Isnin, 21 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sabah tersungkur, Johor garang

Posted:

Sabah tersungkur, Johor garang

Sabah tersungkur, Johor garang

Laporan RADIAH SAORI, NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan YUNUS YAKKUB
sukan@kosmo.com.my

PEMAIN Johor, Juan Muriel Orlando (dua dari kanan) melepasi halangan pemain UiTM FC pada aksi Liga Premier di Pasir Gudang semalam.


REKOD kebal Sabah di gelanggang sendiri musim ini akhirnya lebur apabila tumpas 0-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Premier di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang semalam.

Penyerang berbisa Sang Kenari, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri meletakkan pasukan pelawat di depan apabila tenang menyempurnakan hantaran cantik Arman Fareez Mohd. Ali pada minit ke-40.

Muhammad Fiqkry Md. Isa melengkapkan derita Sang Badak apabila meledak gol kedua pada penghujung babak kedua.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Marijo Tot kini melonjak ke tangga kedua liga dengan 12 mata, kurang satu mata di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jurulatih Sabah, David McCreery ternyata kecewa dengan kekalahan tersebut.

"Pemain dilihat tidak begitu bekerjasama, saya sendiri tidak tahu mengapa," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Di Stadium MP Pasir Gudang, Johor menepati ramalan apabila mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan pasukan tercorot, UiTM FC dengan keputusan 2-0.

Beraksi buat pertama kali di stadium berkenaan dalam saingan liga musim ini, Johor dilihat mempunyai peluang terbaik untuk berpesta gol, namun sering kali mempersia-siakan peluang yang ada.

Meskipun menguasai sejak awal permainan, namun gol pertama Johor hanya hadir pada minit ke-37 menerusi jaringan Mohd. Khairul Ismail, hasil hantaran lintang Mohd. Alif Mohd. Yusof.

Anak-anak buah Azmi Mohamad sebelum itu mempunyai beberapa peluang, namun percubaan terbaik daripada pemain import, Juan Muriel Orlando pada minit ke-20 berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Muhd. Nor Haziq Mohd. Aris manakala percubaannya tiga minit kemudian sekadar melepasi gawang.

Pada babak kedua, skuad Harimau Selatan terus menggandakan asakan, namun gol kedua hanya diperoleh pada minit-minit terakhir perlawanan apabila kapten pasukan, Mohd. Farid Ramli membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti.

UiTM yang tewas dalam semua perlawanan terdahulu turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58, namun tandukan Muhammad Afham Zulkipeli berjaya ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Mohd. Fazli Paat.

Dengan kemenangan itu, Johor kini mengumpul 10 mata selepas lima perlawanan apabila seri tanpa jaringan menentang Sime Darby, menang 2-0 menentang NS Betaria, membelasah Kuala Lumpur 5-1 dan tewas 1-2 kepada Kedah sebelum ini.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM kekal menerajui Liga Premier meskipun sekadar seri 1-1 dengan Pos Malaysia.

Sime Darby pula sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak di Stadium MP Selayang manakala Perlis tewas tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Di Stadium KLFA, Cheras, NS Betaria melakar kemenangan sulung musim ini apa- bila menewaskan KL SPA dengan keputu- san 3-2.

Kelantan mahu elak seri

Posted:

Kelantan mahu elak seri

Kelantan mahu elak seri

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


BADHRI RADZI (kanan) memainkan peranannya dengan berkesan mengemudi jentera tengah skuad Kelantan musim ini.


KELANTAN sudah tidak rela lagi untuk meraih keputusan seri kerana ia akan menjejaskan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

Hari ini, The Red Warriors itu akan turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan misi untuk meraih kemenangan.

Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak sedar bahawa perlawanan malam ini cukup penting buat para pemainnya membuktikan keupayaan selain mengelak daripada terus tercicir mata dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga.

Menurutnya, dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan lalu bukan suatu yang positif untuk pasukannya mempertahankan gelaran trebel ketika saingan Liga Super dilihat semakin mencabar dengan peningkatan beberapa pasukan baharu.

"Kita perlu tampil berhabis-habisan malam esok (malam ini) untuk mendapatkan tiga mata. Saya fikir, peluang beraksi di laman sendiri merupakan satu kelebihan kepada kami dan saya harap kami mampu menghasilkan keputusan yang positif nanti.

"Saya tidak fikir pasukan ini mempunyai masalah yang besar, cuma kami gagal memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan barisan hadapan kami kelihatan seperti agak tumpul.

"Saya berharap perlawanan malam esok (malam ini) adalah penutup kepada aksi hambar yang kami pamerkan sebelum ini," katanya semalam.

Tambahnya, walaupun situasi terkini menyaksikan Negeri Sembilan berada di tangga tercorot liga, namun beliau tidak mahu para pemainnya mengambil mudah perlawanan tersebut kerana lawan mereka itu sentiasa menjadi pesaing paling hebat setiap kali mereka bertemu.

Katanya, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, namun beliau tidak nampak sebarang sebab kenapa pemainnya melepaskan mata berharga pada setiap perlawanan, sedangkan prestasi mereka kini berada pada tahap terbaik.

"Kita harus sempurnakan setiap peluang dengan baik. Bola sepak tidak memerlukan anda bermain dengan cantik atau sebagus mana pemain tengah dan pertahanan anda beraksi tetapi bola sepak adalah sebanyak mana anda mampu menjaringkan gol dan memenangi perlawanan.

"Pada perlawanan sebelum ini, barisan pertahanan bermain dengan baik dan di jentera tengah, Piya (Badri Radzi) dan Shakir (Shaari) juga cukup cemerlang, namun pada akhirnya kita tetap mempunyai masalah untuk menjaringkan gol," ujarnya.

Mengulas mengenai kecederaan yang dialami dua penggempurnya, Norfarhan Muhammad dan Keita Mandjou, Hodak berkata: "Norfarhan sudah mula menjalani latihan ringan tetapi saya tidak fikir dia sedia untuk diturunkan malam esok (malam ini).

" Jika ada pun, mungkin saya akan guna khidmatnya dalam 30 minit terakhir manakala Mandjou juga semakin pulih.

"Haris (Safwan Kamal) dan Indra Putra (Mahayuddin) sudah tentu berada dalam perancangan saya termasuk seorang lagi pemain muda, Khairul Izuan Rosli yang semakin menunjukkan peningkatan."

Chong Wei tak sabar jumpa Lin Dan

Posted:

Chong Wei tak sabar jumpa Lin Dan

Chong Wei tak sabar jumpa Lin Dan

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


CHONG WEI mengakui yang dia sudah tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan Lin Dan pada Seluruh England, Mac depan.


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sudah tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan seteru utamanya, Lin Dan dari China.

Chong Wei berpeluang untuk menentang Lin Dan apabila kedua-dua pemain itu beraksi pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Seluruh England di Birmingham, Mac depan.

Pemain No. 1 dunia itu berkata, kehadiran Lin Dan pada kejohanan tersebut akan membakar lagi semangatnya untuk menewaskan jaguh China itu yang sebelum ini sering menjadi batu penghalang terhadap impiannya merangkul kejuaraan utama dunia.

"Kehadiran Lin Dan pada Seluruh England merupakan satu berita yang bagus. Dia akan menjadi cabaran untuk saya.

"Saya akan menjadi lebih bersemangat setiap kali Lin Dan turut serta dalam mana-mana kejohanan. Ia secara tidak langsung telah membuatkan saya meletakkan sasaran yang lebih tinggi.

"Begitupun, saya perlu melakukan persiapan yang secukupnya sebelum menentang Lin Dan. Bukan mudah untuk menewaskan Lin Dan kerana seorang pemain itu perlu memiliki kekuatan dari aspek mental," kata Chong Wei.

Sebagai rekod, kali terakhir Chong Wei menentang Lin Dan adalah pada final Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada pertemuan tersebut, Chong Wei gagal menjelmakan kilauan pingat emas pertama kontinjen Malaysia apabila tewas 21-15, 10-21, 19-21 kepada Lin Dan.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain, Lin Dan ternyata lebih unggul apabila melakar 21 kemenangan daripada 30 pertemuan sebelum ini.

Chong Wei bakal hadir ke bumi Birmingham dengan misi memburu kejuaraan ketiga pada Seluruh England selepas melakukannya pada 2010 dan 2011.

Pemain berusia 31 tahun itu dilihat berada pada tahap prestasi terbaiknya selepas berjaya merangkul gelaran juara buat kali kesembilan pada Siri Super Terbuka Malaysia 2013 kelmarin.

Ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat dirinya tahun ini selepas membuka tirai kalendar 2013 dengan kejayaan bergelar juara Terbuka Korea pada 13 Januari lalu.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, peluang untuk Chong Wei merangkul gelaran ketiga pada Seluruh England tahun ini cerah biarpun perlu berdepan dengan Lin Dan.

"Lin Dan sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan. Seluruh England nanti dijangka akan menjadi kejohanan pertama buat Lin Dan tahun ini.

"Situasi itu pasti akan memberikan sedikit kesukaran buat Lin Dan untuk berada pada tahap prestasi sebenarnya. Jadi, ini akan memberi kelebihan kepada Chong Wei untuk menang jika perlu berdepan Lin Dan," kata Rashid.

Tambah beliau, Chong Wei tidak akan menyertai mana-mana kejohanan sebelum Seluruh England, sebaliknya akan fokus sepenuhnya terhadap persiapannya bagi menghadapi kejohanan badminton tertua dunia itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved