Rabu, 13 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penginapan istimewa tingkat 17

Posted:

Penginapan istimewa tingkat 17

Penginapan istimewa tingkat 17

Hotel Grand Bluewave Shah Alam, Selangor


TATKALA berada di kafe atau restoran hotel bertaraf lima bintang di negara ini, mata para tetamu lazimnya 'dijamu' dengan susunan botol-botol minuman keras yang disusun rapi pelbagai jenama.

Bahkan, pemandangan pelanggan menikmati minuman keras tersebut umpama satu pemandangan biasa di hotel-hotel berkenaan.

Bagaimanapun, hari ini industri perhotelan negara melangkah era baharu apabila terdapat hotel lima bintang yang menawarkan perkhidmatan berkonsepkan Islam.

"Saya menyambut baik usaha pihak hotel yang menawarkan perkhidmatan berkonsep Islam, tiada minuman keras manakala restoran-restoran menyajikan makanan halal.

"Sebagai seorang beragama Islam, saya pasti memilih hotel ini kerana kita dituntut mencari yang halal," kata Syahrull Nizam Perdan, 37.

Dia merupakan seorang jurutera ditemui Kosmo! ketika menginap di Hotel Grand Bluewave Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Hotel lima bintang yang terletak di Seksyen 14 itu menerima Anugerah Standard Kualiti Islam Untuk Rekabentuk Hotel oleh Universal Crescent Standard Center (UCSC) di Persidangan Antarabangsa Standard Pelancongan Islamik pertama yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada bulan Disember tahun lalu.

Persidangan itu dianjurkan bersama Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan disokong oleh Caprice Group, Turki.

Pengiktirafan yang diperoleh Hotel Grand Bluewave Shah Alam itu setelah memenuhi beberapa kriteria seperti tiada minuman keras, menyajikan makanan halal dan petunjuk arah kiblat di bilik hotel.

Pengunjung juga dapat melihat perubahan yang berlaku di hotel berkenaan. Seiring dengan usaha menawarkan makanan halal di setiap restoran, khidmat hospitaliti menurut sistem Islam turut diterapkan dan tiada botol-botol minuman keras.

MOHD. GHAZALI gembira kerana Hotel Grand Bluewave Shah Alam menjadi perintis hotel lima bintang berkonsep Islam di negara ini.


Khas untuk wanita

Terdapat beberapa bingkai gambar yang tergantung di dinding termasuk di lobi hotel menunjukkan pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kesemua 341 bilik hotel juga dilengkapi dengan tanda arah kiblat dan sejadah. Al-Quran pula boleh dipesan pelanggan dan akan dihantar ke bilik. Surau untuk kegunaan pelanggan disediakan di tingkat 1A.

Lebih menarik, pelanggan wanita turut diberi keistimewaan untuk menginap di tingkat 17 yang dikhususkan kepada mereka. Selepas keluar dari lif di tingkat 17, para pelanggan yang hanya mempunyai kad akses khas boleh memasuki kaki lima di tingkat berkenaan.

Pihak hotel telah memasang satu pintu khas dengan sistem keselamatan tersendiri bagi mengelakkan lelaki memasuki aras berkenaan.

"Pekerja yang membersihkan bilik atau menghantar makanan juga merupakan kaum wanita, pendekatan ini memberikan lebih keselesaan kepada para pelanggan wanita. Paling penting, tahap keselamatan di tingkat 17 ini lebih ketat," kata pengurus hotel, Mohd. Ghazali Sayed Ibrahim.

Kemudahan tersebut kini mendapat sambutan terutama dalam kalangan wanita bekerjaya atau mereka yang datang secara kumpulan dan bebas daripada lelaki.

Pihak hotel juga menawarkan kemudahan kolam renang tertutup kepada wanita untuk beriadah. Bagi memudahkan pelanggan wanita, masa yang ditetapkan untuk menggunakan kemudahan itu ialah selama sejam setiap hari bermula dari pukul 2.30 petang.

PETUNJUK arah kiblat, al-Quran dan sejadah disediakan untuk kemudahan pelanggan beragama Islam.


Sokongan kakitangan

Pada waktu itu, pelanggan wanita boleh menggunakan kemudahan gimnasium yang dikhas untuk mereka sahaja.

"Kemudahan khas kepada wanita membuat mereka lebih selesa dan rasa selamat. Saya juga gembira disebabkan pihak hotel prihatin dengan keperluan umat Islam," kata Zulkifle Omar, 42, yang barasal dari Marang, Terengganu.

Menyingkap usaha ke arah hotel berkonsep Islam, ia dimulakan sendiri oleh kakitangan peringkat atasan sejak tujuh tahun lalu.

Usaha tersebut mendapat sokongan daripada kakitangan peringkat bawah yang melihatnya sebagai satu perubahan positif sekali gus memberikan lebih keberkatan terhadap rezeki mereka.

Menurut Mohd. Ghazali, dengan bilangan kakitangan beragama Islam yang ramai dan anggaran 80 peratus pelanggan beragama Islam, ia merupakan satu jihad bagi memastikan semua pihak mendapat kebaikan dan keberkatan.

Meskipun hotel berkenaan dimiliki oleh orang Jepun, ia bukanlah satu masalah kerana usaha tersebut mendapat sokongan daripadanya.

Kedudukan Hotel Grand Bluewave di pusat bandar raya Shah Alam yang merupakan bandar raya Islamik memberikan satu kelebihan. Lokasi hotel dengan masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah juga hanya 1 atau 2 kilometer sahaja.

Sebelum ini, para pekerja hotel juga telah dididik melaksanakan tugas lebih islamik. Pemakaian tudung dalam kalangan pekerja tidak pernah dihalang.

"Pada peringkat awal tidak dinafikan banyak cabarannya, namun kita perlu yakin usaha ke arah memartabatkan agama akan mendapat keberkatan," kata Mohd. Ghazali yang telah berkhidmat selama 16 tahun di hotel berkenaan.

Chef Ng Choon Meng, 45, yang bertugas di Restoran Cina Tung Yuen di hotel tersebut mengakui berdepan tugas sukar pada peringkat awal apabila menyediakan masakan Cina tanpa menggunakan wain.

Terbabit selama 27 tahun dalam industri makanan dan minuman, kemampuan anak kelahiran Ipoh, Perak itu menyediakan masakan Cina tidak diragui.

Bagaimanapun, dia memerlukan masa sehingga enam bulan bagi memastikan masakan yang disediakan halal tanpa menggunakan bahan-bahan yang tidak diyakini.

"Sebelum ini, saya sering menggunakan wain dalam masakan dan langkah pihak majikan menjadikan hotel berkonsep Islam merupakan satu ujian besar kepada saya kerana penggunaan wain dalam masakan Cina memberikan aroma berbeza.

"Enam bulan kemudian barulah saya berpuas hati dengan masakan tersebut. Hidangan tetap sedap dan tiada pelanggan yang merungut malah pelanggan beragama Islam rasa lebih selesa serta tidak ragu-ragu untuk menjamu di restoran ini," katanya yang telah berkhidmat selama 11 tahun di hotel berkenaan.

Seorang lagi pekerja hotel itu, Nurzurida Dollah Taib, 36, berkata, langkah-langkah yang diambil pihak hotel dengan menawarkan perkhidmatan berkonsep Islam mendapat sambutan baik dalam kalangan pekerja.

Jelasnya, walaupun pengiktirafan tersebut diperoleh baru-baru ini, namun pihak hotel sebenarnya tidak pernah menghalang pekerja memakai tudung atau menunaikan solat.

"Tiada minuman keras dan restoran berstatus halal memberikan lebih keselesaan untuk pekerja beragama Islam melakukan tugas harian dan pendapatan yang diperoleh juga lebih diberkati," katanya.

Jenayah kejam simbah asid

Posted:

Jenayah kejam simbah asid

Jenayah kejam simbah asid


PAKAR Bedah Plastik, Dr. Hamid Hassan (kanan) berkata sesuatu kepada Naziran sebelum meneruskan prosedur memperbaiki struktur kelopak matanya.


TIDAK ramai yang mempunyai kepercayaan terhadap undang-undang dan ketelusan perbicaraan mahkamah di Pakistan.

Pada masa yang sama, pihak yang berkempen tentang kesedaran jenayah serangan asid baru-baru ini memberitahu, jenayah tersebut telah meningkat tiga kali ganda walaupun hukuman yang lebih berat telah dipersetujui sejak tahun 2011.

Beratus-ratus wanita, malah tidak ketinggalan lelaki dewasa dan kanak-kanak Pakistan menjadi cacat setiap tahun akibat keganasan rumah tangga.

Para aktivis turut memuji tindakan pemerintah Pakistan kerana menggubal undang-undang baharu demi menyokong hak asasi manusia, meskipun masih berdepan dengan cabaran pelaksanaan.

Pada tahun 2011, Parlimen Pakistan menetapkan hukuman penjara minimum 14 tahun dan denda sejuta rupee (RM31,000) bagi mereka yang didapati melakukan jenayah menyimbah asid.

Sabit jenayah

Menurut Pengerusi Yayasan Mangsa Asid, Pakistan, Valerie Khan Yusufzai, kadar sabitan kesalahan bagaimanapun meningkat dari enam peratus kepada 18 peratus pada tahun 2012.

Seorang Peguam, Sikander Naeem berkata: "Tugas peguam untuk menyabitkan penjenayah asid lebih mudah, malah kenyataan mangsa sahaja sudah mencukupi bagi menyabitkan kesalahan tertuduh," katanya.

Begitupun, bagi kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan kekal termasuk menjadi buta, hukuman yang dijatuhkan itu masih terlalu ringan.

Sidra Javed telah disimbah asid pada Jun 2011 kerana telah menolak anak pengurus di kilang yang cuba menguratnya. Sidra yang bekerja sebagai pembuat bekas air hanya mendapat gaji sebanyak RM46 sebulan.

Keluarganya telah berkorban segala-galanya dan akhirnya penyerang wanita itu dipenjara pada bulan Julai tahun lalu.

"Saya berasa lega dan gembira kerana usaha bapa selama ini berhasil, namun apabila memikirkan bagaimanakah untuk meneruskan kehidupan dengan keadaan cacat, saya fikir hukuman ke atas penyerang itu sepatutnya lebih berat," keluhnya.

Bapa Sidra yang bekerja membaiki televisyen terlalu sedih dan terganggu akibat kes tersebut. Perniagaannya juga terjejas.

"Kadangkala kami tidak mempunyai wang untuk membeli makanan," katanya.

Kini, Sidra sudah berusia 15 tahun. Keadaannya amat teruk apatah lagi kulit kepalanya terbakar termasuk separuh lengan, dada dan kaki. Apa yang lebih menyedihkan, mata kanannya telah buta dan dia bergantung kepada mata kiri.

Dalam pada itu, dia telah menjalani enam pembedahan untuk membaiki semula kulit-kulitnya di bahagian bibir, telinga selain menjalani rawatan penanaman rambut.

Sidra tidak gemar bertemu orang, benci untuk bercerita mengenai serangan tersebut dan berasa lemah.

Lantaran itulah, peguam dan aktivis wanita, mengakui cabaran hidup mangsa akibat kejadian seperti itu terlalu berat.

Naeem mendesak mahkamah khas ditubuhkan bagi menangani jenayah asid yang begitu dahsyat di Pakistan selain berharap agar proses undang-undang dapat dilaksanakan dengan mudah termasuk proses mendapat pampasan dan rawatan buat mangsa.


KEBANYAKAN mangsa asid di Pakistan adalah wanita dan kanak-kanak.


Kesedaran undang-undang

Ketua Hak Asasi Manusia di Pakistan berkata, hampir 1,000 wanita dan gadis dibunuh pada tahun 2011 selepas dituduh memalukan keluarga.

Naziran Bibi, ibu kepada dua orang anak merupakan antara wanita malang yang menjadi mangsa simbahan asid.

Dibesarkan di Bahawalpur di selatan Punjab, dia telah dijual ketika berusia 13 tahun untuk tujuan perkahwinan.

Bagaimanapun, selepas lebih lima tahun berkahwin, suaminya meninggal dunia. Hidup dengan dua orang anak dengan keluarga mertua, Naziran terpaksa menelan kata-kata cacian hampir setiap hari sebelum dipaksa berkahwin dengan adik lsuaminya.

Dia menolak kerana perkahwinan baharu itu menjadikan dia sebagai isteri kedua.

"Isteri pertama suami baharu saya benar-benar marah. Pernah dicaci dan dipukul, kemuncak kekejaman madu saya ialah simbahan asid," kata wanita berumur 26 tahun itu yang dibiarkan buta serta wajahnya mempunyai parut yang teruk.

Suaminya enggan untuk mendaftarkan isteri pertamanya sebagai pesalah dan akhirnya akibat tekanan keluarga, Naziran menerima penyelesaian luar mahkamah. Madunya itu bersetuju untuk membayar 400,000 rupee (RM12,700).

Dengan bayaran itu, Naziran kini mempunyai kedai runcit yang kecil. Hari ini, dia menghantar anak perempuannya ke sekolah dan masih bertegur sapa dengan suaminya tetapi tidak pernah lagi bercakap dengan isteri pertamanya.

"Satu-satunya cara untuk menjadikan hal ini benar-benar 'selesai', ialah dengan menyimbah asid kembali ke wajah madu saya," ujarnya. -AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved