Isnin, 28 Januari 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Ritma hidup bergelar bapa

Posted:

Ritma hidup bergelar bapa

Ritma hidup bergelar bapa

Oleh ALIF ABU BAKAR

KANAK-KANAK kecil itu yang berjalan berpimpin tangan dengan bapanya, menghentikan langkah selepas melihat beberapa individu tidak dikenali di hadapannya. Bapanya yang sudah berada beberapa langkah terkedepan daripadanya, berpaling dan memanggil anak kecil itu dengan nama pendeknya.

"Bella, mari sini dekat daddy," si bapa cuba memujuk apabila anaknya yang berusia setahun lebih itu malu-malu untuk menghampiri kumpulan individu yang berada bersama bapanya.

"Daddy, daddy, daddy!" panggilan si kecil itu kepada bapanya dengan harapan ayahnya datang mendukungnya. Tanpa berlengah, si bapa pergi mendapatkan anaknya itu dan kembali ke tempat duduk dan meriba si kecil.

Situasi tersebut memperlihatkan sisi berbeza angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 41, yang sering ditafsir sebagai lelaki penuh karisma dan bijak apabila membutirkan bicara. Sejujurnya, apabila melayan kerenah puteri sulungnya, Sophea Isabella, ikon kebanggaan Malaysia itu tidak banyak bezanya dengan insan lain yang bergelar bapa.

Tambah menggembirakan bagi felo penyelidik utama di Institut Sains Angkasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu apabila isterinya, Dr. Halina Mohd. Yunos selamat melahirkan anak kedua mereka pada 19 Januari lalu di Hospital UKM (HUKM).

Rezeki cahaya mata kedua

"Alhamdulillah, Sophea Natasha selamat dilahirkan dan kami sangat gembira dengan kehadirannya. Saya dan isteri memang telah merancang untuk mendapatkan anak kedua dalam tempoh terdekat selepas Bella dilahirkan. Memang impian kami untuk memiliki anak yang ramai.

"Jika boleh saya ingin sepuluh anak tetapi rezeki di tangan Allah," seloroh Sheikh Muszaphar dalam harapan.

Menyifatkan anak-anak sebagai pelengkap hidupnya, beliau menjelaskan bergelar bapa menuntut tanggungjawab yang besar sekali gus mengubah ritma kehidupannya.


BELLA, puteri sulung Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina cukup manja dengan bapanya.


"Anak-anak menjadi keutamaan dan sebagai ketua keluarga, saya perlu memastikan mereka diberi pendidikan dari peringkat awal. Pelajaran itu juga perlu merangkumi nilai-nilai Islam supaya mereka mudah dibentuk dan menjadi insan yang berguna kelak.

"Bella contohnya, telah diberi pendedahan dalam kelas renang dan saya juga cuba memupuk minatnya terhadap bidang sains angkasa menerusi hiasan gambar-gambar planet di biliknya. Setakat ini penerimaannya sangat positif," kongsi Sheikh Muszaphar yang masih lagi berkhidmat sebagai doktor Jabatan Ortopedik di HUKM.

Kesibukan sebagai penceramah dan beberapa tugas yang lain membuatkan waktu untuk bersama keluarga agak terbatas. Tambahan pula, isterinya juga sibuk dengan tanggungjawab sebagai pakar bius di Hospital Selayang, Selangor.

Mujur mereka memiliki seorang pengasuh yang dipercayai untuk menjaga anak-anak. Menariknya, pengasuh tersebut pernah menjadi pengasuh Halina ketika beliau kecil dan telah bersama keluarganya selama tiga dekad.

"Meskipun mempunyai pengasuh, saya dan Halina masih melakukan tugas seperti menukar lampin dan membancuh susu. Walaupun sibuk, kami tetap berusaha menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak.

"Apabila ada peluang berkumpul, saya akan pastikan kami sekeluarga duduk makan bersama. Pada waktu petang, kami bawa anak bersiar-siar di taman dan ke kedai buku untuk memupuk minat mereka terhadap budaya membaca.

"Setiap hari Ahad, saya khususkan untuk kelas pendidikan bagi anak-anak. Ia bukan saja meliputi bacaan sahaja malah melibatkan pelbagai aktiviti menarik," jelas Sheikh Muszaphar ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Siri kejayaan

Sepanjang hidupnya, Sheikh Muszaphar telah menggapai pelbagai kejayaan yang mengagumkan. Seperti insan lain, beliau juga memasang impian dan sasaran yang ingin dipenuhi.

Mungkin pencapaian beliau sebagai angkasawan pertama negara, bergelar doktor, menjadi penceramah dan memegang posisi sebagai ketua keluarga sudah memuaskan hati Sheikh Muszaphar dalam mengejar kejayaan duniawi.

"Apa yang saya harapkan kini adalah menjadi manusia yang baik dan suami yang bertanggungjawab. Saya juga mahu mengembalikan keagungan Islam dalam setiap ceramah yang saya sampaikan.

"Saya juga mahu melihat bidang sains di Malaysia ini lebih berkembang memandangkan semakin ramai anak-anak muda menunjukkan minat dalam lapangan ini.

"Namun, agak menghairankan apabila statistik mendedahkan hanya 20 peratus pelajar yang berminat meneroka bidang sains," luah Sheikh Muszaphar yang mencadangkan agar setiap ibu bapa perlu memperkenalkan sains kepada anak-anak mereka dari peringkat awal.

Memasuki usia 40-an, penampilan Sheikh Muszaphar masih boleh dibanggakan. Fizikal dan tata rias dijaga rapi. Sesekali, dia membetulkan rambutnya yang digel agar sentiasa kemas.

Saat disapa soal pemakaian dan penjagaan fizikal, beliau menyatakan bahawa perkara itu sangat penting. Beliau mengakui sukar baginya untuk menjaga makan tetapi beliau memastikan senaman dilakukan di gim sekurang-kurangnya satu jam setiap hari.

"Saya berjumpa dengan ramai orang setiap hari dan sangat penting berpenampilan kemas. Tambahan pula, usia yang kian meningkat menuntut saya untuk fokus dalam menjaga kesihatan," kata Sheikh Muszaphar.

KEMESRAAN dua beranak ini jelas menunjukkan keakraban mereka.


Beliau menambah, setiap kali keluar rumah, beliau menetapkan untuk memakai kasut. Hal yang sama turut diterapkan kepada Halina.

Kemeja atau baju T berkolar pula menjadi pilihan Sheikh Muszaphar. Seluar panjang merupakan item wajib kepadanya. Pada waktu santai, beliau selesa memakai jean. Namun, beliau tidak selesa bercelana pendek apabila keluar rumah.

"Saya tidak mempunyai jenama tertentu yang menjadi pilihan. Asalkan pakaian itu selesa dan membuatkan saya tampak kemas, ia sudah memadai," ungkapnya.

Selain itu, Sheikh Muszaphar juga memberitahu, beliau seorang individu yang positif dan jarang tertekan. Sekiranya tertekan, beliau memilih untuk bersenam di gim dan paling penting, isteri dan anak-anak di sisi yang penghiburnya.

Masjid Gaza

Dalam kesibukan mengembangkan kerjaya dan menguruskan keluarga, Sheikh Muszaphar masih sempat membangunkan projek amal untuk Gaza, Palestin.

Kerjasama beliau bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu bertujuan membina sebuah hospital kanak-kanak yang dianggarkan bernilai RM100 juta dan dijangka siap menjelang tahun 2015. Kini, misi bantuan itu turut meliputi pembinaan sebuah masjid.

Jubah kontemporari buat jejaka

Posted:

Jubah kontemporari buat jejaka

Jubah kontemporari buat jejaka

Oleh HAFIZ AHMAD

JUBAH berjalur besar membuatkan si pemakai kelihatan lebih menyerlah.


PERSALINAN lelaki kini tidak lagi terhad kepada pemakaian kemeja atau jean lusuh kerana terdapat variasi pilihan gaya maskulin yang mencorak penampilan harian.

Usah terperangkap dengan gaya serupa. Sekali-sekala beranikan diri memilih busana yang sedikit berlainan namun masih mengekalkan aura sang jejaka.

Jurubusana muda, Waridi Hamdan hadir dengan koleksi jubah istimewa buat lelaki yang dambakan sesuatu rasa baharu dalam almari busana mereka. Lari daripada stereotaip jubah konvensional, setiap rekaan ditampilkan dengan sentuhan dan idea kontemporari agar lebih kasual dan bersahaja.

Idea menzahirkan koleksi itu timbul kala Waridi tercari-cari jubah yang padan dengan kemahuan diri hingga tercetusnya koleksi yang dilatari percikan rona-rona lebih moden dan mengikut aliran fesyen semasa.

AURA maskulin terbentuk secara semula jadi dalam persalinan sopan ini.


"Koleksi jubah saya tidak setakat boleh dipakai ketika hari perayaan atau menghadiri majlis-majlis agama, malah tidak canggung ketika menyarungnya pada hari-hari biasa sama ada di pejabat atau acara keramaian," ujar pereka kelahiran Ipoh, Perak itu ketika ditemui di studio Utusan, baru-baru ini.

Keselesaan menjadi intipati utama buat si pemakai kala menggayakan busana jubah Waridi. Pilihan fabrik seperti kain kapas dan campuran kapas amat sesuai dengan cuaca tempatan malah terasa nyaman tatkala menyarungkannya.

Istimewanya jubah ini adalah menerusi pilihan warna-warna yang sedikit berani selain beberapa helaian yang menggunakan kain bercorak persegi dan menjalur bagi menampilkan kelainan.

"Koleksi pertama banyak menggunakan warna-warna asas seperti hitam dan putih dengan penumpuan kepada kain corak berkotak-kotak," ujarnya.

USAH gusar menyarungkan jubah moden ini ketika menghadiri acara kasual.


Rona-rona seperti biru, ungu dan merah keunguan yang terang menjadi pilihan untuk koleksi terbaharu. Bezanya, ia memberi penekanan pada kolar baju dan tangan yang menggunakan fabrik songket sebagai pelengkap gaya.

"Setakat ini, saya beroperasi menerusi laman sosial, Facebook dan mereka yang berminat boleh menghubungi saya di Facebook. Bagi setiap pembelian jubah tersebut, si pembeli akan mendermakan 10 peratus dariada harganya kepada badan kebajikan," akhiri Waridi.

11 keajaiban tomato

Posted:

11 keajaiban tomato

11 keajaiban tomato

AMALAN memakan tomato sejak usia muda memberi banyak kebaikan. - Gambar hiasan


LUPAKAN sejenak produk kecantikan yang anda gunakan dan kembali kepada cara klasik. Sesekali tidak salah bereksperimen dengan bahan semula jadi untuk tujuan kecantikan.

Kali ini, kami bawakan anda mengenali 11 kelebihan buah tomato yang boleh digunakan dalam rejim kecantikan harian anda.

1Gunakan jus tomato bagi mengecilkan liang pori-pori kulit wajah. Gabungkan dua hingga empat titis jus lemon bersama satu sudu jus tomato. Sapukan ia pada wajah dan biarkan selama 15 minit. Kemudian, bilas menggunakan air suam.

2 Lenyek tomato dan sapukannya pada keseluruhan wajah dengan rata. Biarkan ia selama satu jam sebelum dibilas. Akhiri proses tersebut dengan menggunakan pelembap. Jerawat akan dapat dikurangkan menerusi penggunaan yang berterusan. Tomato memiliki fungsi penyejuk bagi melicinkan kulit dan menyerap minyak berlebihan pada wajah.

3Potong separuh tomato dan sapukan ia pada bintik gelap. Bilas dan sapukan pelembap. Menyapu hirisan tomato pada bintik gelap merupakan antara penawar mujarab bagi menghilangkan bintik yang tidak dikehendaki itu.

4Ambil jus tomato dan kisarkan ia bersama jus timun. Selepas itu, celup segumpal kapas di dalam adunan jus tadi dan sapukan pada wajah setiap hari. Cara tersebut mampu mengawal penghasilan minyak pada wajah dan mengekang pertumbuhan jerawat.

5Campurkan dua sudu jus tomato bersama empat sudu susu mentega dan sapukannya pada kulit anda kemudian bilas selepas 30 minit. Cuba langkah ini di rumah bagi menyembuhkan kulit akibat selaran matahari. Difahamkan, likopena yang ditemui dalam tomato mampu melindungi kulit daripada sinaran ultraungu.

6 Sekiranya kulit anda kasar dan kusam, tomato dan topeng yogurt mampu menjadi penyelamat bagi masalah tersebut. Sapukan jus tomato yang dicampur dengan yogurt pada kulit dan bilas selepas 20 minit menggunakan air suam. Yogurt menjadikan kulit berseri secara sihat dan meningkatkan kandungan protein pada kulit manakala tomato meneutralkan permukaan kulit sambil menyejukkannya.

7Sapu jus tomato bersama madu pada wajah dan biarkan ia kering selama 15 minit sebelum dibilas. Penawar yang boleh dibuat di rumah itu sangat berkesan untuk mencerahkan kulit. Tomato kaya dengan vitamin A dan C yang dapat membantu mencerahkan kulit yang kusam.

8Makan tomato pada waktu pagi bagi menyingkirkan lemak pada badan yang tidak diingini. Anda juga boleh meminum jus tomato dua kali sehari bagi menurunkan berat badan. Minum jus tersebut 10 minit sebelum makan untuk mengurangkan selera. Ia sangat berkesan kerana ia menghentikan proses penapaian di dalam usus. Semasa proses penapaian, gula dan alkohol dihasilkan di dalam badan dan mendorong kenaikan berat badan.

9Lumurkan jus atau hirisan tomato pada rambut anda bagi meningkatkan nilai neutral pH pada rambut dan mengembalikan warna natural rambut. Tomato merupakan pelembap semula jadi yang memberikan kilauan natural pada rambut.

10Sapukan isi tomato pada kulit kepala yang mempunyai masalah kelemumur selama 30 minit dan kemudian bilas dengan syampu bagi merawat kelemumur tersebut.

11Campurkan jus tomato bersama avokado bagi menjadikan topeng yang sesuai untuk kulit pelbagai jenis. Sifat hidrasi dan antiseptik avokado bersama gabungan astringen tomato amat efektif untuk menyerikan kulit.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved