Rabu, 9 Januari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Warga emas gagahi pendakian

Posted:

Warga emas gagahi pendakian

Warga emas gagahi pendakian

SALLEH (tengah) mengabdikan kenangan mendaki Gunung Everest bersama anggota rombongan lain.


BEKAS Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor, 72, bukan calang-calang orang.

Beliau yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan warga tertua yang pernah sampai Kem Pangkalan Everest (EBC), di gunung tertinggi dunia itu.

Pendakian selama sembilan hari bersama dua petugas dan lima siswazah UTM pada 2 November lalu bermula di Kathmandu, ibu kota Tibet yang disifatkannya sebagai suatu ujian ketahanan. Berikut ialah catatan perjalanan beliau:

Langkah pertama

Selepas membuat persiapan dan membeli peralatan mendaki, kami meninggalkan Kathmandu pada dua hari selepas itu menaiki pesawat 18 tempat duduk, Dornier 228-200, milik Tara Airlines. Penerbangan selama setengah jam itu menuju Lukla.

Jika bernasib baik, cari tempat duduk di sebelah kiri pesawat kerana anda akan menyaksikan pemandangan indah banjaran gunung Himalaya yang diselaputi salji serta Gunung Everest. Pemandangan itu sungguh menakjubkan.

Kami mendarat di lapangan terbang Lukla yang mempunyai landasan yang cerun dan sempit., malah kerana itu ia dianggap sebagai lapangan terbang paling bahaya di dunia.

Semasa tiba di Lukla, kami berjumpa dengan jurupandu Sherpa yang akan membawa kami ke EBC. Dari situ, kami mula berjalan - pengembaraan berjalan kaki yang terpanjang dalam hidup saya.

Dari Lukla, kami menuju ke utara. Di sepanjang laluan batu-batuan yang sempit, jelas kelihatan ia merupakan laluan yang kerap digunakan pendaki. Laluan itu tidak rata, berbatu-batan tetapi sesak dengan pendaki dari kedua-dua arah.

Sekumpulan yak berbulu hitam yang sarat membawa pelbagai bagasi, daripada peralatan pendaki hinggalah tong gas, makanan dan minuman juga boleh disaksikan.

Jeritan penggembala Sherpa yang cuba meyakinkan kumpulan yaknya, memecah kesunyian petang itu.


BERAMAH mesra dengan pelajar Sekolah Tinggi Khumjung selepas menyampaikan sumbangan panel solar dan buku di sekolah berkenaan.


Selepas pendakian selama enam jam setengah, kami sampai di Phakding pada pukul 7.50 malam. Kami bermalam di Buddha Lodge Restaurant and Bar.

Awal pagi esoknya, kami memulakan pendakian lagi. Kami melepasi banyak kumpulan yak sambil menyaksikan keindahan hutan pain pinus patula. Ketika berhenti, kami tidak melepaskan peluang untuk minum dan makan sedikit coklat bagi mengembalikan tenaga.

Selepas makan tengah hari di rumah persinggahan Mount Kailash Lodge, Monzu, kami bergerak semula memasuki Taman Negara Sagamartha yang berada pada ketinggian 2,865 meter atas paras laut.

Di pusat pemeriksaan tentera, kami melihat papan tanda 'No Photography' (dilarang mengambil gambar) yang jelas terpampang. Di situ, dua askar Gurkha berwajah tegas menyambut kedatangan kami.

Sejuk ekstrem

Dari pusat pemeriksaan itu, perjalanan kami setiap hari memakan masa selama enam hingga tujuh jam dengan menjejaki trek sempit berbatu dan berdebu.

Kami melepasi Somare, Dingboche Khumbu Resort, Champa, Thukle, dan akhirnya sampai di Gorak Shep (5,180 meter) pada 11 November. Hari-hari yang dilalui amat sejuk dengan suhu sekitar 5 hingga 10 darjah Celsius sementara suhu pada waktu malam turun 11 darjah Celcius di bawah paras beku.

Saya sudah mula hilang selera makan dan terasa mual serta hendak muntah setiap pagi. Saya memilih makan epal hijau dan garam. Pada pukul 7.25 pagi keesokannya, kami berlepas untuk penerokaan peringkat akhir ke EBC. Saya masih tidak mempunyai selera makan tetapi jurupandu Sherpa mendesak supaya saya menghabiskan semangkuk bubur untuk memberi tenaga.

Suhu ketika itu adalah 4 darjah Celsius dan jari-jari saya terasa kebas dan membeku. Sherpa kami terpaksa mengurut jari-jari itu untuk memastikan darah mengalir. Ia merupakan pendakian cerun berbatu yang curam dan saya sangat berterima kasih kepada jurupandu Sherpa dan Penolong Pendaftar UTM, Sabri Ahmad, yang kedua-duanya membantu dan memberi galakan sehingga kami akhirnya sampai ke EBC pada pukul 10.50 pagi.

Ketinggian ketika itu ialah 5,364 meter. Ia cukup melegakan dan saya menangis teresak-esak kerana bersyukur atas kejayaan tersebut selain teringat kepada semua yang mendoakan keselamatan saya.

Ia satu kejayaan kecil tetapi sukar dicapai. Untuk rekod, pada usia 72 tahun, saya menjadi warga Malaysia tertua sampai ke EBC, yang disahkan kemudian oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.


PARA pendaki berhenti rehat bagi melepaskan lelah sebelum meneruskan pendakian.


Cuaca memang sejuk dengan glasier di sekeliling kami. Saya dipujuk untuk mencuba crampon (kasut dengan tapak berpasak) dan menggayakannya untuk bergambar di tubir curam berais.

Setiap pendakian ke puncak Everest mesti melalui EBC dan pasukan sokongan untuk mendaki yang berpangkalan di pusat tersebut. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk mendaki ke puncak Everest (8,848 meter) dan pendaki mesti menyesuaikan diri dengan iklim di setiap beberapa ratus meter untuk keselamatan mereka.

Selepas merakamkan kejayaan kami dengan bergambar, kami meninggalkan EBC pada pukul 12.50 tengah hari dan perlahan-lahan berjalan turun melepasi semua rumah persinggahan yang kami lalui sebelum itu.

Hidung saya mula berdarah dan masih menghadapi masalah dengan selera makan saya. Kami akhirnya sampai di Lukla pada 18 November dan saya memilih makan nasi goreng sayur dan cili hijau mentah.

Sajian dan mandian panas

Kami akhirnya dapat menempah penerbangan keluar dari Kathmandu sebelum bermalam di Hotel Holy Malaya. Kami berkumpul di Restoran Halal Anatalya. Buat pertama kali selepas 18 hari, kami menikmati hidangan yang lengkap iaitu nasi beriani dan ayam tandoori. Ini diikuti dengan mandi pancuran air panas yang menyegarkan badan.

Fadli Adilah, Konsul Malaysia di Kathmandu meraikan kami dengan jamuan makan malam di sebuah restoran berkonsep taman iaitu The Garden of Dreams. Inilah pelengkap kepada keseluruhan pengembaraan itu.

Pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Ia tuntas, memenatkan tapi sungguh memuaskan. Kaki saya masih terasa beban 18 hari mendaki secara berterusan. Berat badan saya susut sebanyak lapan kilogram tetapi kenangan mendaki itu akan terus segar dalam ingatan saya.

Saya gembira kerana sihat sepanjang pengembaraan cuma saya jatuh sakit apabila kembali ke rumah. Serangan demam dan selesema menyebabkan saya terpaksa berjumpa doktor sebanyak dua kali.

Atas kejayaan itu, saya ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada Lembaga Amanah UTM atas kebenaran dan sokongan terhadap lawatan tersebut termasuk Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.


BEGINILAH rupa penginapan di EBC yang dilatari pemandangan yang mengasyikkan.


Tidak lupa kepada Sabri dan Siti Salamah, Penolong Pendaftar Kanan, UTM kerana menemani saya dan memberi galakan sepanjang pengembaraan tersebut.

Begitu juga kepada jurupandu Sherpa, Deep (Hasta) Bahadur Tharpa Magar, Pasang Nuru Sherpa dan Da Nurbu Sherpa atas bantuan mereka membuatkan impian itu menjadi nyata.

Ia benar-benar satu ujian ketahanan bagi saya dan saya bersyukur kerana lulus. - Bernama.

Cinta saujana ladang teh

Posted:

Cinta saujana ladang teh

Cinta saujana ladang teh


PEMETIK daun teh di India lazimnya dimonopoli oleh kaum wanita.


"SELAMAT datang. Anggaplah tempat ini macam rumah kamu sendiri". Kata-kata itu menyambut kehadiran kami sebaik tiba di Thengal Manor.

Sememangnya itulah yang diharapkan, lebih-lebih lagi ia merupakan pengalaman pertama kami menginap di vila keluarga salah seorang pengeluar teh terkemuka di India.

Berlatarbelakangkan taman-taman indah, Thengal Manor, yang terletak di perkampungan Assam, kira-kira 15 kilometer dari bandar Jorhat, India menjanjikan penginapan penuh eksklusif kepada pelancong.

Kunjungan ke vila lima bilik yang berciri era kolonial itu menandakan permulaan pengembaraan kami ke kawasan ladang teh terkemuka di India iaitu Assam dan Darjeeling.

Sepanjang tempoh itu, kami tidak sekadar menyaksikan kehebatan para pekerja ladang teh yang majoritinya wanita memetik daun-daun teh dengan kelajuan menakjubkan, malah berpeluang menghirup teh segar di hadapan pendiang api sambil dimanjakan gaya hidup mewah.

Pastinya, peluang yang ada digunakan untuk merasai sendiri keenakan teh Assam dan teh Darjeeling yang sangat terkenal dalam kalangan penggemar teh di seluruh dunia.

Saya akui, teh bukanlah minuman kegemaran saya. Bahan tanin yang terkandung dalam daun teh boleh menyebabkan perut saya memulas-mulas. Bagaimanapun, isteri saya yang berasal dari Scotland, tidak begitu.

Justeru tidak hairanlah jika dia begitu ketagih terhadap teh.

Faktor berkenaan, ditambah dengan keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di wilayah timur laut India itu, mencetuskan minat kami untuk bercuti sambil mengembara di ladang-ladang teh yang kini semakin popular dalam kalangan pelancong.

Tarikan penginapan

Permintaan yang semakin meningkat menyebabkan banyak pengusaha teh di India kini membuka ladang mereka kepada pelancong yang berminat.

Mereka bukan sahaja dibawa untuk melihat proses pengilangan teh dilakukan, malah berpeluang menerokai kehidupan elit pemilik ladang teh yang digelar burra sahib oleh penduduk tempatan.

Ramai orang yang tidak mengetahui bahawa kebanyakan ladang teh dikuasai oleh orang Inggeris semasa zaman penjajah satu ketika dahulu.

Mereka menguasai laluan perdagangan teh di timur laut India, wilayah selatan dan Sri Lanka, termasuk rangkaian di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, ketika ini terdapat peningkatan dalam kalangan warga Amerika Syarikat (AS) yang turut menceburi perniagaan berkenaan.

Antara faktor utamanya ialah permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di AS sendiri terhadap seni dan teh berkualiti tinggi, biarpun isteri saya menegaskan budaya minum teh masih baharu di sana.

Ditemani dua orang rakan dari Perancis, saya dan isteri merancang sendiri pengembaraan kami ke Thengal Manor.

Dikelilingi padang rumput seluas dua hektar, vila mewah lima bilik itu turut menempatkan ruang makan, ruang tamu, lounge, dapur dan pantri untuk keselesaan pengunjung.

Menariknya, keunikan seni bina dengan dekorasi dan perabot ala Inggeris yang menghiasi segenap sudut bangunan membuatkan pengunjung seolah-olah kembali ke era kolonial.

Sentuhan peribadi


BANGLO-BANGLO lama seperti ini banyak boleh ditemui di sekitar Assam dan Darjeeling.


Kemewahan vila itu turut diserlahkan dengan kehadiran lampu candelier dan pendiang api di setiap bilik. Terdapat sebuah lukisan potret salah seorang keturunan Barooah iaitu Bisturam Barooah. Vila itu sendiri dibina oleh anak lelakinya selepas bergelar pengusaha ladang teh rakyat India terkaya di Assam pada 1929.

Keluarga Barooah mula menerima kehadiran pelawat sejak tahun 2000, namun ladang teh itu kekal sebagai kawasan peribadi mereka.

Tidak jauh daripada vila itu terdapat 19 buah kuil kecil yang dibina khusus untuk upacara keagamaan.

Kami berkesempatan melihat kawasan sawah padi dan perkampungan yang dikelilingi pepohon buluh di samping melihat sendiri proses membuat teh di kilang Ladang Teh Gatoonga.

Kami juga menghabiskan masa hampir dua jam melalui dua pilihan laluan tersedia iaitu dari banglo Mistry Sahib yang merupakan pemilik Ladang Teh Gatoonga atau banglo Burra Sahib iaitu pemilik Ladang Teh Sangsua yang menawarkan panorama berbeza.

Banglo unik

Pada hari kedua di Assam, pengembaraan kami diteruskan dengan melawat Ladang Teh Addabarie berhampiran bandar Tezpur. Di situ, sebuah agensi pelancongan telah memajak kediaman pengurus ladang, sebuah banglo tiga bilik dikenali sebagai 1875 Heritage Bungalow serta lima buah rumah bersaiz sederhana untuk disewa kepada pelancong.

"Beginilah corak kehidupan pengurus ladang di sini," kata pengurusnya, Durrez Ahmed.

Beliau yang merupakan antara perintis kepada pelancongan unik itu menawarkan 21 penginapan berbentuk inap desa bersama pekerja-pekerja ladang dan rumah kelas atasan.

Berbanding kilang-kilang pemprosesan teh yang lain, kilang miliknya yang beroperasi sejak 1859 tidak bergantung kepada teknologi moden untuk menghasilkan teh berkualiti tinggi bagi pasaran AS dan Eropah.

"Kami memerlukan sentuhan manusia dan deria bau, bukan tangan robotik atau sensor aromatik," kata Mukhjerjee, sambil menjemput kami untuk merasai enam jenama teh keluarannya.

Antara yang paling popular ialah jenama Silver Tips Imperial, yang pernah direkodkan mencecah jualan sehingga AS$1,000 sekilogram (RM3,031) dalam satu acara lelongan di China.

Sebaik pulang semula ke Windamere, kami menikmati makan malam yang romantik di bawah cahaya lilin dan muzik berlatarbelakangkan era 20-an dan 30-an. - Agensi

Ancasa PD resort libur famili

Posted:

Ancasa PD resort libur famili

Ancasa PD resort libur famili


PENGALAMAN rekreasi pantai pasti menyeronokkan kerana resort berdekatan pantai.


PERCUTIAN seisi keluarga adalah jawapan terbaik untuk melepaskan tekanan selepas penat bekerja.

Namun, acapkali kita berdepan dengan masalah untuk mencari penginapan yang bukan sahaja terbaik untuk suami isteri beristirehat, bahkan untuk anak-anak yang dambakan keseronokan pantai dan rekreasi.

Ancasa Allsuites Resort & Spa Port Dickson, Negeri Sembilan mungkin jawapan terbaik bagi mereka yang sedang mencari sebuah resort untuk percutian seisi keluarga atau teman-teman secara berkumpulan.

Ini kerana dengan keindahan pantai, dekorasi bilik yang menerapkan tema Bali dan spa dalam taman yang mendamaikan, percutian di Ancasa Allsuites Resort & Spa Port Dickson pasti sukar dilupakan.

Menurut Pengurus Ancasa Allsuites Resort & Spa Port Dickson, Shah Azam, resort empat bintang yang mula beroperasi sejak tahun 2003 itu menawarkan percutian yang bernilai wang untuk tetamunya.

"Bayangkan dengan RM400 hingga RM600, pelancong yang menginap di sebuah hotel lima bintang cuma mendapat satu bilik. Tetapi di sini untuk jumlah wang itu, mereka boleh mendapat tiga bilik malah dapat membawa seisi keluarga bercuti.

"Selain itu, kita juga menekankan kepada perkhidmatan yang mesra dan terbaik untuk setiap tetamu. Disebabkan itu, kita menerima tetamu yang biasanya datang semula untuk percutian berikutnya," ungkap Shah.

Resort menghadap persisir Pantai Selat Melaka itu memiliki 46 suite satu bilik, 94 unit suite dua bilik dan 58 unit suite tiga bilik.

Menambahkan lagi keselesaan pengunjung di situ, Ancasa Allsuites Resort & Spa Port Dickson lengkap dengan sebuah spa yang bukan sahaja dibina dalam kawasan santuari khas taman Bali, bahkan menawarkan urutan menggunakan juruterapi terlatih dari Jogjakarta, Indonesia.

Sesuai sebagai sebuah destinasi penginapan keluarga dan teman-teman, resort itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik contohnya berkaraoke, berkayak, menaiki banana bot, berenang di kolam renang atau pantai, bermain bola tampar dan banyak lagi.

Majlis resepsi

ANCASA Allsuites Resort & Spa dilengkapi kolam renang luas sebagai alternatif untuk tetamu yang tidak mahu berenang di pantai.


Untuk tahun 2013, Shah memberitahu, resort tersebut bakal menambahkan lagi satu pakej menarik buat pengunjungnya menerusi pakej perkahwinan Melayu.

Dalam landskap berdekatan pantai dan tata rias luar bertemakan taman Bali, majlis resepsi raja sehari pastinya lebih indah.

Menawarkan tiga jenis pakej untuk majlis perkahwinan, raja sehari boleh memilih pakej satu untuk RM20 seorang (hiasan meja makan pengantin percuma) atau pakej dua RM30 seorang (hiasan meja makan pengantin dan karpet merah percuma).

Bagi pakej ketiga harganya ialah RM50 seorang yang dilengkapkan secara percuma hiasan meja makan pengantin, karpet merah, satu bilik persalinan, hiasan gerbang, penginapan dua hari satu malam dan cenderamata kek buah untuk tetamu.

Pihak resort juga menawarkan perkhidmatan set pelamin, aksesori, hiasan dalaman dan kek.

Untuk maklumat lanjut mengenai penginapan atau pakej resepsi di Ancasa Allsuites Resort & Spa Port Dickson bolehlah menghubungi talian 06-662 7288.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved