Rabu, 13 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nubhan, Mila tidak berputus asa

Posted:

Nubhan, Mila tidak berputus asa

Nubhan, Mila tidak berputus asa

NUBHAN dan Mila mengharapkan tuah lagu Cinta Kasih kolaborasi mereka.


BAIK Nubhan mahupun Mila, mereka berdua sedar karier sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah biarpun sudah bertapak dalam industri seni suara sejak lima tahun lalu, iaitu sejak kedua-duanya keluar daripada program realiti Akademi Fantasia.

Jika ada pun, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 27, hanya popular menerusi beberapa buah lagu seperti Oh Juwita dan Seadanya Aku.

Begitu juga Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 26, yang hanya popular menerusi lagu Persis Mutiara.

Mengakui kurang menyerlah sebelum ini kerana tiada pihak pengurusan, Mila memberitahu, ia menjadi faktor kepada kekurangan untuk mempromosikan lagu-lagunya sendiri.

Sebaliknya bagi Nubhan, dia mendedahkan, dirinya yang mentah dan kurang matang dalam industri membuatkan dirinya dipergunakan oleh pihak pengurusannya terdahulu.

Nubhan dan Mila juga bercerita mengenai lagu duet baharu mereka iaitu Cinta Kasih yang merupakan lagu tuah buat mereka untuk menyerlah kembali dalam industri seni suara ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duet terbaharu berjudul Cinta Kasih di Redbox, The Garden, Kuala Lumpur.

NUBHAN kini mempunyai syarikat pengurusan sendiri iaitu Nubhan Records & Productions.


Pengajaran buat saya - Nubhan

Sekitar bulan September tahun lalu, Nubhan pernah mencetuskan kontroversi apabila dia mendedahkan tidak pernah mendapat duit royalti dan hak-haknya sebagai seorang artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusannya, sebelum ini.

Enggan mengungkit dan mengingati kisah lalu, ungkap Nubhan, dia menganggap tempoh lima tahun di bawah pihak pengurusan itu merupakan pengalaman dan pengajaran yang boleh ditimba olehnya.

"Kalau boleh saya tidak mahu kenang lagi perkara lama. Mahu tutup buku lama dan buka buku baharu.

"Sebelum ini saya budak remaja yang tidak tahu ranjau dan liku berada dalam industri seni, tetapi sekarang saya sudah dewasa dan mampu bergerak serta berfikir secara matang," ujarnya yang menganggap kembalinya dia ke dunia seni sekarang bersama pihak pengurusan baharu adalah tempoh permulaan karier seninya.

Kini Nubhan bernaung di bawah pengurusan sendiri, Nubhan Records & Productions. Bagaimanapun, untuk penerbitan single, album mahupun urusan promosi, Nubhan bekerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music.

Mengakui kini lebih selesa dan bebas dalam membuat keputusan, Nubhan mendedahkan, dia tidak pernah berasa putus asa untuk terus bertahan bergelar sebagai penyanyi kerana peminat-peminatnya.

"Kekuatan saya adalah peminat-peminat yang sentiasa menyokong. Mereka juga sering bertanya khabar dan ingin melihat perkembangan terbaharu saya.

"Memang kontroversi yang berlaku sebelum ini begitu pahit buat saya. Masakan tidak, saya mengharapkan pihak pengurusan yang baik, tetapi sebaliknya yang berlaku," ujarnya yang kini begitu popular dengan lagu duetnya bersama Mila.

Dalam proses mengumpul bahan-bahan untuk single terbaharunya di bawah Nova Music, Nubhan juga bersyukur kerana lagu Cinta Kasih ciptaan Nur Zaidi Abdul Rahman (pencipta lagu Ombak Rindu) itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik.

Melihat pada penampilan Nubhan yang kini kelihatan segak dan matang, ada khabar yang mengatakan perubahannya itu disebabkan sudah mempunyai kekasih.

Mengulas mengenai perkara itu, Nubhan mendedahkan, perubahan penampilannya bukan disebabkan seseorang yang bergelar kekasih. Tetapi, dia berubah seiring dengan usianya yang semakin meningkat.

"Cinta saya tolak tepi dulu. Sekarang, saya tidak mahu fikir soal cinta. Saya mahu fokus kepada karier. Saya juga tidak bercadang untuk mencari teman istimewa atau mengenali sesiapa buat masa ini.

"Begitupun, soal jodoh kita tidak boleh jangka. Jika sudah tertulis jodoh saya sampai dalam waktu terdekat ini, saya tidak akan menolak, " ujarnya lagi.

SELEPAS putus cinta dengan jejaka Rusia, Mila kini enggan menjalin hubungan cinta dalam masa terdekat.


Mila sedia bercinta

Bila ada mulut yang mengharapkan dirinya bercinta dengan Nubhan selepas mereka berduet bersama lagu Cinta Kasih, luah Mila, kalau boleh dia tidak mahu bercinta sesama artis atau orang dalam industri.

Ujar Mila yang pernah bercinta dengan seorang warga Rusia sebelum ini, dia mahukan kekasihnya itu tidak berbicara topik yang sama dengannya iaitu nyanyian atau lakonan.

"Kalau boleh saya tidak mahu bercinta dengan orang dalam industri. Sebab takut topik perbualan sama. Lagipun Nubhan terlalu tinggi untuk saya," ujarnya sambil ketawa.

Mengulas mengenai teman lelakinya sebelum ini, luah Mila, kerana jarak dan juga budaya, percintaannya bersama lelaki warga Rusia itu tidak berpanjangan.

Pernah juga bercinta dengan Ebi AF5 sebelum ini, Mila juga mendedahkan, bahawa kedua-dua ibu bapanya berharap agar dia segera bercinta dan berkahwin sebelum umurnya mencecah 30 tahun.

Berbicara pula mengenai lagu duetnya bersama Nubhan, Mila mengakui berasa bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pencipta lagu, Nur Zaidi dan juga pihak Nova Music untuk dirinya menyanyikan lagu tersebut.

"Lagu Cinta Kasih hadir pada saat saya mahu membuat kemunculan semula dalam bidang seni. Saya seronok dan bersyukur kerana dipilih pihak Nova Music untuk menyanyikan lagu ini," ujarnya kini bernaung di bawah Nova Music bersama Nubhan bagi pengurusan promosi dan juga menerbitkan single atau album baharu.

Cerita Mila, selain mempromosikan lagu tersebut, pihak Nova Music juga sedang merangka untuk menghasilkan single terbaharunya.

Mila bersyukur kerana dirinya kini mempunyai pihak pengurusan dan berharap perjalanan kariernya lebih menyinar selepas ini.

"Saya tiada kekuatan mahu mempromosikan lagu sendiri. Sebelum ini saya pernah buat sendiri dan ia tidak menjadi," ulasnya berhubung album keduanya yang pernah berdepan dengan kegagalan kerana lagu-lagunya langsung tidak diputarkan di corong-corong radio.

Berkongsi rasa, ujar Mila, walaupun kerjaya seninya kurang menyerlah dia tidak pernah berputus asa kerana menganggap nyanyian sudah sebati dalam dirinya.

Luahan rasa Eddie Hamid

Posted:

Luahan rasa Eddie Hamid

Luahan rasa Eddie Hamid

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

EDDIE HAMID menegaskan dia menghasilkan lagu Bo la Wei sejajar dengan kariernya sebagai komposer.


SIAPA tidak kenal dengan komposer terkenal, Eddie Hamid yang memang tidak dinafikan cukup dikenali menerusi lagu-lagu balada ciptaannya.

Karya nukilan Eddie sememangnya sering mendapat penerimaan serta tidak kurang juga kritikan dari peminat muzik tempatan.

Namun baru-baru ini, buat pertama kalinya, komposer yang terkenal dengan lagu, Halimah Jongang ini telah melancarkan sebuah lagu yang berbeza daripada apa yang diciptanya sebelum ini.

Justeru, lagu yang berjudul, Bo La Wei ini telah mendapat kritikan hebat dari masyarakat khususnya penduduk Kelantan sendiri.

Lagu Bo La Wei yang bermaksud cukup-cukuplah sudah menjadi kontroversi kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur politik.

Namun, bagi Eddie yang turut menyanyikan lagu tersebut itu, ia merupakan pendapat dirinya sebagai salah seorang anak kelahiran Kelantan yang inginkan perubahan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Eddie Hamid ketika dihubungi baru-baru ini.

Kosmo! : Apabila dapat tahu dikecam oleh penduduk Kelantan, apa reaksi anda?

EDDIE: Tidak dinafikan setelah membaca komen-komen di laman YouTube dan Facebook saya, memang timbul rasa takut dan risau dengan apa yang berlaku. Saya tidak boleh terima keadaan tersebut dan keluarga saya juga telah memarahi saya. Saya juga tahu perkembangan cerita-cerita tentang perkara ini melalui rakan-rakan dan keluarga yang membacanya.

Saya mengambil keputusan untuk mengunci mulut dan berdiam diri. Semasa mengeluarkan lagu Halimah Jongang pun hentaman (kutukan) yang saya terima tidak seteruk ini. Bagaimanapun, kini saya sudah boleh terima kenyataan tersebut.

Adakah anda pernah terfikir akan perkara sebegini sebelum melakukannya?

Memang saya ada terfikir, tapi tidak sangka ia seteruk begini. Saya tahu akan timbul isu tetapi sebagai anak kelahiran Kelantan, saya ingin menyuarakan pendapat saya. Tidak sangka pula kerana lagu tersebut orang akan bergaduh. Namun, bukan semuanya yang menghentam lagu tersebut kerana ada juga yang puji seperti mengatakan ia mempunyai melodi yang sedap didengar dan sebagainya.

Berapa lamakah anda berfikir sebelum bersetuju untuk mengambil tawaran ini?

Saya tidak fikir lama dan terus mengambil peluang ini. Sebenarnya kami sudah banyak kali teliti tentang liriknya. Lirik dibuat oleh saya dan komposer Datuk Mohamad Supardi Md. Noor, yang mana ia telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sempena Himpunan Perdana Anak-Anak Kelantan di Bukit Jalil pada 17 Februari lalu.

Saya tidak takut kerana ia perkara yang benar. Saya rasa tidak salah untuk menyuarakan pendapat dan yang lain harus mengambil iktibar daripadanya.

Apakah yang membuatkan perkara ini menjadi titik permulaan untuk menyuarakan pendapat?

Saya sudah lama bekerja di luar negeri kelahiran saya kerana memang saya akui agak sukar untuk mendapat peluang pekerjaan di sana. Begitu juga dengan adik-adik saya. Memang tidak dinafikan ramai yang marah namun, ada juga yang turut bersetuju dengan saya. Ia merupakan seperti karya untuk memberi kesedaran kepada negeri kelahiran saya itu.

Saya tidak berniat untuk mempersendakan mana-mana parti politik namun berkarya dan membuat lagu memang merupakan periuk nasi dan merupakan kerjaya saya.

Ada kenyataan yang mengatakan anda ingin pulang ke Kelantan dan mahu melihat sendiri bagaimana penerimaan rakyat Kelantan terhadap lagu ini. Bilakah tarikhnya?

Memang benar. Saya bakal mengadakan persembahan secara langsung buat julung-julung lagu ini di Kelantan yang bakal dihadiri Perdana Menteri pada Jumaat, 15 Mac ini pada pukul 8 malam di Bangunan UMNO, Kota Bharu. Ia bersempena majlis pertemuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat seni budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN), Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan.

Konsert Amal Lahad Datu

Posted:

Konsert Amal Lahad Datu

Konsert Amal Lahad Datu

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


SYED ALI (kanan) bersama para artis yang bakal menjayakan Konsert Amal Artis Tabung Lahad Datu di Stadium Badminton, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 16 Mac ini.


RAMAI yang sedih dan terkejut mendengar cerita dan melihat gambar-gambar anggota pasukan keselamatan yang terkorban di Lahad Datu, Sabah. Paling menyayat hati apabila mengenangkan nasib isteri yang menjadi balu dan anak-anak yang menjadi anak yatim dalam sekelip mata.

Atas dasar prihatin, pihak Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Aman Palestin Berhad dan Cahaya Idaman Enterprise akan mengadakan Majlis Pelancaran Tabung Amal Lahad Datu dan Tabung Amal Palestin serta Konsert Amal Artis pada 16 Mac ini.

Menurut Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, tujuan utama pelancaran tabung dan konsert amal itu diadakan adalah untuk membantu mangsa-mangsa di Lahad Datu dan Palestin.

"Diharap dengan penganjuran ini (tabung dan konsert) ia dapat mengumpul dana sekali gus menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa di Lahad Datu dan Palestin," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Tabung Amal Lahad Datu dan Palestin serta Konsert Amal Artis di Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Kuala Lumpur.

Jelasnya, majlis perasmian akan diadakan pada pukul 11.30 pagi manakala Konsert Amal Artis yang bertemakan Berhibur Sambil Beramal pula akan bermula pada pukul 2 hingga 6 petang bertempat di Stadium Badminton, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Antara artis yang terlibat ialah Tomok, Mawi, Ayu Damit, Elly dari kumpulan AXL, Isma (AF), Shiha (Mentor), Wanie, Band pengiring Rosewell dan penampilan istimewa model dan pelakon Cha Cha Maembong.

Orang ramai boleh membeli tiket Konsert Amal Artis ini di pejabat Yayasan Pendidikan Cheras, Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur, atau hubungi talian 03-9284 3603/03 9287 7371. Orang ramai juga boleh membeli tiket konsert secara terus melalui Rosmawati di talian 017 660 0203 atau Fadzlee di talian 017 3168819.

Tiket untuk orang dewasa dijual pada harga RM15 manakala tiket untuk pelajar pula berharga RM10. Orang ramai yang membeli tiket juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui cabutan nombor bertuah.

Sementara itu, penyanyi Ayu Damit, mengakui berasa risau dan takut akan keselamatan keluarganya di Sabah apabila mendengar berita mengenai pencerobohan dan kematian di Lahad Datu.

"Walaupun tempat tinggal keluarga Ayu di Kota Kinabalu dan ia agak jauh dari Lahad Datu, tetapi Ayu tetap risau dan takut akan keselamatan keluarga di sana," ungkapnya yang tinggal di Kuala Lumpur bersama dengan salah seorang adiknya.

Ujar anak sulung daripada lima beradik itu, dia berharap agar keluarganya dan penduduk di Sabah selamat serta berdoa agar pihak penceroboh berundur.

Ayu juga melahirkan rasa prihatin dan sedih mendengar dan membaca berita kematian anggota-anggota keselamatan di Lahad Datu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved