Sabtu, 5 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


ATM bermula langkah bergaya

Posted:

ATM bermula langkah bergaya

ATM bermula langkah bergaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

REZAL (tengah) cuba melepasi halangan dua pemain Kelantan pada aksi Sumbangsih di Stadium Shah Alam malam tadi.


PENDATANG baharu Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2013 dengan penuh bergaya.

Malam tadi, skuad The Gladiators itu merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menundukkan juara trebel, Kelantan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1. Indra Putra Mahayuddin meledak gol pembukaan Kelantan sebelum tonggak pertahanan ATM, Irwan Fadzli Idrus menyamakan kedudukan pada penghujung babak kedua.

Keputusan seri itu menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti kerana tiada masa tambahan dilangsungkan.

Dalam penentuan sepakan penalti, perancang import The Gladiators, Bruno Marteloto muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan ATM.

Terdahulu, Marlon Alex James, K. Reuben dan Rezal Zambery Yahya berjaya menyempurnakan sepakan penalti masing-masing manakala sepakan yang diambil R. Surendren berjaya dinafikan oleh penjaga gol Kelantan, Mohd. Syazwan Yusof.

Kelantan pula memperoleh gol menerusi sepakan penalti yang diambil Mohd. Nor Farhan Muhammad, Obinna Nwaneri dan Mohd. Badhri Radzi.

Mohd. Rizal Fahmi Rosid serta Mohd. Daudsu Jamaluddin pula gagal melaksanakan tugas menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Bagi ATM, kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah malam tadi dianggap mampu menebus kekecewaan mereka selepas tewas 2-3 kepada Kelantan pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.

Di kem Kelantan pula, kekalahan tersebut dianggap satu permulaan kurang bergaya musim ini selepas skuad The Red Warriors itu tampil cemerlang dengan merangkul gelaran juara Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super musim lalu.

Kekalahan itu juga menyaksikan Kelantan gagal mengulangi kejayaan yang dicapai mereka dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas membenam Selangor pada edisi 2011.

Musim lalu, Kelantan turut gagal mendapat trofi tersebut selepas tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Khairul Fahmi nyala impian baharu

Posted:

Khairul Fahmi nyala impian baharu

Khairul Fahmi nyala impian baharu

Oleh ADHAM SHADAN
dan YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


KHAIRUL FAHMI (kiri) bersalaman dengan Annuar pada majlis perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.


PENJAGA gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek mahu menjadikan musim 2013 sebagai tahun terbaik dengan membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan trebel yang diraih musim lalu.

Apek berkata, selain membantu The Red Warriors meraih kejuaraan dalam kempen domestik, dia juga berazam untuk merebut semula tempat sebagai penjaga gol No. 1 Harimau Malaya.

"Ia bukanlah satu tugas yang mudah. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dengan memberikan aksi terbaik setiap perlawanan yang diharungi bagi memastikan kedua-dua azam sempena tahun baru ini dapat dicapai.

"Saya juga bertekad untuk membantu pasukan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015," katanya.

Apek berkata demikian kepada pemberita pada majlis kenduri perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.

Dalam majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 1,000 tetamu itu, Apek dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, atau Leuniey tampil anggun mengenakan persalinan warna biru firus sedondon.

Majlis kenduri Apek turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Annuar berkata, penyerang import baharu, Dimi Pertratos mempunyai kontrak rasmi dengan KAFA.

"Saya yakin tidak akan timbul soal curi atau pemain lari seperti mana yang dialami oleh Kelantan ketika ini.

"Jikalau ada, kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan di media.

"Kita akan lihat perkembangannya dan apa yang penting, dia (Pertratos) mempunyai kontrak rasmi dengan Kelantan sehingga November ini," kata Annuar.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berita pemain kelahiran Australia itu yang dilapor dilamar oleh sebuah pasukan di England baru-baru ini.

Mampukah Harimau Malaya bangkit?

Posted:

Mampukah Harimau Malaya bangkit?

Mampukah Harimau Malaya bangkit?

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


IMBAS KEMBALI... Skuad Harimau Malaya meraikan kejayaan muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, Indonesia.


TIDAK keterlaluan jika dikatakan betapa skuad Harimau Malaya menutup kalendar 2012 dengan noktah yang agak mengecewakan.

Ini kerana penyokong setia bola sepak tempatan masih sukar untuk melupakan kegagalan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 sejurus tewas 1-3 secara agregat kepada Thailand pada aksi separuh akhir.

Biarpun didesak melepaskan jawatannya, Rajagobal menegaskan bahawa beliau masih mempunyai tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Persatuan Bola Sepak Ma laysia (FAM).

Jurulatih berusia 56 tahun itu kekal positif dengan tugasnya dan enggan mempedulikan 'cakap-cakap luar'.

Sebaliknya, Rajagobal mahu terus fokus membimbing Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula bulan depan.

"Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Selepas Piala Suzuki AFF 2012, misi saya adalah fokus kepada persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015... itu sahaja," kata Rajagobal.

Namun, timbul persoalan dalam kalangan pengkritik sukan tanah air - adakah Rajagobal mampu mengangkat imej skuad Harimau Malaya di pentas Asia?

Ramai beranggapan bahawa Rajagobal tidak lagi berupaya untuk mengulangi magis yang pernah diciptanya pada 2009 dan 2010.

Meskipun Rajagobal dianggap sebagai jurulatih tempatan paling berjaya apabila membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala Suzuki AFF 2010, para pengkritik mula mempersoal kredibilitinya ketika ini.

Paling mencuri tumpuan apabila Rajagobal didakwa gemar 'memilih bulu' dalam menyenaraikan pemain dalam skuad kendaliannya.

Buktinya, pada Piala Suzuki AFF 2012, Rajagobal dilihat memilih para pemain yang hampir sama ketika mengharungi kempen Piala Suzuki AFF 2010.

Polisi Rajagobal yang lebih mengutamakan pemain muda juga menimbulkan tanda tanya - adakah pemain lebih senior langsung tidak relevan untuk menyarung jersi Harimau Malaya sedangkan mereka beraksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia (Liga M).

Antara pemain tersebut - dua tonggak Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad, Ashaari Shamsuddin (Terengganu) dan Mohd. Badhri Radzi (Kelantan) yang gagal 'mencuri' perhatian Rajagobal meskipun mereka mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan masing-masing.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, sudah tiba masanya Rajagobal mengetepikan sentimen jasa pemain-pemain yang membantu Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.

"Pada pendapat saya, sudah tiba Rajagobal untuk memberikan perhatian kepada prestasi semasa para pemain yang menonjol dalam Liga M.

"Kenapa tidak memanggil Badri yang mempamerkan aksi begitu menakjubkan selepas berjaya membantu Kelantan menjuarai gelaran trebel musim lalu?

"Tidak dapat dinafikan Rajagobal merupakan jurulatih tempatan paling berjaya buat masa ini tetapi saya percaya jika beliau dapat memilih pemain-pemain yang betul, tidak mustahil Malaysia akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

"Sebenarnya kita memiliki ramai pemain berbakat tetapi cara pemilihan pemain yang tidak betul," kata Reduan kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh turut berkongsi pandangan yang sama dengan Reduan.

Shukor menjelaskan, Rajagobal perlu lebih kreatif dalam merencana taktikal permainan selepas menyaksikan tiada peningkatan prestasi Harimau Malaya sejurus memenangi Piala Suzuki AFF 2010.

Menurut Shukor, tindakan Rajagobal yang kerap melakukan 'eksperimen' dalam usaha membentuk pasukan mantap telah mengundang perasaan kurang senang beberapa pihak termasuk para penyokong fanatik Harimau Malaya.

Justeru, Shukor berharap Rajagobal dapat mencari jalan terbaik dalam usaha memantapkan skuad Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015.

"Apa yang saya nampak, skuad negara kita tidak menunjukkan peningkatan yang begitu ketara.

"Sejujurnya, Harimau Malaya hanya betul-betul bermain bola sepak ketika menewaskan Vietnam (2-0) dan Indonesia (3-0) pada aksi Piala Suzuki AFF 2010," jelas Shukor.

Shukor berkata, Rajagobal harus mencontohi corak permainan Laos yang dilihat begitu tersusun ketika menghadapi kempen Piala Suzuki AFF 2012.

"Jika Laos begitu yakin memperagakan corak hantaran pendek, mengapa tidak Harimau Malaya?

"Laos hanya mempertaruhkan pemain-pemain muda dan tidak memiliki pengalaman berbanding Malaysia tetapi keyakinan barisan pemain mereka begitu terserlah.

"Kebanyakan pemain kita dilihat gugup dan inilah masalahnya. Apabila tiada keyakinan diri, banyak kesilapan mudah kita akan buat.

"Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan Rajagobal secara individu... cuma nasihat saya, beliau patut mencari jalan untuk meningkatkan serta memperbaiki corak permainan," katanya.

Biar apa pun pandangan dan kritikan yang dilemparkan, kini bergantung kepada Rajagobal untuk kembali mengangkat kembali reputasi Harimau Malaya di peta bola sepak antarabangsa.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved