Selasa, 19 Februari 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Najis jadi tenaga elektrik dan baja

Posted:

Najis jadi tenaga elektrik dan baja

Najis jadi tenaga elektrik dan baja

Oleh ADLAN JAAFAR


BAJA yang terhasil dapat digunakan sebagai industri sampingan untuk pertanian.


JIKA anda memandu di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) berdekatan Pajam, Negeri Sembilan, pandangan mata anda pasti tertancap pada sebuah binaan yang sangat besar dengan ketinggian bersamaan bangunan lima tingkat.

Berwarna putih dan berbentuk sfera, ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan Loji Biogas kelolaan SP Multitech Renewable Energy Sdn. Bhd. (SP Multitech) bertujuan mengitar semula bahan-bahan buangan di sebuah ladang ternakan ayam.

Berdiameter 15 meter, sistem storan membran biogas itu merupakan tempat penyimpanan biogas yang terhasil daripada loji biogas itu.

Ia berbeza dengan sistem penyimpanan gas asli untuk kenderaan (NGV) dan gas petroleum cecair (LPG) yang memerlukan banyak tenaga untuk dimampat bagi membolehkan penyimpanan dalam ruangan yang kecil.

Penyimpanan LPG pula menggunakan tenaga yang lebih banyak kerana mahu menyimpan kandungan gas dalam bentuk cecair dalam ruang kecil.

Bagaimanapun, kedua-dua tangki penyimpanan itu diperlukan kerana kegunaan dan kesesuaian pada persekitaran serta pengguna.

Sistem penyimpanan membran biogas di Pajam itu mempunyai dua lapisan yang mempunyai fungsi yang berbeza.

Lapisan pertama pada bahagian dalam bertindak sebagai ruang penyimpanan yang akan berkembang apabila mempunyai biogas, ia berkembang dan mengempis ketika tiada isipadu.

Justeru, disebabkan sistem tersebut bertindak begitu, maka tiada tenaga daripada luar digunakan dalam proses penyimpanan. Lapisan luar pula bertindak sebagai pelindungan dan sentiasa pada bentuk yang sama walau apa keadaan sekalipun.

Seiring dengan perkembangan semasa, permintaan terhadap daging dan telur ayam di negara kita semakin meningkat disebabkan ia merupakan antara sumber protein yang boleh dinikmati penduduk Malaysia yang berbeza keturunan dan agama.

Keperluan ayam


SEDAR atau tidak, kita menggunakan telur dan daging ayam dalam pelbagai hidangan hampir setiap hari.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Multitech Corporation Berhad, William Tan, 45, berkata, secara purata penduduk Malaysia menggunakan 25 hingga 28 juta biji telur sehari.

"Telur ayam dimakan secara terus iaitu boleh dilihat ciri fizikal atau tidak langsung seperti kek, mi, spageti dan kuih-muih," terang William ketika ditemui di pejabatnya di Puchong, Selangor.

Seekor ayam telur mampu mengeluarkan lebih kurang 300 biji telur sepanjang hayat, maka beratus-ratus ribu ekor ayam diperlukan bagi memenuhi permintaan dan itu tidak termasuk ayam daging dan ternakan-ternakan lain.

Penambahan bilangan ayam juga menyebabkan najis ayam bertambah. Seekor ayam mengeluarkan kira-kira 100 gram najis setiap hari menjadikan secara purata 3,000 tan najis dihasilkan.

Kaedah tradisional yang digunakan ialah menjadikan najis ayam sebagai baja organik tetapi kuantitinya bertambah sekali gus menyebabkan bau yang kurang senang dikeluarkan.

Najis ayam mempunyai gas hidrogen sulfida (H2S) yang mengeluarkan bau, ia lebih berat sedikit berbanding udara biasa.

Aduan pernah diterima daripada penduduk sekeliling sejauh lingkungan 10 kilometer dari ladang ternakan Pajam yang telah dibawa oleh tiupan angin.

Pendedahan terhadap H2S dengan ketumpatan sehingga 10 bahagian per juta menyebabkan simptom-simptom seperti iritasi pada mata, hidung dan tekak.

Teknologi pencernaan anaerob

SP Multitech membangunkan projek tersebut sejak tahun 2009, menggunakan teknologi pencernaan anaerob yang telah dibangunkan lebih 50 tahun di Jerman.

Teknologi tersebut merupakan proses mikroorganisma memecahkan bahan-bahan yang boleh terbiodegradasi tanpa kehadiran oksigen.


LOJI Biogas kelolaan SP Multitech Renewable Energy ini membantu ladang ayam di Pajam bebas daripada mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.


Jerman merupakan sebuah negara yang tidak mempunyai sumber asli dan kini, ia mampu menampung keperluan tenaga sendiri melalui tenaga diperbaharui seperti biogas, kincir angin dan solar.

Pencernaan anaerobik merupakan sebuah proses yang menyerupai pembentukan sumber tenaga berasaskan hidrokarbon, namun perbezaannya terletak pada durasi masa yang diambil.

Hidrokarbon mengambil masa berjuta-juta tahun tetapi teknologi pencernaan anaerobik memendekkan tempoh sekitar 20 hari.

Teknologi tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu seperti di Pajam, Nilai yang dikenali sebagai Loji Biogas Penapaian Basah (WFAD).

Najis-najis ayam melalui proses penapaian di tangki pencernaan, kemudian ia melalui Desulfurizer untuk merawat biogas yang tinggi kandungan H2S.

Kemudian, ia disimpan dalam sistem penyimpanan membran sebelum ditukar menjadi bekalan elektrik dengan menggunakan generator biogas.

Kini, ladang ayam di Pajam itu sudah dapat menjimatkan kos bekalan tenaga elektrik lebih RM200 juta setahun selepas mengaplikasi teknologi tersebut.

Aduan mengenai bau najis ayam pun sudah tidak kedengaran daripada penduduk sekeliling, malah kata William, ayam-ayam itu tinggal umpama dalam sebuah pangsapuri kerana dilengkapi dengan pendingin hawa.

Lebihan tenaga yang terhasil daripada najis dan tidak digunakan pula disalurkan ke grid Tenaga Nasional Berhad untuk digunakan seluruh penduduk Malaysia.

Selain bekalan tenaga elektrik yang didapati, bahan keluaran yang lain pula boleh dijadikan baja organik.

Untuk pelupusan sampah

Satu kategori lagi ialah Biogas Penapaian Kering (DFAD) tetapi ia masih belum lagi ada di Malaysia.

Pada masa hadapan, SP Multitech bakal mewujudkan Zero-Waste Park (Taman Sifar Hasil Buangan) yang mampu menggantikan kaedah konvensional, tapak pelupusan sampah.

Kata William, cara lama itu tidak mapan kerana secara purata tapak pelupusan sampah hanya boleh beroperasi dalam tempoh kira-kira 20 tahun.


SFERA ini digunakan sebagai tangki penyimpanan biogas sama seperti fungsi tangki gas LPG NGV.


Sampah menghasilkan sejenis cecair dikenali sebagai bahan larut lesap (leachate) yang masih mengalir keluar untuk tempoh sekurang-kurangnya 40 tahun walaupun kawasan pelupusan sudah berhenti beroperasi.

Zero-Waste Park itu nanti menggunakan teknologi Hibrid Penapaian Kering Pencernaan Anaerobik (Hibrid DFAD) yang menggabungkan kebolehan mencernakan bahan buangan kering dan basah.

Proses Hibrid DFAD bermula apabila sampah sarap yang dihantar akan diasing mengikut kategori organik dan bukan organik. Bagi bahan bukan organik, ia diasing berdasarkan jenis seperti kaca, plastik atau tin.

Sampah organik dimasukkan ke dalam sistem pencernaan anaerobik, manakala bukan organik akan dihantar Pusat Bahan Sukar Dikitar untuk ditukar menjadi bahan mentah pembinaan atau jalan raya.

Timbunan sampah yang dihantar ke Hibrid DFAD juga menghasilkan leachate dan ia akan turut melalui proses pencernaan sekali gus menghasilkan biogas dalam masa yang sama.

Proses tersebut menggunakan Reaktor Tangki Adukan Berterusan.

Buat masa sekarang, kata William, pihak berkuasa tempatan di Pahang dan Selangor sudah menunjukkan minat mahu membina Zero-Waste Park di negeri-negeri terbabit.

Tanam api-api sebagai penampan tsunami

Posted:

Tanam api-api sebagai penampan tsunami

Tanam api-api sebagai penampan tsunami


PELBAGAI kaedah digunakan dalam memastikan pokok bakau yang ditanam dapat hidup dengan sihat dan membesar.




KESAN tsunami boleh memusnahkan penempatan di tepi laut dalam masa yang singkat.


KESAN daripada gempa bumi kuat Sumatera-Andaman pada tahun 2004 mengakibatkan berlakunya tsunami Lautan India paling dahsyat dalam sejarah yang membawa kesan malapetaka kepada 14 buah negara termasuk Malaysia.

Tsunami itu, berpunca daripada gempa bumi dengan magnitud 9.1 hingga 9.3 skala momen (Mw), memusnahkan pesisiran pantai Sumatera di Indonesia, Tamil Nadu di India, Sri Lanka, Thailand dan Somalia di Afrika.

Lebih daripada suku juta orang terkorban dan memusnahkan banyak bandar di pesisir pantai.

Banyak perkara yang dipelajari manusia daripada tragedi itu. Negara-negara mula sedar bahawa kawasan pesisir pantai mereka terdedah kepada lautan terbuka. Oleh itu negara-negara ini memutuskan untuk melindungi pantai mereka dalam cara yang inovatif.

Mereka mewujudkan zon penampan daripada hutan bakau.

Malaysia pantas memberikan tindak balas dengan melancarkan projek kebangsaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies Sesuai di Pesisiran Pantai Negara pada 14 April 2005 di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Projek di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyaksikan penanaman spesies bakau dan pantai terpilih.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menanam secara giat pokok bakau di kawasan pesisiran pantai di seluruh negara seluas 2,260 hektar.

Projek itu penting bagi meningkatkan kestabilan zon penampan yang memainkan peranan sebagai pelindung semula jadi terhadap keselamatan penduduk pesisir, kemudahan asas dan harta benda daripada risiko ancaman tsunami, angin kencang dan hakisan pantai.

Menilai kejayaan

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula dilantik sebagai pengerusi bahagian kedua iaitu Jawatankuasa Teknikal Penyelidikan dan Pembangunan (JTRD) untuk melakukan kajian menyeluruh pelbagai aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain memantau serta menilai kejayaan projek penanaman.

Menurut FRIM, tanah lumpur yang sukar diduga menyukarkan anak pokok bakau tumbuh selain risiko tanah berlumpur, arus laut dan haiwan berbisa kepada penyelidik serta petugas.

Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan kerana penanaman inovatif amat diperlukan bagi menstabilkan tanah daripada hakisan memandangkan impak daripada ombak kuat selain hakisan, menyukarkan tumbuhan pesisir pantai untuk membesar secara semula jadi.

AKTIVITI penanaman pokok bakau dijalankan secara lebih giat sejak tahun 2005. - Gambar hiasan


Datuk Dr. Marzalina Mansor yang mengetuai pasukan FRIM terlibat dalam penyediaan anak-anak pokok.

Beliau mengakui mempunyai pengalaman yang terhad dalam mendapatkan biji benih bakau, tetapi ia mesti dilakukan demi mendapatkan jawapan kepada teknik penghasilan benih bagi menjayakan program penanaman semula spesies pesisir pantai itu.

"Usaha mendapatkan buah atau biji benih yang diperlukan untuk kajian fenologi mesti dilakukan setiap bulan bagi menentukan musim bunga dan buah spesies yang dikaji," jelas beliau.

Antara pengalaman yang paling mengerikan beliau ialah melihat ular air berenang-renang di hadapan mata dan pengalaman terjerlus masuk ke dalam lumpur semasa memastikan anak pokok api-api dapat tumbuh di pesisir pantai.

"Bayangkanlah, terbenam hingga ke paras dada di dalam selut dan menyedari kasut but telah ditelan pasir jerlus. Alhamdulillah rakan-rakan akhirnya berjaya menarik saya keluar selepas bergelut kira-kira 10 minit," katanya.

Bakti api-api

Bagi Marzalina dan pasukannya, kejadian itu tidak melemahkan semangat mereka, walaupun cabaran berlaku hampir setiap hari.

Pasukan beliau juga bertugas untuk mengkaji distribusi semula jadi spesies liar dalam usaha memilih spesies terbaik yang mampu berhadapan dengan pukulan ombak dan hasilnya, mereka mendapati bahawa api-api mempunyai kelebihan itu.

Api-api mempunyai jaringan akar yang menakjubkan dan akar nafas yang boleh memastikan ia hidup walaupun ditenggelami air beberapa jam apabila air pasang.

"Meskipun peredaran masa akan merubah pasir dan tambak binaan, sistem akar api-api membantu mengukuhkan kepadatan pasir bagi membolehkan spesies seterusnya seperti perepat dan bakau lain tumbuh serta membesar," jelas Marzalina.

Lebih penting lagi, pokok api-api yang mati, dapat pula memberi ruang kehidupan kepada pokok jenis lain untuk tumbuh.


PROGRAM menanam pokok bakau telah dimulakan dari tahun 2005 sebagai usaha memastikan kestabilan zon penampan. - Gambar hiasan


Penduduk prihatin

Sementara itu, Kampung Dato' Hormat di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Selangor telah menjadi lokasi kajian utama program itu ekoran hakisan teruk pinggir sungai yang dikhuatiri mendatangkan pelbagai risiko kepada penduduk setempat.

Kampung itu dipilih selepas penduduk mengadu dan memohon kerjasama FRIM untuk membantu mereka memulihkan semula kawasan pinggir sungai berkenaan.

Selepas pelbagai kajian dilakukan, aktiviti khas penanaman 900 anak bakau dilaksanakan di situ oleh 70 orang penduduk kampung dengan tunjuk ajar 10 orang petugas FRIM.

Usaha itu jelas menunjukkan bahawa masyarakat setempat yang hidup berhampiran pesisiran pantai cukup sedar akan kepentingan pokok asli hutan pesisir pantai.

Malah, mereka mahu terlibat secara langsung bagi melindungi kawasan pantai mereka daripada rosak terhakis. - Bernama

Telefon pintar rama-rama

Posted:

Telefon pintar rama-rama

Telefon pintar rama-rama


HTC Butterfly menawarkan skrin lima inci dengan visual yang lebih jelas.


DENGAN kedatangan siri televisyen berdefinisi tinggi, HTC Butterfly menjadi telefon pintar pertama yang turut memaparkan teknologi yang sama. Paparan skrin bersaiz lima inci itu mampu mempamerkan visual yang hebat pada 440 piksel per inci (PPI).

Fizikalnya direka supaya lebih nipis berbanding peranti lain yang memiliki saiz sama. Lengkok pada bahagian belakang sebanyak empat milimeter memberi keselesaan genggaman tangan atau dalam poket.

Sistem operasi menggunakan Android 4.1 (Jelly Bean) dengan HTC Sense 4+, manakala memori dua gigabait RAM memastikan ia boleh berfungsi dengan baik walaupun sedang menggunakan pelbagai aplikasi secara serentak.

HTC VideoPic membolehkan pengguna merakam gambar dan video pada satu masa semudah menekan butang Continuous Shooting dengan merakam beberapa foto sehingga empat bingkai per saat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved