Rabu, 30 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Menggalas imej syarikat

Posted:

Menggalas imej syarikat

Menggalas imej syarikat

Oleh HARYATI KARIM

TUGAS membaca berita kelihatan mudah dan cukup glamor. Hanya bersiaran selama satu jam, seluruh Malaysia pasti mengenali wajah mereka.

Baru-baru ini, pihak TV3 telah mengadakan majlis minum petang bersama kesemua pembaca berita TV3. Kosmo! telah menggabungkan empat orang pembaca berita, Kamaruddin Mape, Norliza Md. Zain, Hazlin Hussain dan Helmi Yusof.

Mereka berempat sempat berkongsi cabaran yang diharungi di sebalik tugasan yang kelihatan glamor serta menjadi idaman ramai orang itu.

Pengalaman berharga Kamaruddin

Melihat wajahnya pasti ramai yang mengenalinya menerusi Buletin Utama TV3 yang bersiaran setiap pukul 8 malam.

Kamaruddin Mape, 43, bukan wajah yang asing dalam dunia penyiaran.

Sudah bekerja dengan TV3 selama 17 tahun dan bertugas di hadapan kaca televisyen sebagai pembaca bermula tahun 1997, pengalamannya boleh dijadikan kamus buat mereka yang ingin menjadi pembaca berita.

Katanya yang kini berjawatan sebagai pengarang berita dan pembaca berita, semuanya bermula apabila beliau menjalani latihan praktikal di TV3 pada tahun 1994.

"Selepas saya belajar di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara/UiTM), saya menjalani latihan praktikal di TV3 dan terus bekerja sebagai wartawan penyiaran.

"Pada waktu itu tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi pembaca berita. Tidak sangka pula sampai ke hari ini saya kekal bertahan depan TV (ketawa)," tuturnya.

Bercerita tentang pengalamannya, jelas Kamaruddin, apa sahaja kesalahan yang berlaku ketika siaran langsung akan terletak pada bahunya.

"Contohnya visual tidak keluar, memang itu kesalahan teknikal tetapi muka saya yang orang lihat di TV. Secara tidak langsung kesalahan itu seolah-olah terletak pada bahu saya dan harus pandai untuk terus menghabiskan berita itu," luahnya.

Antara tugasan yang tidak dapat dilupakan oleh bapa kepada lima orang anak ini adalah tugasannya ke Iraq selama 40 hari pada tahun 2003.

"Kumpulan saya merupakan media Malaysia pertama yang masuk ke Iraq ketika perang Iraq. Pengalamannya cukup berharga kerana nyawa saya dan rakan-rakan lain menjadi taruhan.

"Melihat sendiri kesengsaraan rakyat Iraq ketika itu amat menyedarkan saya betapa bertuahnya saya menjadi rakyat Malaysia," ujarnya yang banyak menonton program berita antarabangsa sebagai bahan rujukan.

Lucu disebalik serius

Pembaca berita yang juga boleh dianggap senior di TV3, Norliza Md. Zain, 41, wajahnya juga kerap kelihatan menerusi Buletin Utama TV3.

Selepas bertugas selama 13 tahun di TV3 iaitu 11 tahun sebagai pembaca berita, kini Norliza memegang jawatan selaku penerbit berita selain meneruskan tugasnya membaca berita.

Sebelum bersama TV3, ibu kepada empat orang anak ini terlebih dahulu bekerja dengan stesen TV Metrovision. Bagaimanapun, hayat usia stesen tersebut tidak panjang menyebabkan Norliza berhijrah ke TV3 pada tahun 2000 sehingga hari ini.

"Kalau ikutkan cita-cita sebenar, saya ingin menjadi seorang penulis novel kerana suka menulis. Namun, rezeki saya nampaknya lebih ke arah bidang penyiaran," katanya yang merupakan graduan UiTM dalam jurusan Komunikasi Massa.

Disoal mengenai pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan ketika bertugas, bibirnya mula mengukirkan senyuman menandakan kelucuan.

"Kejadian berlaku ketika saya mula-mula menjadi pembaca berita pada tahun 2001. Pada waktu itu saya sedang membaca berita terkini.

"Ketika sedang membaca berita, kerusi yang saya duduk itu patah. Terpaksalah saya buat-buat duduk kerana ketika itu sedang bersiaran secara langsung, sedangkan pada waktu itu sudah tidak ada kerusi.

"Disebabkan terpaksa membengkokkan lutut dalam masa yang agak lama, kaki saya berasa sangat sakit dan tangan saya menggigil menahan tangan di atas meja agar saya tidak jatuh.

"Nasib baik ada visual keluar, saya cepat-cepat tarik kerusi yang patah itu. Walaupun tidak stabil, sekurang-kurangnya saya tidak perlu menahan dengan mengunakan kaki," katanya sambil menunjukkan demonstrasi keadaannya ketika kejadian.

Tambahnya, sejak kejadian itu, kerusi beroda tidak lagi digunakan di set berita di TV3 kerana bimbang kejadian yang sama berulang.

Hazlin ingin cipta identiti sendiri

Sekali pandang wajah wanita berambut pendek ini seakan-akan Anne Raj tetapi melihat gaya penyampaiannya sebelum ini menerusi program 999, ramai pula membandingkannya dengan Zakiah Anas.


BAHARU dan lama. (Dari kiri) Hazlin, Norliza, Kamaruddin dan Helmi merupakan antara pembaca berita tetap Buletin Utama TV3.


Enggan dibayangi orang lain, Hazlin Hussain, 29, yang merupakan peserta program Gadis Melayu musim kedua, kini berazam untuk membina identitinya sendiri.

"Mula-mula saya menjadi hos 999, orang samakan saya dengan Zakiah Anas. Jadi, bila beralih ke bahagian berita saya terus potong rambut pendek.

"Apabila saya potong rambut pendek untuk perubahan imej dan keselesaan diri, orang samakan pula saya dengan Anne Raj. Bagaimanapun, cara saya membaca berita agak berbeza dengan orang lain kerana kedengaran agak tegas.

"Pada mulanya, ada yang tidak suka dengan cara saya baca berita tetapi lama-kelamaan orang dapat menerima cara saya kerana saya tidak mahu lagi disamakan dengan orang lain," tuturnya yang baru bertugas sebagai pembaca berita selama tiga bulan.

Nampaknya rezeki dalam bidang penyiaran lebih berpihak kepadanya. Hazlin yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru sebelum ini telah menimba pengalaman selama tiga tahun bersama program 999.

"Saya teringin sangat jadi guru tetapi tidak pernah dapat. Sebaliknya, kerjaya saya dalam bidang penyiaran bergerak dengan pantas.

"Apa salahnya mencuba sesuatu yang baharu dan saya semakin seronok dengan kerjaya saya sekarang ini," ujar graduan Perbankan dari Universiti Utara Malaysia itu.

Helmi ke Gaza

Pembaca berita termuda di TV3, Helmi Yusof, 26, kelibatnya sebelum ini pernah kelihatan dalm program 999 sebagai wartawan penyiaran.

Kemudian, graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini beralih sebagai wartawan penyiaran untuk program Malaysia Hari Ini (MHI) sebelum menjadi pengacara bersama MHI bergandingan dengan Ally Iskandar, Fedtri Yahya, Nurul Syuhada Nurul Ain, M. Zul, Zahan Rashid, Zaim Helmi dan Fariha On.

Selain itu, Helmi juga merupakan pembaca berita untuk Buletin Pagi dan Buletin 1:30.

"Saya bermula dengan menjalani latihan praktikal di bilik berita pada tahun 2008. Alhamdulillah, sehingga hari ini minat saya untuk menyebarkan informasi kepada orang ramai tidak pernah padam," katanya.

Jelasnya, niatnya ketika mula-mula menceburi bidang penyiaran adalah untuk membantu orang lain dan niatnya itu tercapai selepas beliau diberi peluang untuk membuat liputan misi kemanusiaan Gaza Aman Palestin anjuran Aman Palestin pada 6 sehingga 13 Disember tahun lalu.

"Bagi saya, pengalaman membuat liputan di Gaza terlalu berharga. Saya bersyukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki di sana dan melihat sendiri keadaan mereka," tuturnya.

Meskipun masih muda, jelas Helmi, tugas sebagai wartawan, pengacara dan pembaca berita memerlukannya sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai isu semasa serta berkorban masa demi kerjaya.

"Untuk pembaca berita, segala teks telah siap ditulis dan tugas saya adalah untuk menyampaikan berita itu dengan baik. Agak berbeza menjadi pengacara MHI kerana saya perlu bercakap secara spontan berkenaan pelbagai isu.

"Disebabkan itu, saya banyak membaca untuk menambah ilmu pengetahuan. Selain itu, cabaran utama kerjaya dalam bidang penyiaran adalah jadual kerja tidak tentu masa.

"Saya perlu banyak berkorban masa untuk kerjaya. Tanyalah mana-mana wartawan atau mereka yang bekerja dalam bidang media pasti akan bercakap hal yang sama," ujarnya yang terpilih sebagai pembaca berita menerusi uji bakat yang dijalankan TV3.

Menjadi seorang pembaca berita bukan semata-mata glamor sebaliknya seseorang itu perlu berdisiplin, komited terhadap tugas dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved