Selasa, 19 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bisnes produk ungkapan positif

Posted:

Bisnes produk ungkapan positif

Bisnes produk ungkapan positif

PELBAGAI kata-kata positif dalam bentuk kad boleh dibeli di Positive Emporium.


PENGUNJUNG di pusat beli-belah Publika berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur yang lalu-lalang di hadapan premis Positive Emporium di paras G2 akan memperlahankan langkah atau berhenti seketika untuk membaca ungkapan-ungkapan yang dizahirkan pada bingkai-bingkai di kaki lima premis. Ungkapan-ungkapan tersebut seolah-olah menyambut kehadiran sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke sebuah premis berkeluasan kira-kira 15.79 meter persegi itu.

Antara ungkapan yang tertera ialah Untuk Sukses Tiada Istilah Sakit, yang ada hanya bangkit; Satu langkah lebih baik daripada seribu angan-angan; Selagi masih hidup, masih ada harapan dan sebagainya.

Kepada Mohd. Khairul Nizam Johari, 28, paparan kata-kata penuh inspirasi memberikan kesan mendalam kepada dirinya.

"Saya sukakan kata-katanya yang ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam. Produk pertama saya beli berupa bingkai yang tertulis kata-kata Stop wishing, start doing dan yang kedua ialah Every wall is a door.

"Kata-kata ini saya letakkan di meja belajar dan pada dinding bilik yang kini sudah penuh dengan kata-kata pemberi semangat kepada saya," kata Penolong Pengurus di MAS Golden Lounge.

Positive Emporium satu-satunya premis yang menawarkan 100 peratus produk berpaksikan kata-kata positif penuh motivasi di Malaysia.

Pelbagai pilihan produk dijual seperti organizer dan pelekat yang boleh diletakkan di mana-mana sahaja.

Mengakui kata-kata tersebut memberikannya semangat apabila rasa rendah diri menyelubungi, dia kini bangkit daripada bekerja sebagai seorang chef kepada seorang penolong pengurus.

Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan setia Positive Emporium, Noorul Sakinah Mohamad, 27, memberitahu, dia sanggup mencari lokasi Positive Emporium walaupun tinggal di Temerloh, Pahang selepas melihatnya di laman sosial Facebook.

"Selepas berkunjung ke sana buat pertama kali pada bulan Disember tahun lalu, saya terus teruja melihat pelbagai produk yang dijual di situ.

"Walaupun kedainya kecil, kesan kata-katanya cukup besar kepada saya. Sejak itu, saya tidak pernah ketinggalan membeli produk-produknya secara dalam talian," katanya yang merupakan salah seorang pelanggan tetap yang membeli secara talian. Positive Emporium juga mengemaskini produknya melalui aplikasi Whatsapp.

Menggemari ungkapan, 99% of success is failure, kata-kata positif membuatkan mindanya sentiasa positif dan yakin dalam melakukan sesuatu perkara. Dia juga gemar memberikan hadiah berupa kata-kata positif buat rakan-rakan yang mendirikan rumah tangga dan menyambut hari lahir.

Sementara itu, pemilik Positive Emporium, Nur Azam Zamberi, 33, nekad meneruskan perniagaan tersebut kerana mahu membenihkan pemikiran positif kepada komuniti.

Bermula secara kecil-kecilan, bisnesnya beroperasi di jalanan. Nur Azam kemudian mengembangkan bisnes dalam industri kewangan dan kini menyandang jawatan Pengarah Agensi Kumpulan bagi Etiqa Takaful Berhad.

Tambahnya, ungkapan-ungkapan membina yang diperoleh melalui pembacaan, seminar dan majalah membuatkan semangatnya sentiasa membara.


NUR RIZA sedia membantu apabila anda berkunjung ke Positive Emporium.


Agenda utama

Nur Azam pernah memborong poster-poster kata-kata positif untuk diletakkan di pejabat dan bilik tidur.

Menurut anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu, dia tidak meletakkan nilai komersial sebagai agenda utama. Bisnes itu turut didokong oleh dua adiknya iaitu Nur Rini dan Nur Riza yang masing-masing berusia 27 dan 24 tahun.

Berbekalkan inspirasi dalam dirinya, tiga beradik tersebut mula membuka gerai kecil dengan modal RM100 pada akhir tahun 2011.

Melihatkan sambutan yang menggalakkan terhadap produk jualan di gerai, Nur Azam bertekad meluaskan empayar positifnya dengan membuka sebuah premis di Publika dengan sewa RM4,000 sebulan berbekalkan modal RM100,000.

Menurut Nur Azam, semua orang memerlukan kata-kata positif, baik seorang anak, seorang ibu, seorang pelajar, ahli perniagaan, lebih-lebih lagi usahawan yang selalu berdepan dengan penolakan.

Item yang mendapat tempat dalam hati pelanggan ialah pelbagai jenis bingkai yang mengandungi kata-kata inspirasi yang unik dan berkesan.

"Kata-kata yang selalu dibeli pelanggan ialah Every Wall Is A Door. Kebanyakan pelanggan sukakan perkataan-perkataan yang ringkas, malah ada pula yang gemar kata-kata yang mempunyai impak.

"Ada seorang mat saleh datang dan terbaca ungkapan, If you born poor it is not your fault, if you die poor it is your fault. Teruja dengan kata-kata tersebut, dia terus membelinya," ujarnya sambil memberitahu item yang paling laris dijual ialah bingkai dan button batch.

Selain bingkai, Positive Emporium menjual pelbagai produk lain seperti kad nota, baju-T, button batch, jam, koleh, pelekat, buku nota, rantai kunci, penanda buku, poskad dan organizer.

Berbekalkan kepakaran dalam bidang grafik, Nur Rini dan Nur Riza membuat reka bentuk terhadap setiap produk yang dijual.

"Setiap kata-kata ada cara susunannya kerana ia mampu mempengaruhi emosi pembaca," kata Nur Rini sambil memberitahu, pemilihan fon dan saiz sangat penting dan ia tidak boleh dilakukan sebarangan.

Walaupun menjual kata-kata ungkapan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, ada dalam kalangan mat saleh yang membeli ungkapan bahasa Melayu untuk dijadikan kenang-kenangan.

Sambil memberitahu akan memperbanyakkan suntikan elemen Islamik dalam masa terdekat, setiap hari Positive Emporium akan menampilkan ungkapan-ungkapan baharu yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook.

SESIAPA sahaja yang lalu-lalang di premis ini akan teruja membaca kata-kata positif yang setia menyambut ketibaan pengunjung.


Ragam pengguna

Menggunakan laman maya seperti Facebook, Instagram dan Twitter sebagai medium promosi, adik-beradik tersebut turut menjual rangkaian produk mereka secara talian.

"Pelbagai ragam yang dapat kami lihat. Ada yang datang menyalin apa dibaca seolah-olah sedang menaip mesej dan mengambil gambar menggunakan telefon," katanya bahawa Positive Emporium dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Bagi memberikan kepelbagaian kepada para pelanggan, Nur Riza memberitahu, sekurang-kurangnya lima ungkapan baharu setiap bulan akan dizahirkan mengikut tema.

Barang-barang Positive Emporium dijual dari RM5 hingga RM700.

Walaupun usia Positive Emporium baru masuk bulan keempat, Nur Azam rancak merencanakan masa depan perniagaan tersebut. Nur Azam mahu menjual produknya melalui ebay. Dalam tempoh dua tahun lagi, dia merancang mengadakan PositivEmporium Megastore. PositivEmporium Megastore akan menjual pelbagai barangan selain menganjurkan bengkel seni.

"Melalui bengkel ini, pelanggan boleh menghasilkan sesuatu dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri," ujarnya," katanya yang turut mempunyai gerai di The Street@ The Curve dibuka pada setiap hujung minggu.

Gaya hidup mewah haiwan peliharaan

Posted:

Gaya hidup mewah haiwan peliharaan

Gaya hidup mewah haiwan peliharaan

PENINGKATAN taraf hidup orang muda Singapura menyebabkan mereka mampu memanjakan haiwan peliharaan mereka dengan pelbagai aktiviti mewah.


SAMBIL bersandar di tepi bot, para penumpang mendongakkan kepala untuk menghirup udara pagi yang segar selepas kapal layar katamaran itu berlepas dari sebuah jeti di Singapura. Ia kelihatan seperti sebuah pelayaran biasa, namun hakikatnya penumpang yang dimaksudkan itu bukanlah manusia sebaliknya beberapa ekor anjing.

"Sebenarnya, ini adalah pelayaran ketiga untuk mereka," kata Andy Pe, 43, pemilik anjing labrador kuning, retriever keemasan, dua ekor mongrels dan dua ekor labrador hitam.

"Mereka amat gembira tatkala menikmati angin dan air laut."

Daripada pelayaran bot dan spa khusus untuk binatang, hinggalah ke bahagian berita kematian dalam akhbar, haiwan dimanjakan secara luar biasa di Singapura, sebuah negara di Asia yang memiliki standard hidup tinggi.

Pemilik kapal layar, Joe Howe, 48, memulakan syarikat Pelayaran Binatang sejak Julai lepas.

Kapal layar katamaran sepanjang 26 kaki (7.8 meter) miliknya turut mempunyai dek renang, dipenuhi dengan stok stesen pembersihan dan jaket keselamatan untuk anjing.

Pada hujung minggu, harga pelayaran selama dua jam boleh mencecah RM100 untuk setiap tetamu, manakala jika mahu membuat tempahan keseluruhan kapal harganya RM1,000.

Howe, seorang bekas broker yang telah bersara kini menawarkan dua pelayaran setiap minggu secara purata. Dia juga mempunyai penumpang yang membawa kura-kura di atas kapal.

"Pasangan muda memilih untuk membela haiwan peliharaan sebelum memiliki anak-anak. Ia adalah pilihan mereka dan pada masa-masa tertentu menjadi pengganti kepada anak," kata Howe.

Pemilik haiwan rata-rata juga bersetuju dengan kenyataan Howe. "Haiwan peliharaan dilayan seperti anak-anak sendiri kerana saya masih bujang dan mempunyai banyak masa," kata Pe sementara kapal layar itu melepasi kepulauan Seletar yang membawa anjing-anjingnya untuk menikmati angin laut.

Serba mewah

Menurut data rasmi, terdapat kira-kira 57,000 anjing berdaftar pada tahun 2012 di Singapura. Sebuah pulau yang padat dengan populasi penduduk 5.3 juta orang, majoriti penduduknya tinggal di blok apartmen bertingkat tinggi dengan bilik kecil untuk anjing berkeliaran di dalamnya.

Terdapat lebih daripada 250 kedai haiwan berlesen di negara itu dengan kebanyakannya beroperasi di pusat membeli-belah. Ia menawarkan segala-galanya daripada haiwan peliharaan seperti hamsters pada harga S$10 (RM25) kepada anjing baka tulen berharga beribu-ribu dolar.

Pengarah Eksekutif Petopia, Marcus Khoo iaitu sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan dandanan dan penginapan kepada anjing berkata, pemilik bersedia membayar harga premium untuk kesejahteraan haiwan kesayangan mereka.

Rekaan dalaman moden kedai tersebut dihiasi dinding panel kaca bagi membolehkan para pemilik melihat haiwan mereka yang sedang menjalani rawatan.

"Orang sekarang memahami kualiti gaya hidup seekor anjing bukan hanya mengenai sangkar dan makanan haiwan itu," Khoo memberitahu AFP.

Perkhidmatan yang terbaik bagi anjing-anjing ini tentu sekali bukan murah.


PE sanggup membelanjakan ribuan ringgit sebulan untuk anjing-anjing peliharaannya.


Satu rawatan mandian buih-buih mikro selama 20 minit bagi bebas bau boleh mencapai kos antara RM160 hingga RM300, bergantung pada baka dan saiz anjing.

Yoga anjing atau doga juga mula mendapat tempat di Singapura selepas menjadi popular di Hong Kong dan Taiwan.

"Haiwan kesayangan ditinggalkan di rumah selama berjam-jam, jadi doga adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara pemilik dan anjing," kata pemilik Super Cuddles Clubhouse, Ow Rosalind, 42, yang mula menawarkan kelas doga bermula Ogos lepas.

Pilihan mewah juga dilanjutkan kepada haiwan yang mati. Pemilik boleh menerbitkan penghargaan untuk haiwan kesayangan dalam seksyen iklan dalam akhbar terkemuka negara itu, The Straits Times pada hari Ahad.

Di Pusat Pembakaran Haiwan yang terletak di pinggir bandar, tempat persemadian abu boleh disewa selepas perkhidmatan pengebumian.

"Kebanyakan pemilik melayan haiwan kesayangan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri. Kematian haiwan adalah satu isu yang sangat sensitif. Apabila seekor haiwan yang biasanya tidur dengan mereka yang tiba-tiba hilang daripada kehidupan mereka, ia sangat menyedihkan," kata pemilik sebuah rumah pembakaran mayat haiwan, Patrick Lim, 60.

Satu upacara pembakaran yang paling biasa untuk anjing boleh mencapai kos sekitar RM370 ke RM1,300 bergantung kepada saiznya.

Pemilik boleh memilih untuk pembakaran ekspres. Bayaran tambahan dikenakan, tentu sekali. Mereka dikenakan bayaran RM750 selepas itu untuk meletakkan abu dalam kolumbarium selama satu tahun. Selepas itu sewa tersebut akan berkurangan kepada RM450 setahun.

Bagaimanapun, terdapat satu sisi gelap kepada kesukaan yang semakin meningkat terhadap haiwan kesayangan di Singapura. Beberapa haiwan akhirnya dilihat dibuang selepas minat berkurangan dan realiti perlu menjaga untuk jangka panjang sukar dipenuhi.

Anjing dan kucing yang ditinggalkan termasuk tikus belanda, menanti diambil dalam kandang besi di Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan (SPCA).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved