Khamis, 3 Januari 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Anak angkat keluarga Melayu Champa

Posted:

Anak angkat keluarga Melayu Champa

Anak angkat keluarga Melayu Champa

Oleh NASRI JAMALUDIN

RASANYA lemak-lemak manis. Kalau habis sebungkus pasti kenyang hingga ke petang. Itulah makanan tradisi masyarakat Melayu Champa yang dikenali sebagai nam cek.

Semasa berkunjung ke Perkampungan Samrong, Takeo, Phnom Penh, Kemboja, saya dapati hampir semua penghuni rumah membuat hidangan tersebut iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Haji.

Makanan tradisi berupa roti pisang itu dibuat masyarakat negara berkenaan pada hari-hari istimewa termasuk Hari Raya Aidilfitri. Ia menjadi kegemaran masyarakat di sana, malah kanak-kanak leka menikmatinya sambil bermain bersama rakan-rakan.

Bahan-bahan penting untuk menghasilkan nam cek ialah beras pulut, santan kelapa, gula, garam, minyak masak dan pisang.

Biasanya golongan wanita akan memulakan kerja-kerja menghasilkan kuih tersebut yang dilakukan secara tradisional dan ia dimulakan selepas menyediakan sarapan pagi.

Cara pembuatannya, isi pisang akan dipicit-picit sebelum dilumurkan dengan beras pulut yang telah dibasuh dan digaul bersama minyak masak, sedikit garam serta gula. Kemudian ia dibungkus menggunakan daun pisang sebelum direbus selama lima jam.


TENGKORAK dan tulang mangsa kekejaman Pol Pot dipamerkan untuk peringatan generasi semasa serta pelancong asing.


"Roti pisang merupakan makanan tradisi masyarakat di kampung ini terutama pada musim perayaan. Kos menghasilkan makanan ini ialah kira-kira RM50 bagi 30 bungkus," kata Sonsak, 56, seorang suri rumah yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu.

Kenangan manis

Seenak nam cek, begitulah juga memori manis menjadi tetamu di desa permai itu. Perkampungan Islam tersebut terletak kira-kira dua jam setengah perjalanan dari bandar Phnom Penh. Kunjungan saya bersama ahli rombongan lain ke kampung berkenaan bagi mengikuti program keluarga angkat selama tiga hari dua malam.

Penduduk di kampung itu sangat peramah, walaupun bahasa merupakan satu masalah dalam pertuturan, ia bukanlah penghalang untuk kami beramah mesra.

Kedudukan rumah-rumah dibina agak rapat dan kebanyakannya diperbuat daripada kayu serta papan. Hanya beberapa buah rumah diperbuat daripada simen dan batu.

Sekeliling kampung dipenuhi sawah padi dan pemandangannya indah dan mendamaikan. Saya terpesona menyaksikan matahari terbit dan terbenam di kawasan sawah padi yang ketika itu sedang dalam proses penanaman semula.

Haiwan ternakan seperti lembu, ayam dan itik ada di mana-mana sahaja menghiasi landskap hijau kampung tersebut.


KEMESRAAN yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Samrong benar-benar menyentuh hati peserta rombongan dari Malaysia.


Bantuan kewangan

Pembinaan masjid di kampung berkenaan khabarnya disumbangkan oleh seorang rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, kampung tersebut masih memerlukan bantuan kewangan untuk membesarkannya memandangkan rumah ibadat itu turut dijadikan pusat pendidikan anak-anak mereka yang majoritinya hidup serba kekurangan.

Kebanyakan penduduk juga menjalankan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan rumah masing-masing seperti kedai runcit, kedai makan dan minum serta menjual pelbagai barangan keperluan lain.

"Saya hanya membantu keluarga berniaga kecil-kecilan di rumah, Saya jual barang-barang keperluan harian, minuman dan kuih-muih," kata Maryam, 21, yang berhasrat untuk keluar ke bandar mencari pekerjaan yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Saya juga dapat saksikan beberapa peniaga datang ke kampung itu dengan menaiki basikal yang diubah suai, motosikal atau kereta sambil menjual pelbagai jenis makanan dan barang-barang. Lebih unik, seorang peniaga dari Thailand datang menjual barangan dengan menunggang gajah.

Para peserta rombongan semakin rapat dengan keluarga angkat masing-masing saban hari. Namun, masa pantas berlalu dan kami perlu meneruskan perjalanan ke bandar Phnom Penh bagi menerokai sisi lain Kemboja.

Kami sampai di bandar Phnom Penh ketika matahari sudah terbenam. Sejurus tiba di hotel dan selesai urusan mendaftar masuk, kami terus ke bilik penginapan masing-masing untuk beristirehat.

Poco-poco

Pada sebelah pagi keesokan harinya, kumpulan kami sempat berkunjung ke tebing sungai yang bernama Sisowath Quay. Di sini, dapat disaksikan beberapa kumpulan orang melakukan tai chi, karate malah ada kumpulan yang melakukan poco-poco dan terselit juga lagu-lagu dangdut dan irama Melayu.

Tanpa diminta, kami lantas menyertai kumpulan tersebut sekadar untuk bersuka-suka selama beberapa minit sebelum meneruskan perjalanan sehingga berada berhadapan Istana Diraja (Royal Palace).

Selepas itu, kumpulan kami menyewa 16 buah beca mengelilingi bandar Phnom Penh. Mod pengangkutan yang dapat merehatkan sebentar kaki kami itu dikenakan bayaran sebanyak AS$16 (RM49) bagi setiap satu.


SETIAP gelang kain berwarna-warni ini adalah bagi mengingati nyawa kanak-kanak dan bayi yang mati diseksa.


Kekejaman

Kami kemudiannya menaiki bas menuju lokasi selanjutnya iaitu melihat kesan tinggalan kekejaman rejim Khmer di bawah pimpinan Pol Pot dari tahun 1976 hingga 1979.

Di Killing Field, saya dapat menyaksikan tengkorak-tengkorak mangsa disimpan dalam almari kaca yang tinggi dan dipamerkan kepada orang ramai. Terdapat lubang-lubang kubur besar yang digali dan sisa-sisa tulang kelihatan di atas tanah tersebut.

Sebatang pokok besar turut menjadi tumpuan kerana di atasnya terdapat banyak gelang kain berwarna-warni. Rupa-rupanya ia menyimpan kisah memilukan iaitu bayi-bayi yang suatu ketika dahulu dipukul atau dibaling ke pokok itu sehingga mati.

Rombongan kami juga dibawa melawat Tuol Sleng Genocide Museum (Muzium Bukit Pokok Beracun) atau Strychnine Hill. Ia merupakan sebuah bangunan sekolah menengah yang dijadikan penjara pada zaman Pol Pot.

Di situ, pengunjung dapat menyaksikan bilik-bilik darjah yang menjadi tempat penyeksaan dan pembunuhan. Setiap ruang diubah suai menjadi penjara yang sempit. Ia kini menempatkan pameran alat-alat penyeksaan dan gambar-gambar mangsa.

Hati rasa sayu apabila menyaksikan gambar-gambar dan seksaan-seksaan yang dilakukan ke atas penduduk tempatan termasuk kanak-kanak dan wanita. Menurut rekod, jumlah mangsa yang terbunuh dalam kekejaman itu mencecah seramai dua juta orang.

Makan dan beli-belah

Setelah itu, rombongan kami mencari restoran untuk mengisi perut yang kelaparan. Sebenarnya tidak sukar untuk mencari makanan halal di Phnom Penh. Terdapat beberapa restoran yang menyajikan masakan tempatan atau Melayu yang sedap.

Kami dibawa ke beberapa buah restoran makanan halal seperti Cambodian Muslim Restaurant dan D' Wau Restaurant. Makanan yang dihidangkan sebahagiannya mendapat pujian daripada kami lantaran rasanya yang menepati selera orang Malaysia.

Tidak sah rasanya, jika ke luar negara tanpa membawa pulang sedikit buah tangan. Sasaran kami membeli-belah ialah di Pasar Rusia (Russian Market) dan Central Market.

Kami menghabiskan masa lebih dua jam di kedua-dua pasar berkenaan. Barangan seperti beg sandang, kain sutera dan baju boleh didapati pada harga yang murah. Cuma, perlu pandai tawar-menawar.

Kunjungan pada hari biasa lebih bagus kerana mudah untuk menawar harga yang lebih rendah berbanding hari minggu.

Sepanjang lima hari berada di bumi Kemboja, saya dapati negara ini semakin menjadi tumpuan rakyat Malaysia bercuti.

Keagungan masjid lumpur

Posted:

Keagungan masjid lumpur

Keagungan masjid lumpur


MASJID Besar Djenne menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk beribadat.


DJENNE merupakan sebuah kota purba yang terletak berhampiran delta Sungai Niger di wilayah Mopti di Republik Mali.

Sejak kewujudannya pada kurun kesembilan, ia pernah menjadi pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam khususnya ketika pemerintahan empayar Songhai, Sonni Ali.

Salah satu tarikan di kota itu ialah Masjid Besar Djenne yang dipercayai dibina pada kurun ke-13.

Diceritakan pada asalnya masjid itu merupakan sebuah istana dan dijadikan masjid selepas pemerintah Mali ketika itu, Sultan Koi Kunburu memeluk agama Islam.

Pemerintah seterusnya, Sheikh Amadou Lobbo yang menawan Djenne semasa Perang Tukulor, mengarahkan masjid asal dirobohkan pada 1834. Dia kemudiannya merancang sebuah masjid baharu berhampirannya pada 1896.

Bagaimanapun, penjajah Perancis yang berkuasa selepas itu telah mengarahkan pembinaan semula Masjid Besar Djenne di lokasi asalnya pada 1906.

Seorang arkitek tempatan, Ismaila Traore telah diberi tanggungjawab tersebut.

Menggabungkan gaya seni bina Islam dan Sudan, Masjid Besar Djenne tampak unik kerana tidak menggunakan konkrit sebaliknya lumpur sebagai bahan asas binaannya.

Memandangkan kedudukannya yang terletak berhampiran delta Sungai Niger yang sering dilanda banjir, Ismaila telah membina pelantar tinggi berkeluasan 5,625 meter persegi sebagai tapak masjid.


ELEMEN seni bina Islam dan Sudan menyerlahkan keindahan masjid yang berusia lebih satu abad itu.


Bahagian tiang-tiang masjid menggunakan blok lumpur kering sebelum dilapisi dengan lumpur basah bagi memastikan ia kelihatan licin dan halus.

Dindingnya pula mempunyai ketebalan yang berbeza antara 0.4 meter hingga 0.6 meter.

Dahan pokok palma turut dimasukkan ke dalam binaan dinding bagi mengurangkan rekahan akibat perubahan mengejut suhu di samping bertindak sebagai tangga ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan setiap tahun.

Kiblat masjid itu ditanda oleh tiga menara besar berbentuk segi empat yang dibina lebih tinggi daripada dinding utama.

Menara yang puncaknya seperti kon itu juga turut dilengkapi tangga berputar yang menghala ke arah bumbung masjid.

Ruang solat

Umumnya, terdapat dua ruang solat utama disediakan iaitu ruang terbuka dan ruang tertutup.

Ruang tertutup yang mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah disokong oleh 90 buah tiang merentasi dewan sembahyang bagi memastikan ketahanan strukturnya.

Aspek pengudaraan dan pencahayaan juga diberi penekanan pada ruang itu bagi keselesaan jemaah. Beberapa buah lubang udara turut dibina bagi menyalurkan udara bersih di samping penggunaan kaca seramik sebagai pencahayaan semula jadi.


KIRI: Setiap tahun ratusan sukarelawan berkumpul dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan masjid.


Biarpun, Djenne jarang menerima hujan, Ismaila turut membina corong bagi mengalirkan air daripada bahagian bumbung ke longkang bagi mengelakkan dindingnya daripada diresapi air.

Masjid Besar Djenne berjaya disiapkan pada 1907, iaitu setahun selepas pembinaannya. Di samping menjadi ruang beribadat penduduk sekitar ia juga menjadi antara mercu tanda di Republik Mali.

Setiap tahun, sebuah pesta khas yang meraikan budaya dan muzik tempatan iaitu Festival Crepissage dianjurkan berdekatan dengan masjid itu. Ratusan penduduk di bandar tersebut berkumpul dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan masjid secara sukarela.

Pada 1988, Masjid Besar Djenne telah diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bina semangat dalam kedamaian desa

Posted:

Bina semangat dalam kedamaian desa

Bina semangat dalam kedamaian desa

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

SAYUP-SAYUP kedengaran bait-bait lirik lagu Cinta Muka Buku yang dipopularkan penyanyi kelahiran laman sosial video, YouTube, Najwa Latif memecahkan kesunyian kawasan resort yang terletak di Batu. 19, Hulu Langat itu.

Kelihatan sekumpulan remaja lelaki berusia belasan tahun berkumpul sambil berdiri tegak di dalam sebuah kolam kecil.

"Jangan berhenti, kena nyanyi sampai habis, nanti saya suruh ulang semula," kedengaran lantang suara seorang lelaki di satu sudut kolam.

Ibrahim Mohamed Rashid hanya memerhatikannya dari jauh. Hatinya sedikit terhibur melihatkan teletah kumpulan remaja berkenaan.

Dalam keadaan tubuh basah kuyup, mereka tampak bersungguh-sungguh menyanyikan lagu tersebut.

"Kumpulan remaja itu sedang bermain aktiviti mencari harta karun. Pasti, mereka sedang 'didenda' oleh fasilitator sebab gagal menyelesaikan masalah yang diberikan," katanya kepada Kosmo! pada pertemuan di Nur Lembah Pangsun pada pagi itu.

Ibrahim ialah Pengarah Urusan Nur Lembah Pangsun Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menguruskan rangkaian resort pusat latihan di bawah Kumpulan Nur Eco Resort.

Penglibatan Ibrahim dalam perniagaan yang berkonsepkan resort, program bina diri dan latihan itu bermula kira-kira 15 tahun lalu ketika bertugas di Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Salah satu tugas saya ketika itu ialah mencari kem-kem atau pusat latihan di negara ini untuk melatih dan memberi motivasi kepada para pelajar kolej.

"Apa yang saya perhatikan, kebanyakan pelajar yang mengikuti modul dan program ini mengalami perubahan positif yang membawa kepada kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik malah perlakuan serta sikap mereka.

"Misalnya, jika dahulu pelajar itu malas, dia akan berubah menjadi rajin. Jika dia suka melawan, dia akan mula menghormati orang lain. Di situ timbul kepercayaan dalam diri saya bahawa sesiapa sahaja boleh berubah sekiranya diberi peluang," katanya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.


PERSEKITARAN Nur Eco Resort yang dikelilingi alam semula jadi memberi suasana tenang dan damai.


Percaya potensi

Menyedari potensi yang ada, Ibrahim nekad meletakkan jawatan dan memberi tumpuan terhadap konsep perniagaan yang agak asing dalam kalangan usahawan-usahawan Melayu ketika itu.

Bersama seorang rakan kongsi, beliau memberanikan diri membuka resort pusat latihan pertama, Nur Lembah Pangsun di kawasan seluas 7.3 hektar di Hulu Langat, yang berlatarbelakangkan alam semula jadi dan suasana desa.

Katanya, tema sedemikian sengaja dipilih bagi mewujudkan kelainan kepada setiap peserta di samping membolehkan mereka beraktiviti dalam suasana yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kota.

"Selain menawarkan pelbagai jenis penginapan dari jenis calet, vila, dormitori dan tapak perkhemahan, kami juga menyediakan kemudahan seperti bilik seminar, dewan, surau dan dewan makan.

"Lebih penting, resort pusat latihan seperti ini menyediakan aktiviti lengkap untuk semua peringkat umur sama ada di darat atau air, lasak atau bersifat permainan kekeluargaan atau berpasukan," jelasnya.

Tambah Ibrahim, pada peringkat awal dahulu mereka terpaksa berhadapan pelbagai kesukaran dan rintangan terutama dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan di samping memasarkan konsep perniagaan sedemikian.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan komitmen tinggi selain mengutamakan keselesaan dan kepuasan pelanggan, Nur Lembah Pangsun terus menjadi sebutan sebagai salah sebuah resort pusat latihan terkenal di negara ini.

"Ketika ia mula-mula dibuka dahulu, kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti.


AKTIVITI berhalangan seperti ini menguji keberanian mental dan fizikal peserta.


"Namun dalam tempoh beberapa tahun sahaja, kami mula mendapat tempahan dalam kalangan syarikat-syarikat korporat terkenal," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Permintaan yang sentiasa tinggi dan berterusan mendorong pembinaan beberapa buah resort pusat latihan lain seperti di Nur Bukit Unggul (Sepang), Nur Sungai Merab (Kajang), Nur Lembah Lenggong (Perak) dan Nur Laman Bestari (Hulu Yam) yang diletakkan di bawah Kumpulan Nur Eco Resort.

"Setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri dengan kepelbagaian penginapan dan aktiviti yang ditawarkan serta suasana dan kumpulan sasaran yang berbeza.

"Sama ada untuk seminar, pembinaan pasukan, hari keluarga, hari terbuka dan sebagainya, kami bersedia menerima kehadiran para tetamu, sesuai dengan moto kami iaitu Dekat Di Mata, Lekat Di Hati," katanya sambil memberitahu sebuah resort yang sama bakal dibina di Marang, Terengganu tahun hadapan.

Katanya, berdepan dengan ratusan malah ribuan manusia saban hari menyebabkan pihak pengurusan begitu menitikberatkan aspek keselamatan di setiap resort pusat latihannya.

"Kami mempunyai syarikat Nur Adventurer yang bertanggungjawab menyelenggara dan menyelia peralatan serta aktiviti lasak yang disediakan.

"Pada masa yang sama, setiap peserta di bawah rangkaian kami juga dilindungi perlindungan insurans bermula dari saat mereka menaiki bas ke sini sehingga pulang ke destinasi masing-masing," ujarnya.

Mendamaikan jiwa

Sementara itu, Muhammad Zulfaqar Mohd. Isa, 29, penyelia program Kem Tahsin al-Quran anjuran Pusat Pendikan Al Barakah di Nur Lembah Pangsun berkata, dia sangat berpuas hati dengan kerjasama dan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak pengurusan di situ.

Katanya, sejak berkampung di situ hampir enam minggu lalu, dia mengakui selesa mengendalikan kem berkenaan, biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah peserta yang datang dari seluruh negara.

"Suasana di sini sangat tenang dan mendamaikan jiwa dengan dikelilingi alam semula jadi seperti hutan dan sungai yang mengalir yang sesuai untuk para peserta kami beraktiviti sambil mempelajari teknik dan hafazan al-Quran yang betul," katanya.

Dia yang baru pertama kali diberi peluang mengendalikan kem itu berkata, selain keselesaan penginapan untuk peserta dan fasilitator, kemudahan yang disediakan juga agak lengkap dan mencukupi.


TAPAK perkhemahan turut disediakan bagi kumpulan peserta bina semangat.


"Kami tidak perlu berebut ke dewan makan atau ke dewan, begitu juga ketika melakukan aktiviti-aktiviti luar biarpun terdapat kumpulan lain yang turut sama beraktiviti di sini.

"Paling penting ialah kebajikan dan keselamatan peserta begitu dititikberatkan. Setiap aktiviti yang dilakukan sentiasa dipantau oleh mereka yang berpengalaman dan mahir tentang teknik menyelamat dan bantuan kecemasan," katanya yang juga merupakan seorang guru yang mengajar di Kuala Terengganu.

Bagi Jordan Kong, 39, dari Persatuan Amitabha Kepong pula, pihaknya memilih Nur Lembah Pangsun sebagai lokasi aktiviti kerana kedudukannya yang tidak jauh dari ibu negara.

"Pada masa yang sama, ia juga terletak berdekatan dengan kemudahan awam seperti klinik kesihatan, balai polis dan sebagainya bagi memudahkan sebarang tindakan sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Tambah Jordan, program selama tiga hari dua malam yang melibatkan kira-kira 80 peserta itu lebih tertumpu kepada program bina diri yang menitikberatkan aspek kepimpinan, keyakinan diri dan jati diri.

Atas alasan tersebut, pihaknya memilih untuk berkhemah kerana ia dapat membantu peserta untuk berdikari dan

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved