Sabtu, 5 Januari 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Primadona wakili Sarimah

Posted:

Primadona wakili Sarimah

Primadona wakili Sarimah

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SARIMAH (tengah) diapit oleh Mohd. Nizar (kiri) dan Presiden Primadona Worldwide Sdn. Bhd., Musharuddin Mohd ketika melancarkan produk terbaharu Primadona di Petaling Jaya baru-baru ini.


"APABILA melakukan sesuatu, jangan sesekali mengharapkan balasan. Selain itu, setiap apa yang kita lakukan perlu ikhlas dari hati. Percayalah, ia antara faktor kita mampu menjalani hidup dengan penuh kebahagiaan."

Demikian pesanan yang terucap dari bibir seniwati Datuk Sarimah Ahmad ketika ditemui selepas pelancaran produk kesihatannya yang diberi nama Primadona.

Menurut Sarimah yang kini mencecah usia 70 tahun, jika dua perkara itu dapat dilakukan dengan penuh istiqamah, hidup akan menjadi lebih tenang walaupun ada orang yang berniat jahat terhadap kita.

Mengakui pernah ditipu dalam hidupnya oleh orang yang cuba mengambil kesempatan terhadap kelemahan diri, Sarimah bagaimanapun akur semua itu merupakan ketentuan Ilahi untuk menguji keimanan setiap hamba-Nya.

Apa yang penting katanya, hidup mesti diteruskan terutamanya dalam mencari bekalan untuk dibawa ke alam akhirat yang kekal abadi.

Justeru, bagi berkongsi rahsia kecantikan dan kesihatan dalam hidup, Sarimah tampil dengan produk kesihatan Primadona yang dikeluarkan oleh syarikatnya, Primadona Worldwide Sdn. Bhd.

"Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk buat sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan dengan penghasilan produk ini yang saya anggap sebagai hadiah buat mereka yang sentiasa mengutamakan kesihatan dalam kehidupan.

"Secara tidak langsung, ia juga sebagai bekal buat diri apabila sudah tiada lagi di dunia ini," ungkap Sarimah yang masih lagi sihat dan anggun.

Tampil dengan persalinan blouse hitam paras lutut yang dipadankan bersama skirt merah serta tudung rona serupa, Sarimah memberitahu, produk yang dinamakan Sari AgeGard dan Sari StemShape itu dihasilkan dengan kerjasama pakar perubatan profesional.

Pengarah Perubatan Primadona Worldwide Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Nizar Zakaria berkata, rangkaian produk kesihatan tersebut dicipta melalui teknologi dwisel induk yang diperkuat dengan terapi ozon.

"Sari AgeGard menjurus kepada kecergasan dan kesihatan diri, manakala Sari StemShape pula dikhususkan bagi individu yang mahu tampil langsing secara semula jadi.

"Adunan ekstrak bahan-bahan semula jadi terbaik yang kemudian disempurnakan dengan terapi ozon mampu memberi kesan yang pantas kepada pengguna," ujar Mohd. Nizar yang berpengalaman sebagai pakar ortopedik atau pakar tulang hampir dua dekad.

Tambah Sarimah pula, pengambilan kedua-dua produk itu telah menjadi kelaziman diri pada setiap hari iaitu Sari AgeGard dimakan sebelum sarapan manakala Sari StemShape pada sebelah malam.

"Melalui pengambilan Sari StemShape, anda bukan sahaja mampu kelihatan langsing, tetapi tidak perlu bersusah payah untuk kerap ke tandas seperti mana produk langsing yang lain.

"Bagi amalan mengambil Sari AgeGard, ia menjadikan tubuh lebih cergas di samping memperoleh waktu tidur berkualiti yang diperlukan oleh manusia," kata ibu, nenek dan moyang kepada enam anak, 32 cucu dan empat cicit itu.

Buah-buahan tempatan kaya khasiat

Posted:

Buah-buahan tempatan kaya khasiat

Buah-buahan tempatan kaya khasiat


RAKYAT Malaysia perlu membetulkan persepsi negatif ke atas buah-buahan tempatan.


MALAYSIA kaya dengan pelbagai jenis buah tropika seperti durian, manggis, rambutan, duku dan langsat. Bagaimanapun bagi sesetengah orang, mereka menganggap bahawa memakan buah-buahan tempatan boleh menyebabkan mereka tidak sihat.

Adakah ini satu mitos? Sesetengah orang juga beranggapan bahawa buah import seperti epal dan anggur lebih berkhasiat berbanding buah-buahan tempatan yang bermusim.

Pelbagai persepsi negatif menjalar dan dilemparkan terhadap buah-buahan bermusim hingga menarik perhatian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menjelaskannya.

"Tidak, saya tidak percaya buah bermusim seperti durian, manggis dan rambutan boleh menyebabkan seseorang itu demam atau membawa kepada penyakit. Sebenarnya, buah-buahan kita unik, sedap dan kaya dengan khasiat.

"Begitupun, amat menyedihkan apabila ada segelintir pihak terlalu mengagungkan buah import kerana merasakannya lebih bagus," kata Timbalan Pengarah Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur Mardi, Dr. Zabedah Mahmood di Serdang baru-baru ini.

Tanggapan tentang buah-buahan import lebih bagus berbanding produk tempatan mungkin disebabkan oleh kurangnya promosi tentang khasiat yang terselindung di sebalik buah-buahan bermusim. Walhal, ia sebenarnya berkapasiti tinggi membekalkan nutrien diperlukan badan.

Tambahan pula, harganya lebih murah berbanding yang diimport. Selain itu, kandungan khasiatnya tidak tergugat lantaran boleh mendapatkannya dengan segar.

Banyak vitamin

Zabedah berkata, khasiat buah import mungkin sudah berkurangan kerana lama berada dalam kotak penyimpanan lantaran melalui masa perjalanan yang agak panjang untuk sampai ke negara ini.

Sebenarnya, kandungan vitamin C adalah lebih tinggi dalam sebiji buah rambutan jika dibandingkan dengan epal.

Menurut Zabedah, kandungan vitamin C pada rambutan dan pulasan adalah 70 miligram (mg) per 100 gram (g), berbanding epal iaitu hanya sekitar 6mg per 100g.

Vitamin C amat penting untuk tubuh terutamanya untuk meningkatkan sistem imuniti badan serta melindungi daripada jangkitan penyakit dan selesema.

"Kedua-dua rambutan dan pulasan mempunyai kandungan air yang tinggi, iaitu melebihi 80 peratus. Kandungan proteinnya di sekitar 0.5 hingga 0.8 peratus dan kandungan lemaknya pula adalah agak rendah iaitu 0.3 hingga 0.55 peratus," katanya.

Kandungan istimewa

Khasiat buah-buahan bermusim bukan hanya tertumpu pada rambutan tetapi juga meliputi durian, yakni raja buah yang sentiasa dikaitkan sebagai punca demam panas.

Agak pelik bunyinya, namun pemakanan durian juga sebenarnya elok diamalkan kerana mengandungi potasium yang baik untuk kesihatan jantung.

Selain mengandungi 1,060mg potasium, durian juga membekalkan sumber vitamin C, tenaga dan mineral.

Isinya yang lembut, enak dan kekuningan itu bukan sekadar menjanjikan kesedapan tidak terhingga bagi pencinta durian, malah ia juga kaya dengan fiber, baik untuk proses penghadaman dan sembelit.

Paling menarik adalah buah manggis. Menurut Zabedah, manggis mempunyai nilai yang tinggi dari sudut pengkomersialan produk kesihatan. Bukan sahaja isinya yang putih gebu mengandungi khasiat tinggi, malah kulitnya menjadi bahan untuk menghasilkan produk kesihatan.

"Sebenarnya, kulit manggis bukan lagi bahan buangan. Ini kerana, terdapat syarikat yang membeli kulit manggis di Mardi untuk diproses dan dijadikan produk kesihatan.

"Berbanding buah lain, manggis adalah antara buah paling susah hendak dilihat di pasaran kerana sudah ada syarikat beli terus kesemua buah di dusun. Sebab itulah harga manggis agak mahal kerana penawarannya tidak banyak," katanya.

Menurut Dr. David A. Morton dari University of Utah, Amerika Syarikat, kulit buah manggis mempunyai bahan aktif biologi yang sangat kaya dengan antioksida dan dipercayai berkesan untuk mencegah penyakit. Buah manggis berpotensi untuk mencegah batu karang, kanser dan merendahkan kolesterol dalam badan.

Salah cara makan

Mengapakah ada segolongan orang yang demam atau batuk berpanjangan selepas menikmati buah-buahan bermusim? Ia seolah-olah tidak selari dengan kajian yang merungkai kekayaan khasiat buah-buahan tersebut.

Mengulas lebih lanjut, kata Zabedah, semuanya berkisar kepada cara pemakanan masyarakat. Sambil menegur sikap sesetengah orang yang memakan buah durian atau rambutan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa, Zabedah memberitahu gaya pemakanan sedemikian mendedahkan mereka kepada penyakit.

"Buah-buahan tempatan tidak mendatangkan penyakit. Kita dinasihatkan untuk memakannya dalam kuantiti sederhana, sekadar untuk mendapatkan khasiat di samping menikmatinya.

Beliau berkata, sebaiknya air kosong diambil secukupnya selepas menikmati Raja Buah itu. Elakkan juga memakannya ketika perut kosong dan sebelum tidur selain jangan dimakan bersama minuman air berkarbonat.

Tidak menafikan bahawa menikmati durian boleh mengundang rasa panas badan, justeru dinasihatkan agar ia disusuli dengan pemakanan manggis kerana buah itu boleh menyejukkan tubuh.

Bagi buah rambutan pula, Zabedah berkata masih ramai khususnya generasi muda tidak tahu kulit kayu biji rambutan yang terlekat pada isi buahnya itu tidak boleh dimakan kerana boleh menyebabkan batuk.

Disebabkan itulah, menjadi tugas pembeli untuk memilih kualiti buah rambutan terbaik iaitu isinya lekang dan tidak terlekat pada kulit kayu biji.

Antara rambutan popular ketika ini adalah jenis anak sekolah kerana buah itu mudah dikopek bahagian isi dengan bijinya. - Bernama

Gegaran Konsert Ambang 2013 AmBank

Posted:

Gegaran Konsert Ambang 2013 AmBank

Gegaran Konsert Ambang 2013 AmBank

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA


HAMPIR 500,000 pengunjung membanjiri Konsert Ambang 2013 yang menampilkan artis seperti Mizz Nina, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


SEJAK diperkenalkan pada tahun 2003, Konsert Ambang yang dianjurkan oleh Kumpulan AmBank berjaya menarik perhatian umum, khususnya golongan muda yang inginkan kelainan ketika menyambut tahun baru.

Memilih Persiaran Perdana, Presint 3, Putrajaya sebagai lokasi baru penganjurannya, Konsert Ambang 2013 Putrajaya yang diadakan baru-baru ini berlangsung dengan penuh meriah.

Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, objektif penganjuran Ambang 2013 adalah bertujuan memupuk semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama.

"Penganjuran konsert ini bukan sahaja mampu menaikkan semangat perpaduan kaum dalam kalangan penduduk di Putrajaya ataupun Kuala Lumpur, malah ia dapat memberi kesedaran tentang kepentingan hidup bersatu padu kepada rakyat di seluruh negara.

"Selain itu, konsert ini diadakan sebagai lambang penghargaan kepada para pelanggan yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada kami sepanjang tahun," ujar beliau dalam satu kenyataan media sempena penganjuran acara meriah tersebut.


BUAT julung-julung kalinya, AmBank menganjurkan sambutan ambang tahun baru di Putrajaya.


Konsert yang mendapat kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya itu membariskan artis-artis popular tanah air antaranya Datuk M. Nasir, Mizz Nina, Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Ramli Sarip dan kumpulan Hujan.

Turut menggegarkan pentas pada malam itu ialah kumpulan rock legenda Wings serta penyanyi dan pelakon Cina, Stella Chung.

Azman menambah, selain memberi peluang kepada para pengunjung untuk menikmati lagu-lagu berbahasa Melayu, Inggeris, Cina serta Tamil, konsert itu juga menampilkan pelbagai jenis persembahan dan pertunjukan yang sangat menarik.

"Selain persembahan daripada artis-artis terkemuka tempatan, pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai jenis tarian kebudayaan, perbarisan Polis Diraja Malaysia dan persembahan Kombo Perbadanan Putrajaya," katanya lagi.

Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan apabila hampir 500,000 pengunjung membanjiri Persiaran Perdana pada malam itu bagi merasai sendiri kehangatan menyambut tahun baru di kota ikonik negara itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved