Jumaat, 18 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Johor DT seri lagi

Posted:

Johor DT seri lagi

Johor DT seri lagi

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

GUIZA (kanan) membuka jaringan Johor DT pada aksi menentang ATM di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.


HASRAT skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk meraih kemenangan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi musnah.

Mereka sekadar mencatat keputusan seri 2-2 meskipun Johor DT dilihat berpeluang meraih tiga mata penuh atas kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, namun peluang tersebut tidak dipergunakan sepenuhnya.

Menurunkan kesebelasan utama yang dianggap terbaik, Johor DT bermula agak perlahan sehingga membenarkan ATM mendahului perlawanan seawal minit kelima.

Begitupun, tuan rumah tidak panik dengan kejutan ATM itu sebaliknya bangkit gagah untuk menguasai permainan.

Ia merupakan keputusan seri kedua berturut-turut buat skuad bimbingan Fandi Ahmad itu selepas seri 2-2 ketika berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan Selasa lalu.

Pada aksi semalam, ATM yang juga juara Piala Sumbangsih awal bulan ini memperoleh gol pertama pada minit kelima menerusi rembatan Amiridzwan Taj Tajudin yang menewaskan penjaga gol Mohd. Zamir Selamat.

Rentak permainan Johor DT mula berubah sebaik pemain import, Daniel Guiza menyamakan kedudukan pada minit ke-17.

Guiza yang juga bekas penjaring terbanyak La Liga Sepanyol bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan lawan, Irwan Fadly Idrus yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas daripada kawasan penalti sekali gus memberi peluang kepadanya untuk melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Farizal Harun.

ATM kembali berada di hadapan setelah menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 menerusi tendangan percuma Irwan Fadly Idrus.

Selang seminit, Johor DT kembali menyamakan kedudukan apabila Norshahrul Idlan Talaha menyepak masuk hantaran lintang Nurul Azwan Roya.

Sebelum perlawanan berakhir, Johor DT mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan tetapi percubaan Mohd. Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan Guiza gagal disempurnakan dengan baik meskipun mempunyai kelebihan selepas ATM terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain selepas Mohd. Fitri Omar diarah keluar padang.

Sheang Tsung gagal pikat Kim Swee

Posted:

Sheang Tsung gagal pikat Kim Swee

Sheang Tsung gagal pikat Kim Swee

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SHEANG Tsung (depan) gagal memikat Kim Swee ketika beraksi dengan skuad Harimau Muda pada satu perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


PENGENDALI Harimau Muda A, Ong Kim Swee menyifatkan pemain muda kelab China, Tam Sheang Tsung masih belum bersedia untuk menggalas tugas bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Menurut Kim Swee, pemain berusia 18 tahun itu yang beraksi dalam Liga Super China dilihat kurang menyerlah ketika turun buat kali pertama dengan Harimau Muda A pada satu perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Pengendali kelahiran Melaka itu memberitahu, faktor usia antara salah satu punca mengapa Sheang Tsung belum bersedia untuk menyarung jersi skuad Harimau Muda A.

"Tujuan utama kita pada aksi persahabatan ini adalah untuk menilai tahap kecergasan pemain dan pada masa yang sama menilai keupayaan Sheang Tsung yang mewakili kelab Shanghai Shenhua dalam Liga Super China.

"Apa yang kita dapat lihat, dia masih memerlukan banyak lagi masa untuk meningkatkan kemampuannya walaupun saya tahu dia baru tiba di ibu negara kelmarin.

"Saya fikir, pemain-pemain lebih menyerlah sama ada dari segi kepantasan dan teknik.

"Jadi, saya sarankan agar Sheang Tsung diserapkan dalam skuad yang lebih muda dan bukan dengan Harimau Muda A.

"Selain faktor usia, dia juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini.

"Sheang Tsung akan berlatih dengan kita hingga 22 Januari ini sebelum kami bertolak ke Australia nanti.

"Saya harap selepas ini dia dapat memanfaatkan peluang yang diberikan sebaik mungkin," katanya semalam.

Pada masa yang sama, Kim Swee juga berharap agar segelintir pihak tidak tersilap tafsir terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang didakwa gagal memberikan pemantauan ke atas pemain kelahiran negara yang beraksi bersama pasukan luar.

"Kita tidak melupakan pemain-pemain ini atau tiada sebarang pemantauan tetapi jika mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, kita akan panggil mereka untuk menyertai latihan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Sheang Tsung yang kedua-dua ibu bapanya berasal dari Kedah dan menetap di Jepun, gagal menyembunyikan perasaan kecewanya selepas mempamerkan persembahan hambar pada aksi persahabatan semalam.

"Sejujurnya, saya amat kecewa dan malu dengan prestasi saya sendiri," katanya.

Pahang mahu benam Selangor

Posted:

Pahang mahu benam Selangor

Pahang mahu benam Selangor

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
sukan@kosmo.com.my


DOLLAH (dua dari kanan) sambil diperhatikan pengurus pasukan, Zainal Abidin Hassan (kanan) memberi taklimat kepada barisan pemain Pahang menjelang aksi menentang Selangor malam ini.


PAHANG yang kembali ke saingan Liga Super musim ini, masih mengekalkan rekod cemerlang selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.

Namun, rekod tersebut belum cukup untuk menggembirakan mereka selagi tidak berjaya menewaskan Selangor.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, kemenangan ke atas Selangor amat penting kerana ia akan memberi gambaran terhadap perjalanan skuad Tok Gajah dalam saingan liga musim ini.

"Walaupun Pahang menang dalam tiga perlawanan sebelum ini, kita sebenarnya masih belum cukup selesa selagi tidak mampu mengalahkan pasukan handalan seperti Selangor.

"Selangor dikenali sebagai pasukan yang kuat dalam bola sepak Malaysia. Cukup penting untuk mengalahkan yang kuat dan merampas status itu daripada Selangor," kata Dollah ketika dihubungi Kosmo! di Kuantan semalam.

Ujar Dollah lagi, laluan pada aksi menentang Selangor tidak semudah yang dijangka memandangkan lawan mereka itu memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri di Stadium Shah Alam.

"Perlawanan menentang Selangor akan menguji kekuatan sebenar Pahang dan sudah pasti saya mengharapkan ia berpihak kepada kami.

"Kita selalunya sentiasa berhati-hati setiap kali menentang Selangor, tidak kira beraksi di venue mana sekali pun. Jadi, malam esok (malam ini) kita akan tetap berhati-hati.

"Saya harap semua pemain dapat mengekalkan komitmen serta disiplin yang tinggi pada perlawanan getir menentang Selangor.

"Jika mereka bersungguh-sungguh mahu meletakkan Pahang di kedudukan terbaik, semua pemain perlu tampil dengan aksi terbaik," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dollah memberitahu, beliau hanya akan menurunkan kesebelasan pemain terbaik untuk memastikan barisan serangan dan pertahanan dapat mengekalkan momentum sepanjang 90 minit perlawanan.

Tambah beliau lagi, hanya pemain tempatan akan diturunkan dalam perlawanan tersebut dan ia diharap dapat mengurangkan risiko melakukan kesilapan ketika meng- hadapi asakan Selangor.

"Aksi menentang Selangor merupakan salah satu daripada cabaran besar dalam liga dan para pemain pula harus sentiasa bersedia."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved