Selasa, 19 Februari 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


19 tahun Planetarium Negara

Posted:

19 tahun Planetarium Negara

19 tahun Planetarium Negara

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

KOMPLEKS Planetarium Negara yang dirasmikan pada 7 Februari 1994 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk diterokai pengunjung.


GELAGAT sekumpulan pelajar yang teruja melihat permukaan matahari dengan menggunakan teleskop khas di pekarangan Planetarium Negara, Jalan Perdana, Kuala Lumpur menarik perhatian mata yang memandang.

Walaupun berada di bawah terik mentari, masing-masing tetap setia menunggu giliran untuk menyaksikan bintang terdekat dengan Bumi yang memiliki jarak purata 149,680,000 kilometer itu.

Sebanyak 10 teleskop disediakan oleh Planetarium Negara, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Balai Cerap Selangor, Kelab-Kelab Falak Sekolah Wilayah Persekutuan dan Persatuan Astronomi Star Hunter bagi tujuan tersebut.

Aktiviti mencerap matahari itu merupakan salah satu daripada acara yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-19 Planetarium Negara pada 7 Februari lalu dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Mustafa Din Subari berkata, Planetarium Negara telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Februari 1994.

Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia tentang program-program sains angkasa.

Memukau pengunjung

"Sejak mula ditubuhkan hingga kini, Planetarium Negara telah berjaya menarik kehadiran hampir lima juta pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Selain itu, pelbagai aktiviti kesedaran peringkat kebangsaan telah dijalankan seperti National Space Challenge (NSC), pertandingan Pelancaran Teknologi Roket, pencerapan langit, syarahan umum mengenai fenomena angkasa dan pameran bergerak ke seluruh negara," jelas Mustafa.

Tambahnya, selain aktiviti luar, pihaknya turut menyediakan dua slot tayangan baharu bertajuk Journey To The Star dan Across The Universe: The Voyager Show sempena sambutan tersebut secara percuma kepada pengunjung.

Dokumentari yang berdurasi lebih kurang 30 minit itu memaparkan tentang pengembaraan ke ruang angkasa dan meneroka asal usul kewujudan bintang yang terdapat dalam alam semesta.


PEMAHAMAN mengenai pelbagai kejadian alam semesta dapat dipelajari melalui tayangan dokumentari di Planetarium Negara.


"Tayangan ini diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang bintang dan teknologi angkasa yang semakin canggih. Setiap tahun, Planetarium Negara akan membawakan tiga dokumentari baharu untuk dipertontonkan kepada pengunjung," ujar beliau sambil memberitahu, tayangan akan diadakan setiap satu jam.

Di samping itu, program sambutan 19 tahun penubuhan Planetarium Negara turut dimeriahkan dengan syarahan umum berkenaan fenomena-fenomena angkasa yang akan berlaku sepanjang tahun 2013.

Ia dikendalikan oleh Presiden Kelab Astronomi Amatur Malaysia (KAAM), Shahrin Ahmad yang juga merupakan pengasas portal Falak Online.

Tidak ketinggalan, para pengunjung turut diberi peluang untuk melawat Balai Cerap Planetarium Negara yang dilengkapi dengan teleskop robotik C14.

Teater kubah

Mengambil masa tiga tahun untuk dibina, Kompleks Planetarium Negara menempatkan sebuah teater berbentuk kubah di tengah-tengahnya. Keunikan reka bentuk teater tersebut telah memberi cabaran yang cukup hebat kepada jurubina projek, jurutera dan kontraktor bangunan.

Ketelitian dan ketepatan yang diperlukan bagi projektor bintang dan filem berformat besar juga memberi cabaran yang tidak kurang hebatnya.

Hakikatnya, Planetarium Negara memainkan peranan penting dalam menyuntik kesedaran tentang kepentingan bidang sains angkasa dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, ia mengorak langkah pertama dalam usaha mendekatkan rakyat Malaysia dalam bidang berkenaan.

Selain Mustafa, turut hadir pada sambutan kali ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad dan Pengarah Bahagian Pendidikan Sains Angkasa merangkap Pengarah Planetarium Negara, Azreena Ahmad.

Stimbot halal di Silver Pot

Posted:

Stimbot halal di Silver Pot

Stimbot halal di Silver Pot

Oleh HAFIZ AHMAD


PAPAN tanda Restoran Silver Pot mudah dikenal pasti pengunjung.


PERUT yang kosong selalu saja meronta-ronta untuk minta diisi dengan makanan. Dalam membuat pilihan untuk makan di luar rumah, restoran ala stimbot tentunya tidak terlepas dalam senarai cadangan.

Di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur misalnya, terdapat banyak restoran yang menawarkan konsep masakan stimbot.

Faktor tata rias dalaman restoran yang selesa, pilihan hidangan yang beraneka dan apatah lagi kalau menjadi sebutan ramai, tentu saja seseorang ingin melangkah masuk untuk menjamu selera.

Begitupun, timbul pula keraguan tentang status halal lebih-lebih lagi kalau tiada sebarang tanda atau sijil pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelihatan di restoran tersebut.

Hal sebegitu boleh membantutkan niat untuk menjamu selera. Walau bagaimanapun, isu tersebut tidak perlu dikhuatiri jika berkunjung ke Restoran Silver Pot yang diusahakan oleh pengusaha makanan Cina Muslim, Johan Tai Abdullah.

Restoran itu mula beroperasi pada tahun 2004 dengan nama asalnya Jolly Express.

"Para pengunjung tidak perlu meragui status halal di restoran ini kerana kami telah mendapat pengesahan dan mempunyai sijil daripada Jakim," ujar Johan ketika ditemui di restorannya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Tambahnya, memang wujud kesukaran untuk mencari restoran stimbot yang benar-benar halal. Disebabkan itu, Johan mendapat idea untuk membuka restoran yang boleh dikunjungi oleh semua kaum tidak mengira pegangan agama.

"Istimewanya restoran Silver Pot, setiap pengunjung akan mempunyai satu periuk masakan sendiri, berbeza dengan kebanyakan restoran stimbot yang lain," jelas Johan.

Oleh yang demikian, mereka boleh memilih menu makanan sendiri tanpa perlu berkongsi periuk dengan rakan atau ahli keluarga lain.

Selera berbeza


PELANGGAN tentu rambang mata melihat pilihan makanan yang disediakan.


Selera yang berbeza membolehkan pengunjung membuat pilihan sup yang digemari antaranya sup tomyam, sup ayam atau sup sayuran.

"Sesetengah pengunjung tidak boleh makan makanan laut atau mereka seorang vegetarian, maka konsep sebegini bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat," kata Johan yang mendapat ilham membuka restoran stimbot ketika berkunjung ke Taiwan.

Sempena kedatangan tahun baharu, Silver Pot telah mengubah konsep ala-carte kepada bufet yang jauh lebih murah dan berpatutan.

"Sejak perubahan konsep tersebut, kami menerima maklum balas positif daripada para pengunjung yang berpuas hati dengan hidangan dan harga ditawarkan oleh Silver Pot," luah Johan.

Sebelum ini, Silver Pot menawarkan hidangan makanan secara ala carte dengan pilihan menu yang telah ditetapkan. Menerusi konsep bufet, pengunjung boleh memilih variasi makanan dan membayar pada harga yang sama iaitu RM19.90 seorang.

JOHAN menunjukkan pilihan menu yang terdapat di restorannya.


Antara pilihan yang terdapat dalam menu bufet ialah udang basah, sotong, ketam dan kerang-kerangan. Selain itu, terdapat juga beberapa jenis sayur-sayuran, mi dan bebola sejuk beku.

"Saya juga mencipta sos istimewa yang mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan ramuannya," ujar Johan.

Memandangkan tempoh makan bufet yang mengambil masa lama, Johan menggalakkan orang ramai untuk membuat tempahan awal sebelum datang ke Silver Pot.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved