulele di Ukulele Malaya

Posted:

Variasi ukulele di Ukulele Malaya

Variasi ukulele di Ukulele Malaya

Oleh NURUL IZZA ROSLY


KHAIRIL FAIZI membuka premis menjual ukulele selepas menyedari potensi instrumen tersebut di Malaysia.


TIDAK seperti beberapa tahun dahulu, kini ukulele mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik yang inginkan kelainan. Bagi peminat tegar ukulele, pasti nama Ukulele Malaya tidak asing buat mereka kerana premis tersebut bukan sahaja menjual ukulele pelbagai jenama, tetapi turut mengadakan kelas bagi mereka yang mahu berjinak-jinak bermain ukulele.

Ia dibuka pada pertengahan tahun 2010, selepas Khairil Faizi Abu Bakar, 34, selaku pengasas bersama Ukulele Malaya menyedari potensi industri ukulele yang semakin berkembang di Malaysia.

Segalanya bermula apabila, Khairil Faizi bekerja di Venezuela pada tahun 2008 hingga 2009. Walaupun tiada latar belakang dalam muzik, dia mengakui gemar mendengar muzik di negara orang.

"Apabila melihat kawan-kawan beli ukulele, saya ikut membeli walaupun tidak pandai bermain. Belajar melalui internet dan ia ternyata membantu.

Pelbagai jenama

"Ukulele pertama dibeli di Amerika Syarikat kemudian membawanya pulang ke Malaysia. Saya cuba mencari casing untuk ukulele di sini, tetapi pada ketika itu tiada yang menepati cita rasa," katanya yang mula membeli aksesori ukulele secara dalam talian.

Merasai kepayahan untuk mendapatkan aksesori ukulele, terdetik dalam hatinya untuk menjalankan bisnes instrumen muzik tersebut.

Menurut Khairil Faizi yang merupakan seorang jurutera bebas, terdapat tujuh hingga 10 jenama ukulele.

Antara jenama yang dijual di Ukulele Malaya ialah Makala, Kala, Kamaka, KoAloha, Kanile'a, Ohana, Koolau, Pono, Lanikai, Bruko, EleUke, ANeuNue, Kahua, Waikiki, Mele, Aria, Mahalo, Makai, Hulala dan jenamanya sendiri iaitu Ukuma.

"Setiap jenama yang dijual lengkap dengan pelbagai saiz ukulele dan buatannya dari Hawaii, Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan.

"Biasanya, apabila seseorang itu mahu membeli ukulele, mereka akan pilih bunyi mana yang mereka minat dan suka. Bunyi antara saiz tidaklah ketara sangat," ujarnya.

UKULELE Malaya juga tampil dengan ukulele jenamanya sendiri iaitu Ukuma.


Ukulele di Ukulele Malaya dijual antara harga RM75 hingga RM3,500 sebuah dan kebanyakannya diperbuat daripada material kayu.

Ukulele Malaya turut menjual aksesori ukulele seperti beg, tunner, amplifier, strap, hard case, cakera video digital (DVD) dan buku-buku not ukulele.

Pendek kata, segala yang berkaitan dengan ukulele dijual di Ukulele Malaya, malah kelas untuk beginner dan intermediate turut disediakan.

"Dua tenaga pengajar akan mengajar pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Satu hari akan ada tiga kumpulan iaitu tujuh orang bagi setiap kumpulan.

"Kelas akan berlangsung selama dua jam bagi setiap kumpulan dengan bayaran RM250 untuk dua bulan," katanya sambil memberitahu pelajar ukulele paling muda berusia lapan tahun dan paling senior berusia 62 tahun.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved