Ahad, 27 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Ferguson pukul canang United mampu raih juara

Posted:

Ferguson pukul canang United mampu raih juara

Ferguson pukul canang United mampu raih juara

NANI (tengah) kembali diturunkan United dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Fulham kelmarin selepas lama direhatkan. Pemain itu berjaya membantu United menang 4-1.


MANCHESTER - Alex Ferguson berazam mahu membawa pulang Piala FA untuk kali ke-11 buat Manchester United pada penghujung musim ini.

United merupakan antara pasukan terbanyak memenangi trofi tersebut dalam sejarah kejohanan, namun kali terakhir mereka berjaya mendakap Piala FA adalah pada tahun 2004.

Ini bermakna hanya Ryan Giggs, Paul Scholes dan Darren Fletcher berada dalam kesebelasan utama United berjaya merasai nikmat memenangi trofi tersebut ketika ini.

Paling membanggakan, Giggs menjaringkan gol pembukaan United ketika mereka mudah mengatasi cabaran Fulham 4-1 dalam pusingan keempat Piala FA kelmarin.

"Saya percaya pemain-pemain United akan meneruskan momentum kemenangan ini hingga ke perlawanan akhir.

"Saya berharap tahun inilah peluang mendapatkannya. Sesetengah daripada mereka (pemain) beraksi cemerlang hari ini," jelas Ferguson.

Tambah beliau, ini merupakan salah satu persembahan terbaik mereka musim ini selepas menurunkan pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Giggs menyempurnakan sepakan penalti pada minit kedua perlawanan untuk gol pertama United, diikuti gol Wayne Rooney sebelum Javier Hernandez menambah dua lagi gol untuk United selesa mendahului 4-0.

Bagaimanapun, Aaron Hughes berjaya 'mencuri' satu gol untuk Fulham.

"Piala FA sangat bermakna. Kali terakhir kami memenanginya sembilan tahun lalu. Ramai pemain masih belum merasai nikmat mendakap trofi ini.

"Kami harap tahun ini ia menjadi kenyataan," kata Giggs.

Persembahan menakjubkan Hernandez dan Rooney turut menggembirakan Ferguson.

Beliau menyifatkan kuartet Rooney, Hernandez, Danny Welbeck dan Robin van Persie pasti digeruni sama seperti gandingan pemenang tiga piala pada 1999 - Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer dan Teddy Sheringham. - AFP

Drogba nafi cuma 'penumpang'

Posted:

Drogba nafi cuma 'penumpang'

Drogba nafi cuma 'penumpang'


DROGBA (kiri) sekadar beraksi 25 minit terakhir selepas masuk sebagai pemain gantian Ivory Coast ketika menentang Tunisia semalam, namun kemasukannya gagal memberi impak besar.


RUSTENBURG, Afrika Selatan - Kapten Ivory Coast, Didier Drogba menafikan dakwaan dia tidak berada pada prestasi sebenar sebaik pasukannya menempah slot suku akhir selepas mengatasi Tunisia 3-0 pada kempen Piala Negara- Negara Afrika 2013 semalam.

Dalam aksi Kumpulan D di Stadium Royal Bafokeng itu, gol-gol jaringan Gervin- ho, Yaya Toure dan Didier Ya Konan berjaya memastikan kemenangan kedua The Elephants, sekali gus muncul pasukan pertama mara ke suku akhir pada kempen kali ini.

Biarpun hanya tampil selaku pemain gantian pada 25 minit terakhir, Drogba gagal memberikan impak yang berkesan, sekali gus mengundang spekulasi banyak pihak.

Untuk rekod, ia merupakan kali pertama Drogba diketepikan daripada kesebelasan utama Ivory Coast sepanjang kariernya.

"Saya bukan jurulatih dan tidak berhak membuat keputusan. Biarpun sekadar memanaskan bangku simpanan, ia bukan satu isu yang besar.

"Saya masih cergas. Terpulang kepada jurulatih untuk menentukan siapa yang bakal diturunkan," jelas Drogba.

Sebelum ini, Drogba tanpa berselindung mengakui kurang cergas ekoran jarang beraksi bersama kelabnya, Shanghai Shenhua.

Dia juga digantikan pada 20 minit terakhir ketika aksi pertama Ivory Coast berdepan Togo minggu lalu.

Biarpun tempatnya selaku penyerang utama dilihat diambil alih bekas rakan sepasukannya di Chelsea, Salomon Kalou, Drogba enggan memikirkan sentimen peribadi dan fokus mahu membantu pasukannya muncul juara kali ini.

"Kami mahu mengulangi kejayaan tahun lalu apabila berjaya mara ke final.

"Saya harap kami mampu melakukannya dan muncul juara kali ini," tegas Drog- ba.

Untuk rekod, The Elephants berjaya mara ke pentas final sebanyak dua kali sejak empat kejohanan terdahulu, selain mara ke separuh akhir pada edisi 2008.

Dalam aksi terakhir kumpulan nanti, Ivory Coast bakal berdepan Algeria di Rustenburg, Khamis ini. - Reuters

Belum pamer persaingan sebenar

Posted:

Belum pamer persaingan sebenar

Belum pamer persaingan sebenar


PERAK (jersi kuning) antara pasukan yang diramal mampu melontarkan saingan sebaik Liga Super bersambung pada 22 Februari depan.


LIGA Malaysia (Liga M) 2013, melibatkan saingan Liga Super dan Premier, berehat seketika sebelum bersambung semula pada 22 Februari depan.

Langkah tersebut adalah untuk memberi ruang bagi persediaan skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar, 6 Februari nanti.

Sebahagian besar pemain yang beraksi dalam Liga Super dan Premier terlibat dengan tugasan bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Setakat ini, lima perlawanan Liga Super dan Premier sudah dilangsungkan yang menyaksikan Pahang menerajui takhta Liga Super manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengungguli carta Liga Premier.

Selepas mengharungi lima perlawanan, Pahang berjaya mengutip 12 mata hasil empat kemenangan dan tewas sekali manakala PDRM pula mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan dan seri sekali.

Walaupun selesa menerajui takhta ketika ini, ia belum memberi jaminan buat dua pasukan berkenaan untuk bergelar juara musim ini kerana perjalanan liga masih jauh.

Selepas lima perlawanan, saingan boleh dikatakan masih terbuka kerana tiada pasukan yang betul-betul memperlihatkan kelebihan masing-masing.

Pasukan-pasukan berstatus 'gergasi' masih terkapai-kapai mencari rentak kemenangan, dan kelemahan tersebut dipergunakan sepenuhnya oleh pasukan-pasukan kerdil yang memiliki kerja berpasukan tinggi untuk mencipta kejayaan.

Inilah yang membawa kejayaan kepada Pahang setakat ini, yang memperlihatkan kekuatan sebagai satu pasukan kerana semangat berpasukan dalam skuad kendalian Dollah Salleh itu cukup tinggi.

Seandainya semangat seperti itu dapat dikekalkan sehingga ke hujung musim, Pahang yang kembali ke saingan Liga Super musim ini boleh dianggap sebagai antara calon untuk menduduki tiga tempat teratas dalam liga.

Selain itu, Pahang juga dilihat cukup garang apabila berada di depan gawang lawan dan setakat ini, mereka telah mencetak 11 gol selepas mengharungi lima perlawanan.

Maknanya, jentera serangan mereka yang diketuai Azamuddin Mohd. Akil dan Mohd. Fauzi Roslan cukup kental untuk merobek gawang lawan.

Dollah juga tidak begitu mengharapkan sentuhan pemain import kerana dalam beberapa perlawanan sebelum ini, beliau lebih banyak memberi kepercayaan kepada barisan tempatan untuk membawa cabaran Pahang.

Begitupun, jentera pertahanan mereka perlu diperkemaskan kerana setakat ini, mereka sudah melepaskan enam gol yang membawa purata bolos satu gol dalam setiap perlawanan.

Sebelum saingan liga bermula pada 5 Januari lalu, Pahang bukanlah antara pasukan yang tersenarai sebagai kuasa dalam liga tempatan.

Tumpuan sebenarnya lebih terarah kepada juara trebel musim lalu, Kelantan, Johor Darul Takzim, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Terengganu.

Namun, secara tiba-tiba Pahang tampil mencipta 'gelora' baharu apabila tampil dengan prestasi yang agak luar biasa.

ATM setakat ini nampaknya masih mengekalkan konsistensi selepas mempamerkan kebangkitan pada pertandingan Piala Malaysia musim lalu dengan kejayaan melangkah ke final, namun mereka tewas kepada Kelantan.

Rentak cemerlang ATM itu yang dikendalikan oleh bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, terus dipamerkan pada saingan liga musim ini dan hasilnya mereka berjaya mencipta nama sebagai juara Piala Sumbangsih 2013 selepas menghampakan Kelantan.

Namun, masa depan bola sepak ATM agak meragukan kerana mereka masih memberi kepercayaan kepada pemain yang semakin dimamah usia untuk menggalas cabaran seperti Hairuddin Omar mahupun Mohd. Shukor Adan.

Tiada pemain muda yang betul-betul menonjol dalam skuad tersebut yang akan menjadi tunjang ATM suatu hari nanti.

Setakat ini, ATM selesa menduduki tempat kedua liga di belakang Pahang dengan mengutip 10 mata dan jentera serangan mereka yang diketuai Hairuddin dan Marlon Alex James juga memperlihatkan kegarangan selepas mencetak 10 gol dalam lima perlawanan.

Walaupun dibarisi sebahagian besar pemain veteran tetapi ATM tetap dianggap sebagai pencabar baharu dalam liga musim ini yang turut memperlihatkan gaya permainan cukup menarik.

Johor Darul Takzim (Johor DT) pula yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang, masih terkapai-kapai mencari rentak.

Kehadiran bekas penggempur Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha serta beberapa pemain kebangsaan seperti Mohd. Safee Sali, Safiq Rahim mahupun Aidil Zaquan Abdul Radzak, nampaknya masih belum mampu untuk menjulang skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu.

Selepas mengharungi lima perlawanan, skuad bimbingan Fandi Ahmad itu sekadar mengutip lapan mata untuk berada di tangga kelima hasil daripada dua kemenangan, dua seri dan tewas sekali.

Jentera serangan mereka juga masih dilihat tumpul dan sehingga kini baru meledak sembilan gol.

Masalah paling ketara yang dialami skuad Johor DT ialah jentera pertahanan mereka yang dilihat kurang konsisten mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi.

Setakat ini, mereka sudah melepaskan tujuh gol dan ia membuktikan betapa lemahnya pertahanan mereka walaupun di ketuai pemain kebangsaan, Adil Zaquan, Azmi Muslim dan Muslim Ahmad.

Bagi Fandi, masalah utama yang beliau kenal pasti dalam pasukannya setakat ini ialah keserasian dalam kalangan pemain.

"Pemain bintang masih belum menunjukkan keserasian dengan pemain lain dan keadaan ini membimbangkan saya," kata Fandi selepas aksi menentang Perak pada saingan Piala FA minggu lalu.

Jika ada pasukan yang mampu menggegar saingan liga selepas ini, sudah pastinya Perak yang kini dikendalikan oleh Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Perak bakal menjadi pasukan yang perlu dihormati selepas ini memandangkan gaya permainan mereka cukup mempersonakan.

Sebahagian besar pemainnya terdiri daripada pemain muda dan mereka juga antara pasukan yang memiliki barisan pertahanan terbaik setakat ini, dengan hanya melepaskan tiga gol.

Jika Perak terus tampil dengan rentak yang telah mereka pamerkan dalam lima perlawanan lalu, tidak mustahil mereka akan menjadi pasukan tumpuan selepas ini.

Bagi saingan Liga Premier pula, Kedah dan PDRM boleh dianggap pasukan pilihan tetapi mereka perlu lebih waspada kerana pasukan-pasukan lain seperti Sabah, Sarawak dan juga Johor semakin memperlihatkan kebangkitan.

Apa pun, perjalanan liga masih jauh dan macam-macam boleh berlaku selepas ini sebaik saingan liga bersambung semula pada 22 Februari depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved