Isnin, 14 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bakal pindah ke Sabah

Posted:

Bakal pindah ke Sabah

Bakal pindah ke Sabah

DEBARAN bakal pengantin semakin dirasai oleh aktres dan penyanyi genit, Liyana Jasmay. Ketika ditemui pada sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, wajah Liyana dilihat semakin berseri-seri manakala topik perkahwinan tidak lekang dari bibirnya.

Liyana, 25, bakal bernikah dengan Fathuddin Mazlan, 29, pada 2 Februari ini di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur dan majlis resepsi sebelah perempuan akan berlangsung pada sebelah malam hari yang sama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Majlis resepsi sebelah lelaki pula akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 9 Februari.

Terus terang kata Liyana, perasaannya kini bercampur baur antara teruja, gementar dan bahagia.

"Memang saya teruja, gembira dan tidak sabar untuk menanti majlis perkahwinan saya. Kalau boleh biarlah cepat-cepat perkahwinan berlangsung. Ini kerana selagi belum tiba majlis perkahwinan, selagi itu bermacam-macam perkara saya fikirkan tentang persiapan majlis.

"Alhamdulillah, persiapan hampir siap sepenuhnya. Tertekan itu perkara biasa untuk semua bakal pengantin tetapi saya bertuah kerana dua orang kakak saya yang telah berkahwin membantu melancarkan persiapan majlis perkahwinan saya," katanya yang telah bertunang pada 28 Mac tahun lalu.

Disoal kenapa Fathuddin menjadi lelaki pilihannya untuk dijadikan suami, dia lantas tersenyum simpul sambil memberitahu pemuda itu merupakan lelaki yang tepat untuk dirinya.

"Dia seorang yang penyabar, fleksibel dan memahami diri saya. Saya pula jenis orang yang tidak sabar, jadi apabila bersamanya saya rasa tenang.

"Sebenarnya, dia tahu saya seorang anak manja, semuanya ibu saya sediakan dan kalau di rumah saya mempunyai pembantu rumah.


LIYANA menaruh harapan perkahwinannya nanti akan kekal seumur hidupnya.


"Dia tidak kisah dan sebab itu saya bertuah dia menjadi bakal suami saya," luahnya.

Apabila ditanya persediaannya untuk bergelar seorang isteri, Liyana terdiam seketika.

Sambil tersenyum, tuturnya: "Perkahwinan bukan untuk sehari sahaja tetapi kalau boleh untuk seumur hidup. Apabila saya berkahwin dan bertukar status, bermulalah kehidupan saya pada fasa yang lain.

"Ya, saya akui selama ini keluarga sentiasa berada di belakang saya terutamanya ibu. Perubahan akan berlaku secara automatik apabila sudah berkahwin nanti kerana waktu itu saya sudah ada tanggungjawab lain.

"Selepas ini saya kena belajar buat semua sendiri dan saya tidak sabar untuk belajar hidup berdikari. Semasa belajar di New York, saya banyak membeli buku masakan kerana ingin belajar cara memasak juadah yang digemari tunang saya terutama masakan Itali," ucap Liyana penuh makna.

Selepas berkahwin kelak, Liyana memberitahu dia akan berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah, mengikut bakal suaminya yang bekerja di sana. Meninggalkan keluarga sudah tentu suatu perkara yang berat tetapi tidak baginya.

"Saya tidak sedih tinggalkan keluarga selepas berkahwin walaupun selama ini saya memang tinggal dengan keluarga. Bukannya saya tidak berjumpa mereka langsung selepas itu. Sudah tentu saya akan berulang alik di antara Sabah dan Kuala Lumpur," katanya.

Usia yang muda tidak menghalang Liyana untuk memiliki anak dengan kadar segera selepas berkahwin. Jelasnya, tunangnya itu amat sukakan kanak-kanak, begitu juga dengannya yang telah memiliki lima orang anak buah.

"Kalau ikutkan saya tidak kisah untuk mendapat anak segera kerana ia merupakan rezeki Allah. Berapa ramai anak pun saya tidak kisah.

"Jika ada rezeki saya terima, jika ramai anak nanti apabila mereka dewasa baru rasa meriah, sama seperti keluarga saya sekarang ini," balasnya.

Enggan ditaja

Bercakap tentang majlis perkahwinan selebriti yang biasanya mendapat tajaan mencecah ribuan sehingga jutaan ringgit, berbeza pula dengan Liyana.

Majlis perkahwinannya yang menelan kos yang agak besar itu dibiayai sepenuhnya oleh Liyana dan keluarganya sendiri tanpa sebarang tajaan.

Bukan tidak ada pihak yang ingin memberikan tajaan, tetapi Liyana memilih untuk melakukan semua persiapan sendiri supaya majlis perkahwinannya lebih bermakna.

"Ramai yang datang untuk memberikan tajaan pelamin, dekorasi, fotografi dan sebagainya tetapi saya tolak dengan baik kerana ingin melakukan semuanya sendiri.

"Saya mahu sebuah majlis perkahwinan yang ringkas dan lebih dekat dengan jiwa semua yang hadir. Apabila saya buat pilihan sendiri, saya rasa puas tanpa perlu memikirkan hati atau keuntungan pihak lain," katanya penuh jujur.

Menyambung cerita tentang majlis perkahwinannya, perkara yang paling diutamakan Liyana sudah tentu gaun pengantinnya.

"Perkara lain pun penting juga tetapi bagi saya, paling penting adalah gaun pengantin. Walaupun saya sibuk belajar di New York selama enam bulan, saya sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini gaun pengantin saya yang dibuat oleh pereka fesyen, Jovian Mandagie.

"Pelamin semuanya ringkas sahaja. Kecuali gaun pengantin saya (ketawa). Sudah lama saya idamkan gaun rekaan Vera Wang tetapi ia sangat mahal, jadi saya minta Jovian membuat gaun mengikut kehendak saya. Apa yang saya boleh katakan gaun yang dibuat Jovian itu merupakan pakaian pengantin impian saya," ujarnya.

Ke New York bersama Fathuddin

Menyentuh tentang kerjaya lakonan dan nyanyiannya, walaupun telah bergelar isteri kelak, Liyana tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.

Tiada halangan daripada pihak bakal suami, bahkan Liyana kini semakin sibuk dengan syarikat produksinya, Mermaid Studio.

"Ketika keluarga tunang saya datang merisik, ayah saya siap pesan awal-awal kepada Fathuddin bahawa saya tidak boleh berhenti berlakon kerana itu merupakan minat saya.

"Dia juga tidak menghalang, malah beberapa hari selepas berkahwin saya akan terbang ke New York untuk menjalani penggambaran telefilem khas untuk siaran Astro.

"Saya akan berada di sana selama 15 hari dan akan bawa Fathuddin sekali. Jadi, sambil bekerja kami pergi berbulan madu ekspres (ketawa)," jawabnya.

Selain itu, Liyana yang bakal muncul dengan filem Papadom 2, Tokan dan Isyarat Cinta pada tahun ini juga akan muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul, Jujur selepas pada tahun lepas popular di corong radio dengan lagu Cinta Bersatu.

"Berlakon tetap berlakon cuma buat masa ini jadual saya sangat padat. Selepas kahwin saya akan beri fokus kepada single Jujur sebelum muncul dengan sebuah album penuh yang akan memuatkan lima buah lagu keseluruhannya," katanya.

Demi kelangsungan kerjayanya, Liyana yang baru menamatkan kursus jangka pendek selama enam bulan dalam bidang lakonan dan pengarahan filem di Akademi Filem New York, memberitahu mindanya kini lebih terbuka selepas menuntut ilmu di sana.

"Banyak perkara baharu yang saya pelajari kerana di sana saya berjumpa dengan ramai orang dari seluruh dunia. Mereka semua mempunyai pemahaman seni yang tersendiri tetapi uniknya, masalah yang berlaku dalam industri seni Malaysia turut berlaku di Hollywood.

"Apa yang mereka lakukan, berhenti merungut sebaliknya lakukan sahaja kerja kita. Alhamdulillah, dengan ilmu yang saya peroleh saya akan gunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan karya yang boleh dinikmati semua orang," katanya yang akan mengarah filem pendek buat pertama kalinya pada tahun ini.

Lohan dituduh mencuri lagi

Posted:

Lohan dituduh mencuri lagi

Lohan dituduh mencuri lagi


RANTAI peninggalan mendiang Taylor pula dikatakan dicuri oleh Lohan.


AKTRES Lindsay Lohan sememangnya boleh dikategorikan sebagai artis yang bermasalah. Baru-baru ini aktres tersebut dituduh mencuri lagi – kali ini bukan calang-calang barangan yang dikatakan telah dicurinya tetapi merupakan rantai milik mendiang bintang legenda Elizabeth Taylor.

Seperti yang dilaporkan Daily Mail, Lohan dikatakan mencuri rantai tersebut daripada seorang jururawat yang telah lama bekerja dengan mendiang.

Memandangkan jururawat itu sudah lama menjaga Taylor, akhirnya mendiang telah menghadiahkan rantai kesayangannya itu. Sebagai hadiah daripada seorang aktres tersohor, jururawat tersebut menganggapnya sebagai hadiah yang sangat berharga.

"Elizabeth Taylor telah menghadiahkan salah satu rantai kepada jururawat yang sudah lama berkhidmat dengannya. Tidak dinafikan rantai itu agak mahal dan sangat bererti buat mendiang," jelas satu sumber kepada Contactmusic.

Kejadian itu dikatakan berlaku masa Lohan berkunjung ke rumah jururawat berkenaan baru-baru ini dan sehingga sekarang bukti kehilangan lebih menjurus kepada aktres itu.

"Sewaktu melihat rantai berkenaan Lohan seperti sangat kagum dengan kecantikannya. Tidak lama kemudian, rantai itu didapati hilang iaitu pada hari yang sama Lohan berkunjung ke rumah jururawat itu," ujarnya.

Saya tidak disingkirkan – Kenchana Devi

Posted:

Saya tidak disingkirkan – Kenchana Devi

Saya tidak disingkirkan – Kenchana Devi

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


TINGGAL kenangan. (Dari kiri) Halim Othman, Nabil dan Kenchana sedang bertugas di konti Suria FM.


SETELAH setahun menghiburkan para pendengar Suria FM menerusi segmen Ceria Pagi Di Suria pada pukul 5 hingga 10 pagi, jodoh pelakon Kenchana Devi dengan stesen radio tersebut berakhir pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini tersebar cerita yang mengatakan pelakon berkenaan telah disingkirkan bersama seorang lagi penyampai iaitu Tyzo atau Tuah Zoqarnain.

Berkesempatan menemui Kenchana selepas berakhirnya acara Anugerah Juara Lagu ke-27 di Stadium Putra Bukit Jalil pada Ahad lalu, pelakon itu menafikan dirinya disingkirkan stesen radio berkenaan.

Sebaliknya, Kenchana menjelaskan kontraknya dengan Suria FM sudah berakhir dan dia sendiri yang membuat keputusan untuk tidak menyambung tugas sebagai penyampai di situ.

Kosmo!: Benarkah cerita yang mengatakan penamatan kontrak Kenchana dengan Suria FM diberitahu pada hari terakhir anda bertugas?

KENCHANA: Sebenarnya saya agak terkejut apabila cerita ini dikeluarkan dalam media. Untuk pengetahuan semua, kontrak saya memang tamat pada 31 Disember lalu dan saya sendiri yang ambil keputusan tidak menyambungnya.

Secara jujurnya, saya memang sudah lama bercadang untuk berhenti iaitu sejak dua bulan lalu.

Perkara ini sudah saya bincangkan bersama pihak pengurusan stesen dan mereka menerima keputusan saya ini.

Bagaimanakah cerita tentang penyingkiran anda ini boleh timbul?

Saya sendiri tidak pasti bagaimana perkara ini timbul memandangkan kontrak saya dengan Suria FM pun cuma setahun dan ia kini sudah berakhir setelah dibincangkan lebih awal lagi.

Lagipun tidak ada mana-mana pihak yang menghubungi saya untuk mengetahui perkara sebenar. Kalau ada yang menghubungi saya untuk mendapatkan kenyataan, sudah tentu perkara ini tidak timbul.

Apakah yang menyebabkan Kenchana mengambil keputusan tidak menyambung kontrak dengan Suria FM?

Buat masa ini saya mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada syarikat produksi saya iaitu Kanchana Shakti Production Sdn. Bhd. yang sudah tujuh tahun ditubuhkan.

Kini, syarikat saya itu semakin banyak menerbitkan drama dan telefilem dan sudah tiba masanya saya memberikan tumpuan sepenuhnya, selain meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

Adakah Kenchana tidak rindu setelah tidak lagi menjadi penyampai radio?

Sudah tentu saya rindu terutamanya para pendengar yang banyak memberikan maklum balas yang positif. Tidak dinafikan ramai yang terkejut apabila saya mengundur diri dan tidak lagi menjadi penyampai radio.

Apakah pengalaman yang Kenchana dapat sepanjang setahun bersama Suria FM?

Boleh dikatakan banyak benda yang saya pelajari serta dapat meluaskan lagi pengetahuan tentang pelbagai perkara yang berlaku. Bertugas sebagai penyampai radio, saya perlu tahu situasi terkini yang berlaku dan memerlukan saya membuat kajian sebelum ke udara.

Selain itu, saya juga dapat berkomunikasi terus dengan pendengar dan paling menarik, dapat mengajar mereka bahasa Tamil.

Kalau ada peluang lagi, adakah Kenchana tidak teringin untuk menjadi penyampai radio semula?

Keinginan untuk menjadi penyampai radio itu memang ada, malah bos saya di Suria FM iaitu Adiwati Zainuddin telah melayan saya dengan baik dan mengalu-alukan sekiranya saya berhasrat untuk kembali semula.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved