Selasa, 19 Februari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kenal pasti dalang cerita negatif

Posted:

Kenal pasti dalang cerita negatif

Kenal pasti dalang cerita negatif

SEJAK menjalinkan hubungan percintaan selama tiga tahun dan mendirikan rumah tangga pada 3 November lalu, sememangnya Farid Kamil dan Diana Danielle menjadi antara pasangan selebriti yang sering diperkatakan ramai.

Bermula dengan kisah percintaan mereka, majlis pertunangan secara senyap-senyap, membuat pengumuman tarikh perkahwinan secara mengejut sehinggalah pakaian semasa majlis resepsi, semuanya pernah menimbulkan kontroversi.

Menurut Farid, sebagai seorang individu berstatus selebriti segala yang berlaku itu sememangnya sukar dielakkan, tetapi dia perlu tenang untuk berhadapan dengan setiap kontroversi yang melanda dirinya.

Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Metrowealth Pictures (MIG) di bangunan MIG, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Farid menyatakan, dia menerima segala cerita negatif membabitkan dirinya dengan hati terbuka.

Mengakui telah mengenal pasti individu yang selalu mereka-reka cerita buruk mengenai dirinya sejak belum berkahwin lagi, buat masa ini dia enggan mengambil sebarang tindakan atau bersemuka dengan individu tersebut.

"Saya sudah lama tahu orang yang bertanggungjawab memburuk-burukkan nama saya selama ini dan sangat kenal dengannya. Cuma saya tidak mahu ambil kisah langsung dengan segala perbuatannya itu.

"Bagi saya orang tersebut sebenarnya sangat tertekan dengan kehidupan yang dilaluinya dan saya cuma mendoakan yang terbaik buat dirinya," jelas Farid yang enggan mendedahkan dengan lebih lanjut tentang individu berkenaan.


PAKAIAN Farid yang menimbulkan kontroversi pada majlis resepsi pada 1 Disember lalu yang berlangsung di Taman Ekuestrian, Putrajaya.


Biarpun selama ini dia masih dapat menahan kesabaran apabila sentiasa diaibkan dengan pelbagai cerita kontroversi, namun Farid meluahkan rasa kecewanya terhadap seorang blogger yang telah mempertikaikan tentang pakaian dalam salah sebuah majlis resepsi perkahwinannya dahulu.

Ujarnya, dia berasa cukup terhina dengan pendedahan yang dibuat oleh blogger berkenaan menerusi blog peribadinya tanpa mengetahui apakah agenda di sebalik perbuatannya itu.

"Tidak kira apa sahaja cerita kurang baik tentang diri saya yang diperkatakan, saya masih lagi boleh bersabar dan dapat menerimanya. Namun begitu, perbuatan yang dilakukan oleh blogger itu langsung tidak beretika.

"Buat masa ini saya tidak mahu ambil apa-apa tindakan, tetapi pihak MIG sekarang sedang meneliti setiap tulisan blogger tersebut dalam blognya itu untuk tindakan seterusnya," jelasnya.

Bagaimanapun, Farid telah meluahkan harapannya supaya mana-mana pihak yang gemar mengaibkannya itu supaya lebih bertimbang rasa memandangkan isterinya yang sedang mengandung ketika ini.

"Kalau boleh saya memang cuba elakkan Diana yang kini sedang berada di Australia untuk ambil tahu tentang segala cerita mengenai diri saya di sini.

"Sebagai suami saya tidak mahu emosi isteri saya yang kini sedang berbadan dua terganggu apabila masih timbul lagi cerita negatif yang membabitkan kami berdua," ujarnya.

Berjauhan


SETELAH tiga tahun bercinta, Farid dan Diana akhirnya mendirikan rumah tangga pada 3 Nobember yang lalu.


Baru mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu, Farid berkata, ketika ini dia terpaksa berjauhan dengan isterinya memandangkan Diana akan memulakan pengajiannya dalam bidang produksi dan penulisan skrip di National Institue of Dramatic Art (NIDA) di Sydney, Australia.

Namun begitu, dia meluahkan rasa leganya kerana isterinya itu tidak terlalu mengalami alahan seperti kebanyakan wanita mengandung, meskipun usia kandungannya sudah memasuki tiga bulan.

"Diana sudah berada di Australia sejak bulan lepas dan keadaannya di sana agak baik. Sehingga kini saya juga sudah dua kali berulang-alik ke sana untuk membantu dia mencari rumah sewa dan urusan pendaftaran pengajiannya di NIDA.

"Walaupun sekarang kami terpaksa berjauhan, saya tidak berasa risau sangat kerana Diana merupakan seorang wanita yang mampu berdikari dan kini dia menetap di sebuah kawasan perumahan yang mempunyai ramai rakyat Malaysia," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia dan Diana sudah membuat persiapan menantikan kelahiran cahaya mata sulung, Farid menyatakan, masih belum ada sebarang persiapan yang dilakukan.

"Persiapan untuk membeli barangan bayi masih lagi belum kerana usia kandungan isteri saya masih awal. Sekarang ini apa yang kami berdua lakukan adalah persiapan mental dan fizikal sebelum bergelar ibu dan ayah," jelasnya.

Selain isterinya yang akan sibuk memulakan pengajian di luar negara, Farid menyatakan, jadual seninya pada tahun ini agak padat sehingga persiapan membeli barangan bayi tidak sempat dilakukan sekarang.

Ujarnya, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Bencinta dan pada bulan hadapan dia akan mula mengarahkan filem terbaharunya iaitu Bodyguard Dari Kedah.

Restu

KETIKA ini Farid terpaksa berjauhan dengan isterinya, Diana yang kini sedang menyambung pelajaran di Australia.


Setelah 10 tahun Farid berkecimpung dalam dunia seni, kini tiba pula giliran adiknya iaitu Fadzil Zahari yang kini sudah mula berjinak-jinak menceburi dunia lakonan sejak tahun lalu.

Menurut Farid, adiknya mula terbabit dalam industri hiburan sejak tiga tahun lalu apabila menghasilkan skrip filem arahannya sendiri iaitu Kongsi yang pernah mencatatkan kutipan sebanyak RM8.09 juta pada tahun 2011.

"Saya mula mengesan bakat yang dimiliki adik saya itu menerusi satu nota yang ditulisnya beberapa tahun lalu. Apabila saya membaca nota tersebut, saya dapat rasa dia sebenarnya memiliki bakat yang besar dalam penulisan sehinggalah saya memintanya menulis skrip untuk filem Kongsi.

"Sebagai seorang abang saya sentiasa menyokong pembabitannya dalam bidang seni, cuma saya ada berpesan kepadanya supaya perlu berdikari dan tidak menggunakan nama saya untuk naik dengan cepat," jelasnya.

Sementara itu, apabila diminta komennya terhadap gosip yang melanda adiknya itu dengan pelakon Yana Samsudin, Farid menyatakan, dia akan merestui jika kedua-duanya sememangnya bercinta.

"Saya langsung tiada masalah sekiranya Fadzil dan Yana sedang bercinta dan saya tiada hak untuk menghalang hubungan mereka. Kalau benar saya akan mendoakan yang terbaik buat mereka berdua," ujarnya.

Aznil bangga bergelar Datuk

Posted:

Aznil bangga bergelar Datuk

Aznil bangga bergelar Datuk

Oleh HARYATI KARIM

AZNIL kini menggalas tanggungjawab dan amanah yang lebih besar selepas bergelar Datuk.


PENGACARA, penyanyi, pelakon dan penyampai radio popular Datuk Aznil Nawawi, 51, cukup berbangga apabila diberi penganugerahan pingat Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk di Istana Negara sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

Aznil yang ditemui pada majlis memperkenalkan wajah baharu Astro baru-baru ini mengatakan usahanya selama 23 tahun dalam bidang penyiaran terbayar apabila diberi penghormatan daripada pihak tertinggi kerajaan Malaysia.

Meskipun begitu Aznil yang sudah sinonim dengan gelaran Pak Nil dalam kalangan peminat dan teman media menegaskan jika orang sekeliling berbangga dengan pangkat Datuk yang diterimanya maka, kini mereka harus berbangga memanggilnya Datuk Aznil.

Ikuti temu bual santai Kosmo! bersama Datuk Aznil.

Selepas Aznil menerima gelaran Datuk masih ada pihak yang mempertikaikan anugerah yang diterima. Komen?

Anugerah yang diterima diberi oleh Yang di-Pertuan Agong, jika saya tidak menggunakan gelaran Datuk itu seperti saya tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong. Siapa kita untuk mempersoalkan pilihan orang yang mempunyai kuasa untuk memilih. Sudah tentu mereka melakukan kajian terlebih dulu sebelum memberikan anugerah itu kepada saya.

Adakah anda selesa dengan gelaran Datuk sedangkan sebelum ini anda cukup sinonim dengan gelaran Pak Nil?

Saya tidak mahu hanya saya bergelar Datuk akan mewujudkan jurang yang besar antara saya dan orang sekeliling terutama orang yang menyayangi saya. Kalau mereka rasa bangga dengan anugerah yang saya terima, panggil saya Datuk. Saya sendiri cukup berbangga dengan apa yang dianugerah kepada saya, ini menunjukkan warga media seperti saya juga telah menyumbangkan sesuatu kepada negara.

Mungkinkah wujud seberang tekanan untuk anda memikul gelaran Datuk itu?

Tidak ada sebarang tekanan kerana selama bekerja dalam bidang media, saya cukup menjaga tingkah laku. Jika gelaran Datuk yang diterima mengubah keseluruhan hidup saya, mungkin saya akan tertekan tetapi saya masih menjalani kehidupan yang sama seperti dahulu, jadi tiada sebarang tekanan.

Apakah misi anda selepas ini?

Terus-terang saya katakan gelaran Datuk ini membuka lebih peluang kepada saya untuk membantu orang lain kerana orang sudah tidak mempertikaikan kredibiliti saya. Cita-cita saya adalah mahu membantu anak-anak Malaysia lebih pandai bercakap kerana dengan keberanian bercakap mereka boleh jadi macam-macam. Sebelum ini agak sukar untuk saya yakinkan pihak sekolah tentang projek ini, mungkin dengan gelaran Datuk ini akan memudahkan lagi laluan itu.

Khabarnya anda juga ingin membantu anak seni. Komen?

Gelaran Datuk yang saya terima bukan hanya untuk saya banggakan, tetapi ia datang dengan tanggungjawab dan amanah yang besar. Sebelum ini saya ada wujudkan projek amal yang dikenali sebagai Hero Malaya yang mendedahkan artis kita kepada tanggungjawab sosial. Selepas ini saya ingin kembangkan dengan mewujudkan sebuah yayasan amal.

Apakah program dalam yayasan amal itu?

Yayasan ini akan digunakan sepenuhnya untuk membantu artis Malaysia seperti kembangkan kerjaya ke luar negara dan menubuhkan rumah orang tua-tua. Saya sedih melihat kebanyakan artis tempatan di penghujung usia mereka yang hidup melarat. Mereka sakit kerana dipinggirkan. Jadi saya harus mulakan semua ini dan jika tidak ada aral melintang semua impian saya itu akan wujud dalam tahun ini juga.

Alasan Awi cipta lagu ketuhanan

Posted:

Alasan Awi cipta lagu ketuhanan

Alasan Awi cipta lagu ketuhanan

oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


AWI RAFAEL (tengah) kelihatan cukup terharu pada majlis pelancaran album terbaharunya, Asalkan Aku OK! di Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SEJAK dua tahun kemunculan jejaka kelahiran Singapura ini dalam industri muzik tempatan, rezeki Awi Rafael tidak pernah putus. Hasil karyanya juga sentiasa diputarkan menerusi corong-corong radio sekali gus menjadikan namanya sentiasa berlegar dalam industri muzik.

Pulanglah merupakan single pertama yang berjaya melonjakkan nama Awi. Setelah muncul dengan beberapa single menerusi album pertamanya, kini pemilik nama sebenar Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael ini muncul pula dengan sebuah lagi album yang telah dilancarkan pada 8 Februari lepas.

Pelancaran yang bertempat di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur tersebut sebenarnya dibuat sekali gus bersama showcase album keduanya.

Walaupun sudah dua album dilancarkan, Awi masih menulis lirik dan menggubah lagu-lagu nyanyiannya sendiri. Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah Awi Rafael tidak mempercayai bakat komposer-komposer lain untuk terlibat sama dalam penghasilan lagu dalam albumnya.

Namun, ia sama sekali disangkal oleh Awi kerana katanya, sebagai orang baharu, dia ingin mengetengahkan bakat yang ada.

"Bukan saya tidak percaya pencipta lain, tetapi ini adalah peluang saya untuk mencipta nama dalam bidang penulisan selain nyanyian. Alhamdulillah, saya menerima pelbagai kritikan yang positif. Mungkin untuk album seterusnya, saya bakal bekerjasama dengan komposer lagu pujaan saya."

"Menulis lagu sendiri dan menerima kritikan yang positif daripada orang ialah satu perkara yang membuatkan saya berasa puas. Inilah peluang saya dan syukur, lagu-lagu yang ditulis setakat ini diterima ramai," katanya yang pernah menerima respons positif daripada dua orang idolanya iaitu Edry Abd. Halim dan Ahmad Dhani.

Pada showcase yang telah diadakan, Awi telah menyampaikan sebanyak enam buah lagu termasuk lagu-lagu popular dari album pertamanya seperti Bila Aku Jatuh Cinta dan Pulanglah dan selebihnya merupakan lagu daripada album baharunya yang berjudul Asalkan Aku OK! .

"Saya memilih judul kali ini Asalkan Aku OK! kerana saya ingin ceritakan tentang diri saya sekarang yang mana saya sentiasa ingin bersikap positif. Dalam album kali ini, banyak juga lagu genre balada yang saya selitkan.

"Ini kerana peminat gemar dengan lagu-lagu balada ciptaan saya. Kali ini, boleh katakan, saya menulis lagu untuk peminat dan ingin lebih berhubung dan dekat dengan mereka," tutur Awi yang ditemui selepas selesai showcase tersebut.

Selain itu, bicara jejaka berusia 27 tahun ini, antara sembilan lagu yang diciptanya dalam album terbaharunya tersebut, single berjudul Dewa merupakan yang paling istimewa dan bermakna buat dirinya.

Ini kerana sepanjang dua tahun bergelar penyanyi dan penulis lirik, ini merupakan percubaan sulung Awi menghasilkan lagu yang berunsur ketuhanan.

"Dewa merupakan single yang paling bermakna buat diri saya kerana pertama kali saya menulis lagu tentang ketuhanan. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang dan ilham untuk menghasilkan lagu sedemikian rupa.

"Apa yang boleh saya katakan, sebagai seorang insan, lagu ini banyak beri ketenangan kepada diri. Ia dihasilkan bukanlah ketika saya banyak dilanda kontroversi dan saya berterima kasih kepada Warner Music Malaysia kerana mempercayai bakat yang saya ada," jawab Awi ketika ditebak persoalan penghasilan lagu ketuhanan ini.

Pada showcase tersebut juga, Awi telah melancarkan klip video single baharunya yang berjudul Hari-hariku dan apa yang menariknya iaitu dihasilkan oleh pelajar Aswara.

"Saya suka bekerja dengan anak-anak muda yang ingin pertaruhkan bakat mereka. Di sini (Aswara) mereka telah melakukan yang terbaik dan memberikan seluruh tenaga mereka untuk menjayakan showcase ini.

"Mengenai klip video lagu Hari-Hariku, kami berkongsi idea dan juga pada masa yang sama memberi peluang kepada mereka untuk mengekspresi bakat yang terpendam itu," ujarnya yang turut memberitahu klip video Hari-hariku berjaya disiapkan dalam tempoh sehari sahaja.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved