Jumaat, 18 Januari 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Taruhan terbaharu pakar kereta kompak

Posted:

Taruhan terbaharu pakar kereta kompak

Taruhan terbaharu pakar kereta kompak

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
syukran.zainuddin@kosmo.com.my

SETELAH sekian lama menunggu, pengedar kenderaan jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA) akhirnya melancarkan kompak sporty popularnya, Swift pada minggu lalu.

Kalau hendak diikutkan, kehadirannya memang agak lambat memandangkan Swift generasi ketiga itu sudah pun berada di pasaran luar sejak 2010 lagi. Tidak mengapa, barang baik kenalah tunggu lama sedikit, betul tak?

Sejak dahulu lagi, Swift memang menjadi model penting buat Suzuki. Selaku pengeluar kenderaan yang tidaklah sebesar Honda atau Toyota, menghasilkan produk yang popular dan boleh dijual dalam tempoh lebih lama amat penting. Berbeza dengan pemain industri dari Jepun yang lain, kitaran hayat Swift adalah selama enam tahun.

Sehingga kini, Swift telah dipasarkan di lebih 100 buah negara dan cukup terkenal di pasaran Eropah serta Asia. Bukan setakat popular, Swift juga mendapat sebanyak 63 pengiktirafan Car of the Awards di 19 buah negara termasuk Malaysia.

Berbeza dengan Swift sebelum ini yang dihasilkan di kilang milik DRB-Hicom di Pekan Pahang, Swift baharu dibawa masuk ke pasaran tempatan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Bukti kesungguhan

Lebih tepat lagi, sebanyak 900 unit Swift ditawarkan sebelum jentera itu dikilangkan secara tempatan atau CKD. Tarikhnya dijangka bermula Mac depan. Selain harga yang mungkin sedikit rendah (bergantung kepada berapa banyak komponen tempatan yang digunakan), program CKD membolehkan lebih banyak varian ditawarkan kepada pengguna.

Pengarah Kumpulan, Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah menyatakan Swift yang ditawarkan pada harga RM77,888 seunit termasuk insurans menjadi bukti kesungguhan pihaknya untuk memperoleh peratusan pasaran lebih signifikan di Malaysia.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suzuki mengalami pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa dan Malaysia. Bagi tahun kewangan 2011/2012 misalnya, SMA telah menjual sebanyak 7,595 unit kenderaan, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Swift merupakan penyumbang terbesar apabila mewakili 73 peratus daripada jualan keseluruhan.


TEMPAT duduk belakang boleh dilipat untuk meningkatkan kapasiti ruang kargo.


"Kami menjangkakan 2013 kekal positif buat Suzuki. SMA juga menyasarkan untuk meningkatkan jualan kenderaannya sebanyak sepuluh peratus untuk tahun kewangan kali ini," tambah Abdul Harith.

Sekali pandang, mungkin ramai yang beranggapan bahawa Swift baharu tidak jauh bezanya dengan model terdahulu. Memang betul, jentera itu masih mengekalkan imej Swift generasi kedua secara keseluruhannya.

Apa yang berbeza adalah bahagian belakangnya sedikit bulat, selain lampu hadapan dan belakang tampil lebih menarik. Walaupun begitu, harus diakui bahawa rupa itu kelihatan seperti tidak ketinggalan zaman.

Itu secara kasarnya, kalau diteliti lebih mendalam, model serba baharu itu sebenarnya sudah menerima banyak penambahbaikan. Dari segi saiznya, ia lebih besar berbanding model terdahulu.

Keseluruhan dimensinya sudah berubah. Sebagai contoh, panjangnya bertambah kepada 3,850 milimeter (mm), sebelum ini hanya 3,755mm). Lebar menjadi 1,695mm (1690mm) dan tapak rodanya juga telah berubah kepada 2,430mm (2,390mm) sebelum ini.

Dimensi itu bukan sekadar membuatkan kompak sporty tersebut berasa lebih luas, malah meningkatkan kestabilan dan keseronokan pemanduan yang sememangnya cukup sinonim dengan Swift.

Rahsia sebenar dinamik pemanduan Swift terletak pada kerangkanya yang rigid, lebih lebar dan ringan. Kelebihan tersebut juga membolehkan sesaran enjin diturunkan menjadi 1.4 liter berbanding 1.5 liter sebelum ini.


SWIFT memang sesuai untuk golongan muda yang mementingkan gaya.


Tidak timbul isu kekurangan kuasa kerana nisbah berat kuasa berjaya dimanfaat sepenuhnya. Malah, bahan api juga dapat dijimatkan sebanyak lima peratus, selain emisi lebih rendah. Swift yang hanya seberat 1,000 kilogram itu dipasang enjin K14B dengan sistem variable intake-valve timing (VVT).

Ia mampu menjana kuasa mencecah 95PS @ 6,000rpm (kurang 6PS berbanding enjin 1.5 terdahulu) dan tork puncak 130Nm @ 4,000rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan serba baharu.

Hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu GLX, Swift tampil lebih menawan apabila dipasang dengan pelbagai ciri menarik pada kabinnya. Suzuki menggunakan warna hitam sebagai rona utama ruang kabin Swift. Ia diserikan dengan kemasan perak untuk menyerlahkan imejnya yang sporty dan mewah.

Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin merupakan ciri standard Swift. Sementara konsol tengah dihuni oleh unit audio double DIN yang boleh memainkan muzik daripada format cakera padat dan MP3, selain sambungan USB.

Swift hadir dalam dua kategori warna itu warna aktif dan warna berasaskan kelabu. Antara warna yang dimaksudkan ialah merah, biru, putih, kelabu dan hitam.

Bagi mereka yang mengharapkan varian lebih berkuasa iaitu Swift Sport, anda perlu bersabar kerana ia bakal dilancarkan. Namun, masanya masih belum diputuskan oleh SMA.

"Moto ketika Swift serba baharu dibangunkan adalah 'More Swift!' Moto itu bertujuan menjadikan jentera ini lebih sporty dari aspek prestasi dan pengendalian. Selain dinamik dari segi gayaan, kemasan dan lebih seronok untuk dipandu," jelas Ketua Pegawai Serantau ASEAN, Suzuki Motor Corporation Japan, Shuji Oishi.

Toyota Prius c TRD Sportivo

Posted:

Toyota Prius c TRD Sportivo

Toyota Prius c TRD Sportivo


AKSESORI TRD Sportivo untuk Prius c tidak dijual secara berasingan.


UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) baru-baru ini memperkenalkan varian terbaharu kenderaan kompak hibrid dalam rangkaian Prius iaitu Toyota Prius c TRD Sportivo untuk pasaran tempatan.

TRD (Toyota Racing Development) merupakan unit dalam Toyota Motor Corporation yang bertanggungjawab membangunkan komponen berkualiti dan berprestasi tinggi untuk model Toyota. Bagi model Prius c, transformasi membabitkan kit TRD Sportivo.

Bampar hadapan Prius c TRD Sportivo dipasang bersama lampu LED DRL (Daytime Running Lights). Elemen sporty turut dipaparkan menerusi gril yang nampak besar berikutan penggunaan warna hitam pada bahagian tengah bampar.


BAHAGIAN belakang varian ini menggunakan set lampu dengan rekaan baharu.


Kit badan pada bahagian sisi pula membuatkan jentera hibrid itu kelihatan lebih rendah. Ini sekali gus menyerlahkan imej sportynya. Penampilan bahagian belakang diserikan menerusi penggunaan bampar dengan set lampu belakang rekaan baharu.

Ruang kabin masih mengekalkan rekaan standard Prius c. Tambahannya cuma jahitan benang biru pada pelapik lantai. Ia mencerminkan warna tema Toyota hibrid. Semua aksesori TRD Sportivo Prius c tidak dijual secara berasingan.

Spesifikasi mekanikal Prius c TRD Sportivo iaitu enjin petrol 1.5 liter bersama motor elektrik dan Electronically Controlled Continuously Variable Transmission (E-CVT) dikekalkan. Rangkaian kuasa itu dijana oleh sistem Toyota Hybrid Synergy Drive.


RUANG kabin Prius c TRD Sportivo tidak menerima perubahan besar.


Sebagai tambahan, semua varian Prius c kini didatangkan dengan sistem audio Double-DIN dan sambungan Bluetooth. Pilihan sambungan lain meliputi AUX-Jack dan USB. Turut didatangkan sebagai ciri standard bagi model 2013 ialah penyangkut beg pada perehat kepala kerusi penumpang dan bekas ruang bagasi.

Prius c TRD Sportivo didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu putih mutiara, hitam, perak metalik dan merah. Ia ditawarkan pada harga RM103,990 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Jaminan yang diberikan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

PEUGEOT 2008: Crossover Urban!

Posted:

PEUGEOT 2008: Crossover Urban!

PEUGEOT 2008: Crossover Urban!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN
geartinggimedia@gmail.com


MUNGKIN ramai yang berharap supaya model ini memasuki pasaran tempatan.


SAMA ada kita sedar atau tidak, kereta jenama Eropah semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli tempatan.

Jika dahulu kereta jenama Eropah hanya dikaitkan dengan produk mewah buatan Mercedes-Benz atau BMW, kini pasaran mula mengenali jenama pertengahan seperti Volkswagen.

Namun kini, ada satu jenama yang sedang meningkat naik dengan produk kereta entry-level hinggalah kepada model premiumnya. Hasil penjenamaan semula oleh Kumpulan Naza, Peugeot yang satu masa dahulu pernah gah dan melalui zaman-zaman suram nampaknya kembali bangkit.

Bermula dengan Naza Bestari atau Peugeot 206, jumlah kenderaan jenama dari Perancis itu kian bertambah di atas jalan raya. Kini, sudah tidak susah untuk berselisih dengan model-model baharu Peugeot seperti 308, 3008, 408 dan 5008.

Mungkin kebanjiran semula model-model tersebut banyak disumbang oleh faktor harga yang setara dengan model buatan Jepun di samping rangkaian khidmat lepas jualan yang nampak meyakinkan.

Baru-baru ini, Peugeot melancarkan model baharu 2008, sebuah jentera crossover yang berada dalam segmen B. Kemajuan dunia yang semakin cepat berkembang melahirkan generasi baharu yang sentiasa bergerak. Mereka mahukan produk yang mewakili personaliti diri.

"Dengan 2008, Peugeot mempunyai satu produk yang akan menerajui segmennya di pasaran Eropah. Seterusnya akan memenangi hati para pelanggan baharu di Asia dan Amerika Latin," kata Pengurus Besar Peugeot, Maxime Picar.

Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, 2008 menggabungkan karakter pemanduan kereta hatchback dengan kelebihan ruang dan keselesaan sebuah SUV. Wajah hadapan 2008 adalah kesinambungan identiti Peugeot baharu. Bonet diperincikan sebagai lambang kekuatan, perlindungan dan ringan.

Profil atletik

Gril hadapan yang terapung adalah refleksi aerodinamik dan efisien. Lampu utama pula direka sebagai pelengkap wajah hadapan yang ekspresif dan mempunyai karakter. Bahagian tersebut dimodenkan lagi menerusi penggunaan lampu LED siang hari.

Crossover baharu itu turut memiliki sisi sofistikated yang menampakkan profil atletik. Bahagian belakang menggabungkan elemen dinamik dan kekuatan. Ruang butnya yang rendah membolehkan pengisian barang dengan mudah.


REKAAN 2008 memang menarik perhatian.


Garisan bumbungnya mempunyai lenggokan yang dinamik. Lebih menarik lagi, ia seolah-olah memiliki bumbung double-bubble seperti yang terdapat pada Peugeot RCZ Sports Coupé.

Lampu belakang nampak seperti terapung di dalam perumahnya. Sementara tiga bahagian pada lampu tersebut dinyalakan di bawahnya oleh butiran LED yang nampak tergantung.

Bahagian bumbung yang berombak dan elegan itu nyata menyerlah. Garisan beralun tersebut berada di atas bahagian tempat duduk belakang dan merupakan karakter tersendiri model 2008.

Garisan tersebut mengeksploitasi sepenuhnya fungsi aerodinamik dengan penggunaan spoiler but. Galang bumbung pula menyerlahkan lagi imej dinamik dan keseronokan yang ingin ditampilkan oleh crossover itu.

Peugeot 2008 menggunakan enjin baharu iaitu e-HDi Diesel dan petrol tiga silinder sebagai pelengkap kepada reka bentuk menarik, demi menjadi sebuah crossover yang jimat bahan api serta mesra alam.

Peugeot akan menghasilkan model baharu itu di lokasi strategik dunia iaitu Mulhouse, Perancis; Wuhan, China dan Porto Real, Brazil. Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada 2008 akan dipasarkan atau tidak di Malaysia.

Crossover urban seperti ini sudah lama ditinggalkan oleh pengeluar kenderaan. Satu ketika dahulu, kita penah dihidangkan dengan Perodua Kembara dan Nautica, selepas itu pasaran dibiarkan kosong.

Jika dipasarkan kelak saya yakin 2008 akan menjadi crossover buatan Eropah yang paling murah di pasaran. Jika Peugeot telah dan sedang membuktikannya, kenapa jenama Eropah lain tidak boleh melakukannya?

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved