Selasa, 29 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

Posted:

Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

Keinsafan pesakit kepuasan pekerja

HAFIZ FARHAN menyuapkan makanan kepada seorang penghuni yang sudah hilang upaya.


TUGAS untuk mengurus dan menjaga pesakit HIV (Human Immunodeficiency Virus) mungkin membawa konotasi negatif bagi sesetengah pihak, namun tidak buat Mohamad Hafiz Aizad Mohd. Khairom, yang sanggup menghulur bakti kepada mereka.

Pada mulanya, Hafiz sekadar mengikut rakan yang bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah dengan niat untuk membantu. Lama-kelamaan dia seronok melakukan tugas tersebut kerana dapat menolong insan yang memerlukan.

Akhirnya, dia terus melahirkan hasrat untuk berkhidmat secara tetap di rumah perlindungan tersebut dan kini sudah setahun Hafiz bergelar kakitangan di sana.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, ketika minggu pertama bekerja, hatinya asyik memikirkan tentang risiko jangkitan virus HIV yang dihidapi pesakit. Justeru, dia mengakui kebimbangan terhadap perkara itu menjejaskan sedikit tumpuan ketika bekerja.

"Untuk menyedapkan hati, saya mengambil inisiatif membuat penyelidikan di internet. Selain itu, saya juga rajin bertanya pada doktor dan jururawat serta mereka yang pernah terlibat dalam penjagaan pesakit HIV.

"Hasilnya, stigma buruk saya terhadap jangkitan virus HIV terus hilang. Cuma, pada awalnya keluarga tidak memberi galakan untuk bekerja di sini kerana risau dengan keselamatan diri. Selepas diterangkan secara terperinci, mereka dapat menerimanya namun meminta saya lebih berhati-hati dengan tugas yang dilakukan," ujar Hafiz yang sebelum ini pernah bekerja dalam bidang katering dan pertanian fertigasi.

Antara tanggungjawab Hafiz termasuklah memandikan pesakit yang uzur, membersihkan luka-luka dan membawa pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengikut tarikh temujanji.

Hilang semangat

Tambahnya, berdepan dengan pesakit yang sudah hilang semangat untuk hidup merupakan antara cabaran besar yang dihadapi. Ini kerana, mereka seolah-olah enggan meneruskan kehidupan dan berputus asa dengan nasib diri.

"Apabila keadaan ini berlaku, kebanyakan pesakit akan bersikap sambil lewa terhadap kesihatan diri seperti tidak mahu makan ubat, enggan mengikuti program motivasi yang diadakan dan bertindak mengasingkan diri.

"Jadi, kami perlu mencari jalan supaya mereka berfikiran positif meskipun sudah dijangkiti virus berbahaya itu termasuk menggunakan pendekatan psikologi," terang Hafiz yang berasal dari Raub, Pahang.


HAFIZ turut membantu memandikan penghuni yang sudah uzur dan berkerusi roda.


Perkara itu diakui oleh Rohaya Mad Dan, 53, yang sudah tiga tahun bekerja di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah. Katanya, pelbagai kerenah pesakit boleh dilihat terutama mereka yang sudah hilang arah hidup.

"Lantaran itu, mereka perlu dilayan baik dan dipujuk seperti anak atau saudara sendiri. Memang adakalanya perangai pesakit HIV ini boleh membuatkan kita geram, tetapi hakikatnya apabila berpeluang menjaga mereka ia mendatangkan keinsafan dalam diri.

"Ia juga membentuk kita agar sentiasa bermuhasabah untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara," tutur Rohaya yang sering menyertai badan bukan kerajaan (NGO) dalam kerja-kerja kebajikan seperti Rumah Perlindungan Wanita, Baitul Fiqh.

Bersara awal pada usia 30-an ketika bertugas di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Rohaya boleh dijadikan contoh buat ramai wanita.

Kesanggupan menguruskan kehidupan pesakit HIV di rumah tersebut tidak harus dipandang remeh. Sebaliknya, wanita itu sudah dianggap seperti ibu oleh kebanyakan pesakit muda yang ditempatkan di rumah berkenaan.

Jelas Rohaya, setiap hari dia akan membuat air, menyediakan sarapan, mengemas katil dan peralatan serta menyiapkan dos pengambilan ubat untuk pesakit HIV.

"Sebelum ini, saya memang tiada ilmu langsung tentang HIV, malah saya juga menganggap pesakit HIV sebagai berbahaya untuk didekati kerana takut berjangkit. Namun, apabila mengikuti kursus di hospital tentang kaedah penjagaan pesakit secara khusus, barulah saya celik mengenainya," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Menyelusuri sejarah penubuhannya, Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah mula beroperasi pada bulan Mac 2009 di Puchong. Ia diasaskan oleh pendakwah muda, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin dalam usaha menyelamatkan pesakit HIV Muslim yang ditempatkan di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Pada awalnya, rumah ini hanya menjaga lapan hingga 10 pesakit namun jumlahnya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Hingga kini sepanjang tiga tahun beroperasi, lebih 150 pesakit HIV telah mendapat perlindungan di Darul Ukhwah.

Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah bernaung di bawah Yayasan Al-Ijabah, sebuah badan yang memberi tumpuan terhadap aktiviti kebajikan dalam masyarakat terutama anak-anak yatim.

Bagi Hafiz Farhan Mohd. Nor Izam, 18, yang baru menyertai keluarga Darul Ukhwah awal Januari lalu, niatnya adalah untuk mencari pengalaman di samping berbakti kepada mereka.


SETIAP hari Rohaya perlu memastikan pesakit HIV mengambil ubat mengikut waktu yang ditetapkan.


"Sebelum ini saya sering mengikuti kuliah Ustaz Amin, jadi saya mahu menyelami kehidupan pesakit HIV dari dekat. Diharap dengan cara ini, ia mampu memberi kegembiraan kepada penghuni kerana masih ada insan yang sanggup membantu di saat mereka disisihkan masyarakat," ungkap Hafiz Farhan penuh makna.

Dalam pada itu, sebaik selesai membentangkan sejadah, Ruslizam Md. Harun terus mengumandangkan azan menandakan masuknya waktu solat fardu Asar. Gemersik suara lelaki berusia 41 tahun itu pantas mengusik tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Alunan suara yang mendayu-dayu itu ternyata membangkitkan rasa insaf dalam diri sekali gus hampir terlupa bahawa dia merupakan salah seorang pesakit HIV.

Di satu sudut lain, kelihatan beberapa pesakit yang mendiami Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah telah bersedia untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Masing-masing lengkap memakai baju Melayu, berkain sarung dan kopiah di kepala. Namun, ada juga yang sekadar menyarung baju pagoda.

Ujian Allah

Usai mengerjakan solat, segelintir daripada mereka meneruskan aktiviti membaca al-Quran atau buku-buku bercorak keagamaan yang memenuhi rak di dalam rumah tersebut.

Situasi tenang dan mendamaikan itu ternyata memberi satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata bagi Azman Khalid, 24, salah seorang kakitangan merangkap imam di rumah perlindungan tersebut.

Menurut Azman yang mula bekerja di Darul Ukhwah sejak Mac 2012, sewaktu kali pertama melihat penghuni rumah tersebut, perkara yang difikirkan ialah takut kenikmatan yang dimilikinya akan ditarik oleh Allah.

"Perasaan itulah yang memberi kekuatan kepada saya untuk membantu mereka yang diuji Allah dengan dugaan sedemikian. Bagi saya, pesakit HIV juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

"Sehubungan itu, dengan menjaga kebajikan mereka di rumah ini mungkin dapat membawa mereka kembali bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah," luah Azman yang sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik semata-mata untuk menguruskan pesakit HIV di Darul Ukhwah.

Tambah Azman, selain menjadi imam, dia turut mengajar pesakit mengaji mengikut kepandaian masing-masing. Apa yang membuatkan dia terharu adalah kesungguhan pesakit yang buta al-Quran. Ada yang sanggup belajar membaca Iqra' seperti anak-anak kecil.

"Apabila melihat mereka benar-benar mahu mendalami agama yang selama ini ditinggalkan, hati terasa sebak. Mudah-mudahan Allah mengampuni segala dosa dan taubat mereka diterima," tutur Azman.

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama

Posted:

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama

Nekad Ustaz Amin bantu saudara seagama


USAHA murni Muhammad dalam menyelamatkan akidah pesakit HIV yang berlindung di gereja perlu dicontohi masyarakat yang sering meminggirkan golongan ini.


PENUBUHAN Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah terbina hasil daripada niat murni seorang pendakwah muda untuk menyelamatkan akidah saudara seagama yang disisihkan oleh masyarakat.

Semuanya bermula apabila Muhammad Abdullah, 36, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin diundang untuk memberi ceramah agama kepada kira-kira 30 pesakit HIV beragama Islam yang menumpang teduh di sebuah gereja di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Merenung sayu setiap wajah yang berada di hadapannya, Muhammad mengakui lidahnya kelu kerana sebak memikirkan nasib mereka.

Menurut Muhammad, dalam tempoh dua minit bercakap beliau merasakan seperti 20 jam. Sebagai pendakwah yang mengajak manusia ke arah kebaikan, saya rasa gagal kerana membiarkan golongan tersebut dalam keadaan sedemikian rupa.

"Bayangkan mereka yang berada dalam kesakitan, apabila pandang ke depan nampak Jesus, toleh ke kiri nampak salib, pusing ke kanan, nampak Virgin Mary. Kesimpulannya, semua yang dilihat menjauhkan mereka daripada mengingati Allah.

"Dari situ saya bertekad untuk mengeluarkan pesakit HIV beragama Islam yang berlindung di sana. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi termasuk diancam bunuh, saya tetap percaya dengan bantuan Allah," terang Muhammad mengenai sejarah awal penubuhan rumah perlindungan tersebut.


KOMPLEKS Yayasan Ijabah yang menempatkan Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah yang terletak di Puchong, Selangor masih memerlukan dana untuk disiapkan.


Menurut Muhammad, pesakit-pesakit HIV termasuk dalam golongan riqob iaitu hamba yang perlu dibantu. Malah, bersandarkan pada hadis Nabi SAW iaitu: 'Barang siapa bertindak membebaskan seorang hamba, maka Allah memberi jaminan akan membebaskan seluruh sendi-sendinya daripada api neraka', ia memberi kekuatan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab itu.

Kini, selepas hampir empat tahun beroperasi, Muhammad bersyukur kerana kebanyakan pesakit yang menghuni rumah tersebut menunjukkan perubahan yang lebih baik. Selain itu, daripada 150 pesakit yang dijaga lebih kurang 40 orang telah meninggal dunia.

"Alhamdulillah, rata-rata meninggal dunia dalam keadaan khusnul khatimah. Itu sangka baik saya kepada Allah kerana ramai yang meninggal pada malam dan hari Jumaat. Di samping itu, segala hal berkaitan pengurusan jenazah berlangsung dengan sempurna," jelasnya.

Rahmat Allah

Menurut Mohammad, wajah jenazah berseri-seri sewaktu dikafankan dan ada juga yang meninggal dalam keadaan dahi mereka berpeluh iaitu salah satu tanda kematian yang baik.

"Sebagai umat Islam, kita harus yakin bahawa Allah tidak memandang kepada permulaan seseorang, tetapi bagaimana pengakhiran hidup mereka di muka bumi.


DIDIKAN agama dan kerohanian menjadi aspek utama di Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhwah.


Justeru, saya sentiasa berpesan kepada semua pesakit agar jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah kerana ia terlalu luas. Apa yang penting, niat untuk memperbaiki diri," jelas Muhammad penuh makna.

Dalam pada itu, Muhammad turut bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Bagi Anis Harnisah Harun, 33, kesibukan suami dalam menyebarkan dakwah merupakan tuntutan agama dan sebagai isteri dia reda dengan perjuangan yang dipilih suaminya.

"Di sebalik urusan dakwah suami, saya pula memainkan peranan menjaga serta mendidik anak-anak di samping membantu perjalanan syarikat dalam mencari dana dan sebagainya," ujar Anis.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Abdullah Fateh, 12, Anis Zakiah, 9, Abdullah Faqeh, 5, dan Abdullah Faiz Farhan, 2. – KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved