Rabu, 9 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pengalaman artis di sebalik tirai besi

Posted:

Pengalaman artis di sebalik tirai besi

Pengalaman artis di sebalik tirai besi

Setiap negara memiliki undang-undangnya sendiri. Apabila telah disabitkan kesalahan, tidak kira siapa pun individu tersebut, semua pasti tidak akan terlepas daripada genggaman undang-undang termasuklah beberapa artis tempatan yang juga pernah menjadi penghuni di sebalik tirai besi.

Walaupun sememangnya tiada siapa pun dalam kalangan mereka yang mahu menjadi penghuni bilik kurungan kecil tersebut, namun kerana kesalahan yang telah dilakukan, mereka harus akur dengan hukuman yang dijatuhkan.

Ikuti pengalaman beberapa orang artis tempatan yang pernah menjadi penghuni di sebalik tirai besi atas kesalahan yang disabit dan dijatuhkan hukuman mengikut undang-undang.

Mereka termasuklah vokalis kumpulan Iklim, Saleem; penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, penyanyi utama Spring, Ameng dan kes yang terbaharu, model dan pelakon Zarina Anjoulie.

1SALEEM IKLIM

Penyanyi legenda bersuara serak-serak basah, Saleem yang pada asalnya merupakan vokalis sensasi kumpulan Iklim pernah menggegarkan industri muzik tempatan pada era tahun 1990-an.

Dia kini masih lagi bergelar penyanyi tetapi secara solo.

Pemilik nama sebenar, A.M Salim Abdul Majeed suatu ketika pernah melalui detik gelap dalam hidupnya.

Oleh kerana terlalu ketagih dengan najis dadah, Saleem pernah beberapa kali menjadi penghuni di penjara dan pusat pemulihan.

Penyanyi ini juga mengakui kesilapannya memilih kawan pada masa lampau menyebabkan dia terjebak dalam kancah najis dadah.

Pada 12 Mac 2005, anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini didapati bersalah memiliki satu paket plastik yang mengandungi 0.06 gram campuran heroin dan monoacetlymorphine serta satu lagi paket plastik mengandungi 0.06 gram dadah yang serupa pada Julai 2004.

Saleem terpaksa menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 13 Disember 2004.

Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Menyedari kesilapannya dan ingin berubah, Saleem akui membiarkan dirinya dikawal oleh isteri untuk kebaikan dirinya sendiri.

Walaupun dilihat seperti dikongkong, Saleem kini bahagia bersama isteri, Juriah Bachok dan anak lelaki mereka, Mohd. Amirul Mukminin yang kini telah pun berusia 9 tahun.

"Dia merupakan satu-satunya insan yang datang membantu pada saat tiada siapa di sisi.

"Saya berani katakan begitu kerana sebab dialah saya menjadi manusia semula dan tidak terus terumbang-ambing sehingga orang boleh menganggap saya seumpama sampah," tegas Saleem tentang isterinya itu.

2 AMENG SPRING

Penyanyi terkenal dari kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, kini sedang menjalani hukuman di penjara.

Sejak tahun 2005, Ameng telah terbabit dengan kes dadah yang mana dia telah beberapa kali dijatuhi hukuman penjara.

Pada Oktober 2005, Ameng mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut, Terengganu atas tuduhan menagih dadah jenis methamphetamine di Kampung Batang Gergaji, Besut pada 3 September tahun tersebut.


AMENG ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor.


Pada bulan Disember tahun yang sama, Ameng atas kesalahan yang diakuinya, dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Besut, Terengganu setelah mengaku salah menagih dadah pada awal September 2005.

Sekali lagi Ameng ditahan dan dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas dia didapati bersalah terhadap tuduhan memasukkan ganja ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul, Kuala Lumpur.

Namun, terbaharu, pada 12 April 2011, Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 kali sebatan di Mahkamah Sesyen Melaka manakala isterinya, Sabariah Zakariah pula dibebaskan.

Hukuman sebatan bukanlah mudah untuk diterima. Ini kerana biar pun satu sebatan sahaja sudah memadai untuk membuatkan individu tersebut lemah.

Ameng turut mengakui perkara tersebut dengan mengatakan peritnya hukuman tersebut membuatkan dia insaf dan amat menyesal.

Sehubungan dengan itu, Ameng banyak terlibat dengan aktiviti kerohanian dan keagamaan semasa menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor.

Buktinya, kumpulan Voices of Prison yang diketuai olehnya, muncul johan Pertandingan Nasyid ke-6 Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2012 yang berlangsung di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Dia bersama empat lagi rakan banduan berjaya menewaskan 11 kumpulan lain menerusi lagu Insafi Diri.

3 RAJA AZMI

Penerbit filem paling kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Raja Azmi, sering menaikkan termometer kontroversi dengan filem-filem terbitannya yang dikatakan berunsur seks dan salah satunya sudah tentu … Dalam Botol. Namun, bukan itu kisah tentang dirinya yang ingin diceritakan.

Oleh kerana gagal menghadirkan diri di mahkamah seperti mana yang diminta iaitu dengan tidak tidak menghadiri prosiding mahkamah sebanyak tiga kali, Raja Azmi telah ditahan ketika dia pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Selangor untuk membuat satu laporan polis.

Dia didapati mempunyai waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tidak hadir perbicaraan pada 21 Julai 2010 bagi satu kes pertikaian komersial.

Dalam kes tersebut, Raja Azmi didakwa terlibat dengan satu kes tuntutan jual beli tanah beberapa tahun lalu.

Ekoran daripada itu, pada 19 Ogos tahun yang sama, Raja Azmi terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur sehingga keesokan harinya.

Namun hakikatnya, lokap dan penjara merupakan dua perkara berbeza yang mana lokap merupakan tahanan sementara manakala penjara pula, untuk individu yang telah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman.


SALEEM kini mengakui sudah insaf dan enggan lagi terbabit dengan najis dadah.


Walaupun hanya ditahan di lokap hanya satu malam, ia sudah cukup untuk membuatkan Raja Azmi serik.

Sementelah, kejadian yang menimpa dirinya itu berlaku pada bulan Ramadan yang mana semua umat Islam termasuk Raja Azmi sedang menjalani ibadah puasa.

Dia juga tidak segan untuk berkongsi kisah hitamnya itu dengan pihak media.

Raja Azmi malah meluahkan betapa dirinya telah mengalami trauma selepas tidur di dalam lokap yang gelap berlantaikan simen sejuk dan tiada sebarang alas.

"Ia suatu pengalaman yang amat menyedihkan," akuinya.

Dia lantas menegaskan selepas ini dirinya akan lebih berhati-hati dan tidak akan mengambil mudah terhadap undang-undang mahkamah lagi pada masa hadapan.

4 ZARINA ANJOULIE

Kes yang masih segar dan panas, iaitu membabitkan pelakon yang saban tahun pasti lekat dengan kontroversi - siapa lagi kalau bukan Zarina Anjoulie.

Mungkin pada awalnya, dia terlibat dengan kontroversi gambar bogelnya, namun terbaharu, dia masuk penjara untuk disiasat selepas dikaitkan dengan satu kes dadah.

Realitinya, ini bukan kali pertama Zarina Anjoulie Lavocah atau nama ringkasnya, Anju terlibat dengan siasatan berkaitan kes dadah.

Pada tahun 2010, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Anak Pontianak ini pernah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, Selangor.

Bagaimanapun, ujian air kencingnya menunjukkan dia negatif dan bebas daripada pengaruh dadah.

Setelah muncul dengan kontroversi lain khususnya percakaran dengan seorang lagi artis yang mirip wajahnya iaitu Lufya AF, dia sekali lagi ditangkap bersama teman lelakinya, Mohamad Fakhruzaim pada 30 Disember lalu atas dakwaan memiliki dua biji pil Eramin 5.

Anju mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin oleh ahli keluarga. Namun kegagalan ahli keluarganya untuk membayar jaminan Anju telah terpaksa dimasukkan ke Kompleks Penjara Kajang, Selangor.

Sehubungan dengan itu, pelakon ini telah direman selama tiga hari di lokap polis. Bagaimanapun, selepas tiga hari, Zarina dibebaskan dengan diikat jamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000.


KES Raja Azmi masuk lokap pernah menggemparkan negara pada tahun 2010.


Kes itu akan disebut semula 8 Februari nanti. Dakwaan ke atas Zarina dan rakannya dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Betul saya ditahan, kena dua malam dalam penjara dan lega sekarang dibebaskan. Maaf saya tak dapat berbual panjang, telefon saya kehabisan bateri," katanya dalam nada biasa.

Ini merupakan beberapa sahaja senarai artis yang pernah melalui pengalaman di dalam penjara mahupun lokap. Apa yang pasti, sesiapa pun individu tersebut, sebesar mana pun nama mereka, jika kesalahan yang dilakukan itu berat, pasti hukuman setimpal juga menanti mereka.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved