Khamis, 21 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Jagaan ala tentera Aznil

Posted:

Jagaan ala tentera Aznil

Jagaan ala tentera Aznil

PROGRAM realiti televisyen pencarian bakat pengacaraan terbitan Astro, On Air telah berakhir enam bulan lalu dengan melahirkan pelapis dunia pengacaraan. Kini hasil tuaian program itu telah dilihat menghiasi beberapa rancangan televisyen Astro seperti Propaganza, Gala TV, Raikan Cinta dan Buletin Awani.

Seperti yang dihajatkan oleh pelopor program realiti itu, Datuk Aznil Nawawi, dia melihat anak-anak didiknya sebagai pelapis legasi pengacara profesional tempatan suatu ketika dahulu seperti Normala Shamsuddin, Suhaimi Sulaiman termasuk dirinya sendiri.

"Mereka masih menjalani kelas intensif selama enam bulan selepas tamat program On Air, merangkumi kelas vokal, lakonan dan pengacaraan selama dua jam sehari setiap Isnin hingga Khamis untuk melengkapkan diri sebagai personaliti televisyen.

"On Air bukan rancangan glamor dan saya tidak mengharapkan hasilnya seperti satu letusan gunung berapi sebaliknya, rancangan ini sifatnya mendidik dan mencari potensi saja," katanya yang telah memilih 10 orang lulusan On Air untuk bernaung di bawah unit Pengurusan Bakat On Air.

Aznil yang juga merangkap Naib Presiden dan Ketua Personaliti Astro menambah, dia akan terus memantau semua personaliti televisyen baharu Astro itu untuk memastikan kerja, imej, tatacara dan semua aspek berkaitan terpelihara.

"Saya akan pantau mereka 24 jam selagi mereka menjadi personaliti televisyen. Pesan saya kepada mereka, kerja nombor satu, glamor akan datang kemudian.

"Kadang-kadang saya meletakkan diri sebagai seorang komander tentera untuk tidak menghilangkan rasa hormat mereka dan kadang-kadang juga sebagai seorang bapa atau kawan tempat mereka berkongsi dan meluahkan masalah," jelas Aznil yang baru dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

AZNIL masih memantau pergerakan karier lulusan rancangan On Air biarpun kini sudah membawa haluan sendiri.


Merancang untuk memulakan program On Air musim kedua tidak lama lagi, kata Aznil dia bakal menggunakan pendekatan baharu yang lebih efisien.

On Air yang mula disiarkan pada bulan Mei tahun lalu telah memilih 20 orang peserta dan menyaksikan Hafizul Kamal dinobatkan sebagai juara.

Dalam pada itu, 10 orang personaliti baharu Astro yang turut dipilih daripada program itu adalah Hafizul Kamal, Dahlia Shazwan, Hefny Sahad, Syakirin Husna, Hans Yusoff, Malissa Sahari, Nurulhana Ismail, Hazeman Huzir, Hilal Azmi dan CK Faizal.

Batu loncatan Hefny

Menduduki tempat kedua rancangan On Air tidak mematahkan semangat anak jati Johor Bahru, Johor itu untuk terus belajar perkara baharu apatah lagi dia diserapkan ke program hiburan Propaganza.

Kata Hefny atau nama sebenarnya Mohamed Hefny Sahad, 25, dia perlu banyak belajar terutama dunia hiburan memandangkan latar belakang kerjaya dan pendidikannya sebelum ini berbeza berbanding sekarang.

"Saya langsung tiada pengalaman dalam dunia hiburan dan sebelum ini tidak berminat untuk tahu lebih lanjut pun berkenaan gosip artis dan cerita seumpamanya. Tapi setelah diserapkan menjadi wartawan penyiaran Propaganza, banyak yang telah saya belajar," ujar pelajar Teknologi Makmal Perubatan itu yang sebelum ini pernah menjadi penjual insurans.

TEMPIAS populariti kini sedang dikecapi oleh peserta rancangan On Air, Hefny Sahad.


Melihat On Air yang disertainya hasil galakan kawan-kawannya sebagai batu loncatan dalam kerjayanya, Hefny tidak memandang populariti sebagai asas untuk berjaya.

"Sampai masanya orang akan kenal kita tapi biarlah atas usaha sendiri. Lagipun saya masih baharu dan banyak lagi pengalaman yang belum ditempuh dalam bidang pengacaraan ini," katanya yang akan muncul dalam sebuah drama berjudul Jodoh bersama Dazrin Kamarudin dan Scha Alyahya.

Hana rindukan kerjaya guru

Berbeza pula bagi Nurulhana Ismail atau mesra disapa Hana, 27, On Air membuka perspektif baharu dalam hidupnya terutama setelah diberi kepercayaan mengacarakan program perkahwinan, Raikan Cinta.

"Konsistensi saya sepanjang bergelar pengacara tidak sempurna seperti peserta lain, ada turun naik terutama apabila berada dalam bilik berhawa dingin. Ketika itu tenaga saya akan turun mendadak dan sukar memberikan hasil terbaik.

"Namun, saya sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan saya. Sebelum ini saya mengendalikan Bisnes Alternatif untuk Astro Awani dan apabila diserapkan ke rancangan Raikan Cinta yang lebih santai, mood saya perlu ditukarkan secara total.

"Saya membayangkan diri saya bersanding di depan orang ramai dan ketika itu perasaan berbunga-bunga itu datang," kata anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Bagaimanapun, Hana mengakui dia masih merindukan kerjaya guru yang sebelum ini pernah menjadi punca rezekinya.

"Berjumpa ramai orang berbeza sekali gus mengubah landskap pemikiran saya dan suatu hari nanti saya teringin mempunyai sebuah rancangan bersifat biografi pemimpin. Namun, ada juga masa saya rindukan kerjaya sebagai seorang guru," kata pelajar lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Dahlia seperti dulu

Tiada apa yang ingin disembunyikan anak kelahiran Kuala Lumpur, Dahlia Shazwan Mohd. Amin, 25, yang baginya berdepan kamera ibarat alah bisa tegal biasa.

Katanya, latar belakang pendidikan dalam bidang komunikasi di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) sebelum ini mengajarnya untuk lebih berdikari dan pandai membawa diri.

DAHLIA Shazwan menafikan dirinya sombong selepas menjadi personaliti Astro.


"Jika ditanya dari sudut corak hidup rasanya tiada apa yang berubah melainkan kerjaya saja. Beginilah saya jika berada di belakang atau di depan kamera pun.

"Pergaulan masih dari dahulu sampai sekarang dan saya selesa dengan situasi sekarang. Saya masih mempunyai privasi dan kebiasaan yang saya lakukan," ujarnya yang tidak terasa terkongkong dengan cara pengajaran Aznil.

Melihat diri sebagai satu kelompok bertuah untuk berada di bawah jagaan Aznil, pengacara Gala TV Astro Awani itu bersedia untuk menerjah industri seni dan berdepan populariti suatu masa nanti.

"Saya belum nampak populariti dalam diri saya buat masa sekarang, mungkin suatu hari nanti. Sejujurnya saya masih dalam proses belajar dan bersedia untuk terus menimba ilmu.

"Sebagai anak didik Aznil, saya sangat bersyukur," katanya yang pernah bergandingan dengan Awal Ashaari mengacarakan acara karpet merah Anugerah Industri Muzik ke-19 tahun lalu.

Chae-young mohon UEE jangan kurus

Posted:

Chae-young mohon UEE jangan kurus

Chae-young mohon UEE jangan kurus


UEE


DALAM program Entertainment Relay baru-baru ini, aktres yang terkenal dengan kejelitaannya, Han Chae-young mendedahkan, dia telah menyarankan supaya penyanyi dan pelakon UEE dari kumpulan After School agar tidak berdiet.

Aktres itu memberitahu perkara tersebut dalam segmen Guerilla Date program hiburan tersebut. Dia juga menunjukkan mesej yang ditulisnya kepada UEE.


HAN CHAE-YOUNG


Topik berkenaan dibincangkan apabila Chae-young yang dikenali sebagai 'Barbie Doll Korea Selatan' itu telah dibandingkan dengan UEE oleh pengacara segmen itu.

Kata Chae-young: "Bentuk tubuh UEE lebih cantik daripada saya. Sebelum ini saya pernah menghantar mesej kepadanya meminta agar dia tidak menurunkan berat badannya.

"Saya rasa daripada mempunyai tubuh badan yang terlalu kurus, lebih baik tampil dengan tubuh badan semula jadi. Saya nasihatkan dia untuk makan seperti biasa dan kekalkan berat badannya seperti sekarang," ujarnya.

Almy rimas dengan kontroversi Fizz

Posted:

Almy rimas dengan kontroversi Fizz

Almy rimas dengan kontroversi Fizz

Oleh HARYATI KARIM


KENANGAN HITAM. Pertunangan Fizz dan Azlyn hanya berlangsung untuk tempoh seminggu.


NAMA pelakon Fizz Fairuz tidak dapat lari daripada dilanda kontroversi. Selepas isu putus cinta dan lamaran ditolak oleh bekas kekasihnya yang juga pelakon Almy Nadia, terbaharu, Fizz mengejutkan industri hiburan dengan isu putus tunang pula.

Fizz yang telah bertunang senyap-senyap dengan wanita bernama Azlyn Massiela Mohd. Nazar di Taman Pelindong Damai, Beserah, Kuantan Pahang pada 10 Februari lepas telah memutuskan pertunangan hanya selepas seminggu bertunang.

Semuanya berlaku selepas Fizz rasa tertipu selepas mengetahui tunangnya itu masih berstatus isteri kedua kepada seorang usahawan berusia 40-an. Disebabkan kontroversi terbaharu itu, Almy turut terkena tempiasnya apabila dia dihujani panggilan telefon berhubung isu putus tunang itu.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Almy Nadia yang dihubungi semalam.

Kosmo!: Apakah komen Almy berhubung isu putus tunang Fizz Fairuz?

ALMY NADIA: Berdiam diri adalah jalan yang terbaik kerana saya sudah tiada ada kaitan dengan Fizz. Saya minta jasa baik semua memahami keadaan saya. Rasanya dalam dua atau tiga hari lagi Fizz akan muncul, ketika itu tanyalah apa sahaja kepada dia bukannya saya.

Bagaimanakah anda tahu dia akan muncul beri kenyataan, adakah kalian masih berhubung?

MEMORI manis ketika Fizz dan Almy bergelar pasangan kekasih.


Kami tidak berhubung lagi sejak putus. Disebabkan Fizz telah beri kenyataan pada sebuah akhbar, mahu tidak mahu dia akan muncul juga untuk membuat penjelasan. Saya yakin dia akan tampil untuk memberikan penjelasan sewajarnya.

Fizz mendakwa dia terkena buatan orang. Andai dia ingin kembali kepada Almy semula, adakah anda bersedia memaafkan dia dan berbaik semula?

Sejak kami putus cinta, saya tidak pernah jumpa atau berhubung dengan dia lagi. Antara kami sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Saya tidak pernah berdendam, apa yang telah terjadi saya tinggalkan di belakang. Sekarang saya hanya jalani hidup saya, begitu juga dengan dia.

Nama Almy pasti akan diheret sama setiap kali Fizz muncul dengan kontroversi. Boleh komen?

Saya sendiri tidak faham kenapa semua orang cari saya. Pada hari pertama dia bertunang, media cari saya. Begitu juga ketika dia putus tunang kerana dia tidak dapat dihubungi dan menghilangkan diri.

Apakah anda rimas dengan keadaan itu?

Jujurnya siapa yang tidak rimas tetapi itu mula-mula dahulu. Sekarang saya sudah boleh menerima keadaan ini kerana sudah kerja saya sebagai artis. Mahu tidak mahu, saya tetap kena hadapi juga perkara seperti ini.

ALMY menyarankan Fizz tampil membuat penjelasan kepada media bagi menamatkan segala spekulasi.


Mungkinkah anda ada kata-kata akhir buat Fizz?

Masa dia bertunang dahulu, ada media hubungi saya, saya ucapkan tahniah kepadanya menerusi media tersebut. Bagaimanapun, bila dia putus tunang, saya cuma harapkan dia sihat dan tampil ke hadapan beri penjelasan kerana itu yang terbaik untuk semua orang hentikan segala speklulasi. Saya juga doakan yang terbaik untuknya dalam menghadapi ujian ini.

Selepas Fizz, adakah anda sudah menemui cinta baharu?

Belum lagi kerana saya sedang fokus dengan kerja dan menguruskan anak angkat. Rasanya dua perkara itu lebih penting daripada perkara lain.

Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda?

Saya baru selesai penggambaran drama 13 episod untuk siaran RTM berjudul Cermin Kasih Amirah. Selain itu, sekarang saya sedang sibuk membuat perancangan perniagaan berkaitan dengan makanan. Doakan agar bisnes saya berjalan lancar dan maju.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved