Khamis, 21 Februari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM siasat kenyataan Tunku Ismail

Posted:

FAM siasat kenyataan Tunku Ismail

FAM siasat kenyataan Tunku Ismail

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

TUNKU ISMAIL secara terbuka mengkritik mutu pengadilan Liga M yang dianggap lemah.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan disiasat selepas mengeluarkan kenyataan mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM tidak akan mengambil pendekatan dwistandard bagi menangani kes tersebut.

Menurutnya, Tunku Ismail tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin badan induk bola sepak negara itu sekiranya didapati bersalah.

Bagaimanapun, Azzuddin memberitahu, FAM akan mengkaji kembali kenyataan Tunku Ismail kepada pihak media sebelum tindakan susulan diambil.

"Seperti biasa, mengenai kenyataan Tunku Ismail yang mengkritik mutu pengadilan Liga M, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"Tunku Ismail tetap akan disiasat sebagaimana prosedur biasa dijalankan dalam kes tata- tertib seperti itu.

"Namun, pihak FAM akan meneliti kenyataan Tunku Ismail terlebih dahulu, sama ada ia berbentuk kritikan atau perhatian kepada FAM," kata Azzuddin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selasa lalu, dalam satu sidang akhbar khas di Johor Bahru, Tunku Ismail mempersoalkan mutu pengadilan Liga M yang dianggap lemah.

Tunku Ismail memberitahu bahawa tindakan beberapa pengadil yang 'menutup mata' terhadap kekasaran atau kesalahan pemain, jelas menunjukkan tiadanya standard dalam mutu pengadilan.

Bagi menyokong kenyataannya itu, Tunku Ismail memaklumkan, PBNJ sudah mengambil semua rakaman video dan akan menyerahkannya kepada pihak terbabit untuk menjalankan siasatan.

Pada masa sama, baginda sanggup menerima segala kecaman dan hukuman daripada FAM jika apa yang dinyatakannya itu salah.

Azzuddin turut memberikan reaksi berhubung hukuman penggantungan selama dua tahun setengah dan denda RM39,000 ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim kerana didapati bersalah atas empat pertuduhan, antaranya mengkritik FAM.

"Peraturan tetap peraturan. Kes itu dibawa oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM dan beliau (Shahidan) tetap dihukum seperti yang termaktub dalam peraturan.

"Tiada sebarang unsur politik mengenai kes ini dan ia adalah keputusan penuh daripada Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM, bukan daripada mana-mana pihak," katanya.

Bukti pita rakaman tak lengkap

Posted:

Bukti pita rakaman tak lengkap

Bukti pita rakaman tak lengkap

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.comy

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima pita rakaman insiden pergaduhan yang melibatkan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat melihat insiden panas itu dalam pita rakaman tersebut.

Sekalipun tidak mendapat bukti penting itu sebelum membuat sebarang pertuduhan ke atas kedua-dua pasukan, Azzuddin berkata, FAM tetap memandang serius kekecohan tersebut berdasarkan maklumat sedia ada.

"Dengan dukacitanya kami tidak dapat melihat sebarang insiden pergaduhan (membabitkan pemain Selangor dan ATM) dalam pita rakaman yang diterima daripada sebuah stesen televisyen tempatan itu hari ini (semalam).

"Bagaimanapun, kami tetap akan mengambil tindakan ke atas kedua-dua pasukan itu berdasarkan laporan penuh daripada pegawai pertandingan.

"Apa yang pasti, tindakan susulan ke atas mereka akan diambil nanti," kata Azzudin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Azzuddin turut menjelaskan mengenai kekeliruan yang berlaku berhubung kes membabitkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Kredibiliti FAM sekali lagi diuji apabila persatuan itu didakwa mengamalkan sikap dwistandard kerana bertindak menghukum KAFA sahaja, sedangkan PBSNT yang turut disabitkan dengan kesalahan yang hampir sama, masih belum diputuskan sebarang hukuman.

Kelmarin, FAM mendenda KAFA RM62,000 dengan empat kesalahan melibatkan penyokong The Red Warriors ketika aksi Liga Super menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 15 Januari lalu.

Bagaimanapun, FAM belum memutuskan sebarang hukuman ke atas PBSNT ekoran insiden penyokong Terengganu yang didakwa membaling botol dan mercun ketika aksi menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu pada hari yang sama.

"Untuk makluman, FAM telah menghantar surat pertuduhan kepada KAFA pada 29 Januari dan mereka diberikan masa sehingga 5 Februari untuk menjawab surat pertuduhan itu.

"Bagi kes PBSNT, FAM telah mengeluarkan surat pertuduhan pada 18 Februari dan mereka diminta membalas surat itu sehingga 26 Februari.

"Jadi, tiada sebarang unsur pilih kasih yang mana kes PBSNT tetap akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM pada suatu tarikh yang ditetapkan nanti," jelas Azzuddin.

Norazlan wajar diberi peluang beraksi

Posted:

Norazlan wajar diberi peluang beraksi

Norazlan wajar diberi peluang beraksi

NORAZLAN menampilkan prestasi cemerlang dalam kempen Liga Super musim ini.


JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjelaskan betapa sudah tiba masanya bagi pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal memberikan perhatian kepada penjaga gol utama Gergasi Merah, Norazlan Razali.

Ini kerana Irfan menganggap Norazlan memiliki kualiti terbaik untuk mengawal gawang Harimau Malaya selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini.

Irfan yakin Norazlan mampu memberikan aksi terbaik kepada skuad Harimau Malaya jika pemain berusia 28 tahun itu diberi peluang beraksi lebih kerap di pentas antarabangsa.

"Saya tidak sangsi dengan kebolehan Norazlan. Bagi saya, dia adalah penjaga gol terbaik di Malaysia ketika ini.

"Saya berharap Rajagobal akan memberikan peluang kepada Norazlan kerana saya yakin dia memiliki kualiti untuk menjadi penjaga gol skuad negara.

"Jika Norazlan diberikan peluang lebih kerap bersama skuad negara, saya percaya dia mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin," kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Irfan memuji Norazlan selepas bekas penjaga gol Johor dan Kuala Lumpur itu beraksi cemerlang ketika Selangor menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Selasa lalu.

Dalam aksi tersebut, Norazlan turut dijulang sebagai pemain terbaik perlawanan.

"Lihatlah aksinya ketika menentang ATM. Saya gembira menyaksikan peningkatan prestasinya musim ini.

"Pada pendapat saya, sudah tiba masanya giliran Norazlan diberikan peluang untuk menjadi penjaga gol negara," tambah Irfan.

Dalam perkembangan lain, Irfan menggesa barisan pemain Selangor kembali bangkit untuk menebus kekalahan 0-2 kepada ATM menjelang pertemuan menentang Selangor PKNS di Stadium Shah Alam malam ini.

Selepas menyaksikan ATM merampas status pendahulu di tangan Selangor, Irfan berharap anak-anak buahnya mampu mengutip tiga mata penuh dalam usaha memberikan tekanan kepada skuad The Gladiators itu.

"Bagi saya, kekalahan kepada ATM tidak menjejaskan rentak Selangor dan saya berharap para pemain tidak akan mengambil mudah aksi menentang PKNS.

"Kita akan 'serang' sebaik wisel perlawanan ditiup dan dalam masa yang sama, benteng pertahanan jangan melakukan kesilapan mudah," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved