Jumaat, 22 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Diperangkap rakan sendiri

Posted:

Diperangkap rakan sendiri

Diperangkap rakan sendiri

MELIHAT kepada barisan pelakon lelaki yang sedia ada dalam industri hiburan tempatan, pelakon Que Haidar atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 34, merupakan satu nama yang cukup besar.

Memulakan karier sebagai pelakon menerusi drama Toll Gate Girl pada tahun 2001, Que muncul di layar perak buat kali pertama empat tahun kemudian menerusi filem sulungnya iaitu KL Menjerit 1.

Selepas itu, Que tidak lagi menoleh ke belakang apabila kerap menjadi pilihan pengarah. Sehingga kini dia telah berlakon sebanyak 20 buah filem.

Ketika namanya sedang di kemuncak, Que yang merupakan suami kepada guru tari Linda Jasmine Hashim ini tiba-tiba membuat keputusan mengundurkan diri daripada dunia lakonan.

Namun begitu, dengan darah seni yang sudah mengalir dalam dirinya sejak sekian lama sehingga meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon hebat lain, Que akhirnya kembali berlakon dalam filem Rock Oo! yang akan ditayangkan pada 28 Februari ini. Rock Oo! merupakan sekuel kepada filem Rock (2005) yang telah menampilkan Que untuk watak Amy Mat Piah.

Menyentuh tentang pembabitan kembali dalam bidang lakonan, Que yang ditemui semasa sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini mendedahkan ada cerita menarik di sebaliknya.

Menurut Que, detik awal pembabitannya dalam Rock Oo! bermula apabila dia dihubungi rakan baiknya iaitu pelakon Khir Rahman yang mengajaknya lepak bersama-sama kira-kira dua tahun lalu di Istana Budaya.

"Tanpa sebarang prasangka saya pun bersetuju memandangkan sudah lama tidak berjumpa. Kemudian apabila saya tiba di Istana Budaya, rupa-rupanya Mamat Khalid dan Pekin Ibrahim turut ada di situ.

"Akhirnya, barulah saya tahu yang mereka sedang berbincang untuk membuat sambungan filem Rock dan Mamat sendiri yang telah menyuruh Khir menghubungi saya. Jadi, saya rasa seolah-olah seperti diperangkap pula," jelasnya sambil ketawa mengenangkan peristiwa tersebut.

Biarpun dia telah ditawarkan oleh Mamat selaku pengarah untuk membintangi filem berkenaan, namun Que tidak terus memberikan persetujuan dan meminta untuk melihat skripnya terlebih dahulu.

QUE kini sibuk dengan bengkel lakonan yang dianjurkannya.


Ujarnya, apabila diberikan skrip filem itu beberapa hari kemudian, dia lantas tertarik dengan jalan ceritanya dan akhirnya dia bersetuju untuk kembali melakonkan watak sebagai Amy Mat Piah.

"Bagi saya, filem Rock sesuatu yang cukup istimewa kerana kali pertama saya membawakan watak komedi. Lagipun ia merupakan antara filem terbaik yang pernah saya berlakon sepanjang menjadi anak seni.

"Selain tertarik dengan skrip dan jalan cerita, antara faktor yang menyebabkan teruja membintangi Rock Oo! kerana rakan-rakan lama seperti Khir, Pekin dan Soffi Jikan turut berlakon," ujarnya.

Berpeluang membintangi filem yang memaparkan kisah mengenai kumpulan rock sekitar era 80-an, pelakon itu meluahkan rasa bangga kerana dia sendiri memang meminati muzik rock.

"Mungkin ramai yang tidak tahu saya sebenarnya agak rapat dengan Amy Search. Jadi, saya memang meletakkan harapan yang cukup tinggi agar dia dapat menonton filem ini nanti," ujarnya sambil yakin filem yang akan mula ditayangkan pada 28 Februari ini mendapat sambutan baik penonton.

Tolak banyak tawaran

Sebelum ini terdapat gosip yang mengatakan bahawa salah satu sebab Que mengambil keputusan untuk bersara daripada dunia lakonan ekoran tindakan isterinya, Linda Jasmine yang menghalangnya berlakon.

Ketika diminta komen mengenai perkara tersebut, pelakon itu enggan mengulas panjang dan menyatakan semua gosip yang timbul itu sesuatu yang sangat mengarut.

"Saya tidak mahu lagi komen mengenainya kerana ia langsung tidak benar. Selama ini, isteri saya memang memberikan sokongan untuk saya meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

"Ketika saya memberitahu kepadanya tentang tawaran lakonan dalam filem Rock Oo! ini, dia yang memberi dorongan kepada saya supaya menerimanya," jelasnya dengan nada serius.

Menurut Que, sehingga kini dia masih lagi mendapat tawaran berlakon, namun dia terpaksa menolaknya kerana merasakan tawaran yang diterima itu tidak mampu membuka pintu hatinya.

Ujarnya, kebanyakan tawaran memerlukan dia membawakan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini, sedangkan dia seboleh-bolehnya mahukan watak yang berbeza supaya menampakkan kelainan dalam lakonannya.

"Sebagai seorang bekas pelajar Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara), saya mengimpikan untuk berlakon dalam filem seni seperti Pasir Berbisik," ujar bekas penuntut dalam bidang teater itu.

QUE HAIDAR mengimpikan untuk menunjukkan bakat dalam filem berunsur seni seperti produksi Indonesia, Pasir Berbisik.


Bengkel lakonan

Bercerita lebih lanjut mengenai aktivitinya sepanjang tidak berlakon, Que memberitahu jadual hariannya lebih banyak dihabiskan untuk bengkel lakonan yang dilakukannya.

Ujarnya, sekitar tahun 2010 dia juga pernah menjadi tenaga pengajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) cawangan Bandar Sunway, Damansara, Petaling Jaya, Selangor selama setahun.

"Walaupun orang ramai terutamanya peminat sudah jarang melihat saya berlakon, tetapi saya tidaklah meninggalkan terus dunia lakonan yang memang saya minati sejak dahulu lagi.

"Sekarang ini saya kerap menganjurkan bengkel lakonan yang khusus kepada mereka yang mahu mendalami ilmu lakonan. Malah, saya sudah mempunyai perancangan untuk menganjurkannya di setiap negeri," ujarnya.

Selain itu, Que menyatakan dia juga turut mempunyai perancangan lain iaitu menjalankan perniagaan dengan membuka sebuah kedai pakaian yang akan bermula dalam tempoh terdekat ini.

"Sebenarnya perancangan ini sudah lama saya fikirkan, tetapi memandangkan saya tiada pengalaman berniaga banyak perkara yang harus dilakukan serta perlu mencari tapak kedai yang sesuai," jelasnya.

Velvet kini lebih matang

Posted:

Velvet kini lebih matang

Velvet kini lebih matang

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
ashreen.ismail@kosmo.com.my

ISTERI kepada vokalis Estranged, Rich ini bakal muncul dengan single berjudul, Tanpa Terluka.


MULA menempah nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim keempat pada tahun 2004, Velvet atau nama sebenarnya, Velvet Lawrence Aduk tiba-tiba menyepikan diri setelah berkahwin pada tahun 2008.

Namun, kerana minatnya yang masih mendalam Velvet kini kembali meneruskan impiannya bergelar penyanyi.

Ketika ditemu ramah di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Velvet menegaskan bahawa dia tidak pernah bersara dari bidang nyanyian walaupun selepas lima tahun menyepi.

"Sebenarnya, saya masih mendapat tawaran menyanyi dan ketika itu, saya menjadi penyampai radio Suria FM selama tiga tahun. Saya menjadi penyampai radio ialah untuk mencari pengalaman dalam hidup.

"Banyak juga pengalaman baharu yang saya peroleh. Dalam masa yang sama, saya boleh luangkan banyak waktu bersama keluarga," tutur isteri kepada vokalis kumpulan Estranged, Rich. Mereka kini mempunyai dua orang anak.

Ibu muda

Namun, untuk meneruskan impiannya menjadi penyanyi, Velvet telah pun berhenti kerja dan kini menetap di Kuala Lumpur.

"Saya mahu kembali mewarnai dunia muzik dan meneruskan karier dengan bergelar penyanyi berjaya. Setelah berkahwin dan dua orang anak juga sudah besar, kini saya boleh tumpukan perhatian terhadap karier," jelasnya.

VELVET menegaskan dia tidak pernah bersara dari bidang nyanyian.


Tambah ibu muda berusia 25 tahun ini, sebenarnya keputusan untuk kembali ke industri adalah di atas sokongan suaminya sendiri. Setelah berbincang, kini dia bakal muncul dengan sebuah single baharu yang berjudul Tanpa Terluka.

"Tanpa Terluka ini telah digubah dan ditulis lirik oleh Gio Wibowo yang bergenre balada. Mungkin menjadi rezeki saya juga, kerana single ini akan menjadi runut bunyi bagi sebuah drama yang bakal disiarkan di TV3 berjudul Kisah Cinta.

"Perancangan bagi single ini dalam masa hampir setahun dan setelah beberapa kali berjumpa dengan Gio, baru dia menghasilkan lagu untuk saya berdasarkan genre serta konsep yang saya bawa," tutur Velvet.

Velvet menghasilkan single ini dengan menggunakan wang sakunya sendiri.

"Mungkin perbezaan Velvet dahulu dan kini ialah saya semakin matang berbanding sebelum ini kerana masih muda.

"Muzik yang akan saya bawa juga lebih sesuai dengan usia saya. Saya berharap peminat muzik tempatan dapat menerima single dan kehadiran semula saya dalam industri," akhiri Velvet.

Lana Nordin ke Republik Czech

Posted:

Lana Nordin ke Republik Czech

Lana Nordin ke Republik Czech

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

LANA ditemani kekasihnya, Parvel yang juga merupakan seorang model ketika majlis pengumuman pencalonan akhir Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) baru-baru ini.


AKTRES seksi Lana Nordin, 34, yang diberi gelaran sebagai Pamela Anderson Malaysia nampaknya tidak segan silu mengusung kekasih kacaknya ke acara hiburan yang dihadirinya.

Terbaharu, Lana dan kekasihnya, Parvel Michalec, 24, ditemui pada majlis pengumuman pencalonan akhir Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) di Finas baru-baru ini.

Tidak lari daripada media dan hanya tersenyum simpul ketika menjawab soalan pihak media menggambarkan betapa bahagianya Lana dengan Parvel. Lana yang telah bercinta selama lapan bulan dengan Parvel mengakui telah memperkenalkan kekasihnya itu kepada keluarganya.

Bukan itu sahaja, Lana juga bakal ke negara asal Parvel iaitu Republik Czech sekitar Ogos depan untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya yang juga seorang model itu. Bagaimanapun, apabila ditanya bila mereka berdua akan membawa hubungan itu ke jinjang pelamin, baik Lana mahupun Parvel masih-masing belum mempunyai jawapan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Lana yang merupakan calon akhir FFM25 untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita yang diperolehnya menerusi filem Chow Kit.

Kosmo!: Adakah Lana memang suka menayang kekasih pada acara hiburan?

LANA: Bukanlah tayang tetapi kebetulan seperti acara FFM25 ini, saya dan Parvel dari satu tempat lain jadi kami terus ke sini. Saya sebenarnya tidak kisah membawa Parvel ke acara hiburan atau lokasi penggambaran kerana saya ingin dia tahu bagaimana kerja saya, lagipun kebetulan dia ada di Malaysia, apa salahnya bawa dia berjalan. Sebelum ini dia langsung tidak tahu saya seorang pelakon.

Maknanya anda berdua bercinta secara jarak jauh?

Ya, kerana kerjayanya sebagai model memerlukan dia berada di sesebuah negara dalam tempoh yang agak lama bergantung kepada projek. Kami akan berjumpa jika berpeluang dan seperti sekarang, ini kali pertama Parvel datang ke Asia. Jadi saya telah bawa dia berjalan ke Bali dan Jakarta, Indonesia. Hubungan kami berjalan seperti biasa kerana teknologi cukup canggih untuk kami berbual meskipun berada di dua negara yang berbeza.

Adakah keluarga anda merestui hubungan kalian?

Keluarga saya tidak kisah dengan siapa saya berkawan asalkan sesuai dengan diri saya. Sebenarnya saya telah membawa Parvel berjumpa keluarga pada bulan Ramadan yang lalu. Dia juga cukup berminat untuk belajar adat resam orang Melayu. Saya juga ada ajarnya bercakap dalam bahasa Melayu dan tentang agama Islam.

Nampaknya hubungan kalian semakin serius, sudah terfikir untuk berkahwin?

Memang kami serius, bahkan pada bulan Julai atau Ogos depan saya akan melawat keluarganya di Republik Czech. Soal kahwin saya belum fikir mengenainya lagi kerana Parvel juga masih belajar dalam bidang ekonomi dan kewangan di negara asalnya. Saya juga tidak boleh memaksanya untuk memeluk agama Islam, jadi biarlah dia sendiri yang terbuka hati untuk mendalami agama saya, selepas itu barulah boleh bercakap soal kahwin.

Apakah jurang usia sebanyak 10 tahun memberi kesan dalam hubungan kalian?

Usia itu hanyalah angka sahaja. Kematangan seseorang itu tidak boleh dinilai dengan usia. Ada orang muda yang cukup matang, ada lelaki yang sudah berusia 40 tahun tidak berfikiran matang. Semuanya berbalik kepada penerimaan seseorang terhadap pasangan masing-masing, Setakat hari ini saya selesa dengannya walaupun kami berlainan agama, negara dan juga bahasa.

Tercalon dalam senarai akhir FFM25 dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita, adakah anda meletakkan sebarang harapan untuk menang?

Saya tidak sangka tercalon, orang Finas ada hubungi saya supaya hadir pada majlis ini, bila lihat nama sendiri di skrin, memang sungguh terkejut. Bagi saya filem Chow Kit sebuah filem yang bagus, soal menang saya tidak boleh cakap lagi. Kalau saya letak harapan yang tinggi dan tidak menang, nanti saya juga yang kecewa. Saya serah semuanya pada juri dan tunggu sahaja keputusan pada acara kemuncak FFM25 pada 2 Mac depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved