Selasa, 15 Januari 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Pupuk minat bidang astronomi

Posted:

Pupuk minat bidang astronomi

Pupuk minat bidang astronomi

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SESEKALI apabila mendongak ke dada langit pada waktu malam dan melihat cahaya rembulan yang ditemani kerlipan bintang-bintang, pasti membuatkan kita terfikir betapa hebatnya Allah yang menciptakan alam cakerawala ini.

Justeru, tidak hairanlah jika ada anak-anak kecil yang bercita-cita untuk menjadi ilmuwan dalam bidang astronomi kerana kagum melihat keindahan alam semesta.

Astronomi merupakan salah satu daripada cabang ilmu sains berkaitan bintang, planet, bulan dan matahari. Ia juga dikenali sebagai ilmu falak dari segi bahasa etimologi yang membawa maksud peraturan bintang.

Apabila berbicara tentang bidang yang turut dikenali sebagai sains angkasa itu, ruang lingkupnya terlalu luas. Malah, adakalanya ia menjangkau tahap pemikiran manusia itu sendiri.

Namun, seiring peredaran zaman yang semakin canggih, maka semakin banyak maklumat berkaitan ilmu astronomi atau sains angkasa boleh didapati dengan mudah.

Salah satu daripadanya ialah melalui Portal Pendidikan Sains Angkasa, www.astronomi.angkasa.gov.my di bawah kendalian Agensi Angkasa Negara (Angkasa) yang disediakan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Pegawai Penyelidik Angkasa, Mohammad Redzuan Tahar, 30, berkata, portal itu merupakan salah satu medium untuk mereka menyebarkan maklumat berkaitan perkembangan bidang sains angkasa di Malaysia.

"Portal Pendidikan Sains Angkasa mula diwujudkan pada bulan Mac 2011. Ia bertujuan untuk menyampaikan ilmu berkaitan astronomi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira had usia.

"Ini bermakna, kanak-kanak, pelajar mahu pun golongan dewasa boleh melayari portal ini sebagai platform untuk menambah ilmu pengetahuan masing-masing," ujar Mohammad Redzuan kepada Kosmo!.

Tambahnya, portal tersebut diharap mampu menjadi wadah dalam pembentukan generasi yang celik ilmu sains angkasa sekali gus menyuntik minat mereka terutama pelajar terhadap bidang berkaitan astronomi.


ILMU berkaitan alam cakerawala terlalu luas ruang lingkupnya namun dengan kemajuan sains dan teknologi ia boleh dipelajari setiap lapisan masyarakat.


"Bagi golongan dewasa yang mungkin terdiri daripada guru atau ibu bapa, mereka juga boleh terlibat sama mendalami ilmu sains angkasa di samping berkongsi pendapat melalui medium forum yang disediakan di portal ini," jelas beliau lagi.

Apa yang pasti, setiap maklumat yang disalurkan di portal itu adalah terkini dan tepat semata-mata untuk membantu pengunjung portal mendapatkan maklumat yang diingini dengan berkesan.

Empat segmen

Menurut Penolong Pegawai Penyelidik Angkasa, Rahayati Ali, 34, yang bertanggungjawab menyediakan bahan dan maklumat, terdapat empat segmen utama dalam portal itu yang dinamakan Teroka, Kamus, Galeri dan Pautan.

"Bagi segmen Teroka, ia mengandungi sembilan topik yang diolah untuk memberi pengetahuan asas berkaitan sains angkasa khususnya kepada golongan pelajar.

"Setiap topik disertakan dengan aktiviti menarik bagi meningkatkan tahap kefahaman mereka, malah ia turut dipaparkan dengan penggunaan multimedia interaktif," kata Rahayati.

Tajuk yang boleh diteroka dalam segmen ini ialah Sistem Suria, Skala dan jarak antara Bumi, Bulan dan Matahari.

Bagi segmen Kamus pula, ia mengandungi 200 istilah terpilih berkaitan ilmu astronomi dan sains angkasa yang disusun mengikut turutan abjad bagi memudahkan pengguna mengakses maklumat yang berkaitan.

"Setiap istilah disertakan dengan maksud atau penerangan ringkas tetapi padat. Di samping itu, jika perkataan yang dicari tidak ditemui, pengguna boleh terus menghantar pertanyaan kepada pengendali portal melalui emel yang disediakan," terang Rahayati lebih lanjut.

Tidak ketinggalan, pengguna juga boleh melayari segmen Galeri yang terdiri daripada empat bahagian iaitu Foto, Video, Muat Turun dan Arkib.

Di ruangan itu, pelawat atau pengguna berpeluang menyaksikan koleksi gambar, menonton video serta memuat turun wall paper untuk kegunaan peribadi.

Selain itu, Galeri video pula memaparkan tentang kajian serta pengalaman angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukur Sheikh Mustapha ketika berada di Stesen Penyelidikan Angkasa Lepas (ISS) pada Oktober 2007.


SELAIN menggunakan multimedia yang menarik, portal ini turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif bersama pengunjung laman tersebut.


Menerusi segmen Pautan pula, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dengan melayari laman web pautan yang turut disediakan termasuk dari dalam dan luar negara.

Antara laman web tempatan termasuklah www.falak-online.net/falakportal, www.islam.gov.my/e-falak, www.al-azim.com/khawarizmi dan www.angkasa.gov.my, manakala laman web antarabangsa terdiri daripada www.exploratorium.edu, www.nasa.gov, www.haydenplanetarium.org dan www.kidsastronomy.com

"Kesemua maklumat yang disediakan melalui portal ini diharap secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan masyarakat dan membuatkan mereka lebih meminati bidang sains angkasa.

"Apatah lagi, bidang ini semakin mendapati tempat di hati masyarakat di Malaysia terutama selepas mencatat kejayaan dalam melahirkan angkasawan pertama negara pada tahun 2007," ungkapnya sambil menunjukkan beberapa maklumat menarik di portal tersebut.

Membersih serpihan tsunami Jepun

Posted:

Membersih serpihan tsunami Jepun

Membersih serpihan tsunami Jepun


BADAI tsunami membawa kemusnahan yang dahsyat di Jepun.


SEBELUM ini, sukarelawan yang membuat rondaan di sekitar pantai California biasanya akan mengutip sampah seperti puntung rokok, plastik atau bekas makanan yang ditinggalkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, pada penghujung Disember lalu, mereka berdepan situasi yang jauh lebih besar daripada tugas yang sering mereka lakukan.

Ia berpunca daripada serpihan sampah sarap bawaan arus bencana tsunami yang pernah melanda Jepun hampir dua tahun lalu. Sampah sarap itu mula memenuhi kawasan sekitar pesisiran pantai barat Amerika Syarikat (AS) tersebut.

Bencana yang berlaku pada Mac 2011 itu telah menghanyutkan lebih lima juta tan serpihan sampah sarap ke Lautan Pasifik Utara. Kebanyakannya tenggelam manakala selebihnya berjumlah kira-kira satu setengah juta tan terapung di lautan.

Hakikatnya, tiada siapa yang tahu berapa banyak puing-puing hanyut yang dianggarkan tiga kali ganda saiz AS masih hanyut di lautan.

Hujung Disember lalu, Pengawal Pantai AS mengesan timbunan sampah besar-besaran yang berkemungkinan datang dari Jepun ke arah pantai terbiar di negeri Washington.

Kawasan Pantai Barat pula sudah bersedia untuk berhadapan lebih banyak sampah sarap pada bulan-bulan berikutnya memandangkan angin bermusim dan arus pantai cenderung menolaknya ke daratan.

Dalam pada itu, Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) baru-baru ini menerima sumbangan bernilai AS$5 juta (RM15 juta) dari Jepun untuk mengesan dan menghapuskan puing-puing tsunami tersebut.

Secara rutin, serpihan sampah sarap dari Asia akan terapung dan menghala ke AS. Daripada 1,400 puing-puing tsunami yang ditemui dan dilaporkan kepada NOAA, agensi tersebut hanya mengesan 17 jenis kepingan.

Ia terdiri daripada bot nelayan kecil, bola sepak, dok dan kontena kapal yang mengandungi sebuah motosikal Harley Davidson dengan nombor plat Jepun.

Lonjak kesedaran

Pengurus wilayah Oregon, Charlie Plybon dari Yayasan Surfrider berkata, tsunami telah meningkatkan kesedaran individu penggemar pantai tentang serpihan tsunami yang melanda pesisir pantai dunia.

"Boleh dikatakan terdapat sedikit 'demam' serpihan tsunami. Ia seperti memburu telur Easter. Dahulu, mereka melihat sahaja tetapi kini golongan ini mahu terlibat sama untuk membersihkannya," kata Plybon yang telah membersihkan pesisir pantai Oregon selama lebih satu dekad.

Gelombang tsunami yang membanjiri loji tenaga nuklear Jepun telah membawa serpihan sampah ke lautan. Bagaimanapun, pakar-pakar kesihatan mengatakan, serpihan tsunami yang tiba di pantai barat AS itu tidak mungkin dicemari bahan radioaktif.

Ia disebabkan puing-puing tersebut telah melalui satu perjalanan yang panjang dan hanyut beribu-ribu batu di lautan.

Menurut laporan berita stesen televisyen ABC pada April 2011, anggota-anggota Tentera Laut Armada Ketujuh AS telah mengesan serpihan yang terapung itu sekali gus menjadi ancaman kepada kapal.

Dalam tempoh tiga tahun, serpihan itu akan tiba dekat dengan pantai barat AS dan kemudian bergerak ke arah Hawaii dan berpusing semula ke arah Asia. Putaran serpihan itu dikenali sebagai lingkaran Asia Pasifik.

Sukarelawan Julie Walters telah mengikuti program membersihkan serpihan tsunami di Pantai Mussel Rock yang terletak di selatan San Francisco.

Ujarnya, apa yang ditemui setakat ini hanya bahagian bot pecah dan kepingan kayu yang tidak diketahui asalnya.

"Namun, saya dapati serpihan tsunami yang ditemui agak menarik terutamanya apabila mengetahui ia telah mengharungi pengembaraan yang luar biasa di seluruh Pasifik. Tetapi, bila berfikir tentang tragedi kemanusiaan dalam bencana tersebut, ia membuatkan saya sedih," kata Walters, sukarelawan dari organisasi Pacifica Beach Coalition.

Serpihan tsunami berkenaan turut memenuhi pesisir pantai British Columbia termasuk di Haida Gwaii, Kanada atau sebelum ini dikenali sebagai Pulau Queens Charlotte yang terletak kira-kira 800 kilometer ke barat laut Vancouver.


PAKAR alam sekitar AS bertungkus-lumus dalam usaha menyelamatkan pantai negara itu daripada pencemaran yang berlarutan.


"Ia (serpihan tsunami) sudah terlalu banyak dan ini hanya permulaan untuk musim panas tahun ini," kata seorang nelayan, Bruce Stewart Burton yang bimbang akan nasib mereka pada masa akan datang.

Tragedi tsunami berlaku pada 11 Mac 2011 akibat gempa berukuran 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu, Jepun. Ia mengakibatkan lebih 27,500 orang hilang dan terbunuh. - Agensi

iPhone 5 tawar ciri termaju

Posted:

iPhone 5 tawar ciri termaju

iPhone 5 tawar ciri termaju

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


APPLE meningkatkan perkakasan dalaman iPhone 5 seperti unit pemprosesan dan RAM untuk memberi lebih kepuasan kepada pengguna.


TANGGAL 14 Disember lalu merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh peminat iPhone kerana model terbaharu keluaran Apple, iPhone 5 mula memasuki pasaran Malaysia, hampir setahun selepas model 4S diperkenalkan.

Perbezaan setahun antara dua model itu mungkin menyebabkan ramai yang tertanya-tanya akan perbezaan di antara kedua-dua model berkenaan.

Salah satu perbezaan fizikal yang ketara antara kedua-dua model itu ialah saiznya. Dengan dimensi 123.8 x 58.6 x 7.6 mm, iPhone 5 jelas menawarkan skrin yang lebih besar berbanding iPhone 4S.

Ini tentunya satu berita yang menggembirakan kerana pesaing terhampirnya, Samsung Galaxy S3 sering dibandingkan dengan iPhone 4S.

Bagaimanapun, perbandingan itu sering dikatakan tidak adil memandangkan iPhone 4S telah wujud beberapa bulan lebih awal berbanding Samsung Galaxy S3.

Secara logiknya, saiz yang lebih besar lazimnya mempunyai berat yang lebih. iPhone 5 membuktikan saiz yang lebih besar tidak semestinya lebih berat. Dengan berat hanya 112 gram, telefon pintar itu 28 gram lebih ringan berbanding sebelumnya.

Dalam usaha meningkatkan tahap kepuasan menonton video, telefon terkini keluaran Apple itu dilengkapi dengan skrin bersaiz empat inci dengan resolusi 640 x 1136 piksel berbanding model sebelumnya yang bersaiz 3.5 inci dengan resolusi 640 x 960 piksel.

Bagi memenuhi tuntutan dunia pengkomputeran yang semakin mencabar, aplikasi sering dipertingkatkan dengan ciri yang lebih maju.

Pertambahan ciri itu secara tidak langsung memerlukan sumber yang lebih, terutamanya ruang memori, keupayaan unit pemproses dan kapasiti storan.

Pengeluar iPhone 5 menyedari keperluan yang selari dengan perkembangan teknologi semasa dengan membuat beberapa peningkatan. Antara peningkatan perkakasan dalaman adalah seperti unit pemprosesan dengan kelajuan 1.2GHz.

Ingatan sementara atau RAM pada iPhone 5 juga telah ditambah daripada 512MB kepada 1GB bagi melancarkan penggunaan aplikasi pada telefon itu.

Selain itu, sistem operasinya juga telah mengalami peningkatan daripada iOS 5 kepada iOS 6 yang menawarkan lebih banyak ciri menarik dan tahap sekuriti yang dipertingkatkan.

Aspek kuasa juga tidak dilupakan, bateri telefon berkenaan dipertingkatkan sebanyak dua peratus kepada 1440 mAh sekali gus mampu memberikan waktu bercakap yang lebih panjang.

Satu lagi peningkatan ketara pada gajet itu ialah capaian internet yang ditawarkan.

Jika sebelum ini iPhone 4S menawarkan capaian 3G/HSDPA, iPhone 5 pula menawarkan capaian LTE atau Long Term Evolution.

Dalam erti kata lain, ia mampu memuat turun fail dengan kelajuan sehingga 100 megabit sesaat berbanding 14.4 megabit sesaat pada era 4S.

Lonjakan teknologi khususnya dalam dunia telekomunikasi membuatkan penulis tertanya-tanya, jika telefon hari ini mempunyai ciri-ciri seperti ini, apakah agaknya ciri yang bakal ditawarkan oleh telefon 20 tahun akan datang?

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved