Ahad, 20 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tulis sajak lebih susah daripada melukis

Posted:

Tulis sajak lebih susah daripada melukis

Tulis sajak lebih susah daripada melukis

JARI-JEMARINYA begitu tangkas melukis, namun hasil lakaran burung yang terbentuk pada kertas putih begitu halus dan penuh kesenian.

Ternyata bukan calang-calang orang mampu menghasilkan karya daripada dakwat hitam dan warna air.

Mungkin ramai yang mahir dalam tulisan kaligrafi Cina atau lukisan gaya Cina yang menekankan penggunaan dakwat hitam dan warna air, namun tidak ramai yang mahir dalam kedua-dua bidang tersebut.

Apatah lagi untuk menggabungkan keunikan kedua-dua tradisi Cina dalam satu lukisan, ia memerlukan kemahiran yang tinggi.

Cheng Haw Chien, 64, yang mempunyai gaya lukisan tersendiri menegaskan lukisan dakwat air perlu disertai dengan penulisan sajak bagi menjadikan karya yang dihasilkan berbeza daripada pelukis lain.

Berpegang kepada prinsip tersebut, dia akan menulis sebuah sajak dalam tulisan kaligrafi Cina supaya hasil karya yang dicipta mempunyai keunikannya tersendiri.

Menceritakan kembali bagaimana dia memperoleh idea tersebut, Haw Chien yang berasal daripada sebuah keluarga peladang berkata, pertemuannya dengan seorang sami dari China yang dikenali sebagai Chuk Mo telah memberikannya pemahaman baharu terhadap dunia seni.

Menggelarkan Chuk Mo sebagai tok guru, Haw Chien berkata, gurunya itu sering berpesan kepadanya bahawa seorang pelukis bukan sahaja perlu menguasai cara dan teknik yang betul untuk melukis malah perlu mempunyai pengetahuan yang luas.

"Tok guru mendorong saya menimba pengetahuan dan belajar bersajak bagi 'menghidupkan' lagi lukisan yang dihasilkan. Jika tidak, lukisan tersebut umpama tidak mempunyai jiwa," ujar anak kelima daripada lapan adik-beradik.

Pameran kaligrafi Haw Chien

Ternyata nasihat yang diberikan oleh gurunya membolehkan Haw Chien mencapai tahap yang lebih tinggi dalam bidang seni.


SELEPAS lebih lima dekad mendedikasikan jiwa dan hidupnya dalam kaligrafi Cina, Haw Chien mendapat pengiktiran pemerintah China yang menubuhkan sebuah muzium khas untuk beliau.


Menceburi bidang itu sejak di peringkat sekolah menengah lagi, pelukis yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu telah mengadakan pameran solonya yang pertama di negeri kelahirannya ketika berusia 19 tahun. Kini dia telah berjaya mengadakan lebih daripada 140 pameran di seluruh dunia.

"Saya berminat dalam seni lukisan sejak kecil lagi. Saya pernah belajar melukis daripada enam orang guru dari Taiwan dan China dalam tempoh berpuluh-puluh tahun ini. Namun, Chuk Mo merupakan tok guru yang memberi tunjuk ajar paling lama.

"Beliau masih memberi tunjuk ajar kepada saya walaupun saya telah habis belajar di peringkat universiti, sehinggalah beliau meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu," kata bapa kepada tiga orang anak tersebut.

Mengulas lanjut katanya, hubungannya dengan Chuk Mo sangat rapat sehingga beliau akan melawatnya dahulu setiap kali kembali ke Pulau Pinang sebelum kembali ke rumah sendiri.

Tambahnya, nasihat dan pesanan daripada tok guru kesayangannya tetap diingati sehingga hari ini.

Ditanya mengenai proses pembelajaran katanya, proses untuk belajar menulis sajak jauh lebih sukar berbanding proses melukis. Ini kerana banyak buku yang perlu dibaca bagi meningkatkan cara penulisan.

"Proses belajar melukis memang sukar tetapi proses untuk belajar menulis sajak lebih susah terutamanya bagi menghasilkan sajak yang mempunyai bunyi yang sama pada pengakhirannya.

"Banyak masa perlu digunakan untuk membaca supaya mendapat ilham dan idea untuk menulis sajak yang padan dengan lukisan dihasilkan," katanya.

Tambahnya, selain itu, beliau juga sering melancong ke luar negara bagi mendapatkan ilham untuk menghasilkan lukisan terutamanya dari segi pemandangan dan haiwan.

"Contohnya saya akan melancong ke negara China untuk mendapatkan ilham lukisan pemandangan ataupun melancong ke Australia untuk melukis kanggaru.

"Lebih unik, walaupun lukisan saya bertemakan haiwan seperti penguin dan burung unta atau buah-buahan, saya tetap akan menulis sajak dalam tulisan kaligrafi yang sepadan dengan lukisan tersebut," katanya.

Mengimbau kembali masa silam, jelas Haw Chien yang kini menyandang jawatan sebagai Presiden Central Research Academy of Art Malaysia, minatnya sebelum ini dibantah keras oleh ibu bapanya yang bekerja sebagai pekebun.

"Bagi mereka, melukis hanya boleh dijadikan sebagai hobi dan bukan sebagai satu pekerjaan tetap.

"Bagaimanapun, saya tetapkan pendirian dan minat saya sehinggalah saya mencapai kejayaan hari ini. Syukur, ibu bapa saya semakin memberi sokongan setelah melihat kejayaan yang saya kecapi sehingga ke peringkat antarabangsa," ujarnya.


SAJAK yang dihasilkan oleh Haw Chien berdasarkan pengalaman dan pembacaannya.


Berkongsi pembelajaran

Jelas Haw Chien, ketika mula-mula menceburi bidang seni kaligrafi Cina, dia sukar mencari rakan-rakan sebaya yang boleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

"Kebanyakan remaja tidak berminat dengan seni kaligrafi Cina. Jadi saya terpaksa berkongsi pembelajaran dengan orang yang lebih tua daripada saya," ujarnya.

Kongsi Haw Chien lagi, dia juga terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum menempa nama sebagai seorang pelukis yang berjaya.

"Bukan senang untuk melangsungkan sesuatu pameran terutamanya di luar negara.

"Kenalan yang ramai diperlukan bagi merealisasikan sesebuah pameran," katanya.

Selain itu katanya, kos perbelanjaan untuk mengadakan sesuatu pameran juga penting kerana ia ditanggung oleh dirinya sendiri.

"Sumber pendapatan saya bergantung kepada hasil jualan lukisan pada sesuatu pameran dan hasil pendapatan melalui pameran itu akan digunakan untuk rancangan seterusnya seperti mengadakan pameran di tempat lain," jelas Haw Chien.

Tambah mencabar, harga lukisan bergantung kepada pasaran dan permintaan.

"Contohnya, pameran di Britain dan Brazil mendapat sambutan baik berbanding di Australia. Bagaimanapun, saya tetap akan menghasilkan lukisan berdasarkan gaya tersendiri walaupun kesemua kos tersebut perlu ditanggung sendiri," katanya.

Ditanya mengenai ketiga-tiga anaknya pula, kata Haw Chien, hanya anak lelaki tunggalnya yang mewarisi minatnya untuk melukis.

"Anak lelaki saya yang bekerja sebagai pereka perindustrian sahaja yang berminat melukis, manakala dua lagi anak perempuan saya masing-masing bekerja sebagai pakar pemakanan dan doktor.

"Kadangkala saya dan anak lelaki saya akan melukis bersama-sama. Saya akan memberi tunjuk ajar kepadanya ketika itu," tambahnya.

Menceritakan tempoh masa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah lukisan, katanya, ia bergantung kepada saiz lukisan dan apa yang dilukis.

"Kebiasaannya lukisan jenis gaya bebas seperti buluh lebih senang dan mengambil jangka masa yang lebih pendek berbanding lukisan pemandangan. Ini kerana lukisan pemandangan lebih kompleks termasuk proses mewarnanya lebih sukar.

"Selain lukisan pemandangan, lukisan haiwan juga memerlukan masa yang banyak terutamanya melukis harimau yang strukturnya lebih rumit.

Jelasnya, lukisan yang mengambil masa paling lama untuk dihasilkan sepanjang tempoh beliau menceburi bidang seni itu ialah karya Gunung Himalaya yang dihasilkan pada tahun 1988.

"Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan lukisan sepanjang 3.6 meter tersebut.

"Bukan mudah, tetapi inilah cabaran yang saya mahukan dalam bidang kesenian," katanya yang turut menjadi guru kepada ramai pelajar kaligrafi muda.

Ditanya mengenai trend lukisan di Malaysia pula, kata Haw Chien, kebanyakan pameran yang diadakan di negara ini adalah lukisan gaya Barat.

"Tidak banyak pameran lukisan gaya Cina yang diadakan di negara ini dan pendedahan dalam bidang tersebut adalah kurang.

"Saya berharap pameran lukisan gaya Cina dapat diadakan dengan lebih kerap dengan kerjasama semua pihak bagi mempromosikan lukisan gaya Cina sekali gus menarik lebih ramai peminat lukisan Cina," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved