Sabtu, 5 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tak mati jantung kena peluru

Posted:

Tak mati jantung kena peluru

Tak mati jantung kena peluru

TANGGAL 3 Januari lalu, negara dikejutkan dengan berita pemergian seorang pahlawan yang terkenal dengan sifat keberaniannya mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), pada pukul 1.45 pagi, dua jam selepas beliau dilaporkan rebah di rumahnya di Sungai Apong, Kuching, Sarawak.

Anak jati Sarawak yang dilahirkan di Julau pada 2 Mac 1945 itu meninggalkan seorang isteri, Datin Brawang Chunggot, 55, dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia akibat kanser pada Januari 2011.

Mendiang berkesempatan meriwayatkan perjuangannya melalui beberapa wawancara dan pengkisahan perjuangannya, bagaimanapun filem yang bertajuk Kanang Anak Langkau belum sempat disiapkan semasa hayatnya.

Ditembak

Mendiang sebelum ini pernah disangka meninggal dunia apabila tidak sedarkan diri selama seminggu dan terlantar di hospital selama 14 bulan akibat terkena tembakan dalam pertempuran dengan komunis di hutan Tanah Hitam, Perak pada 8 Februari 1980.

Dalam kejadian itu, Kanang ditembak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang, selain usus perut terburai.

Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

Sebagai renjer yang terkenal dengan moto 'Agi idup agi ngelaban' (Berjuang selagi masih hidup), Kanang diingati sebagai perwira negara yang unggul dan tidak takut mati demi mempertahankan negara daripada ancaman komunis, selain terbabit dalam konfrontasi dan kekacauan di Brunei ketika berkhidmat dengan Tentera British.


KANANG menyertai bidang ketenteraan secara kebetulan ketika dipelawa oleh seorang tentera British.


Mengimbas sedikit latar belakang wira negara ini, Kanang merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik. Ketika kecil, ibu bapanya berpisah dan beliau dipelihara oleh datuk dan neneknya.

Kanang yang berasal daripada komuniti Dayak (Iban) itu bersekolah hingga darjah tiga di Sekolah Local Authority sebelum melakukan pelbagai kerja seperti menjadi tukang masak, penoreh getah dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

Beliau menjadi tentera secara kebetulan setelah dipelawa seorang anggota tentera British ketika menghantar 20 orang pemuda yang hendak menghadiri temu duga bagi menyertai Iban Tracker di sebuah sekolah berhampiran kampungnya.

Kanang kemudian diserap ke dalam Renjer Malaysia setahun selepas itu apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Pada awal 1962, beliau menyertai Jungle Warfare School di Ulu Tiram, Johor selama tiga bulan sebelum berkhidmat dengan unit 42nd Royal Marine Commandos yang berpangkalan di Johor.

Pada 1963, apabila Presiden Sukarno (ketika itu) melancarkan Konfrontasi Ganyang Malaysia, beliau antara anggota pasukan pertama dihantar ke Kota Tinggi, Johor untuk menghalang kemasukan tentera Indonesia.

Beliau juga pernah bertugas dengan unit 1st Royal New Zealand Army di Sarawak ketika zaman konfrontasi, kemudian berkhidmat dengan Sarawak Rangers yang akhirnya menjadi kumpulan trackers profesional pertama dalam 1st Ranger Regiment ATM.

Pada 19 Februari 1980, Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer diketuai Kapten Johnson Anak Meling dibantu oleh Kanang yang ketika itu berpangkat Sarjan, ditugaskan ke kawasan tanah hitam di Perak untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) beberapa hari sebelumnya.

Pada mula operasi itu, Kanang berjaya mengesan jerangkap samar, tetapi digempur musuh sehingga cedera parah di perut dan belakang. Namun dengan semangat waja demi mempertahankan negara, beliau tidak menyerah kalah, sebaliknya terus bersabung nyawa melawan musuh.

Mengenang jasanya membunuh musuh tanpa menghiraukan kecederaannya, Kanang dianugerah Pingat SP pada 3 Jun 1981 manakala pingat PGB pada 7 Jun 1987.


GAMBAR kenangan Kanang (depan, duduk kiri) semasa bertugas di Jambatan Nyulong Sarikei, Sarawak.


Kanang meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda dan pada 1 Mei 1981, beliau dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Kuatermaster Sarjan.

Pada 1 Oktober 1980, dia dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985. Kanang bersara pada 30 Mei 1986 selepas berkhidmat selama 21 tahun.

Bagi mengisi masa terluang, beliau aktif memberikan ceramah kenegaraan di seluruh negara selain dilantik sebagai Temenggong Bahagian Sri Aman pada 2009.

Antara sumbangan utama beliau selepas bersara ialah menjayakan Ops Mai Pulai (Ops Bawa Balik).

Melalui operasi berkenaan, rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 dibawa balik ke Sarawak untuk dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching pada 27 Julai 2011.

Wirawan contoh

Pencetus idea berkenaan, Leftenan Kolonel (B) Robert Rizal Abdullah berkata, Kanang memainkan peranan penting dalam usaha itu malah menganggotai jawatankuasanya sejak 2009.

Katanya, Kanang merupakan seorang yang komited walaupun operasi berkenaan pada mulanya hampir menemui kebuntuan sebelum penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak.

"Dia seorang yang amat bertanggungjawab dan kita berikannya peranan untuk melaksanakan tugas-tugas khas. Tanpa Kanang, mungkin operasi itu tidak akan berjaya.

"Kanang juga mengetuai operasi penggalian kubur-kubur pejuang terbabit di Kuala Lumpur dan Taiping, Perak malah menyempurnakan upacara khas 'Miring Nyambut Bujang Berani Turun Sembilan'," ujarnya.

Kanang disifatkan sebagai seorang wirawan contoh yang mengukir nama dengan darah serta air mata.

Menurut penulis buku biografi Kanang: Cerita Seorang Pahlawan, Mejar (B) Dr. Maznan Noordin, tidak akan ada manusia seperti Kanang selepas ini kecuali jika berlaku lagi peperangan di negara ini.

Jelas beliau, Kanang adalah ikon patriotisme yang akan abadi di hati rakyat buat selamanya kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan maruah dan kedaulatan negara.

"Mendiang dan anggota tentera lain begitu berani dan bersemangat apabila berdepan dengan musuh, ini digambarkan dalam Operasi Pukat yang mana Kanang berjuang habis-habisan menentang pengganas komunis.

"Mendiang telah cedera parah ketika bertempur dengan pengganas komunis, namun Kanang meminta rakan-rakan dalam pasukannya meneruskan perjuangan menentang kumpulan pengganas berkenaan.


MAYAT Kanang yang meninggal dunia akibat sakit jantung 3 Januari lalu diberi penghormatan negara.


"Selepas bersara, Kanang meneruskan kehidupan yang sederhana sebagai petani dan isterinya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga. Walaupun kehidupannya agak perit selepas bersara, mendiang bersyukur kerana semua pihak menghargai setiap pengorbanan yang telah dicurahkannya kepada negara," ujarnya.

Kraf kapas Azzah

Posted:

Kraf kapas Azzah

Kraf kapas Azzah

Oleh KHAIRIYAH HANAFI


CORAK anak patung dan kepelbagaian warna mampu merangsang otak bayi.


PENGGUNAAN fabrik kapas begitu popular dalam industri tekstil negara. Selain daripada murah dan selesa dipakai, ia senang dijaga dan tahan lama.

Itulah sebabnya fabrik kapas seringkali menjadi pilihan umum sebagai pakaian harian. Tetapi pernahkah anda terfikir bahawa kain kapas juga mampu dijadikan barangan kraf yang unik dan comel.

Kepelbagaian warna dan corak yang terdapat pada fabrik tersebut telah mencuri perhatian Nur Azzah Abd. Kadir, 28, untuk mempelopori industri kraf tangan berasaskan fabrik kapas.

Lain daripada yang lain, ketika gelombang kain felt hangat diperkatakan, Azzah mengeksperimentasikan penggunaan kain kapas untuk dijadikan barangan kraf.

Menurutnya, idea kreatif tersebut diperolehnya sewaktu berkunjung ke luar negara beberapa tahun yang lalu.

"Saya suka melancong dan seperti biasa saya akan membeli ole-ole untuk diri sendiri dan keluarga.

"Saya lihat hampir kesemua cenderamata yang dijual adalah berasaskan kayu, plastik, kaca dan aluminium tetapi jarang saya lihat barangan yang dihasilkan daripada kain kapas," katanya.

Corak

Pelbagai warna dan corak, daripada motif abstrak, polka dot, flora dan fauna sehinggalah kartun, kesemuanya mampu dibuat dengan mudah pada fabrik kapas.

Keceriaan warna dan corak-corak yang unik itu bukan sahaja mampu menarik perhatian kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa.

"Fabrik kapas ini mudah dijaga sebab kalau kotor, kita boleh cuci dan guna pakai semula.

"Selain itu, fabrik ini juga mempunyai nilai eksklusif yang sangat tinggi kerana edarannya terhad dan tidak dijual secara borong seperti barangan lain," katanya.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kain kapas dijual di pasaran, Azzah memilih untuk menggunakan fabrik kapas dari Amerika Syarikat yang dibelinya menerusi sebuah laman web demi menjaga kualiti kraf tangan yang dihasilkan.

Bermula dengan beg sandang, perhiasan rambut, dompet kecil dan bekas alat tulis yang menggunakan fabrik kapas semata-mata, Azzah kini mencipta permainan bayi yang mampu merangsang pertumbuhan otak dan mengekalkan aspek-aspek keselamatan.

"Seperti yang kita tahu kulit bayi sangat sensitif terutamanya jika terdedah terlalu lama kepada bahan-bahan kimia.

"Jadi saya terfikir kenapa tidak mereka cipta satu barangan kraf khas untuk kegunaan bayi," katanya.

Menurutnya lagi, kebanyakan permainan bayi yang ada di pasaran tidak sesuai untuk bayi yang berusia 10 bulan ke bawah.

"Untuk barangan bayi, saya gabungkan penggunaan kain kapas dan sejenis kain berbulu yang dikenali sebagai kain winky.

"Paling unik, permainan ini mampu menghasilkan bunyi apabila digenggam oleh bayi," katanya.

Tampak seperti kain biasa tetapi barangan yang dipanggil baby toys juga berupaya merangsang deria bayi.

Kombinasi warna dan corak daripada fabrik kapas tersebut dikatakan bagus untuk penglihatan bayi.

"Untuk deria pendengaran pula, saya meletakkan sejenis plastik di dalam kain tersebut supaya ia boleh berbunyi apabila digenggam," kata Azzah.

Tambahnya, gabungan fabrik kapas yang sedikit kasar dan kelembutan pada fabrik winky yang diaplikasikannya berupaya merangsang deria sentuhan awal bayi.

Yanti kerja dalam bilik sejuk

Posted:

Yanti kerja dalam bilik sejuk

Yanti kerja dalam bilik sejuk

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


KEK aiskrim Heaven tahan selama tiga bulan jika disimpan di bawah suhu -25 darjah Celcius.


PENULIS seakan-akan tidak percaya melihat wanita kecil molek yang bernama Yanti Radiman, 37, ini sebenarnya ibu kepada dua orang anak kerana penampilannya tidak menampakkan usianya yang sebenar.

Ketua Pegawai Operasi Heaven Premium Ice Cream Cake (HPICC) yang sinonim dipanggil Yanti ini manis berbaju kurung berwarna merah jambu. Rambutnya yang lurus itu dibiarkan lepas begitu sahaja tanpa mengenakan aksesori yang sarat.

Berulang kali penulis cuba mendapatkan petua bagaimana dia mengekalkan kecantikan dan awet muda tetapi dia menegaskan tiada petua khusus yang diamalkannya.

"Saya seperti orang lain yang suka makan apa sahaja. Saya tidak mengamalkan sebarang petua awet muda. Cuma pada saya, jika hati kita gembira sudah pasti kebahagiaan itu terpancar pada wajah.

"Cuma saya pernah kehilangan berat badan disebabkan tekanan untuk menghasilkan kek aiskrim dengan kesemua bahannya dibuat sendiri dan melalui peringkat demi peringkat. Ia perlu cepat dan agak rumit," jelasnya yang mempunyai tiga orang adik-beradik.

Ketam nipah

Berkongsi cerita tentang makanan kegemarannya, Yanti memberitahu, dia seorang yang tidak cerewet dalam bab makan. Dia amat menggemari masakan ketam nipah atau nama saintifiknya, Scylla Serrata.

"Saya pertama kali memakan ketam nipah yang digoreng bersama mentega di Pulau Pangkor, Perak. Saya tidak boleh menggambarkan rasanya dengan perkataan kerana ia sangat berbeza daripada makanan laut lain. Isinya padat, lazat dan manis.

"Jika diperhatikan, bentuknya seperti ketam batu tetapi bezanya ia boleh dimakan. Lazimnya ia menjadi kegilaan masyarakat Cina tetapi ketam jenis ini juga agak sukar diperoleh di pasar awam. Ia boleh ditemui di sesetengah kawasan sahaja," ujarnya.

Selain menggemari hidangan ketam nipah, Yanti juga sangat sinonim dengan masakan Cina apatah lagi suaminya, Muhammad Norman Abdullah, 39, berdarah campuran Cina dan India.

"Masakan sup timun laut hasil air tangan ibu mertua menjadi makanan kegemaran saya kerana saya pasti rasa bertenaga selepas menghirupnya. Tekanan akibat kerja juga bagaikan hilang apabila menjamahnya," tuturnya yang mempunyai tujuh orang pekerja.

Syarikat Melayu

Bercerita lanjut mengenai HPICC, Yanti memberitahu, idea sebenar penubuhan syarikat itu datang daripada suaminya, Muhammad Norman yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang sejuk beku.

"Sudah hampir dua tahun setengah kami membuka syarikat ini. Pada permulaan, kami hanya mengedarkan kek aiskrim di hotel-hotel sebelum menjualnya di pasaran terbuka berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Melihat kepada nama syarikat yang dipilih, ramai yang beranggapan ia dimiliki oleh orang bukan Melayu tetapi selepas mereka datang sendiri ke kilang kami yang terletak di Puchong, barulah mereka mengetahui ia sebenarnya perniagaan Bumiputera," ujarnya.

Menurut Yanti, kek aiskrim mampu bertahan kira-kira tiga bulan jika disimpan di bawah suhu -25 darjah Celcius.

Bercerita lanjut, Yanti memberitahu, pengalaman memasuki bilik sejuk yang merupakan salah satu proses membuat kek aiskrim itu menjadi pengalaman berharga yang tidak boleh diperoleh di mana-mana.

"Bayangkan keadaan apabila berada di bawah suhu -25 darjah Celcius selama 15 hingga 20 minit dengan hanya memakai jaket sedangkan sebelum ini, saya tidak pernah masuk ke dalam bilik seperti itu.

"Ketika pertama kali memasuki bilik sejuk itu, saya boleh bertahan selama 10 minit sahaja di dalamnya.

"Walaupun sekejap, ia dirasakan lama. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu," cerita Yanti sambil memberitahu, masa sehingga lapan jam diperlukan bagi proses pembekuan kek aiskrim itu.

Selain kek, Yanti menghasilkan kek cawan aiskrim. Dia menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangan HPICC di seluruh Malaysia.

Tambah Yanti, pengalaman tidak tidur selama tiga hari disebabkan membuat penyelidikan dan pembangunan produknya benar-benar dirasakan berbaloi apabila menerima maklum balas positif daripada pelanggan sekali gus menaikkan semangatnya untuk terus mencipta pelbagai resipi baharu.

"Setiap pekerja akan diajar untuk membuat sukatan dan menggunakan teknik yang betul membuat kek aiskrim.

"Saya sendiri akan masuk ke dapur dan menolong mereka menyiapkan produk selain memantau segala proses yang melibatkan produk keluaran kami ini," beritahu Yanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved