Sabtu, 9 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ingin ke Hollywood

Posted:

Ingin ke Hollywood

Ingin ke Hollywood

BIARPUN drama fenomena Filipina Pangako Sayo sudah 13 tahun berlalu, tetapi gelagat lakonan dan wajah kacak heronya iaitu Jericho Rosales masih lagi diingati peminat-peminatnya sehingga kini.

Gandingannya bersama aktres cantik, Kristine Hermosa dalam drama tersebut dan juga dalam drama Sana'y Wala Nang Wakas begitu mantap sehingga mereka diberi jolokan Pasangan Paling Ideal ASEAN, malah peminat juga berharap mereka digandingkan semula dalam drama-drama terbaharu.

Disuarakan persoalan itu kepada Jericho atau lebih mesra disapa Echo itu, dia mengakui perkara tersebut (gandingan bersama Kristine semula) tidak mustahil. Namun, dia berharap agar gandingannya bersama Kristine nanti nampak berbeza dan lebih kelihatan matang.

"Sejujurnya, saya sudah tidak begitu rapat dengannya. Dia (Kristine) sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Berlakon bersama semula? Tidak mustahil. Cuma, saya berharap agar gandingan kami dalam drama kelak nampak lebih berbeza. Saya dan Kristine sudah banyak berlakon bersama. Jadi, saya mahu peminat tengok gandingan yang berbeza serta jalan cerita yang lebih matang," jelasnya.

Jika Kristine sudah berumah tangga, Jericho pula tanpa berselindung memberitahu hatinya telah dimiliki oleh seorang wanita kelahiran Australia bernama Kim Jones.

Merupakan seorang pengacara televisyen, kongsi Jericho mengenai kekasihnya itu, dia mengenali Kim menerusi seorang teman dalam sebuah majlis dan mula menyukai gadis tinggi lampai itu kerana sikap ramah dan pertuturannya.

Begitupun, dedah Jericho, perkenalan yang baru berlangsung lebih setahun lalu itu belum mahu memasuki fasa alam perkahwinan.

"Hubungan kami sangat baik dan indah. Dia seorang pengacara TV yang sangat baik, merendah diri dan peramah.

"Ada satu perkara lucu yang membuatkan saya lebih jatuh cinta kepadanya adalah loghat Australia dia yang terlalu pekat ketika bercakap. Kadang-kadang saya tidak faham apa yang dia tuturkan dan hanya pura-pura faham. Tetapi, kami masih dalam proses mengenali dan belum terfikir untuk berkahwin," lontarnya sambil ketawa mengenai kekasihnya yang mempunyai darah kacukan Australia, Cina dan Filipina itu.

Mengurung diri

Ditebak kenapa dia kelihatan sangat kurus, ujar Jericho, mungkin disebabkan faktor umurnya yang semakin meningkat iaitu 34 tahun.

"Dahulu peminat Malaysia mengenali saya menerusi lakonan dalam drama Pangako Sayo. Ketika itu, usia saya baru 21 tahun dan memang kelihatan berisi. Kini saya sudah berusia 34 tahun," ujarnya yang mengakui kesibukannya dalam berlakon, menyanyi dan menulis lagu juga menjadi punca dia kelihatan kurus.

JERICHO ROSALES yang kini berusia 34 tahun mahu diberi peluang berlakon dalam naskhah yang lebih matang.


Mengulas mengenai kariernya sebagai penyanyi, dedah Jericho, dia sangat meminati bidang nyanyian, sebaliknya peminat-peminatnya tidak suka dan memintanya terus berlakon.

Bercelaru dan kecewa, Jericho akhirnya bertindak mengurungkan diri selama setahun.

"Satu pengalaman yang saya tidak akan lupakan. Ia berlaku kira-kira lapan tahun lalu. Masa itu, saya ambil keputusan untuk berhenti berlakon seketika dan beralih pada bidang nyanyian. Bagaimanapun, hasrat saya itu ditentang oleh peminat. Mereka marah dan tidak suka saya berhenti berlakon.

"Saya tertekan dan akhirnya bertindak mengurungkan diri dalam rumah. Masa saya banyak dihabiskan dengan tidur dan menulis lagu buat peminat-peminat. Selama setahun saya berkurung, tetapi, apabila saya mula keluar dan perdengarkan lagu saya kepada peminat, mereka mula menyukai dan kembali memberi sokongan kepada saya. Saya mula menyanyi dan dalam masa yang sama kembali pada dunia lakonan," jelasnya.

Disoal bidang mana yang paling disukainya, ujar Jericho, dia sukar membuat pilihan kerana menyukai kedua-dua bidang tersebut (menyanyi dan berlakon) dan menganggapnya seperti darah dagingnya.


JERICHO bersama Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh (kiri) dan Pengurus Saluran Mustika HD, Natasha Razman Hashim pada majlis sambutan ulang tahun pertama Astro Bella di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Bagaimanapun, seandainya dia terpaksa memilih, dia akan memilih untuk berlakon dalam drama muzikal yang mana memerlukan dia berlakon dan juga menyanyi.

Sementara itu, kehadiran lelaki tersebut ke Malaysia baru-baru ini juga tidak hanya bagi mempromosikan drama-dramanya menerusi Astro Bella (saluran 133), sebaliknya dia bakal berlakon dalam sebuah produksi bersama seorang pelakon lelaki paling popular Malaysia.

Quentin Tarantino

Mengulas mengenai perkara itu, dengan berseloroh Jericho memberitahu: "Mungkin saya akan dipecat jika saya mendedahkan perkara tersebut".

Begitupun, selepas dirayu, ungkap Jericho, dia ada menerima tawaran daripada pihak Astro untuk menjalani penggambaran drama bersiri. Dia juga difahamkan bakal berlakon dengan pelakon popular, tetapi tidak mengetahui nama pelakon tersebut.

"Saya tidak tahu nama dia (pelakon gandingannya). Mungkin projek itu akan bermula pada sekitar penghujung tahun ini.

"Lagipun saya perlu menyelesaikan beberapa projek di bawah produksi saya sendiri Ten Again Production dan juga penggambaran drama bersiri di Manila," ujarnya yang mengimpikan untuk berlakon di Hollywood.

Bukan kerana ingin popular, jelas Jericho, sebelum ini dia ada melibatkan diri dengan projek indie d Hollywood.

Justeru, dia teringin pula bekerja dengan pengarah-pengarah hebat Hollywood seperti Quentin Tarantino.

Mengakui ingin merasai pengalaman bekerja di bawah produksi besar, ulas Jericho, dia juga teringin berlakon dalam filem seperti Pirates Of Carribbien.

"Jika saya dapat, kiranya itu adalah kejayaan saya paling tinggi. Saya tidak kisah berlakon di samping siapa dan genre apa asalkan ia filem yang besar dan hebat," jelasnya.

Remy, Maya semakin intim

Posted:

Remy, Maya semakin intim

Remy, Maya semakin intim

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

PROFESIONAL. Hubungan cinta mereka yang berakhir tidak menghalang Tiz dan Remy bergandingan dengan penuh serasi dalam drama Cinta Jangan Pergi.


AKTOR popular Remy Ishak mengakui hubungannya bersama aktres jelita Maya Karin kini semakin intim.

Semuanya gara-gara kekerapan mereka menghabiskan masa bersama seperti keluar makan dan juga melakukan aktiviti lasak.

Begitupun, akui Remy jujur, hubungannya dengan Maya sekadar teman rapat dan belum sampai ke peringkat bercinta.

"Saya akui rapat dengan Maya, tetapi kami tidak mempunyai hubungan istimewa. Walau bagaimanapun, untuk masa depan saya tidak tahu hubungan kami macam mana," ungkap Remy sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah mereka kini dalam proses sedang mengenali hati budi.

Merupakan satu-satunya sahabat wanita yang paling rapat, ujar Remy, dia menyukai Maya kerana mereka mempunyai minat yang sama iaitu melakukan aktiviti lasak.

Dedahnya mengenai peribadi Maya, pelakon wanita terbaik Filem Festival Malaysia ke-25 itu bukan sahaja seorang yang cantik tetapi juga bijak, aktif dan juga berpengetahuan.

"Dia (Maya) merupakan seorang wanita yang mempunyai sikap yang menyenangkan," luah Remy yang kini dilihat sedikit terbuka bercerita mengenai hubungannya bersama Maya.

Mengulas mengenai percutiannya bersama Maya ke Sabah baru-baru ini, ujar Remy, dia pergi atas jemputan daripada Maya sendiri dan juga pihak Yayasan Sabah.

Bercuti ke Imbak Canyon, Sabah selama empat hari, ujar Remy, dia ke sana bukan hanya ditemani Maya seorang sebaliknya pihak Yayasan Sabah turut bersama mereka.

"Maya menjemput saya ke Sabah bersama pihak Yayasan Sabah bukan semata-mata ingin bercuti sebaliknya mengkaji haiwan dan ekologi di hutan simpan.

"Saya setuju kerana sebelum ini saya hanya meredah hutan, tetapi kali ini aktiviti lasak yang saya lakukan dapat menambah pengetahuan saya tentang alam sekitar dan memupuk saya untuk lebih mencintai alam sekitar," ceritanya.

Doa buat Tiz

Ditebak kenapa sebelum ini dia sukar untuk membuka mulut bercerita mengenai hal peribadi, kata Remy, dia tidak pandai untuk menyuarakan hal peribadi kepada umum.

Remy juga berharap peminatnya terima dan menghormati pendiriannya yang lebih suka berahsia tentang peribadi.

"Saya tidak nafikan ramai yang salah tafsir tentang diri saya. Puncanya, sebab saya berdiam diri dan tidak suka bercerita tentang peribadi.

"Saya bukan garang tapi tidak tahulah sebab saya jenis orang yang tidak suka bercakap tentang hal peribadi," ujarnya menolak anggapan sesetengah pihak mengatakan dia seorang yang panas baran.


REMY mengakui Maya merupakan satu-satunya sahabat wanita yang kini rapat dengan dirinya.


Terlanjur berbicara tentang peribadi, Remy turut ditanya adakah dia tahu Tiz kini sudah mempunyai kekasih baharu.

Ujar Remy, dia tahu mengenai perkara itu (kekasih baharu Tiz) melalui teman-teman mereka dan mendoakan yang terbaik untuk bekas kekasihnya itu.

Remy yang ditemui pada majlis pratonton drama Cinta Jangan Pergi di Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor kelmarin juga disoal mengenai gandingannya bersama bekas kekasih, Tiz Zaqyah, dalam naskhah arahan Khabir Bhatia itu.

Dedahnya, dia tidak sanggup menolak karya yang begitu bagus daripada Kabir Bhatia dan tidak mahu membuang masa melayan perasaan sebaliknya menjayakan drama tersebut dengan sempurna.

Ditebak adakah maksud dia tidak mahu melayan perasaan tersebut gara-gara gandingannya itu adalah Tiz Zaqyah, tutur Remy, dia gembira menjalani penggambaran untuk drama Cinta Jangan Pergi dan tidak berasa kekok berlakon sebagai pasangan kekasih dalam drama tersebut.

Begitupun, Remy mengakui berasa sedikit sebak mengenangkan hubungannya bersama Tiz tatkala mereka berlakon bersama untuk drama tersebut.

"Apabila saya baca jalan cerita dan karakter saya dalam drama ini, saya rasa teruja untuk menjayakannya.

"Sebabnya, cerita Cinta Jangan Pergi sangat bagus. Lagipun saya senang bekerjasama dengan Khabir Bhatia selepas drama Nur Kasih. Dia seorang pengarah yang menjaga keseluruhan aspek sama ada dari segi jalan cerita dan lakonan setiap pelakonnya.

"Jadi, saya tidak mahu ketinggalan berlakon di bawah arahannya. Saya tidak ada masalah berlakon bersama Tiz tetapi saya akui ada rasa sedikit sebak bila mengenangkan kembali.

"Namun, saya tidak mahu berfikir langsung mengenai hubungan saya bersama Tiz sebelum ini dan hanya enjoy berlakon dalam drama ini," jelasnya yang menjalani penggambaran drama Cinta Jangan Pergi selama empat bulan termasuk penggambaran di Paris dan London.

Selain Remy dan Tiz sebagai teraju utama, Cinta Jangan Pergi juga dilakonkan oleh Nadiya Nisaa, Josiah Hogan, Bil Azali, Esma Daniel, Ramona Zam Zam, Aleza Shadan dan Kartina Ayoob.

Cinta Jangan Pergi mengisahkan tentang dua kekasih Lea Soraya (Tiz Zaqyah) dan Kalil (Remy Ishak) yang berjanji sehidup semati namun siapa sangka dalam sekelip mata, takdir merubah segalanya.

Dua hati yang bersumpah setia terpisah apabila satu insiden tidak diingini menimpa Kalil dalam perjalanannya yang ingin menemui dan melamar Lea Soraya.

Drama bersiri 26 episod itu bakal disiarkan menerusi TV9 setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul 8.30 malam bermula 6 April ini.

Tiz bahagia bersama Daniel

Posted:

Tiz bahagia bersama Daniel

Tiz bahagia bersama Daniel

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com.my

TIZ ZAQYAH mengakui sudah tiga bulan dia menjalinkan hubungan cinta dengan Daniel Haziq.


AKTRES popular Tiz Zaqyah kini lebih bersikap terbuka bercerita tentang kekasih baharunya, Daniel Haziq berbanding ketika dia bercinta dengan aktor Remy Ishak dahulu.

Tidak hanya terbuka bercerita, Tiz juga seringkali memuat naik gambar dia bersama kekasihnya itu di laman sosial instagram miliknya untuk tatapan peminat-peminatnya.

Menurut Tiz, kematangannya berada dalam industri membuatkan dirinya memahami situasi berkongsi hal peribadi dengan peminat adalah lebih baik daripada berselindung.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Tiz selanjutnya mengenai kekasihnya itu dan juga pendedahan Tiz mengenai gandingannya bersama bekas kekasihnya, Remy dalam drama Cinta Jangan Pergi ketika ditemui pada majlis pratonton drama arahan Khabir Bhatia itu di Panggung Cathay Cineplex Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.

Kosmo!: Kenapakah Tiz kini lebih bersikap terbuka bercerita dan berkongsi gambar mengenai kekasih berbanding percintaan dahulu?

TIZ: Kalau kita sorok mengenai perkara ini (percintaan bersama Daniel), lambat laun orang tetap tahu. Lebih baik saya kongsikan kepada peminat. Lagipun, saya lebih selesa berkongsi daripada menyorokkannya.

Ada khabar mengatakan anda bersikap begitu (bercerita dan muat naik gambar kekasih) kerana mahu membalas dendam kepada Remy? Benarkah begitu?

Tidaklah. Lebih baik kita hormat antara satu sama lain. Setelah berada lama dalam industri seni, saya lebih matang dan tahu perkara peribadi juga harus dikongsikan kepada peminat. Tetapi tidaklah berkongsi perkara yang terlalu peribadi.

Bagaimanakah penerimaan kekasih mengenai tindakan Tiz bercerita dan muat naik gambarnya?

Dia terkejut kerana instagramnya tiba-tiba ramai pengikut (ketawa).


TERBUKA. Foto-foto Tiz Zaqyah mesra di samping Daniel Haziq yang dimuat naik ke dalam instagram miliknya.


Berapa lamakah hubungan anda dan Daniel berlangsung?

Sudah masuk tiga bulan.

Bagaimanakah anda berdua boleh bertemu?

Dia (Daniel) adalah rakan sekolah menengah saya. Kami berjumpa semula ketika majlis reunion sekolah dan akhirnya rapat.

Apakah menyebabkan anda jatuh cinta padanya?

Dia seorang yang lemah lembut dan sangat penyabar.

Boleh ceritakan mengenai gandingan anda bersama Remy dalam drama Cinta Jangan Pergi?

Saya dan Remy berbincang untuk cuba menampilkan kelainan daripada segi karakter berbanding ketika kami berlakon bersama dalam drama Nur Kasih. Drama ini sangat bagus dan saya yakin ia dapat menyentuh hati penonton.

Bagaimanakah perasaan anda berlakon bersama Remy dalam drama Cinta Jangan Pergi? Khabarnya ketika itu anda berdua baru berpisah?

Memang saya akui sukar untuk kami berlakon bersama sebagai pasangan kekasih sedangkan ketika itu kami sudah berpisah. Tetapi saya cuba bersikap profesional. Akhirnya, saya okey dan tidak ada masalah berlakon bersamanya.

Bagaimanakah jika selepas ini anda dan Remy digandingkan lagi untuk filem dan drama lain?

Kalau ada tawaran berlakon bersama lagi saya tiada masalah, cuma kalau boleh tak nak selalu sangat, takut penonton bosan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved