Jumaat, 18 Januari 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Potensi anak menerusi cap jari

Posted:

Potensi anak menerusi cap jari

Potensi anak menerusi cap jari

Oleh SUHANA VERU

SETIAP kanak-kanak dikurniakan bakat semula jadi sejak kecil lagi. Hakikatnya, tidak ramai golongan ibu bapa menyedari potensi anak-anak mereka.

Perkara itu turut diakui seorang bapa, Muhammad Kamarul Md. Zin, 34, yang tidak menyedari bakat anak lelakinya, Muhammad Zafri, yang berusia enam tahun.

"Saya hairan dia begitu berani setiap kali membuat persembahan di khalayak ramai berbanding dengan rakan yang seusia dengannya," ujarnya ketika ditemui pada kempen Kenali Potensi Si Manja di Damansara, Selangor.

Menurutnya, keberanian yang ditonjolkan oleh anaknya itu tidak dilihat beliau secara serius, namun selepas melalui analisis cap jari, dia diberitahu anaknya itu lebih menggunakan otak kiri daripada otak kanan.

"Saya agak terkejut dengan keputusan itu memandangkan saya melihat dirinya menunjukkan minat dalam subjek bahasa dan tidak sangka dia mempunyai kecenderungan dalam bidang Sains dan Matematik.

"Mujur, saya tergerak hati membawanya untuk menjalani ujian tersebut sekurang-kurangnya boleh mengetahui di mana letaknya potensi Zafri," jelasnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Bahagian Psikologi Universiti Maranatha Christian, Indonesia, Efnie Indrianie berkata, analisis cap jari merupakan satu kaedah inovatif yang merekod kesemua 10 cap jari kanak-kanak untuk mengenal pasti potensi bakat dan cara pembelajaran mereka.

Kaedah tersebut boleh membantu ibu bapa untuk mengetahui bakat yang ada pada anak mereka sekali gus boleh membimbing mereka mengikut rentak gaya anak tersebut.

Analisis itu menggambarkan corak otak yang telah terbina bagi seorang kanak-kanak sejak dalam kandungan.

Potensi kanak-kanak boleh dikesan dengan menganalisis setiap jari dengan menggunakan alat pengimbas dan ia akan memaparkan bentuk cap jari di dalam komputer yang menggunakan perisian khas untuk mengesan cap jari.


SEORANG kanak-kanak melakukan ujian cap jari yang dijalankan semasa kempen Kenali Potensi Si Manja oleh Ducth Lady.


Bertutur lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, langkah pemeriksaan itu akan dilakukan dengan mengambil cap ibu jari kiri ke kelingking kiri dan seterusnya pada sebelah kanan pula.

Kemudian, apabila cap jari diambil ia akan memaparkan bentuk iaitu lengkungan, simpulan dan lingkaran di monitor komputer.

Seterusnya, kesemua data cap jari yang diperoleh akan dimasukkan dalam sistem khas. Proses pengiraan akan dijalankan menerusi sistem itu.

"Proses yang mengambil masa sekitar 30 minit itu mampu mengenali perbezaan corak cap jari. Corak ini akan dapat dipadankan dengan susunan formasi saraf-saraf otak.

"Ia dapat mengenal pasti potensi seseorang kanak-kanak. Ini satu teknologi yang amat menarik kerana penemuan daripada kajian biometrik sebagai petunjuk sifat-sifat mental," jelasnya lagi.

Begitupun, beliau menyarankan kepada golongan ibu bapa selepas mengetahui potensi anak-anak, mereka tidak membandingkan seorang anak dengan anak yang lain kerana setiap individu berbeza.

Sebaliknya, ibu bapa harus memberi sokongan moral agar mereka dapat mengembangkan potensi anak-anak serta mengatasi kelemahannya.

Ujian cap jari merupakan satu analisis saintifik dengan mengukur biometrik menerusi cap jari untuk mengenal pasti potensi seseorang individu.

Menyentuh mengenai ketepatan keputusan potensi itu, beliau memberitahu, kajian telah menunjukkan bahawa teknologi berkenaan mempunyai tahap ketepatan yang tinggi.

Terdahulu, satu tinjauan penelitian yang dijalankan di Indonesia oleh Makmal Psychobiometric (Spectrum Synergy Biometric) mendapati hampir 75 peratus kanak-kanak biasanya menunjukkan sifat-sifat yang selari dengan keputusan analisis cap jari.


MINAT dan kebolehan anak-anak dalam bidang Matematik dan Sains juga dapat dikenal pasti melalui ujian cap jari.


Sementara itu, 25 peratus lebih cenderung kepada pengaruh dan pendidikan dari alam sekitar dan budaya.

Pensyarah daripada Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Mastura Badzis berkata, pada minggu ke-13 kehamilan, cap jari mula terbentuk pada janin.

Pada minggu ke-19, kedutan terbentuk di dalam otak dan dapat dilihat pada setiap 10 cap jari mewakili bahagian berbeza pada otak kanak-kanak.

Tambah beliau, susunan saraf-saraf pada bahagian-bahagian otak itu dianggap mempunyai simetri dengan corak dan bentuk cap jari pada setiap jari.

"Jadi, ia boleh mengenali pola kebolehan dalam otak manusia berdasarkan pertumbuhan saraf dalam bahagian otak tersebut," katanya.

Monumen daripada pen Kilometrico

Posted:

Monumen daripada pen Kilometrico

Monumen daripada pen Kilometrico

Oleh NURUL IZZA ROSLY


PELAJAR ini memberikan sentuhan terakhir terhadap monumen yang dibina oleh pasukannya.


PARA pelajar dari beberapa buah sekolah rendah dan menengah dilihat memenuhi ruang tingkat satu The Apartment, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 Disember lalu. Mereka begitu tekun menggunakan pen, tetapi mereka bukannya sedang khusyuk menulis atau menjawab soalan peperiksaan.

Sebaliknya, tangan masing-masing ligat menyusun lambakan pen jenama Kilometrico agar mengikut pelan reka bentuk yang dipersetujui bersama rakan sepasukan.

Hari itu, mereka tidak ubah seperti arkitek yang bertanggungjawab melaksanakan binaan monumen-monumen kebanggaan negara yang diperbuat daripada ribuan batang pen sempena sambutan meraikan ulang tahun Kilometrico yang ke-40.

Seramai 60 pelajar mewakili 10 buah sekolah iaitu lima sekolah menengah dan lima sekolah rendah sekitar Lembah Klang mengambil bahagian untuk membina monumen-monumen ikonik dengan menggunakan 10,000 batang pen Kilometrico.

Para pelajar dari sekolah-sekolah yang mengambil bahagian perlu melaksanakan tugasan membina salah satu monumen yang diberikan iaitu Jambatan Pulau Pinang, Muzium Negara dan KLCC.

Setiap sekolah diberikan 1,000 batang pen untuk membina monumen-monumen tersebut dan mereka akan dinilai mengikut kategori iaitu kategori sekolah menengah dan sekolah rendah.

Masa dua jam yang diberikan penganjur digunakan sepenuhnya menyiapkan monumen tersebut sehingga mereka diminta menghentikan pembinaan tepat pukul 12 tengah hari.

"Sempena sambutan ulang tahun Kilometrico ke-40, kami mahu meraikan bersama golongan yang sinonim dengan pen Kilometrico iaitu para pelajar sekolah.

"Mereka kelihatan teruja dan begitu bersemangat membina monumen-monumen negara dengan kreatif," kata Pengurus Besar Newell Rubbermaid Asia Tenggara, Danny Yong.

Tambahnya, dengan slogan, The Power Of Pen, pihaknya mahu menunjukkan kebenaran pepatah lama, mata pena lebih tajam daripada pedang, kepada generasi baharu yang mungkin tidak tahu makna di sebalik pepatah tersebut.

"Kilometrico telah bertapak di Malaysia selama empat dekad dan sudah ramai generasi dalam masyarakat Malaysia membesar dengan jenama ini.

"Sehubungan itu, sebanyak satu juta pen Kilometrico edisi khas dijual sejak bulan Oktober lalu dengan menampilkan cetakan emas pada batang pen," ujarnya sambil memberitahu RM50,000 berjaya dikumpulkan hasil jualan pen edisi terhad tersebut.

Setiap daripada 10 buah sekolah terpilih yang mengambil bahagian akan mendapat sumbangan RM5,000 untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan membina prasarana mahupun menggunakannya bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang memberikan manfaat kepada para pelajarnya.

Idea kreatif


INILAH hasil imaginasi pelajar SJK (T) Ladang Semenyih yang membina Jambatan Pulau Pinang.


Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK (T)), Telok Panglima Garang, Banting; SJK (T) Dengkil; SJK (T) Ladang Semenyih; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK (C)) Han Ming, Puchong; SJK (C) Mun Choong, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, Cheras; SMK Bandar Baru Sentul; SMK Perempuan Methodist, Klang; SMK Pendamaran Jaya, Klang dan SMK Cina Katholik, Petaling Jaya.

Setiap sekolah menampilkan hasil yang sangat menarik dan kreatif sehingga para juri sukar untuk membuat keputusan.

Akhirnya, para juri sebulat suara menobatkan pasukan dari SMK Pendamaran Jaya, Klang yang mencipta monumen Menara Berkembar Petronas sebagai juara bagi kategori sekolah menengah dan SJK (T) Dengkil untuk kategori sekolah rendah dengan binaan Muzium Negara.

Menurut seorang guru daripada SMK Pendamaran Jaya, Sabariah Baki, pihak sekolah amat bangga dengan usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajarnya sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah.

"Walaupun diadakan dalam cuti sekolah, mereka sanggup datang dan memberikan yang terbaik untuk pertandingan membina monumen ini," katanya.

Dalam pada itu, pelajar tahun enam SJK (T) Dengkil, G. Tharanneetharan memberitahu, selaku salah seorang daripada ahli pasukan, dirinya sangat bangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh rakan seperjuangan yang lain.

"Diharapkan aktiviti sebegini diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat memberikan pengalaman kepada para pelajar untuk jadi lebih kreatif," ujarnya yang membina monumen bersama lima rakan lain iaitu G. Thineshvar, S. Jegathesan, C. C.A Vinitha, S. Sivagamy dan A. Kirushantar.

Rahsia khusyuk dalam solat

Posted:

Rahsia khusyuk dalam solat

Rahsia khusyuk dalam solat


KHUSYUK adalah kerja hati kerana hati menjadi tempat pandangan Allah atas hambanya.


APAKAH yang perlu dilakukan oleh seseorang itu untuk khusyuk dalam solat?

JAWAPAN:

Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperoleh hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Firman Allah yang bermaksud:

"Maka kecelakaanlah bagi orang solat, (iaitu) orang yang lalai daripada solatnya" [Surah al-Ma'un : ayat 4-5].

Semua dalil dan nas tersebut adalah berkaitan khusyuk dalam solat, maka soalan tentang khusyuk ini amat panjang lebar. Cukuplah kita huraikan serba ringkas sekurang-kurangnya kita dapat mencapai khusyuk dalam solat kita insya-Allah.

Perkara yang paling penting tentang khusyuk ini ialah kita memahami apakah maksudnya terlebih dahulu. Adapun maksud khusyuk itu adalah takut iaitu takut kita akan Allah dalam segala hal yang kita lakukan kerana Allah melihat segala perbuatan dan pergerakan.

Khusyuk itu juga hasil daripada sifat ihsan iaitu menyembah Allah dalam hal kita melihat Allah, jika tidak mampu kita melihat Allah maka ingatlah yang Allah melihat akan kita. Inilah maksud bagi ihsan itu.

Apabila hati sudah mencapai ihsan maka timbul takut untuk melakukan segala salah sama ada dalam solat mahupun di luar solat.

Khusyuk itu kerja hati kerana hati menjadi tempat pandangan Allah atas hambanya, apabila khusyuk hati maka khusyuklah seluruh anggota.

Pembahagian khusyuk itu ialah:

* Khusyuk zahir: Mata, anggota dan seluruh anggota badan.

* Khusyuk batin: Tenang dan hadir hati serta faham makna bacaan dalam solat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved