Ahad, 3 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ben, aktor nakal jadi sutradara piala

Posted:

Ben, aktor nakal jadi sutradara piala

Ben, aktor nakal jadi sutradara piala

MENJULANG piala kemenangan bergelar Sutradara Terbaik di Anugerah Golden Globe.


RESAH gelisah menyelubungi diri Ben Affleck sewaktu filem ketiga arahannya, Argo mahu dipertontonkan kepada umum. Dia mengaku perasaan itu bermain-main dalam benaknya. Dahulu, dia tidak tahu kepentingan untuk turun promosi sewaktu bergelar pelakon tetapi dia sanggup berbuat apa sahaja.

Ben Affleck yang awalnya seorang aktor kini sutradara filem Argo yang tidak mendapat pencalonan untuk Anugerah Academy tahun ini. Namun filem itu mengalami pemulihan nama baik dengan meraih dua piala Anugerah Golden Globe dalam kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik (Drama). Begitu juga kemenangan di Anugerah SAG dan Critics' Choice Awards.

"Saya tidak peduli dengan penghargaan," terang Ben saat menerima piala sebagai sutradara terbaik. Keresahannya ternyata berhujung apabila filem itu mendapat bukan sahaja tempat dalam hati para peminat tetapi akademi penganugerahan dan pengkritik filem.

Minta maaf daripada JLo

Untuk seorang lelaki yang berumur 40 tahun, Ben sudah memiliki sebuah kehidupan yang sempurna. Isteri yang cantik, tiga orang cahaya mata yang membesar, filem yang mendapat penghargaan serta cerita nakalnya yang luput dalam ingatan khalayak.

"Saya berasa seperti kerja saya dinilai atas sebab yang betul. Itu merupakan perasaan yang yang baik, itu yang saya mahukan. Apabila khalayak mula melihat apa yang kamu lakukan malah memberi merit ke atasnya. Saya bekerja sangat kuat dan saya sangat mengambil peduli. Sebuah penghargaan buat saya untuk melakukan apa yang saya lakukan sekarang.

"Ramai orang mahu membuat sesuatu. Saya mahu pastikan apabila saya menoleh semula, 15 tahun daripada sekarang dan berkata, 'saya menyukai filem yang saya buat. Saya bersyukur membuat filem-filem ini'. Saya sudah berada dalam fasa di mana saya tidak perlu sembunyikan apa-apa. Apa yang saya tahu, saya sangat bahagia. Saya suka filem yang saya buat. Malah saya gemarkan peluang dapat membuat filem. Itu sebuah kemenangan, di Hollywood," katanya tentang kehidupannya sekarang yang dilihat lancar.

Aktor filem Armageddon, Chasing Amy dan Dogma ini dahulunya dilihat sebagai selebriti parti. Kini seiring usia dan benang hidup yang mula tersusun cantik, dia merupakan seorang bapa yang bangun seawal pukul 6 pagi dan masuk tidur pukul 9 malam.

Usia perkahwinan yang mencapai angka tujuh beserta kehidupan harmoni bersama Violet, 8, Seraphina, 4, dan Samuel, 1, menunjukkan transisi hidup Ben. Sifat kebapaan mengubah haluan hidupnya.

"Benar. Saya juga mula tidak pedulikan perkara-perkara remeh yang saya tidak perlu ambil tahu. Bagi saya, kemaafan adalah satu hal yang sihat. Saya pernah menjadi bahan berita muka hadapan tetapi biarlah kerana lelaki ini ada pekerjaan yang harus dilaksanakan. Saya juga ada tanggungjawab terhadap diri sendiri," luahnya.

Ben mengaku pernah berasa dia perlu meminta maaf daripada bekas kekasih, Jennifer Lopez (JLo), tentang filemnya yang tidak menjadi dan berasa bertanggungjawab akan hal itu.

Kisah dirinya dan Jennifer pernah menjadi fenomena hingga mereka diberi jolokan 'Bennifer'.

Ben mendakwa, dia masih berhubungan dengan JLo atas tali persahabatan. Mereka mengutus e-mel dan mengucapkan tahniah atas kerja masing-masing. Sewaktu JLo menjadi juri untuk American Idol, Ben mengutus kata-kata semangat buat bekas tunangnya itu.

BEN (kiri) mengaku Jennifer (kanan) mengubah hidupnya menjadi lebih baik.


Puncak kerjaya

Argo bukan filem pertama arahan Ben. Terdahulu dia pernah mengarahkan filem Gone Baby Gone (2007) dan The Town (2010). Hasil kejayaan yang ditempa Argo, Ben telah dipilih untuk menggantikan David Yates sebagai sutradara filem adaptasi novel Stephen King, The Stand. Pihak Warner Bros juga dikatakan mengintai Ben untuk mengarahkan filem Justice League namun pelawaan itu ditolak Ben.

"Saya suka bertindak sebagai pengarah. Saya bertindak dan saya tahu bahawa saya berpeluang untuk mempunyai ruang untuk memberi pendapat. Saya cuba untuk mewujudkan persekitaran yang merehatkan untuk para pelakon. Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu. Anda boleh berjalan di luar kamera dan tidak mengapa. Apa-apa sahaja yang mungkin menjadi baik," ujar seorang pengarah yang fleksibel.

Sebagai seorang teman rapat yang paling mengerti perjalanan hidup Ben, aktor Matt Damon yang dikenali sejak usia 8 tahun nampak transisi tersebut.

Kata Matt: Ben pernah berada di puncak dan di bawah. Kini dia melihat Ben sedang berada di puncak kembali.

"Dia mendapat pengiraan penuh tentang apa kehidupan di Hollywood boleh tawarkan. Kini, dia selesa berada di situ."

Kini dalam setiap kata-kata dan gerak nafas Ben, turun naiknya banyak berbunyi semangat sutradara. Dia berasa penuh tanggungjawab membawa predikat tersebut.

"Saya mengambil rasa tanggungjawab untuk mengarah dan benar-benar daripada hati. Inilah tempatnya di mana saya boleh mengawal semua aspek yang berbeza dan bukan cuma sekadar kotak persembahan anda.

"Saya cuba untuk melakukan perkara yang berbeza dan saya membuat kesilapan. Saya melakukan beberapa perkara yang betul dan kemudian saya berkahwin dan mempunyai anak-anak dan yang ia banyak membantu. Kemudian saya memutuskan untuk hanya melakukan filem yang saya percaya," jujur penerangan lelaki yang pernah berpacaran dengan Gywneth Paltrow ini.

Suami Jennifer Garner ini merangkumi kehidupan yang dilaluinya kini. Dia pernah dilihat sebagai salah seorang pelakon Hollywood yang kacak dan dikelilingi wanita hebat. Dia kemudian pada satu takuk tampil dengan sisi serius sebagai pelakon dan sutradara yang berjuang untuk sisi kreatif dan perjuangan seninya.

Garner yang dijodohkan dengannya dalam filem Daredevil menyumbang kepada pemikiran ini.

"Jennifer memainkan peranan yang mendalam dalam menjadikan saya seorang yang lebih baik.

"Kami tidak mempunyai perkahwinan yang sempurna, tetapi dia inspirasi saya. Mencari diri dalam perkahwinan dan mempunyai anak semakin menjadikan diri saya lebih matang," kata Ben .

"Bertuahnya, pada fasa ini saya berasa bebas daripada perkara-perkara negatif. Akhirnya, satu hari, saya akan ditemu ramah dengan perkara-perkara yang tidak melibatkan cerita-cerita tabloid 2003," ujar Ben menutup tirai gosip dan pada satu sisi lain membuka pintu jayanya.

Lara hidup Norish Karman

Posted:

Lara hidup Norish Karman

Lara hidup Norish Karman


NORISH KARMAN sebak sepanjang memberikan penjelasan kepada pihak media berhubung tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadapnya.


WAJAHNNYA pilu dan sesekali jari-jemarinya mengesat air yang tumpah dari kolam matanya yang berkaca, namun Norish Karman, 37, tetap mengagahkan diri. Dia bercerita dan terus bercerita tentang lara yang sedang dihadapi ekoran pelbagai kontroversi.

Tahun lepas namanya panas gara-gara kehadiran seorang bayi diberi nama Haq Lutfie Alexander yang sehingga kini masih dirahsiakan identiti bapanya. Tahun ini, air muka pelakon berkaliber yang cukup dikenali dengan panggilan NK itu masih belum habis diconteng dengan arang.

Sama ada terhukum oleh kesilapan lalu atau dihukum sewenang-wenangnya oleh media, apa yang berlaku kepada Norish sebenarnya satu episod hitam. Luka hidupnya tidak pernah sembuh.

Semuanya bermula beberapa tahun lalu selepas rumah tangganya bersama Datuk Hashimuddin Abdul Kadir hancur dipukul badai pada 2008. Dalam tempoh beberapa tahun ini, namanya tenggelam timbul. Selesai soal penjagaan anak-anak, muncul pula kisah bercinta lelaki muda. Tidak habis dengan perkara itu, tiba-tiba pula dia dikatakan menyembunyikan diri dan hamil anak luar nikah.

Terbaharu, Norish dikecam seorang wanita yang mendakwa pelakon itu cuba merampas suaminya. Norish, baru-baru ini terpaksa merasakan sudah tiba masa untuknya bangkit memperjelaskan keadaan sebenar kepada media.

"Semua cerita dan kontroversi yang selama ini dipaparkan oleh pihak media sangat mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Saya lebih teruk daripada banduan kerana media terus menjatuhkan hukuman kepada saya tanpa mempedulikan berita itu sahih atau tidak," getus Norish dalam nada hiba usai majlis solat hajat dan jamuan makan buat peminat-peminatnya di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Norish mengambil peluang itu untuk beramah-mesra dengan media yang selama ini disifatkannya tidak habis-habis mencungkil cerita panas tentang dirinya.

"Tanyalah saya apa sahaja, selama ini pihak media tidak habis-habis telefon saya minta komen macam-macam cerita," katanya separuh tegas, separuh berseloroh.

Lebih memburukkan keadaan, kata Norish: "Karier lakonan saya mendapat impak yang paling teruk. Selama enam bulan sampai ke hari ini, saya tidak berlakon dan tidak mendapat sebarang tawaran lakonan. Semua itu kesan cerita buruk tentang saya yang dijaja oleh media."

Kehilangan sumber pendapatan hasil lakonan menyebabkan Norish melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti katering dari rumah dan memenuhi jemputan mengadakan ceramah motivasi. Sepanjang tiada tawaran lakonan juga, Norish menumpukan perhatian untuk promosi albumnya, Terus Melangkah.

Untuk tahun 2013, dia masih punya harapan untuk menjayakan promosi dan persembahan jelajah untuk album berkenaan ke seluruh negara.

"Mujurlah saya masih ada peminat yang terus memberi sokongan. Sekarang saya ada empat akaun Facebook kerana satu akaun tidak menampung jumlah pengikut yang ramai," akui Norish.

Berhubung kontroversi terbaharu dituduh sebagai artis perampas suami orang yang terpalit ke mukanya, ibu kepada empat orang anak itu menjelaskan dakwaan itu adalah kenyataan yang dilemparkan oleh seorang wanita yang pernah dianggap seperti kakak sendiri.

"Tuduhan itu buat saya bertambah sedih dan terkilan. Dia bukan sahaja kawan bahkan saya anggap sebagai kakak sendiri. Saya kenal rapat keluarga tapi tidak perlulah namanya disebut, saya tidak mahu dia pula yang dicerca oleh masyarakat.

"Ini semua kerana cemburu dan iri hati. Dia cemburu kerana anak-anaknya sangat rapat dengan saya. Dia mungkin kurang senang dan fikir saya mahu rampas suaminya. Saya langsung tidak tergamak untuk runtuhkan rumah tangga orang lagipun suaminya sudah berusia 66 tahun," jelas Norish.

Menurut Norish, dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada penyebar fitnah berkenaan. Dia cuma kesal kerana hubungan yang terbina selama lima tahun musnah begitu sahaja gara-gara prasangka tanpa usul periksa.

Konsert otai rock tiga hari tiga malam

Posted:

Konsert otai rock tiga hari tiga malam

Konsert otai rock tiga hari tiga malam


BARISAN penggiat muzik rock 1990-an bakal menggegarkan Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 hingga 9 Feb ini.


RIUH-RENDAH seketika Studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. Ketika itu diadakan satu sesi fotografi bersama beberapa buah grup rock 1980-an dan 1990-an yang digabungkan bersama.

Fotografi tersebut nyata bukan sekadar sesi biasa bagi mereka, bahkan menjadi menjadi ruang untuk bertemu dengan rakan-rakan 'sealiran.'

Antara yang hadir termasuklah kumpulan Utopia, Meditasi, Samudera, CRK, Putra, Satira, Burnmark, EYE, Lela, Graviti, Junction, Handy Black dan Bloodsheed. Ada antara grup tersebut yang kali terakhir mengikuti sesi fotografi bersama media sekitar tahun 1990.

"Kumpulan-kumpulan rock otai sudah lama tidak mendapat publisiti di media. Apabila dapat berkumpul seperti ini untuk satu sesi fotografi, ia suatu pengalaman yang berharga buat kami.

"Gamat seketika kerana dapat bertemu dan berkumpul seperti ini. Kumpulan saya (Meditasi) sendiri kali terakhir tampil dalam sesi fotografi adalah pada tahun 1992 iaitu ketika album terakhir," ujar vokalis kumpulan Meditasi, Burn selaku jurucakap kepada barisan kumpulan rock tersebut.

Pada awalnya, sesi tersebut diaturkan khas buat vokalis kumpulan terbabit sahaja, namun atas sokongan daripada ahlinya, kira-kira 25 orang daripada pelbagai grup hadir untuk menjayakan sesi tersebut.

Kesemua mereka bukan sahaja hadir membawa mesej bahawa grup berkenaan masih belum terkubur, bahkan turut membawa perkhabaran bahawa akan diadakan sebuah sebuah konsert rock secara besar-besaran tidak lama lagi.

Bakal berhimpun selama tiga hari tiga malam di Stadium Putra Bukit Jalil, Selangor pada minggu hadapan, konsert yang digelar Rockers... Apa Khabar itu dijangka menarik penonton daripada pelbagai lapisan usia.

"Konsert itu akan diadakan pada 8 hingga 10 Februari ini, bermula pukul 4 petang hingga ke tengah malam. Pastinya kami menjanjikan sebuah persembahan penuh bertenaga secara langsung buat para peminat.

"Lebih menarik lagi kerana kami tidak meletakkan had usia kepada sesiapa sahaja untuk hadir bagi menikmati lagu-lagu rock popular sepanjang zaman itu. Masuk adalah percuma," kata Burn kepada Sensasi Bintang.

Tidak sekadar sebuah konsert, program itu turut dirakamkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia juga bakal ditayangkan sebanyak 13 episod di saluran TV2 bermula Jun ini.

Sebanyak 13 kumpulan rock yang terlibat dalam konsert tersebut termasuklah kumpulan EYE, Utopia, Meditasi, Lela, Samudera, Burnmark dan Handy Black. Pada setiap hari konsert berlangsung antara empat dan lima kumpulan akan mengadakan persembahan mereka.

Setiap grup akan menyampaikan enam buah lagu popular masing-masing seperti Sinambungan Cinta oleh Graviti, Maya Percintaan (Utopia), Surat Dari Hiroshima (Satira), Bidadari (Lela), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Izinkan Selamanya Nama di Hati (EYE) dan Kain Cinta Putih (Putra).

Selain itu kumpulan Junction tidak akan ketinggalan untuk menyampaikan lagu Demi Cinta Setia di samping lagu Titian Hasrat oleh Samudera, Secebis Rayuan (Burnmark) dan Engkau Yang Bernama Seri (Handy Black).

Jelas Afee yang merupakan vokalis kumpulan Utopia, lagu-lagu yang dipopularkan sejak tahun 1980-an dan 1990-an itu tetap segar hingga kini biarpun ahli grup tersebut tidak lagi dikenali seperti suatu ketika dahulu.

"Peminat lagu-lagu kami tidak terhad pada mereka yang membesar kepada zaman itu, bahkan peminat baharu juga semakin bertambah. Boleh dikatakan ramai yang tidak kenal siapakah penyanyi tersebut dan sekadar tahu nama kumpulan dan lagu sahaja.

"Justeru kalau peminat mahu mengenali siapakah penyanyi di sebalik lagu-lagu yang masih popular itu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert yang diadakan secara besar-besaran buat pertama kali itu. Saya pasti, peminat yang tidak kenal siapa kami akan turut menyanyi bersama-sama nanti," kata Afee.

Konsert yang bakal menjadi sejarah buat industri muzik tempatan itu apabila rakaman selama sejam buat setiap kumpulan akan dirangkumkan sebagai sebuah jurnal grup terbabit.

"Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa konsert tersebut bakal menjadi khazanah negara kerana rakaman itu bukan sekadar konsert semata-mata tetapi terdapat sesi temu ramah bersama setiap kumpulan. Turut dipaparkan di televisyen nanti termasuklah aktiviti yang pernah dilakukan dan gambar-gambar lama kami," ujar Isa daripada kumpulan Graviti.

Tambah Burn, usaha memperkenalkan semula jenama-jenama rock yang sepi daripada liputan media itu bukan sahaja untuk kepentingan grup yang terbabit, bahkan turut merangkumi usaha mengembalikan kegemilangan industri muzik tempatan.

Mengakui sedikit 'takut' dengan produk-produk muzik import yang semakin banyak membanjiri pasaran hiburan tempatan, usaha mereka itu sedikit sebanyak dapat menarik perhatian anak muda yang cenderung kepada naskhah yang enak didengar.

"Pada zaman kegemilangan rock suatu ketika dahulu, begitu sukar untuk muzik luar masuk ke negara ini kerena kita mempunyai kekuatan. Bahkan lagu-lagu kita juga diterima di negara jiran sehinggakan pada suatu ketika berlaku sekatan kerana mereka bimbang kita akan memonopoli industri Indonesia.

"Namun, sejak kebelakangan ini, industri muzik tempatan seolah-olah membuka ruang yang besar untuk orang luar memonopoli pasaran muzik semasa.

"Pastinya keadaan itu tidak sihat untuk industri muzik tempatan. Biarpun usaha untuk memperkenalkan semula irama rock ini berdepan kesukaran, namun sekurang-kurangnya generasi baharu akan kenal siapakah penyanyi di sebalik lagu-lagu yang mereka dendangkan di pusat karaoke mahupun yang mendengarnya di radio," kata Burn.

Usaha mengembalikan kegemilangan zaman rock kapak atas kerjasama pihak kerajaan itu turut memberi semula nafas buat grup-grup yang pernah mencetuskan fenomena tersebut.

Biarpun masih tidak putus-putus menerima pulangan berbentuk royalti daripada Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), jelas Burn, grup tersebut seolah-olah kembali kepada zaman permulaan apabila menyara hidup dengan mengadakan persembahan di majlis perkahwinan dan majlis korporat sahaja.

Dalam sibuk bercerita, Afee mencelah bahawa kebanyakan daripada grup rock otai masih lagi kekal bersama ahli asalnya, bahkan banyak yang belum terkubur kerana minat masing-masing untuk tidak berpisah.

"Memang sukar untuk kami mengadakan persembahan secara berkumpulan kerana kebanyakan penganjur sekadar menjemput vokalis sahaja atas kekangan bajet. Walaupun kurang meriah apabila menyanyi bersama minus one, tetapi itu hakikat yang harus ditelan.

"Ramai yang tidak tahu sebenarnya kebanyakan daripada kami memang masih aktif dalam arena muzik, cuma tidak sepopular dahulu," ujar Afee.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved