Ahad, 27 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Elfaeza masih fobia dibuli

Posted:

Elfaeza masih fobia dibuli

Elfaeza masih fobia dibuli

NAMA Elfaeza Ul Haq belum berantai dari bibir ke bibir. Belum terbiasa peminat industri seni lakon tempatan menyebut namanya apatah lagi mengenali peribadi bunga yang datang dari Kota Singa ini.

Namun dalam kesederhanaan, wanita berusia 27 tahun ini mahu mencipta langkah. Dia sudah membikin gelombang kecil dalam kariernya. Lakonan sebagai Azie dalam drama fenomena Adam dan Hawa sudah meninggalkan kesan tersendiri. Di samping kegilaan khalayak terhadap watak Adam serta Hawa bawaan Nadiya Nisa dan Aaron Aziz, Elfaeza juga mendapat rentak serupa.

Walaupun terpaksa membawa bayang-bayang karakter Azie untuk waktu ini, Elfaeza atau ringkas disapa Elfa setidak-tidaknya sudah meninggalkan ingatan. Kesan mula dalam langkah terawal bergelar aktres.

Karier berjalan lancar

Penggerak watak Azie selama 80 episod ini tahu 'roh' Azie masih berlegar dalam dirinya. Dia yang hadir sederhana dan manis di studio Utusan mengaku tidak merancang secara halus setiap gerak langkah. Sebaliknya diserahkan kepada jalan waktu dan takdir untuk bergerak.

"Jalan karier sekarang bergerak lancar. Tidak ada kesesakan trafik," ketawanya kecil sambil disolek.

Ungkap Elfa, usai Adam dan Hawa, dia muncul dalam dalam drama bersiri Cinta Qaseh arahan Feroz Kader. Malah rezekinya berjalan lancar ke drama Dalam Setiap Sujudnya yang yang kini bersiaran di saluran TV9.

Masih dalam lingkungan selesa iaitu di bawah bimbingan sutradara dan produksi yang sama, atas nama kesyukuran Elfa berasa lingkungan keliling banyak membantu pergerakan kerjayanya.

"Walaupun masih berada dalam lingkungan yang sama, saya berterima kasih kepada pihak kru dan tenaga produksi kerana banyak 'menjual' nama saya dan melancarkan kerjaya saya," ujarnya yang sudah menetap di Malaysia sejak 1 Mac tahun lalu.

"Bercerita tentang watak Azie, saya sangat bersyukur kerana dapat peluang tersebut. Tawaran pertama saya di sini adalah adaptasi novel yang laris beserta para pelakon yang bagus. Memang drama ini dijangka sukses tetapi tidak terbayang akan jadi fenomena. Saya tidak pernah menyangka dan tempiasnya," jelasnya yang tidak cuba membuang bayang-bayang Azie sebaliknya menyahut jika dipanggil nama itu oleh umum.

Meneroka kota Kuala Lumpur

Bersendiri meneroka kehidupan di kota Kuala Lumpur sementelah keluarga di seberang tambak, untuk Elfa dia sudah terbiasa hidup berdikari.

Dia nekad berkelana di sini kerana berasakan pergerakan lakonannya di Singapura sudah tersimpul. Sudah tidak mampu berkembang dan demi mahukan kemajuan, dia berhijrah.

"Di Singapura saya sudah berlakon. Juga pernah menjadi pengarah dan produser teater kanak-kanak. Saya masuk dalam industri sejak umur 18 tahun melalui program nyanyian yang dinamakan Anugerah. Saya juga sempat menjadi hos bagi program kanak-kanak Krayon," terangnya yang bercita-cita menjadi seorang guru kerana gemarkan kanak-kanak.

"Pada tahun 2008 sewaktu usia 21 tahun, saya sempat menetap di Kuala Lumpur. Sempat berlakon dua buah drama dengan watak kecil iaitu Impak Maksima dan KL Menjerit. Saya rasa usia terlalu muda untuk saya berdikari jadi saya pulang ke Singapura," cerita Elfa yang sudah menyertai persatuan Seniman sebagai langkah utama berdiri sebagai pelakon di sini.

Merasakan sekarang masa yang sesuai untuk menggelecek bakatnya di padang lakonan, Elfa menyimpan hasrat untuk berlakon filem dan muncul dengan sebuah single nyanyiannya.

"Dalam masa tiga tahun lagi saya mahu jadi aktres yang orang tahu bakat saya. Bukan hanya menjual wajah atau cerita, fokus bakat," azamnya yang menjadikan doa sebagai senjata utama persiapan menjadi anak seni.

KERAP disapa dengan nama Azie, Elfaeza akur dengan 'bayang-bayang' karakter yang mengikutnya buat waktu ini.


"Saya rasa inilah waktunya. Lagipun saya bukan muda lagi. Umur sudah 27 tahun jadi saya perlu cepat mengejar cita-cita saya. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak kelam-kabut," kata Elfa lagi.

Bersendirian di sini, jika tidak sibuk di set penggambaran Elfa mengaku lebih gemar duduk di rumah. Bukan sekadar menimba pengalaman di lokasi, kegemaran menonton drama bersiri juga merupakan bekalan untuknya bergelar pelakon.

"Saya suka menonton siri How I Met Your Mother, New Girl, White Collar dan terbaharu saya menonton drama Korea The Great Seer dan The Rooftop Prince," katanya dengan mata bersinar perihal drama kegemaran.

"Kalau boleh saya mahukan watak-watak profesional seperti doktor atau wartawan. Saya suka menonton drama Amerika yang menjurus kepada profesion," terangnya yang pernah berlakon drama Inggeris bertajuk The Pupil waktu di Singapura.

Pernah kena buli

Wanita muda berdarah Pakistan ini mengaku dia fobia orang. Apatah lagi kalau berada dalam situasi yang penuh dengan manusia.

"Saya takut berdepan orang tambah-tambah orang baharu. Nak datang sesi fotografi ini pun saya berdebar. Saya takutkan suasana, takut juga tersalah cakap," ujarnya yang mengelak menyakitkan hati orang.

"Dahulu masa sekolah saya pernah dibuli rakan-rakan. Mereka pulaukan saya tanpa sebab. Mereka kata tidak berkenan melihat wajah saya, tiada sebab lain. Jadi sejak sekolah lagi saya sudah biasa bersendiri. Rakan-rakan tidak ramai," kata cerita Elfa yang kadangkala keluar bersama rakan-rakan baiknya, Shah Iskandar dan Dazrin Kamarudin.

Kebiasaan itu terbawa-bawa hingga dewasa. Dia banyak bersendiri. Masa lapangnya dihabiskan di rumah untuk membaca atau ke gim, juga sendiri.

"Sejak usia 24 tahun saya mahu bersikap berdikari. Mahu banyak masa sendirian bermuhasabah diri. Kalau keluar pun hanya untuk minum teh bersama rakan-rakan dan kadangkala berkaraoke. Saya tidak suka ke kelab (malam) sebab ramai orang," jujurnya bercerita sedikit kisah peribadinya.

Menyendiri banyak membantu Elfa merenung ke depan untuk membuka gerak sebagai pelakon di Malaysia. Langkah Elfa masih baharu, masih hijau tanah yang dilaluinya. Semoga angin kemeriahan sambutan watak Azie terus membawa dirinya ke kincir kejayaan bergelar seorang aktres.

Zizan pendam rasa cinta

Posted:

Zizan pendam rasa cinta

Zizan pendam rasa cinta

ZIZAN mahu mengelak cerita-cerita yang membabitkan dirinya dengan wanita. Dia mengaku mahu fokus dengan kerjaya.


NAMA Zizan sedang beraja di hati khalayak. Baik penampilannya sebagai pengacara program atau persembahan mahu pun aksinya dalam status sebagai pelawak, humor Zizan pantas disukai ramai.

Baru sahaja memenangi tangga juara pertandingan Maharaja Lawak Mega yang berlangsung minggu lalu, kemenangan itu mengizinkan Zizan dan rakan sepasukannya, Johan membawa pulang kejuaraan berharga RM500,000.

Terdahulu Zizan juga pernah dinobatkan juara Super Spontan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry.

Solo, semakin stabil dengan perjalanan karier dan nama sedang mengharum, pasti gosip-gosip cinta menghampiri jejaka yang berasal dari Terengganu itu.

Namun apabila diterjah dengan soalan-soalan bersifat sedikit peribadi, Zizan dalam nada serius mahu mengelak cerita cinta daripada keluar terlalu kerap ditatap peminat.

Terbaharu, dia dikaitkan dengan aktres cantik Elfira Loy. Mengaku hanya rakan biasa, Zizan meminta cerita ini tidak diperpanjangkan.

Apa aktiviti terkini Zizan ?

ZIZAN: Saya akan ke Australia malam ini (Jumaat) untuk sesi penggambaran majalah. Di sana selama lima hari. Kemudian saya akan ke London pula untuk sesi penggambaran bersama pihak penaja. Itu akan berlangsung selama dua minggu.

Dengarnya Zizan ada menaruh hati terhadap Elfira Loy?

Kami kawan biasa-biasa sahaja.

LAKONAN Elfira Loy sebagai Marjinah di Istana Budaya mengundang minat Zizan.


Mata-mata memberitahu, Zizan menonton teater Ali Baba di Istana Budaya untuk melihat Elfira. Khabarnya, ibu Zizan juga bersama.

Tak adalah bawa. Saya dapat tiket daripada pengurus. Saya pergi ke sana untuk melepaskan tekanan sewaktu terlibat dengan program Maharaja Lawak Mega. Saya pergi dengan Kaka. Kebetulan Kaka memang baik dengan El (Elfira) sebab mereka sama-sama terlibat dalam program Fear Factor.

Sejauh mana khabar angin mengaitkan Zizan dan Elfira?

Tidak ada kena mengena. Ini bukan perkara besar pun. Kami kawan sahaja dan tidak ada ke arah lain. Tidak payah tulislah tentang ini.

Sudah rimas dikaitkan dengan ramai wanita?

Saya takut jadi tak best. Sebelum ini pun orang kaitkan saya dengan Emma Maembong walhal kami satu bumbung pengurusan. Payah nanti orang cakap macam-macam. Kalau boleh saya nak mengelak cerita-cerita macam ini. Kalau boleh tidak payahlah tulis cerita-cerita macam ini.

Khalayak mahu tahu juga cerita-cerita Zizan.

Kalau boleh saya mahu mengelak cerita macam ini. Banyak lagi aktiviti yang saya lakukan. Saya pun tidak fikir ke arah itu. Susah pun ada. Terlampau banyak cerita-cerita gosip cinta ini. Saya mahu fokus dengan kerja. Saya pun ada hobi baharu iaitu bermain kereta kawalan jauh.

Noryn berdakwah melalui lagu

Posted:

Noryn berdakwah melalui lagu

Noryn berdakwah melalui lagu


'SENYAP' seketika untuk jangka beberapa waktu, Noryn bakal muncul dengan dua buah single yang mempamerkan kelainan nyanyiannya.


DALAM busana jubah hijau dan solekan tipis, Noryn Aziz hadir ke studio Nar Records untuk kembali berada dalam atmosfera yang pernah dilaluinya.

Hampir dua tahun dia tidak melaksanakan tugasan sebagai penyanyi rakaman. Kali terakhir, isteri Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah ini muncul dengan album I'm Alright pada tahun 2010. Sedihnya album itu tidak mendapat perhatian ramai seperti album perdananya, Fantasi O Realiti (1997).

Jangkaan bahawa Noryn bakal muncul dengan lagu-lagu ketuhanan sedikit meleset. Kolaborasi bersama Adi 6ixth Sense menyediakan dua juadah telinga yang cukup indah. Kedua-duanya mempamerkan perbezaan dalam sentuhan namun disantunkan dalam lagu-lagu yang kena rasa.

Kedua-dua ini diberi ruang pradengar. Sedikit berbeza dengan penampilan Noryn yang dahulu. Lagu dengan tajuk Mutiara bakal memberikan rasa jazz yang lembut dan sedikit ringan manakala Tinta Putih pula menjurus kepada gelombang ketuhanan.

"Selama ini saya buat lagu sendiri. Sekarang saya tidak rasa saya boleh buat kerana faktor masa. Saya juga sudah biasa dengan lagu-lagu yang teknikal. Jadi saya mencari komposer yang mencipta lagu melalui hati. Jodoh saya bertemu Adi. Dia sangat disiplin dan berbakat," senyum Noryn yang terasa perbezaan dalam keluaran produknya kali ini.

Mengaku tidak menyanyikan lagu sebegini sebelum ini, Noryn lantas mengaku mencari lagu yang bersifat komersial. Juga mahukan sebuah lagu yang boleh dinyanyikan khalayak beramai-ramai.

"Lagu kedua bertajuk Tinta Putih pula merupakan sebuah lagu dengan konsep ketuhanan. Juga dibuat oleh Adi dan liriknya ditulis oleh Buddhi Hikayat," terang Noryn yang mengaku projek kali ini adalah daripada kewangannya sendiri.


BUDDHI HIKAYAT (dua dari kiri) dan Adi (bertopi) berkolaborasi untuk lagu Tinta Putih nyanyian Noryn Aziz. Kerjasama ini turut dibantu Amir (kiri) yang bertugas di studio Nar Records.


Menyasarkan lagu Mutiara bakal bertemu para pendengar pada bulan Februari kelak, Noryn mengaku dia pernah memperlahankan aktiviti seninya seketika.

"Saya pernah rasa mahu berhenti menyanyi. Tetapi apabila saya fikirkan bahawa muzik ini dapat memberikan sesuatu yang positif, saya kembali. Saya mahu melakukan sesuatu kepada khalayak dengan memberikan mesej yang baik dalam lagu dan lirik. Saya mahu berdakwah secara kecilan melalui muzik," jelasnya yang menganggap muzik mempunyai kuasa yang kuat dalam masyarakat.

Adi yang merupakan komposer kedua-dua single baharu Noryn memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama dia muncul dengan lagu-lagu sebegini. Adi dibantu oleh pemuzik seperti Ayoy (bass), Wan (drum), Jay (gitar), Firdaus (keyboard) dan Eddie Marzuki (string)

"Lagu Mutiara dengan muzik jazz yang ringan ini idea Noryn. Lagu ini bercerita tentang wanita. Sesuatu yang dekat dengan kita semua," ujar Noryn bersemangat untuk bertemu khalayak kembali dengan lagu yang menampilkan kelainan dan tersendiri.

Ditemani Buddhi dan Adi sewaktu rakaman vokal, Noryn mengaku berasa gemuruh memasuki studio kembali. Lama tidak menjejak kaki, lama juga masa yang diambil untuk masuk kembali ke gear rakaman.

"Saya akui, ada rasa gemuruh kerana sudah lama tidak masuk ke studio. Semoga lagu-lagu saya kali ini diterima pendengar. Seperti yang saya katakan, saya mahu berdakwah melalui lagu," senyumnya cantik.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved