Rabu, 20 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tidak sangka cepat popular

Posted:

Tidak sangka cepat popular

Tidak sangka cepat popular

NAMA pelakon Emma Maembong mula meniti di bibir peminat sewaktu muncul dalam drama bersiri arahan Erma Fatima iaitu Kau Yang Terindah pada pertengahan tahun lalu.

Biarpun pernah dikritik hebat, tidak dinafikan namanya semakin menjadi sebutan ramai dan dikatakan antara pelakon yang bakal memberikan saingan kepada pelakon sedia ada.

Apatah lagi namanya juga turut tercalon dalam kategori Artis Baru Popular untuk acara Anugerah Bintang Popular ke-26 yang akan berlangsung pada April ini.

Kosmo! yang berkesempatan menemui pelakon berkenaan di lokasi penggambaran drama 3 Nenek 3 Dara di Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan dia sendiri tidak menyangka dengan populariti yang diraihnya sekarang.

"Sewaktu kali pertama berlakon dahulu saya selalu mendapat banyak kritikan penonton sehingga ada yang memberi gelaran pelakon 'kayu' serta menuduh saya sekadar bergantung kepada paras rupa semata-mata.

"Biarpun saya teruk dikritik hebat dan masih baru berlakon dua buah drama, tetapi saya bersyukur kerana kini semakin dikenali ramai dan menganggap populariti yang diraih ini sebagai satu rezeki," ujarnya.

Menurut Emma, ketika mula-mula berkecimpung dalam dunia lakonan, menjadi seorang pelakon popular bukanlah menjadi keutamaan. Sebaliknya, dia mahu menyerlahkan lagi bakat seninya dengan peluang yang dimiliki.

"Sejujurnya saya menyasarkan dua atau tiga tahun untuk mencipta nama dan tidak jangka pula akan dikenali ramai dalam tempoh singkat. Namun begitu, apa yang diperoleh ini pastinya menjadi semangat dalam usaha mengembangkan lagi kerjaya seni," luahnya.

Mengakui mutu lakonannya masih belum memuaskan, pelakon yang baru menjangkau usia 21 tahun itu menjelaskan dia bukanlah seorang individu yang tidak boleh menerima teguran.

Jelasnya, biarlah setiap teguran yang diberikan itu boleh dijadikan panduan dan iktibar kepadanya sebagai seorang pelakon baharu. Bukannya kritikan yang boleh memberikan tekanan kepada dirinya.

"Kalau diikutkan belum sampai setahun lagi saya bergelar pelakon, tetapi sudah pelbagai cerita mengenai diri saya yang diperkatakan. Ia termasuk cerita tentang masalah disiplin saya sehingga dikritik ramai.

"Sebagai pelakon baharu saya akui banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Jadi, saya berharap agar diberi peluang untuk terus bertahan dalam industri hiburan," jelasnya.

Pada masa yang sama, pelakon itu tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada pengarah hebat, Erma Fatima selaku individu yang telah bertanggungjawab memperkenalkannya dalam dunia lakonan.

"Dahulu apabila ramai yang mempertikaikan kemampuan saya sebagai pelakon, Kak Erma yang paling banyak memberikan sokongan dan nasihat serta tunjuk ajar untuk menjadi seorang pelakon yang bagus.

"Kak Erma pernah memberitahu kepada saya yang dia mahu buktikan kepada orang ramai bahawa dia tidak tersilap memilih saya sebagai pelakon. Kata-katanya itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik," ujarnya.

PADA awal kemunculannya dalam dunia lakonan, Emma pernah dilabel sebagai pelakon 'kayu'.


Menurutnya, dia sangat gembira dan senang bekerja di bawah arahan Erma, meskipun pada mulanya dia menyangka pengarah berkenaan sangat garang kepada para pelakon sehingga dia takut sekiranya membuat sebarang kesalahan.

"Semasa mula-mula berlakon dalam drama Kau Yang Terindah, saya fikir mungkin itu drama terakhir lakonan saya. Namun begitu, lama-kelamaan saya semakin berasa seronok berlakon serta terhutang budi dengan Kak Erma," ujarnya.

Galeri lukisan

Ketika ini sudah ramai yang mengetahui tentang status diri Emma Maembong yang merupakan anak kepada seorang pelukis terkenal di Malaysia iaitu Ismail Embong.

Oleh yang demikian, tidak menghairankan apabila darah seni bapanya itu turut mengalir dalam dirinya dan sememangnya pelakon itu mempunyai bakat besar menjadi seorang pelukis.

Biarpun kini dunianya lebih terarah kepada dunia lakonan dengan tawaran yang semakin banyak, Emma menyatakan dia sesekali tidak melupakan bidang lukisan.

"Sudah tentu saya mempunyai impian untuk meneruskan legasi ayah menjadi pelukis hebat. Namun begitu, saya masih lagi memerlukan tunjuk ajar daripada ayah untuk memperbaiki teknik lukisan.

"Biasanya kalau tidak terlibat dengan penggambaran drama saya lebih suka menghabiskan waktu di rumah dan melukis. Sekiranya berada di lokasi penggambaran pula, saya menggunakan waktu rehat untuk melukis sehingga buku skrip saya penuh dengan lukisan," jelasnya.

Lebih meminati jenis lukisan animasi, Emma juga tidak menyembunyikan keinginannya untuk membuka sebuah galeri lukisan sendiri pada masa akan datang.

"Itu semua bergantung kepada hasil dan jumlah lukisan yang saya miliki nanti. Apa yang perlu saya lakukan sekarang ini adalah berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk menghasilkan lukisan yang bermutu sebelum dipamerkan kepada orang ramai," ujarnya.

Putus cinta

Sebelum ini ramai yang telah mengetahui tentang diri Emma yang sudah mempunyai kekasih.

Menariknya, gambar Emma bersama kekasihnya yang dikenali sebagai Adli Zaim itu pernah tersiar di sebuah majalah hiburan.

BIARPUN kini semakin sibuk berlakon, Emma tetap mahu mengikut jejak langkah ayahnya menjadi seorang pelukis yang berjaya.


Namun begitu, pelakon itu akhirnya mengakui bahawa hubungannya dengan Adli kini sudah berakhir sejak awal Februari lalu.

"Memang saya dan Adli sekarang bukan lagi pasangan kekasih, namun itu tidak bermakna kami terus memutuskan hubungan.

"Buat masa ini kami masih lagi berkawan, malah saya tidak kisah kalau dia hendak keluar dengan sesiapa pun, begitu juga dengan saya yang bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa sebarang halangan," ujarnya yang sudah tiga tahun menjalin hubungan istimewa dengan bekas kekasihnya itu.

Ditanya tentang punca perpisahan mereka berdua, Emma enggan mengulas panjang, sebaliknya menyatakan sudah tiada lagi keserasian antara mereka.

Menurutnya, pada masa ini dia mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonannya tanpa memikirkan soal teman lelaki.

"Apa yang boleh dikatakan hati saya sekarang masih belum boleh menerima kehadiran sebarang lelaki dalam hidup saya.

"Jadi, saya tidak mahu fikir langsung pasal cinta dan selesa dengan kehidupan sekarang," ujarnya mengakhiri perbualan.

Paramore kekal bertenaga

Posted:

Paramore kekal bertenaga

Paramore kekal bertenaga

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


SELEPAS membuat persembahan di Malaysia, Paramore akan beraksi pula di Australia untuk memeriahkan acara festival Soundwave pada 23 Februari ini.


KEKAL bertenaga selama satu jam 30 minit! Itu gambaran Kosmo! mengenai konsert kedua kumpulan Paramore yang berlangsung di Stadium Negara pada Ahad lalu.

Jika kali pertama Paramore datang mengadakan persembahan di Malaysia pada 2010, tahun ini merupakan detik manis buat 5,000 penonton yang hadir menyaksikan semula persembahan bertenaga kumpulan berasal dari Amerika Syarikat itu.

Tepat pukul 9 malam, kemunculan vokalisnya, Hayley Williams dan dua anggota Paramore lain iaitu Jeremy Davis (bass) dan Taylor York (gitar) menggamatkan suasana stadium dengan sorakan peminat-peminat fanatik mereka.

Hayley tampil cukup lincah dan bertenaga menyampaikan sebanyak 18 buah lagu. Lagu berjudul Now yang dipetik daripada album baharu mereka dijadikan sebagai lagu pembukaan konsert mereka pada malam itu.

Tampil dengan baju T tidak berlengan dan seluar slack berwarna hitam, kelunakan dan kemantapan vokal Hayley diteruskan dengan lagu That's What You Get, Born For This, For A Pessimist dan I'm Pretty Optimistic.

Sorakan peminat semakin gamat tatkala Hayley menyampaikan lagu daripada soundtrack filem Twillight iaitu lagu berjudul Decode dan penonton turut menyanyi bersama-sama penyanyi kesayangan mereka itu.

Sebelum menyampaikan lagu seterusnya, Hayley sempat memberitahu bahawa dia sangat teruja kembali ke Malaysia dan menyifatkan peminat-peminatnya di sini sangat cantik dan merupakan penyokong utamanya.

Vokal Hayley yang mantap diteruskan dengan lagu Pressure, Careful dan In The Morning.

Tidak hanya Decode, peminat fanatik Paramore sangat gembira tatkala Hayley menyampaikan lagu The Only Exception.


ANTARA sebahagian daripada 5,000 peminat Paramore yang membanjiri Stadium Negara pada Ahad lalu.


Hayley turut memberikan peluang kepada para peminatnya menyanyikan lagu itu.

Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu seperti Let The Flames Begin, Looking Up, Ignorance, Monster, Brick by Boring Brick, Hello Cold World dan Fences.

Paling menarik, Hayley turut menjemput salah seorang peminat fanatiknya yang bernama Lucy naik ke pentas dan bernyanyi bersama-samanya untuk lagu penutup Paramore iaitu Misery Business.

Konsert pada malam itu turut diserikan dengan kehadiran kumpulan Me Without You dari Amerika Syarikat sebagai pembuka tirai konsert Paramore dengan menyampaikan tujuh buah lagu.

Kuala Lumpur merupakan bandar raya ketiga konsert jelajah Asia Tenggara Paramore selepas Manila dan Bangkok. Selepas konsert di Kuala Lumpur, mereka akan ke Australia untuk festival Soundwave pada 23 Februari ini.

Paramore bakal muncul dengan album terbaharu mereka yang bakal dilancarkan pada 9 April depan.

Bangga disamakan dengan No Doubt

Sebelum konsert berlangsung, Kosmo! berpeluang menemubual Paramore mengenai album baharu mereka juga dinamakan Paramore.

Menurut Hayley, album keempat mereka itu bagaikan evolusi untuk muzik Paramore.

"Album kali ini lebih kepada bersifat eklektik (terbaik daripada pelbagai sumber). Kami masih lagi menghasilkan lagu-lagu bercorak rock, tetapi album kali ini turut menampilkan lagu pop dan juga funky," ulasnya mengenai perbezaan album baharunya berbanding album terdahulu.

Ditebak mengenai lagu Now yang seakan-akan lagu daripada album No Doubt berjudul Tragic Kingdom, ulas Hayley, dia sangat berbesar hati dan berbangga jika peminat berasakan lagu tersebut menyerupai muzik No Doubt kerana baginya Tragic Kingdom merupakan album terbaik dalam karier kumpulan itu.

PEMAIN bass, Jeremy menyatakan Malaysia merupakan sebuah negara yang cantik serta penduduk yang tidak lokek dengan senyuman.


Begitupun, jelas Hayley, dia hanya mahu personaliti Paramore dipamerkan dan berasa mereka telah melakukan yang terbaik untuk album keempat mereka itu.

"Kami bekerja keras untuk merealisasikan album ini. Ia bukan sahaja kumpulan Paramore, tetapi ia adalah kami bertiga. Album ini sememangnya memberi perasaan tersendiri buat kami," ungkapnya yang bekerjasama dengan penerbit dan bekas pemain bass Nine Inch Nails, Justin Meldal-Johnsen untuk album baharu mereka itu.

Mengulas mengenai kerjasama mereka dengan penerbit tersebut, kata Taylor York pula: "Kami terkejut dan kagum selepas mengetahui akan bekerjasama dengan Nine Inch Nails dan Beck. Ia adalah satu penghormatan buat kami untuk bekerjasama dengan mereka.

Mengakhiri perbualan, Kosmo! turut bertanya mengenai Malaysia kepada Paramore. Menurut salah seorang anggotanya iaitu Jeremy Davies, Malaysia mempunyai pemandangan yang cantik dan dia juga selesa dengan penduduk Malaysia yang tidak kedekut melemparkan senyuman.

Bogel saya ada batas - Zalif

Posted:

Bogel saya ada batas - Zalif

Bogel saya ada batas - Zalif

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


SALAH satu babak yang membabit Zalif diikat di tiang bendera selepas dibogelkan oleh samseng sekolah.


JIKA sebelum ini pelakon merangkap vokalis kumpulan Handy Black, Zul Suphian pernah tampil berani berbogel menerusi produk lakonannya seperti filem Mantra dan Keramat, kali ini giliran pelakon yang sedang meningkat naik, Zalif Sidek untuk mencuba formula yang sama.

Cuma, perihal yang dilakukan Zalif atau nama sebenarnya Mohd Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, kali ini tidak seberani Zul kerana katanya, babak dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu yang akan memasuki pawagam pada 21 Februari itu hanyalah separuh bogel saja.

Zalif yang memegang watak sebagai Rudy merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang melalui fasa-fasa meningkat remaja dan terlibat dalam aktiviti pergaduhan di sekolah. Salah satu babak pergaduhan menuntut Zalif dibogelkan oleh sekumpulan samseng sekolahnya kemudiannya diikat di tiang bendera selepas dibogelkan dan hanya bertutup sehelai kain bercorak 'smiley' bahagian bawah perutnya.

Sebelum ini Zalif juga pernah beraksi berani membuka baju menerusi filem Hantu Dalam Botol Kicap yang digandingkan bersama pelakon muda, Mikail Andre tahun lalu.

Mengulas mengenai perkara itu, Kosmo! yang turut menghadiri malam gala tayangan perdana filem Pada Suatu Cinta Dahulu di Cathay Cineleisure E@Curve, Mutiara Damansara pada malam Isnin lalu mendapatkan penjelasan lanjut daripada pelakon yang mula terkenal melalui filem Papa I Love You itu.

Kosmo!: Naskhah kali ini menampilkan Zalif dalam versi sedikit berbeza daripada sebelum ini dan menuntut keberanian untuk tampil separuh bogel. Komen anda?

ZALIF: Lebih kurang 70 peratus babak saya dalam filem Pada Suatu Cinta Dahulu memerlukan saya tidak berpakaian sebenarnya. Saya sudah bersedia untuk dikritik atas tindakan ini namun pengalaman ini merupakan yang pertama dan terakhir saya. Selepas ini saya tidak akan mengulangi babak tidak berpakaian lagi.

Apa yang mendorong Zalif untuk menerima watak dan cabaran ini?

Tiada pelakon yang berani terima cabaran seperti ini dan kebetulan saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza daripada yang pernah saya lakukan sebelum ini. Lagipun, filem ini berkisar kehidupan pelajar sekolah yang terlibat dengan kejadian buli sehingga dibogelkan di hadapan kawan-kawan.

Zalif tidak kisah dikritik dan dikecam selepas ini?

Saya tidak kisah dikritik kerana saya menjalankan tugas saya sebagai seorang pelakon. Saya bukannya berbogel sepenuhnya sehingga menampakkan bahagian anggota badan yang tidak sepatutnya. Untuk babak itu saya melipat seluar pendek saya hingga atas paras paha dan ditutup dengan kain di hadapannya sehingga menampakkan seolah-olah saya berbogel. Tapi sebenarnya saya separuh bogel.

Adakah Zalif cuba membuktikan sesuatu kepada bekas teman rapat anda, Fida menerusi aksi begini?

Tidak sama sekali. Filem ini menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun lalu sebelum kami mulai rapat. Babak itu tiada kena mengena dengan dia (Fida).

Berbicara mengenai Fida, bagaimana perkembangan hubungan Zalif dan dia sekarang?

Saya dan dia sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Kontroversi yang timbul membuatkan saya mengambil keputusan untuk berundur diri terutama kes orang ketiga yang sampai ke hari ini saya buntu dan gagal bertemu jawapan. Dia juga semakin menjauhkan diri daripada saya.

Masih berhubung dengan Fida selepas keluar kenyataan Fida diserang teman wanita Zalif?

Kami masih berhubung dan jika bertemu saya akan menegur dia. Cuma kami sudah jarang berhubung menerusi telefon sekerap dahulu. Baru-baru ini saya ada menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan ayah pengurus peribadinya. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa kami hanya berkawan rapat sebelum ini dan belum sampai tahap bercinta.

Adakah Zalif sudah bertemu seseorang yang mungkin boleh disifatkan sebagai seorang kekasih?

Belum. Saya masih belum berjumpa dengan orang lain buat masa sekarang. Keutamaan saya adalah kerjaya dan ini perkara utama yang ingin saya kejar buat masa sekarang. Pihak Metrowealth juga tidak menghalang saya untuk bercinta atau berkahwin. Asalkan saya tidak mengabaikan tugas saya sebagai seorang anak seni.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved