Ahad, 17 Februari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM tunggu pita rakaman

Posted:

FAM tunggu pita rakaman

FAM tunggu pita rakaman

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

IMBAS KEMBALI... Penyerang ATM, Hairuddin Omar (kiri) dicabar pemain Selangor, S. Veenod pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam 25 Januari lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membicarakan kes pergaduhan antara pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menerima pita rakaman penuh insiden yang berlaku pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Azzuddin menegaskan, FAM akan mendapatkan kesahihan mengenai insiden tersebut selepas menerima pita rakaman itu daripada sebuah stesen televisyen dalam masa terdekat.

Menurutnya, kes itu akan dibawa ke Mesyuarat Tatatertib FAM selepas pihaknya menganalisis kembali insiden tersebut.

"Buat masa ini, FAM hanya menunggu rakaman penuh daripada stesen televisyen (tempatan) itu yang mana mereka telah bersetuju untuk menyerahkan pita rakaman tersebut minggu depan.

"Ini akan memudahkan buat pihak FAM untuk melaksanakan proses pembicaraan sebelum menetapkan sebarang hukuman.

"Saya percaya selepas kami mendapat maklumat penuh daripada pegawai pertandingan dan pita rakaman itu, kita akan membuat tindakan susulan," kata Azzuddin.

Aksi di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu dicemari dengan insiden pergaduhan apabila penyerang Selangor, Mohd. Afiq Azmi didakwa menjadi mangsa selepas dia didakwa terlebih dahulu melakukan provokasi terhadap pemain ATM.

Difahamkan, Afiq melakukan provokasi itu dengan meraikan kemenangan Selangor di hadapan bangku simpanan skuad ATM sejurus skuad Gergasi Merah menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti 3-2.

Akibatnya, dia dibaling dengan botol dan disepak oleh beberapa pemain ATM.

Mengulas lanjut, Azzuddin berharap mana-mana pihak tidak silap tafsir apabila mendakwa FAM sengaja 'memilih kasih' bagi menangani kes tersebut,.

Katanya, kedua-dua pasukan itu tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya FAM mendapati mereka bersalah dalam insiden tersebut.

"Ia adalah satu prosedur biasa yang mana pihak kami perlu mengumpul bahan-bahan bukti sebelum memutuskan hukuman terhadap mana-mana pasukan.

"Tiada istilah 'anak emas' atau 'pilih kasih' dalam kes Selangor dan ATM. FAM tetap melaksanakan hukuman sekiranya mereka didapati bersalah," tegasnya.

JDT siap sedia gempur Lions XII

Posted:

JDT siap sedia gempur Lions XII

JDT siap sedia gempur Lions XII

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


GUIZA (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menentang T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.


TIGA mata berharga yang diraih Johor Darul Takzim (Johor DT) kelmarin melonjak moral anak-anak buah Fandi Ahmad menjelang pertemuan penting Lions XII di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Pada aksi kelmarin, bintang import dari Sepanyol, Daniel Guiza muncul wira apabila meledak gol bagi membantu skuad Harimau Selatan menewaskan T-Team 1-0.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Johor DT di tangga kelima liga dengan merekodkan 11 mata selepas enam perlawanan.

Bagi penolong jurulatih Johor DT, Ismail Ibrahim, beliau menyifatkan kemenangan ke atas T-Team itu sebagai kemenangan yang amat penting menjelang aksi menentang Lions XII.

Katanya, sekalipun JDT gagal mempamerkan permainan terbaik terutama pada babak kedua, namun tiga mata penuh yang diraih kelmarin adalah sesuatu yang berharga.

"Sasaran kami adalah untuk meraih tiga mata penuh apabila beraksi di sini (Larkin) dan kami berjaya melakukannya malam ini (kelmarin).

"Bagaimanapun, masih banyak yang perlu kami perbaiki terutama di jentera serangan yang dilihat banyak mensia-siakan peluang," kata Ismail.

Ismail turut mengakui, ketiadaan Simone Del Nero yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan sedikit menjejaskan rentak pasukan.

"Dia (Del Nero) adalah tonggak utama pasukan dan banyak membantu dalam menggerakkan jentera tengah.

"Ketiadaannya dalam pasukan mungkin sedikit memberi kesan, namun saya juga tetap percaya dengan kemampuan pemain lain," ujarnya.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Lions XII, Ismail mengakui perlawanan di gelanggang sendiri itu pasti menjanjikan aksi yang sengit daripada kedua-dua pasukan.

"Lions XII kini berada pada prestasi terbaik dan mereka telah buktikan apabila menewaskan Pahang 3-0.

"Jadi kami harus lebih berwaspada sekalipun akan beraksi di gelanggang sendiri," katanya.

16 pelumba negara idam kejutan

Posted:

16 pelumba negara idam kejutan

16 pelumba negara idam kejutan

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


FAUZAN (dua dari kiri) akan mengetuai cabaran skuad kebangsaan pada perlumbaan LTdL kali ini.


SEJARAH pernah tercipta pada tahun 2010.

Ketika itu, Anuar Manan mencetuskan fenomena baharu apabila melakar kejayaan berganda pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

Anuar, 27, yang ketika itu menyarung jersi pasukan Guemsan Ginseng Asia mencipta kejutan apabila menjadi pelumba pertama Malaysia yang memenangi satu peringkat perlumbaan.

Pelumba pecut kelahiran Kampung Kuala Ibai, Terengganu itu menguasai peringkat kelima dari Muar, Johor ke Port Dickson, Negeri Sembilan sejauh 111.5 kilometer (km).

Kejayaan tersebut membuka ruang kepada Anuar untuk dinobatkan selaku Raja Pecut pada edisi ke-15 perlumbaan berprestij di Asia berstatus Hors itu.

Bagaimanapun, pencapaian itu hanya tinggal sejarah.

Anuar dan barisan pelumba negara yang lain tidak berupaya untuk mengulangi pencapaian tersebut.

Namun, keazaman mereka untuk mencipta nama dan melakar sejarah baharu pada perlumbaan itu tidak pernah luntur.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) juga tidak pernah kekeringan idea untuk membantu para pelumba membina reputasi masing-masing.

Kini, seramai 16 pelumba negara bersiap sedia untuk menyahut cabaran bagi menonjolkan kejaguhan masing-masing pada edisi ke-18 yang akan membuka tirainya di Kangar, Perlis bermula 21 Februari hingga 2 Mac depan.

Mereka perlu mengerah keringat untuk menyaingi kehebatan pelumba Team Europcar, Pierre Rolland dan Andrea Guardini dari Astana Pro Cycling Team yang merupakan antara 132 pelumba daripada 30 negara yang akan memeriahkan perlumbaan ini.

Rolland, 26, dari Perancis merupakan jaguh pendakian pada Jelajah Perancis manakala Guardini memegang status Raja Pecut LTdL 2011 dan 2012.

Jurulatih skuad lebuh raya negara, Aminudin Sulaiman bertekad untuk menampilkan kelainan dengan mempertaruhkan ramai pakar pendakian berbanding pelumba pecut pada perlumbaan kali ini.

Aminudin berkata, skuad negara mahu memberi tumpuan yang lebih di laluan berbukit, terutamanya pada peringkat pendakian di Genting Hinglands yang diakui paling sukar oleh pelumba-pelumba profesional luar negara.

"Kami akan menurunkan lima pelumba pendaki supaya kami tidak tercicir jauh daripada pasukan lain pada peringkat pendakian di Genting Hinglands.

"Saya tidak kata pelumba negara boleh menang tetapi cuba memberi saingan dan berharap strategi ini mampu memperbaiki kedudukan tahun lalu.

"Gabungan pelumba berpengalaman dan baharu seiring strategi untuk menduduki kelompok 10 pasukan terbaik Asia," kata Aminudin.

Pelumba Malaysia memperoleh suntikan semangat apabila rakan penaja, Telekom Malaysia (TM) Berhad memperkenalkan tiga anugerah baharu tahun ini iaitu Pelumba Pecut Terbaik (Raja Pecut), Pelumba Pendaki Terbaik (Raja Bukit) dan Juara Keseluruhan dilihat mampu menghangatkan lagi pertarungan dalam kalangan pelumba tempatan.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab senada dengan Aminudin.

Abu Samah berharap para pelumba Malaysia menggunakan kesempatan ini untuk mencipta kejayaan selaku pelumba terbaik Asia.

"Meskipun mewakili pelbagai pasukan, termasuk pasukan kebangsaan, mereka perlu ingat bahawa mereka berlumba untuk menaikkan nama Malaysia. Saya harap semua pelumba akan dapat bekerjasama," katanya.

Pada edisi kali ini, Anuar yang menyarung jersi pasukan benua, Synergy Baku Cycling Project (BCP) akan mengetuai cabaran negara.

Selain mahu mengulangi pencapaian tahun 2010, Anuar turut berazam untuk menebus kekecewaan selepas impiannya untuk menyertai bekas pasukan, Terengganu Cycling Team (TSG) tidak kesampaian.

Malaysia pula meletakkan sandaran kepada kayuhan dua pelumba Olimpik, Amir Mustafa Rusli yang mewakili skuad kebangsaan dan Mohammed Adiq Husainie Othman dari Champion System Pro Cycling Team.

Kehebatan Mohd. Harrif Saleh juga perlu diberi perhatian kerana jaguh pecut berusia 25 tahun ini dilabel sebagai pelumba lebuh raya terbaik yang pernah dimiliki Malaysia selepas Anuar.

Harrif sudah pasti mahu membuktikan kehebatannya bagi menebus kekecewaan 'digugurkan' daripada senarai pelumba yang beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London.

"Saya mahu menaiki podium lebih kerap berbanding (LTdL) tahun lepas sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia di Terengganu," kata Harrif yang menaiki podium sebanyak dua kali pada edisi 2012 iaitu di tempat ketiga.

Harrif akan bergandingan bersama abangnya, Mohd. Zamri Salleh dalam pasukan TSG yang turut dibarisi Mohd. Shahrul Mat Amin, Mohd. Saufi Mat Senan, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd. Nor Umardi Rosdi.

Kayuhan pelumba berpengalaman negara, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi tidak boleh dipandang remeh kerana dia mampu melakar kejutan terutamanya apabila bergandingan bersama Amir, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Muhamad Rauf Nur Misbah, Yusrizal Usoff dan Muhammad Zulhilmi Afif Ahmad Zamri dalam pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba berpengalaman, Ng Yong Li yang membuat keputusan menyertai RTS Racing Team turut berkemampuan melakukan kejutan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved