Khamis, 29 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nelayan jadi mangsa perebutan pulau

Posted:

Nelayan jadi mangsa perebutan pulau

Nelayan jadi mangsa perebutan pulau

MALANG menimpa Tran Hien apabila bot nelayan miliknya dikesan sepasukan polis China ketika menangkap ikan di perairan yang menjadi rebutan beberapa buah negara. Kapal peronda dari China itu, kemudiannya bertindak merampas bot kayu, menahan tekong dan awak-awak serta menghumban mereka ke dalam penjara.

Selama beberapa generasi, nelayan di kepulauan Vietnam hanya berdepan bahaya seperti ribut ketika menangkap ikan di laut. Bagaimanapun kini, mereka semakin tertekan apabila Beijing menghantar kapal peronda bagi mengawasi perairan yang menjadi tuntutan pelbagai negara.

Para nelayan Vietnam terpaksa menangkap ikan di kawasan lebih jauh bagi mendapatkan hasil yang banyak. Akibatnya, mereka berada dalam dilema berikutan tuntutan kepulauan bertindih antara beberapa negara yang sehingga kini belum menemui titik noktah.


CHINA antara negara yang paling agresif apabila bukan sahaja meningkatkan jumlah kapal peronda bahkan menangkap nelayan di perairan Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel.


Menurut pegawai kerajaan dan nelayan Vietnam, beberapa tahun kebelakangan ini, China semakin agresif mengawal perairan di Kepulauan Paracel dan Spratly yang terletak di Laut China Selatan itu. Di Vietnam kawasan tersebut dikenali sebagai Laut Timur.

China menguatkuasakan larangan menangkap ikan dan mengarahkan pasukan peronda mereka menghalau bot-bot nelayan negara lain yang mendekati perairan tersebut.

"Mereka lengkap bersenjata, memaksa kami ke depan bot sebelum naik menangkap kami. Saya dipenjarakan di Penjara China selama 49 hari dan ketika itulah anak lelaki sulung saya dilahirkan," kata Tran Hien, yang ditangkap pada Mac lalu bersama 10 awak-awaknya berhampiran Pulau Paracel.

Kapten bot berusia 33 tahun itu menambah: "Tentera China merampas jaring dan GPS (Sistem Penentu Kedudukan) mengakibatkan saya kini menanggung hutang yang banyak."

Apa yang pasti, serangan tentera China itu bukan hanya dialami Tran Hien. Beberapa minggu sebelum itu, beberapa nelayan Vietnam turut ditahan kapal peronda China. Kedua-dua kapten dipukul dan kesemua 21 awak-awak bukan sahaja dipenjarakan tetapi tidak diberi makanan yang mencukupi.


HAMPIR kesemua negara yang membuat tuntutan mempunyai kubu tentera di beberapa pulau di Kepulauan Spratly dan Paracel.


Pihak berkuasa Vietnam menyatakan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ratusan nelayan dan bot telah ditahan pihak berkuasa China berhampiran kedua-dua kepulauan berkenaan.

Kekurangan sumber ikan di pesisir laut akibat peningkatan aktiviti nelayan dari Ly Son (terletak 30 kilometer di timur bandar Vietnam) memaksa mereka mencari rezeki ke kepulauan terlarang itu.

Perebutan maritim

Menurut pihak berkuasa Vietnam, pulau-pulau yang dipanggil Truong Sa dan Hoang Sa oleh penduduk tempatan terletak lebih dekat dengan Vietnam berbanding China.

"Kerajaan menggalakkan kami menangkap ikan di Kepulauan Paracel dan Spratly kerana terdapat banyak ikan, bahkan hakikatnya kami memang telah sekian lama mencari rezeki di situ," kata Le Khuan, 52, kepada AFP ketika ditemui di rumah kecilnya di Pulau Ly Son.


PENDUDUK Vietnam mengadakan demonstrasi membantah tindakan China yang meningkatkan kekuatan tenteranya sehingga mengancam nyawa nelayan.


Selain China, semua negara serantau yang membuat tuntutan ke atas Kepulauan Spratly dan Paracel telah menempatkan tentera di beberapa pulau di kepulauan tersebut.

Negara-negara lain yang terbabit dalam tuntuan berkenaan termasuklah Taiwan, Malaysia, Filipina dan Brunei.

Bagaimanapun, China yang menuntut keseluruhan semua pulau di Spratly dan Paracel sejak setahun lalu sudah meningkatkan kekuatan ketumbukan tenteranya.

Tenteranya bukan sahaja membina kubu di pulau dan membuat rondaan dengan kapal, bahkan turut menghalau para nelayan.

"Memang benar, negara-negara terbabit pasti memberi tekanan untuk mendapatkan hak di kawasan pertikaian ini. Bahkan, kebelakangan ini ia bertukar menjadi bertambah tegang," kata Simon Funge Smith, Ketua Pegawai Pertanian dan Makanan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya, rahsia yang tersimpan di dasar kepulauan berkenaan bukan hanya ikan yang banyak, tetapi juga telaga minyak dan gas.


PULAU Thitu merupakan salah sebuah pulau di Kepulauan Spratly yang diduduki Filipina dan dilengkapi dengan landasan kapal terbang.


Perbalahan bila-bila masa

Orang Cina memanggil Pulau Paracel sebagai Xisha dan menuntutnya sejak Perang Vietnam 1974 dan kemudian turut menuntut Spratly.

Beijing memberikan alasan sejarah yang menyaksikan penguasaan mereka di Laut China Selatan untuk merebut kepulauan tersebut.

Apa yang pasti berdasarkan situasi semasa termasuk kehadiran pesawat Sukhoi dan J-10 di udara serta kapal peronda dan kapal selam di lautan, para pemerhati berpendapat perbalahan atau peperangan boleh tercetus pada bila-bila masa.

"Risiko peperangan amat tinggi. Tindak balas melampau antara pihak-pihak berkenaan boleh menjadi pencetus seperti peronda melepaskan tembakan terhadap nelayan," kata Sam Bateman, pakar keselamatan marin di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.


PETA menunjukkan kedudukan Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel yang menjadi rebutan China, Vietnam, Malaysia, Brunei, Filipina dan Taiwan.


Selain itu, nelayan Filipina juga tidak berpuas hati dengan kewujudan anggota peronda China bersenjata berhampiran Scarborough Shoal, kira-kira 230 kilometer dari pantai Filipina.

Malah, ketegangan memuncak apabila Manila menuduh nelayan China mengambil spesies terancam di kawasan berkenaan seperti terumbu karang.

Apa yang pasti komuniti nelayan yang mencari rezeki di perairan Spratly dan Paracel kini semakin tersepit dalam pertikaian antarabangsa yang turut mengancam nyawa mereka.

"Kami menganggap lokasi menangkap ikan, Truong Sa dan Hoang Sa umpama sebuah taman atau sawah padi," kata seorang nelayan dari Ly Son, Pham Hoang.

Katanya lagi, ditangkap pihak berkuasa China merupakan perkara paling ditakuti oleh 3,000 nelayan di pulau berkenaan.

"Kami berusaha mendidik para nelayan kami untuk menjauhi konflik, namun kawasan tersebut milik kami. Tidak sepatutnya kami takut untuk keluar menangkap ikan," tegasnya.

Jika pertelingkahan berlarutan, nelayan di Ly Son tiada pilihan selain meneruskan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut.

"Menangkap ikan adalah sumber utama pendapatan kami. Kawasan tersebut milik kami, laut kami dan kami akan pertahankan kedaulatannya. Kami akan terus memancing serta menangkap ikan," kata Pham Hoang.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Hubungan akrab pemimpin, media Sabah

Posted:

Hubungan akrab pemimpin, media Sabah

Hubungan akrab pemimpin, media Sabah


ANIFAH (tengah) bersama wakil media Sabah bergambar kenangan selepas majlis makan tengah hari di Kuala Lumpur semalam.


MESRA. Lebih 200 orang perwakilan, pemerhati dan wartawan dari Sabah diraikan dalam majlis makan tengah hari sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam.

Majlis tersebut merupakan anjuran Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang juga merupakan Ahli Parlimen Kimanis.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

Gotong-royong bersih kampung Orang Asli

Posted:

Gotong-royong bersih kampung Orang Asli

Gotong-royong bersih kampung Orang Asli


KIM POO (tengah) memeriksa keadaan pintu utama rumah seorang penduduk Orang Asli Kampung Laguna Park, Pulau Indah baru-baru ini.


SEPAKAT. Kira-kira 110 orang terlibat dalam aktiviti majlis gotong-royong membersihkan kawasan Perkampungan Orang Asli Laguna Park, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini anjuran Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang.

Mereka terdiri daripada ahli Pergerakan Wanita UMNO Klang, anggota serta pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan serta Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.

Penyelaras BN Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, program itu diadakan untuk menjadikan kampung tersebut bersih dan indah.

"Kita mahu kampung Orang Asli ini sentiasa bersih kerana kebersihan sangat penting dijaga dan ia juga akan melahirkan masyarakat yang sihat serta ceria.

"Aktiviti seperti ini juga dapat membantu dan mendidik penduduk supaya menjaga persekitaran mereka bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes daripada berleluasa," katanya.

Hadir sama Tok Batin Kampung Laguna Park, Intan Indik.

50 penduduk terima sumbangan program ZOOM

Posted:

50 penduduk terima sumbangan program ZOOM

50 penduduk terima sumbangan program ZOOM


AZHAR (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan sempena program ZOOM di Sungai Petani baru-baru ini.


SUMBANGAN. Seramai 50 penduduk dari beberapa buah kampung yang menghadapi masalah kesihatan dipilih sebagai penerima sumbangan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani melalui Program Ziarah Orang Muda (ZOOM) di Parlimen Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Ketua pergerakan itu, Azhar Mahmud berkata, program ZOOM boleh merapatkan hubungan antara generasi muda dengan Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Petani.

"Kami melawat ke rumah mereka dan memberi sumbangan berupa barangan makanan seperti beras, susu dan minyak masak.

"Walaupun tidak seberapa nilainya tetapi ia mampu menceriakan mereka dan anggota keluarga masing-masing," katanya yang juga Pengerusi Komuniti Belia Sungai Petani.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


'Tolong selamatkan saya'

Posted:

'Tolong selamatkan saya'

'Tolong selamatkan saya'

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL
faiz.abu@kosmo.com.my

ANGGOTA polis memeriksa mayat Sukini yang mati terjatuh dari tingkat sembilan sebuah
kondominium di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang pekerja kedai dobi terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera secara mental oleh majikannya apabila wanita tersebut ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat sembilan sebuah apartmen semalam.

Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada pukul 11 pagi di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini itu menyebabkan Sukini, 30-an, maut apabila cubaannya untuk melarikan diri dengan memanjat balkoni rumah majikannya yang berketurunan Cina gagal sebelum dia terjatuh.

Difahamkan, ketika hendak memanjat, wanita dari Kalumpang, Sulawesi itu telah tergelincir dan sempat berpaut beberapa minit pada tembok balkoni itu sebelum terjatuh.

Turut ditemui di sisi mangsa ialah satu bungkusan kain batik mengandungi beberapa helai baju, seluar dan sabun.

Pekerja dobi berkenaan yang ingin dikenali sebagai Yanti, 40, berkata, dia begitu kesal dengan kematian Sukini kerana dia memang bercadang untuk menyelamatkan wanita itu sebaik mendapat nota terakhir mangsa yang ditulis di atas tisu pada pukul 9 pagi kelmarin.

Nota itu berbunyi: "Kakak, tolong selamatkan saya. Kalau kakak tak boleh tolong saya nekad lari ikut balkoni."

Mangsa baru bekerja sejak dua minggu lalu dengan majikannya itu.


ANAK panah menunjukkan arah Sukini terjatuh.


"Sejak dua minggu lalu, saya mendapat tiga nota ditulis di atas tisu yang dicampak mangsa setiap kali dia lalu di depan kedai bersama majikannya untuk membeli nasi lemak pada waktu pagi.

"Ia berkisar mengenai kesulitan dan kesengsaraannya sejak bekerja dua minggu lalu. Mangsa turut mengadu dia tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa termasuklah keluarganya yang berada di Kalumpang, Sulawesi," dakwanya ketika ditemui.

Ceritanya, nota keempat diterimanya pagi kelmarin. Nota itu memintanya supaya menyelamatkan amah tersebut atau dia akan nekad lari melalui balkoni kerana tidak tahan apabila sering dimaki hamun oleh majikannya.

"Sejurus membaca nota itu, saya telah melaporkannya kepada seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, belum sempat dia diselamatkan, kami mendapat berita dia telah mati akibat terjatuh," dakwanya lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut.

Penasihat Menteri Penerangan, Sosial dan Budaya bagi Kedutaan Indonesia di Malaysia, Suryana Sastradiredja pula ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seorang pembantu rumah dari Jakarta, Indonesia yang dikenali sebagai Suryani, 24, cedera teruk akibat dipukul dengan batang mop oleh anak majikannya yang berketurunan Cina di Taman Patani Indah, Sungai Petani, Kedah.

Tiga beranak ditemui rentung berpelukan

Posted:

Tiga beranak ditemui rentung berpelukan

Tiga beranak ditemui rentung berpelukan

BELURAN, Sabah - Seorang ibu bersama dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai peralatan dan perkakasan di bandar ini kelmarin.

Mayat Siti Jainah Ajak, 39, bersama dua anak perempuannya, Siti Aznizah Hussin, 9, dan Siti Azikah, tiga tahun, ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi tingkat atas kedai itu, tempat mereka tinggal, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin.

Mereka terperangkap di rumah kedai itu yang dipasang dengan jeriji besi dan api yang bermula dari tingkat bawah merebak dengan cepat dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.

Suami mangsa yang juga pemilik kedai itu, Hussin Ismail bersama seorang lagi anak mangsa, Mohd. Aznizam, 11, tidak berada di rumah semasa kebakaran.

Jemishin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.01 malam dan menghantar sebuah jentera bomba bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.

Katanya, mereka tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.59 malam tetapi api sudah merebak di tingkat bawah dan atas kedai tersebut.

Menurutnya, dua kenderaan pelbagai guna bersama enam lagi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan turut dihantar ke tempat kejadian.

Beliau berkata, api dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.58 pagi dan pemeriksaan di tingkat atas kedai tersebut menemui tiga mayat yang rentung terbakar di bilik mandi.

Jemishin berkata, mayat ibu bersama dua anak perempuannya itu kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.

Katanya, dua lagi premis terletak bersebelahan membabitkan sebuah restoran dan Pejabat Parlimen Beluran hanya mengalami sedikit kerosakan. Menurutnya punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. - Bernama

Gadis didakwa dera amah

Posted:

Gadis didakwa dera amah

Gadis didakwa dera amah


CHIA LIN diiring keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang cedera akibat didera majikannya memasuki episod baharu apabila seorang pengusaha salun didakwa atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Bagaimanapun, Khor Chia Lin, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abdidin. Chia Lin merupakan anak perempuan majikan kepada amah yang dikenali sebagai Suryani, 24.

Chia Lin didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Suryani dengan menggunakan batang mop di rumahnya di No. 22, Taman Patani Indah, di sini pada pukul 11 pagi, 23 November lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Intan Nurul Farena kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anida Mohd. Nasir dan peguam bela, Loo Yook Khin. Beliau turut menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang itu.

Yook Khin memberitahu, ibu tertuduh yang ditahan bersama anak guamnya sebelum ini telah dibebaskan selepas didapati tidak terlibat.

Sementara itu, Pemangku Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Sofiana Mufidah yang turut menyaksikan prosiding itu berpuas hati dengan siasatan dan proses pendakwaan.

Katanya, dia berterima kasih kepada media kerana memaparkan berita berhubung kes penderaan pembantu rumah Indonesia.

Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, Suryani dari Jakarta, melarikan diri dari rumah majikannya Ahad lepas selepas tidak tahan didera hingga cedera teruk di muka dan badan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Wajib menang, habis cerita

Posted:

Wajib menang, habis cerita

Wajib menang, habis cerita

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my

HARIMAU Malaya wajib menang pada aksi menentang Indonesia esok jika mahu layak ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012.


Itu misi 'hidup dan mati' Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Atas kertas, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal masih berpeluang mara ke separuh akhir sekiranya sekadar melakar keputusan seri, itu pun jika Laos berjaya mengejutkan Singapura dalam satu lagi aksi terakhir kumpulan di Stadium Shah Alam yang bakal berlangsung serentak malam esok.

Ini kerana jumlah perbezaan jaringan masih berpihak kepada Harimau Malaya yang kini berkongsi tiga mata dengan Singapura, satu mata di belakang Indonesia manakala Laos pula hanya mengutip satu mata.

Harapan skuad negara muncul juara kumpulan bagi mengelak bertemu Thailand dalam saingan separuh akhir nanti juga masih ada jika berjaya mengatasi Indonesia malam esok dengan syarat Singapura tersungkur di Shah Alam.

Namun, ia sesuatu yang agak mustahil lantaran Singapura pastinya enggan memperjudikan nasib ketika berdepan dengan Laos nanti bagi memastikan mereka juga layak ke separuh akhir.

Pada masa sama, kepantasan jentera serangan Laos yang diterajui Keoviengpheth Lithideth, Soukaphone Vongchiengkham dan Khampheng Sayavutthi ketika melakukan serangan kilat malam kelmarin juga sering kali 'melemaskan' benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohamad Fadhli Shas.

Jika aksi kurang meyakinkan itu yang ditunjukkan Harimau Malaya ketika berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok, tidak mustahil 'malapetaka' bakal menanti mereka.

Ini kerana Sang Garuda dilihat memiliki pemain yang jauh lebih pantas seperti Andik Vermansah dan Oktavianus Maniani seperti mana yang dibuktikan mereka ketika mengejutkan Singapura 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Analisisnya mudah. Harimau Malaya dilihat senang kehilangan fokus apabila terlalu ghairah menyerang selain mempamerkan persembahan yang 'tidak masuk akal' apabila gagal memecah kebuntuan mahupun ketika ketinggalan kepada lawan.

Jadi, hanya kemenangan mampu menjamin slot Harimau Malaya ke separuh akhir berbanding bergantung kepada tuah di atas kertas semata-mata.

Malaysia sewajarnya sedar hanya kemenangan ke atas Indonesia yang mampu memastikan peluang mara ke separuh akhir sebelum boleh berkira-kira sama ada mampu mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 kali ini.

Lebih baik Malaysia belasah Indonesia terlebih dahulu sebelum mencongak lawan pada separuh akhir nanti.

Bukan apa, pemain dan Rajagobal sepatutnya lebih arif betapa kegembiraan peminat selepas Malaysia mengatasi Laos malam kelmarin hanyalah bersifat sementara.

Misi Harimau Malaya belum selesai. Maruah yang tercalar sebelum ini hanya boleh ditebus apabila berjaya menewaskan Sang Garuda.

Jangan ulang kesilapan mudah

Posted:

Jangan ulang kesilapan mudah

Jangan ulang kesilapan mudah

RAJAGOBAL resah anak-anak buahnya terlalu mudah leka.


DI sebalik kemenangan besar 4-1 ke atas Laos pada aksi kedua Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2012 kelmarin, ada sesuatu yang masih menggusarkan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Aksi kurang kemas yang dipamerkan skuad negara dilihat mampu menjelmakan 'malapetaka' jika ia diulangi ketika misi hidup dan mati berdepan Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Jurulatih berusia 56 tahun itu kecewa skuad negara masih melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan tersebut sehingga mempengaruhi corak permainan.

Bekas pengendali Selangor dan Kelantan itu menggesa barisan pemainnya agar lebih bersedia serta fokus menjelang pertemuan penting menentang Indonesia nanti.

"Saya memberitahu anak-anak buah saya, saya mahukan mereka beraksi dengan penuh bertenaga dan agresif serta dengan tempo permainan yang tinggi.

"Kami bermula dengan baik pada permulaan permainan. Kami berjaya membuka jaringan untuk memberikan tekanan kepada Laos.

"Kemudian, kami terus mengasak benteng pertahanan mereka, namun sekali lagi kesilapan mudah yang dilakukan oleh Safiq Rahim menyebabkan Laos berjaya menyamakan kedudukan.

"Apabila kamu mendahului perlawanan, saya mahu pemain-pemain saya menutup ruang buat pasukan lawan dan sebab itu apabila mereka ketinggalan satu gol, mereka akan kembali menguasai permainan.

"Kami sepatutnya 'membunuh' mereka pada separuh masa pertama tetapi barisan pemain saya hanya bangkit pada separuh masa kedua," katanya selepas perlawanan tersebut.

Begitupun, Rajagobal mahu anak-anak buahnya melupakan kemenangan itu dan kembali fokus terhadap pertemuan menentang Indonesia nanti.

"Kami berhak memenangi perlawanan ini, saya memuji kesungguhan semua pemain.

"Cuma pada masa sama, kami tidak boleh mengulangi kesilapan mudah kerana ia boleh membawa padah kepada pasukan," katanya.

Pada aksi tersebut, empat gol skuad negara dijaringkan oleh Safiq Rahim (15), Safee Sali (67), Wan Zack Haikal Wan Nor (75) dan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-79.

Laos pula memperoleh gol sagu hati menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-38.

Dalam pada itu, Rajagobal jelas gembira dengan pencapaian penyerang berbisa skuad kebangsaan, Safee Sali yang berjaya menjaringkan gol pertama pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara.

Jelasnya, pemenang Kasut Emas edisi 2010 itu akan terus mempamerkan aksi cemerlang dalam usaha membantu skuad negara mempertahankan trofi Piala Suzuki AFF selain mempertahankan maruah sebagai tuan rumah kejohanan bersama Thailand.

"Gol kedua yang dijaringkan Safee sangat penting. Ini kerana gol itu berjaya melemahkan moral pasukan lawan selain mengubah suasana perlawanan.

"Semua pemain harus diberikan pujian termasuk Wan Zack, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha yang masih mampu mempamerkan aksi cemerlang walaupun dia tidak begitu sihat.

"Kini, persaingan pada peringkat kumpulan kembali terbuka dan semua pasukan mahu mencapai kemenangan.

"Saya percaya mereka tidak mahu mendapatkan keputusan seri. Saya berharap kami dapat mengekalkan aksi terbaik ini.

"Sebagai jurulatih, saya harus bersikap optimis," katanya.

Andik gentar berdepan Malaysia

Posted:

Andik gentar berdepan Malaysia

Andik gentar berdepan Malaysia


ANDIK (kiri) mengakui gentar untuk berdepan pasukan
Harimau Malaya pada aksi
terakhir Kumpulan B Piala
Suzuki AFF 2012 malam esok.


TIDAK diketahui sama ada sekadar bermain psikologi ataupun tidak, penyerang Indonesia, Andik Vermansyah mengakui gentar untuk berdepan Malaysia bagi aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Pemain yang terkenal dengan jolokan 'Messi Indonesia' itu dijangka menjadi 'duri dalam daging' skuad negara lantaran memiliki larian deras di bahagian sayap serta kawalan bola yang mengagumkan.

Namun, Andik mengakui bahawa bertemu Malaysia yang juga juara bertahan bukan satu perlawanan mudah buat mereka, tambahan pula perlawanan itu bakal menjadi penentu buat kedua-dua pasukan untuk menempah slot ke separuh akhir.

Menurutnya, aksi menentang Malaysia di depan penyokong tuan rumah pastinya lebih sukar berbanding Singapura kelmarin.

Pada aksi menentang Singapura kelmarin, Andik berjaya meledak gol tunggal perlawanan menerusi sepakan lencong daripada jarak 25 meter mengatasi jangkauan penjaga gol Singa, Mohammad Izwan Mahbud pada penghujung babak kedua.

Dia yang baru berusia 21 tahun dikatakan salah seorang pemain paling berbakat di Indonesia ketika ini, selain dikaitkan bakal menyertai sebuah pasukan di negara ini bagi mengharungi Liga Super musim depan.

"Saya mengakui sangat penat ketika menentang Singapura tadi (kelmarin), namun kami berjaya menamatkan kemarau selama 15 tahun. Ia akan menjadikan kami lebih bersemangat ketika menentang Malaysia, Sabtu ini," katanya.

Apa yang pasti, kelibat Andik yang mampu beraksi di bahagian sayap kanan dan kiri itu harus dirantai habis-habisan Mahalli Jasuli mahupun Zubir Azmi dalam pertemuan esok jika Malaysia tidak mahu berputih mata.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Stereotaip paras rupa

Posted:

Stereotaip paras rupa

Stereotaip paras rupa


WAJAH yang cantik mungkin memudahkan seseorang mendapat kerja, tapi pada akhirnya komitmen dan dedikasi seseorang pekerja akan menjamin peningkatan kerjayanya.


DALAM dunia ini, adakalanya manusia sangat beruntung kalau mereka mempunyai perawakan yang menarik. Ini menjadikan mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk disukai, malah memiliki kelebihan untuk mendapat pekerjaan baik dan pasangan yang lebih baik.

Satu kajian pernah dilakukan dengan menggandingkan pelajar yang baru mengenali antara satu sama lain secara berpasangan. Selepas sesi perkenalan pertama, mereka kemudian diminta merancang untuk pertemuan seterusnya dengan pasangan tadi.

Hasil kajian menunjukkan mereka tidak mempedulikan keburukan pasangan dari sudut dalaman seperti pendiam atau kolot, sebaliknya mementingkan paras rupa fizikal.

Dalam memilih pasangan hidup, kita juga mendapati bahawa manusia cenderung untuk memilih pasangan berdasarkan paras rupa. Ketampanan dan kecantikan menyebabkan dunia berlaku tidak adil.

Kajian-kajian di Amerika Syarikat dan Kanada misalnya menunjukkan orang yang menarik biasanya mendapat purata gaji yang lebih tinggi, malah mereka juga cenderung dinilai sebagai bahagia serta bijak.

Kajian mendapati manusia sukakan seseorang yang mempunyai hidung, kaki atau tubuh badan yang tidak terlalu besar atau terlalu kecil.

Sebaliknya, jika sifat fizikal keterlaluan berbeza daripada manusia kebanyakan, mereka akan dianggap sebagai tidak lagi menarik.

Sebenarnya, begitulah hakikat yang biasa terjadi dalam kehidupan manusia. Persepsi telah mengubah bagaimana seseorang itu menilai orang lain atau dinilai oleh orang lain.

Bagi mereka yang memohon pekerjaan, menulis resume yang baik dengan gambar yang menarik memberi peluang besar untuk dipanggil temu duga berbanding individu yang kurang cantik atau kacak.

Banyak faktor lain

Bagaimanapun, pada akhirnya wajah yang cantik dan potongan badan menarik bukanlah satu-satunya sebab hubungan dibina. Ada juga yang sekalipun tidak menarik, tetapi mereka tetap disukai dan mendapat pasangan yang terbaik.

Antara faktor lain ialah interaksi. Kekerapan interaksi yang berlaku antara seseorang dengan orang yang lain boleh membina hubungan yang mesra. Ia diistilahkan sebagai proximity atau dalam kedekatan.

Orang yang biasa-biasa sahaja, tetapi oleh kerana kerap berjumpa, akan dilihat menarik juga akhirnya.

Orang yang tinggal sebilik di asrama atau sering melalui pintu masuk yang sama lebih cenderung untuk saling menyukai.

Sebab itu, kita lihat banyak orang yang bercinta atau berkahwin, biasanya adalah mereka yang pernah kerja dalam satu pejabat atau belajar di universiti yang sama.

Kedekatan itu juga berkait rapat dengan emosi.

Alumni dari universiti yang sama atau mereka yang datang dari negeri atau kawasan yang sama lebih cenderung untuk cepat mesra berbanding mereka yang datang dari tempat yang berbeza.

Jadi, salah satu cara untuk disukai ialah menggunakan elemen kedekatan itu.

Oleh yang demikian, kita dapati kebanyakan mereka yang terlibat dengan bidang politik biasanya menggunakan pendekatan ini.

Mereka mungkin tidak mempunyai potongan badan menarik atau muka yang cantik. Mereka disukai kerana mereka sering dilihat dan turun padang bersama rakyat.

Artis atau pelakon yang mempunyai wajah yang menarik selalunya lebih diminati.

Namun, wajah yang cantik dan tampan sahaja tidak menjamin populariti. Kekerapan muncul di kaca televisyen menjadikan mereka seolah-olah sering berinteraksi dengan peminat.

Kalau tidak bagaimana mungkin pelakon atau pelawak seperti Apek, Johan dan Zizan jauh lebih popular berbanding hero filem yang kacak.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Ratusan berkhemah di Dataran Tahrir

Posted:

Ratusan berkhemah di Dataran Tahrir

Ratusan berkhemah di Dataran Tahrir

RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir kelmarin.


KAHERAH - Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di Dataran Tahrir di sini yang masuk hari keenam semalam bagi menuntut Presiden Mesir, Mohamed Morsi (gambar kecil) membatalkan dekri yang membolehkan semua keputusannya tidak boleh dicabar di mahkamah.

Polis turut melepaskan bedilan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu di dataran berkenaan.


BEBERAPA pemuda melontar batu ke arah kumpulan anggota polis dekat Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


Seramai 40 orang cedera dalam pertempuran itu yang dianggap sebagai kejadian yang kelihatan seperti ketika para penunjuk perasaan menentang pemerintahan bekas presiden, Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.

Hosni meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu selepas tunjuk perasaan berlaku di serata negara ini.

Beliau meletakkan jawatan setelah para penunjuk perasaan menganggap pemerintahannya korup.

Morsi mengeluarkan dekri itu pada minggu lalu.



Kumpulan-kumpulan penentang menuduh Morsi sebagai pemimpin bersifat kuku besi.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokong Morsi menyatakan, dekri itu hanya dilaksanakan buat sementara waktu.

Menurut pergerakan itu, ia bertujuan untuk menjamin keselamatan bagi mengelak pemberontakan berlaku seperti pada era Hosni yang menyebabkannya meletak jawatan.

Morsi menjadi presiden menerusi pilihan raya pada Jun lalu.

Hakim-hakim di Mahkamah Rayuan di Mesir juga akan melancarkan mogok sehingga Morsi membatalkan dekri tersebut. - Agensi

Yingluck terselamat daripada undi tidak percaya

Posted:

Yingluck terselamat daripada undi tidak percaya

Yingluck terselamat daripada undi tidak percaya


YINGLUCK


BANGKOK - Seperti dijangka, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra terselamat daripada usul undi tidak percaya di Parlimen semalam.

Disebabkan kerajaan memiliki hampir dua pertiga majoriti daripada 493 perwakilan di Parlimen, beliau memperoleh 308 undi tidak menyokong berbanding 159 undi menyokong, manakala empat anggota Parlimen, berkecuali.

Ini merupakan kali pertama Yingluck berdepan usul tidak percaya sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan, Ogos tahun lepas.

Dalam usul tidak percaya, pemimpin pembangkang, Abishit Vejjajiva mendakwa Yingluck tidak cekap, gagal mentadbir negara dan tidak mengotakan janji beliau kepada Parlimen dan rakyat.

Abhisit, bekas perdana menteri sebelum Yingluck juga menuduh Yingluck mengamalkan diskriminasi dan rasuah, tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan mengelak tanggungjawab kepada Parlimen.

Semasa perbahasan usul itu, Yingluck diasak dengan dakwaaan penyelewengan dalam skim bantuan padi, belanjawan tindakan banjir dan gagal menguatkuasakan undang-undang cegah rasuah.

Pihak pembangkang juga mengambil kesempatan menyebarkan dakwaan mengenai kelemahan perdana menteri yang dikatakan amat bergantung kepada maklum balas bertulis yang disediakan pembantunya, semasa menjawab soalan.

Selain Yingluck, Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubamrung, Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chatt Kuldilok turut berdepan undi tidak percaya.

Chalerm terselamat daripada usul itu dengan meraih 287 undi menentang dan 157 undi menyokong, Sukampol (284 menentang, 160 menyokong) dan Chatt (284 menentang, 182 menyokong). - Bernama

Kumpulan saintis Iran didakwa buat pengiraan letupan nuklear

Posted:

Kumpulan saintis Iran didakwa buat pengiraan letupan nuklear

Kumpulan saintis Iran didakwa buat pengiraan letupan nuklear


GAMBAR RAJAH yang menunjukkan pengiraan letupan nuklear oleh saintis Iran.


VIENNA - Satu gambar rajah yang diperolehi oleh agensi berita The Associated Press menunjukkan bahawa para saintis di Iran telah mengendalikan simulasi komputer untuk sebuah senjata nuklear yang mampu menghasilkan kuasa letupan tiga kali ganda lebih kuat daripada bom atom pada Perang Dunia Kedua yang memusnahkan Hiroshima, Jepun.

Maklumat mengenai gambar rajah itu telah dibocorkan oleh pegawai-pegawai dari sebuah negara yang tidak bersetuju dengan program nuklear Iran.

Ia didedahkan sebagai hujah sokongan kepada dakwaan mereka yang mahukan program nuklear Iran dihentikan.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang merupakan pemerhati nuklear untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Vienna, Austria melaporkan pada tahun lalu bahawa pihaknya telah menerima gambar rajah tersebut.

Menurut agensi tersebut, gambar rajah itu menunjukkan Iran melakukan pengiraan tentang letupan nuklear. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Mardi perkenal baka ayam kampung baharu

Posted:

Mardi perkenal baka ayam kampung baharu

Mardi perkenal baka ayam kampung baharu

29/11/2012 6:32pm

SERDANG — Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap ayam kampung, Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenalkan baka baharu ayam kampung yang lebih baik daripada ayam kampung asli dari segi pertumbuhan, kadar peneluran dan keseragaman warna bulu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, baka baharu itu diperoleh melalui kajian Mardi di seluruh negara, di mana baka terbaik dipilih dan dikacukkan.

"Ayam ini boleh mencapai berat 1.5 kilogram dalam masa tiga bulan, mempunyai tekstur seperti ayam kampung dan lebih tahan lasak yang menjadikan ia lebih mudah diternak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan baka ayam itu di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Mardi, Dr. Azizan Ab Rashid berkata, golongan penternak yang ingin mendapatkan benih itu boleh berhubung dengan Stesen Mardi Muadzam Shah, Pahang di mana pada ketika ini kira-kira 700 ekor benih dihasilkan setiap minggu. — BERNAMA

Lelaki menyamar perisik Kastam terbongkar

Posted:

Lelaki menyamar perisik Kastam terbongkar

Lelaki menyamar perisik Kastam terbongkar

29/11/2012 6:25pm

KUALA TERENGGANU — Gara-gara menyamar sebagai pegawai risikan Kastam Diraja Malaysia seorang lelaki menerima padah setelah dibelasah sekumpulan penduduk Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu suspek berusia 47 tahun bersama seorang rakan berusia 22 tahun pergi ke sebuah kedai runcit dan menggari seorang pembantu kedai berusia 22 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, kedua-dua suspek mengambil tindakan demikian dengan menunjukkan kad kuasa Kastam yang palsu selepas pembantu kedai tersebut enggan memberi mereka RM200 kerana didakwa menjual barangan seludup.

Bagaimanapun kejadian itu disedari pemilik kedai berusia 57 tahun yang kebetulan pergi ke kedai tersebut tidak lama kemudian.

"Pemilik kedai tersebut menyuruh suspek melepaskan pembantu kedai yang juga anak saudaranya dan selepas itu berlaku pergelutan antara mereka.

"Kekecohan itu disedari oleh penduduk kampung dan beberapa orang penduduk kampung turut masuk campur dan membelasah suspek tersebut. Rakannya yang berusia 22 tahun pula berjaya melarikan diri," katanya.

Kehadiran anggota polis pada awalnya bagaimanapun tidak berjaya menyuraikan ketegangan kerana suspek dikatakan sudah banyak kali memeras ugut peniaga di sekitar kawasan itu menyebabkan penduduk kampung berang.

Manoharan berkata, anggota polis terpaksa meminta bantuan polis peronda yang terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebelum orang kampung mula beredar.

Katanya, akibat kejadian suspek cedera dan lebam-lebam di bahagian muka, kepala dan anggota badan namun kecederaannya tidak serius.

Beliau berkata, polis turut merampas gari, pistol tiruan serta kad putih berbalut plastik bercop Jabatan Kastam yang palsu milik suspek untuk siasatan lanjut. — BERNAMA

Pekerja syarikat makanan segera didakwa mencuri

Posted:

Pekerja syarikat makanan segera didakwa mencuri

Pekerja syarikat makanan segera didakwa mencuri

29/11/2012 6:15pm

PETALING JAYA — Seorang pekerja syarikat makanan segera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri wang tunai RM8,221.80 pada 19 Novmeber lepas.

Hairul Sani Mardi, 29, dari Tawau, Sabah, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa mencuri wang majikannya di restoran itu di Pusat Bandar Puchong dekat sini antara pukul 5.35 petang dan 5.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Nur Aifaa Che Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Suraj Singh. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Populariti tiba lewat

Posted:

Populariti tiba lewat

Populariti tiba lewat

AKTRES Nadiya Nisaa mula berlakon sejak berusia 18 tahun. Waktu itu, Nadiya merupakan pelajar penyiaran di Universiti Teknologi Mara.

Selepas keluar dari universiti dengan segulung ijazah pada tahun 2008, cukup sukar untuknya mendapatkan pekerjaan tetap.

Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin sempat bekerja secara bebas di stesen televisyen dan beberapa buah produksi selama setahun sebelum membuat keputusan untuk terus fokus dalam bidang lakonan.

Kini, pada usia 27 tahun selepas bergelar isteri kepada Saiful Razman selama dua tahun dan menjadi ibu kepada Omar, setahun tiga bulan, populariti hadir dalam hidupnya.

"Ya, saya akui populariti hadir agak lewat buat saya. Ada orang kata jika berkahwin, populariti semakin berkurangan tetapi terbalik untuk saya.

"Saya diterima selepas saya berkahwin dan mempunyai anak. Mungkin sudah tuah dan rezeki saya. Ada orang masa untuk dikenali lambat dan ada yang cepat. Cuma perlu bersabar dan ikhlas dalam melakukan kerja," kata Nadiya.

Bakat Nadiya mula meraih perhatian apabila dia membawa watak gadis kurang upaya bernama Manis dalam filem Cun. Selepas itu dia memegang watak gadis liar dan berkongsi babak atas katil bersama aktor Bront Palarae dalam filem Jiwa Taiko.

Terbaharu, Nadiya berjaya memukau khalayak dengan wataknya sebagai Ain Hawani kekasih Adam Mukhriz yang dipegang Aaron Aziz dalam drama bersiri popular Adam dan Hawa.

"Sebenarnya ramai orang yang masih tidak tahu nama saya. Contohnya selepas saya keluar dengan filem Cun, orang panggil saya Manis, sekarang selepas drama Adam dan Hawa, orang ramai panggil saya Ain.

"Bagi saya apabila peminat memanggil nama watak saya, itu satu petanda yang baik. Bermakna mereka benar-benar ingat watak saya. Saya tidak kisah jika watak yang saya bawa lebih popular daripada diri saya yang sebenar," ucapnya jujur.

Tambahnya, dia tidak pernah menjangka menjadi popular seperti hari ini, berbeza pada awal kemunculannya sebagai aktres. Menghargai perhatian yang diberi, cuma akuinya, dia masih belajar menerima perhatian dalam dunia glamor.

"Memang saya terasa tempias populariti drama Adam dan Hawa. Buktinya, pengikut saya semakin ramai di Twitter dan Facebook. Perkara paling mengejutkan, saya mempunyai kelab peminat.

"Tidak sangka langsung saya akan mempunyai peminat yang cukup menghargai bakat seni saya. Terharu bila saya fikirkan usaha mereka untuk bersatu semata-mata untuk menyokong saya seorang.

"Mulanya saya agak kekok dan terkejut dengan perhatian peminat. Contohnya ketika saya keluar bersama rakan akan ada peminat minta bergambar atau tandatangan tidak mengira waktu, sedangkan ada masanya saya juga inginkan privasi. Saya manusia biasa, masih cuba belajar menerima dan sesuaikan diri dengan semua perhatian itu," tuturnya.


IBU kepada seorang anak ini percaya rezeki akan sentiasa ada jika seseorang berusaha keras.


Kualiti dan populariti

Meskipun segala pergerakannya menjadi perhatian, itu tidak bermakna anak kedua daripada lima adik-beradik itu harus berubah menjadi orang lain.

"Setakat ini populariti dan perhatian yang diberikan tidak menjadi masalah. Saya masih menjadi diri saya sendiri, sama sebelum saya dikenali ramai.

"Kalau ada masa, saya masih melepak dengan rakan-rakan teater. Saya masih menerima tawaran untuk berlakon dalam filem indie. Pada bulan Mac tahun hadapan saya akan terlibat dalam sebuah filem indie berjudul Bikin Filem," luahnya yang mengidam watak memberi inspirasi kepada penonton.

Semakin popular memberi ruang untuknya memilih skrip yang benar-benar berkualiti dan menarik minatnya. Bagaimanapun tegas Nadiya, dia tidak pernah memilih skrip sebaliknya bertuah kerana ditawarkan skrip yang menarik sejak berlakon.

"Kalau ikutkan sejak saya tidak dikenali lagi, saya telah diberi skrip dan watak yang berbeza-beza. Kiranya saya bertuah tidak membawakan watak yang sama sahaja.

"Saya tidak mahu menjadi seorang yang memilih cuma saya elakkan melakonkan watak yang sama berulang kali dalam tempoh masa yang dekat.

"Contohnya selepas filem Cun, ada juga dapat tawaran gadis kurang upaya, tetapi disebabkan tempoh waktunya terlalu dekat nanti penonton bosan melihat watak yang sama dalam set yang berbeza. Biarlah sesuatu watak itu dilakonkan secara eksklusif untuk sebuah filem atau drama sahaja," ujarnya panjang lebar.

Jadual padat

Buat masa ini, Nadiya sedang sibuk di set penggambaran drama 26 episod berjudul Cinta Jangan Pergi lakonannya bersama aktor Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sehingga penghujung Disember ini di bawah arahan Kabir Bhatia.

Selepas itu, aktres yang selesa bergaya dengan gaun paras lutut itu akan terlibat dengan sebuah filem juga arahan Kabir Bhatia pada awal tahun hadapan.

"Jadual saya penuh sampai tahun hadapan. Memang sangat sibuk dan penat. Bayangkan ketika penggambaran drama Adam dan Hawa selama lima bulan, saya tidak mempunyai pembantu rumah.

"Saya terpaksa bangun awal pagi untuk siapkan anak dan buat kerja rumah sebelum ke lokasi penggambaran. Alhamdulillah, sekarang sudah ada pembantu rumah. Jadi, masa saya lebih bersama dengan anak, balik rumah tidak pening kerja rumah tidak siap," katanya dalam tawa.

Bukan itu sahaja, jika dahulu Nadiya menguruskan dirinya sendiri, kini dia dibantu oleh kakaknya yang pernah bekerja dalam majalah fesyen sebagai perunding imej peribadinya.

"Jujur, saya tidak tahu langsung tentang fesyen. Jadi, apabila kakak jadi perunding imej peribadi, banyak perkara yang saya belajar. Contohnya tentang fesyen dan warna yang sesuai dengan warna kulit saya.

"Sebelum ini, saya lebih suka warna gelap serta pakai seluar jean dan kemeja-T, tetapi apabila kakak meminta saya pakai gaun polos paras lutut, saya rasa selesa.

"Rupanya warna lembut juga sesuai dengan saya. Sekarang, deria fesyen saya semakin baik dengan bantuan kakak kerana sudah lumrah untuk orang ramai melihat hanya yang cantik-cantik sahaja," beritahunya.

Suami pilihan Ummi Nazeera

Posted:

Suami pilihan Ummi Nazeera

Suami pilihan Ummi Nazeera

Oleh MOHD. AFIQ ZULKIFLI

UMMI NAZEERA tidak memilih teman hidup sama ada dalam kalangan artis atau bukan. Apa yang penting dia mesti berpendidikan dan punya latar belakang yang baik.


SUDAH agak lama kita tidak mendengar cerita Ummi Nazeera, yang satu ketika popular melalui drama bersiri Nur Kasih. Semua itu disebabkan dia terpaksa meneruskan impiannya untuk mencapai segulung ijazah di Royal Melbourne Institute of Technology, Australia.

Ummi atau nama penuhnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 22, kini pulang ke Malaysia untuk bercuti semester. Ujarnya, dia akan menamatkan pengajian dalam bidang perniagaan pada akhir tahun hadapan setelah tiga tahun menjadi pelajar di sana.

Dalam pada itu, Ummi juga tidak terlepas dikaitkan bercinta dengan seorang lelaki dan pernah didakwa berniat untuk menamatkan zaman bujangnya. Benarkan dakwaan tersebut?

Ikuti temu bual Kosmo! dengan Ummi ketika ditemui baru-baru ini.

Kosmo!: Setelah tiga tahun berada di Australia, boleh ceritakan tentang pengalaman Ummi di sana?

UMMI: Alhamdulillah, semuanya baik. Saya sudah menganggap Australia sebagai rumah kedua selepas Malaysia. Saya seronok belajar di sana, walaupun pada tahun pertama tidak ramai pelajar dari Malaysia, tetapi kemudian ia semakin bertambah. Sepanjang menuntut di sana, saya tinggal bersama rakan seuniversiti, tetapi bermula pada tahun hadapan saya akan tinggal berseorangan kerana mereka sudah kembali ke Malaysia.

Bagaimanakah pula dengan perancangan anda selepas menamatkan pengajian di sana, adakah anda masih akan terus berlakon?

Ya, saya akan terima jika ada tawaran berlakon, tetapi semua itu bergantung kepada rezeki dan jika tawaran itu menarik. Pada masa sama, saya akan berikan tumpuan terhadap bisnes keluarga.


INILAH lelaki yang didakwa sebagai kekasih Ummi.


Apakah bentuk bisnes yang keluarga anda usahakan sekarang?

Syarikat keluarga saya dikenali sebagai Pointry (M) Sdn. Bhd. Bisnes ini lebih berbentuk kepada pengeluaran tilam dan bantal.

Bagaimanakah perkembangan cerita cinta anda dengan seorang lelaki sebelum ini. Dengar cerita kalian akan berkahwin?

Saya masih lagi berkawan baik dengan lelaki tersebut, tetapi cerita tentang kononnya kami akan berkahwin itu tidak benar sama sekali. Ia tidak pernah ada dalam perancangan kami memandangkan saya juga masih belum menamatkan pengajian.

Boleh kongsikan sedikit maklumat tentang teman lelaki anda itu?

Kami berkenalan sewaktu saya berada dalam tahun pertama pengajian di sana. Dia berusia 26 tahun dan merupakan senior saya. Dia juga sudah menamatkan pengajian, dan sekarang berada di Malaysia. Sehingga sekarang, kami masih berhubung.

Adakah anda akan berkahwin dengannya?

Insya-Allah, jika ada jodoh dan takdir dengan dia, saya akan terima. Bagaimanapun, apa yang penting sekarang, saya perlu tamatkan dahulu pengajian. Soal perkahwinan, itu akan difikirkan kemudian.

Adakah anda menerima dia selepas serik bercinta dengan teman artis?

Bukan itu sebabnya. Saya tidak kisah bercinta dengan sesiapa pun, asalkan lelaki itu mempunyai latar belakang yang baik, beragama dan berpendidikan, itu sudah memadai. Bercakap tentang hubungan saya dengan teman lelaki sekarang, kami sudah lama kenal dan setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersama.

Apakah harapan anda terhadap filem Merong Mahawangsa di Festival Filem Asia Pasifik nanti?

Saya berharap agar Merong Mahawangsa bertuah di sana. Sudah tercalon ini pun sudah rasa cukup gembira kerana dapat mewakili negara. Saya akan ke sana untuk mencari pengalaman.

Artis prihatin Gaza

Posted:

Artis prihatin Gaza

Artis prihatin Gaza

HAFIZ terbabit dalam konsert mini Untukmu Palestin yang bakal berlangsung pada malam ini pukul 11.00 malam di TV3.


WALAUPUN jauh beribu batu, namun suara rintihan dan kesengsaraan hidup rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim Zionis tidak pernah dipandang ringan oleh rakyat Malaysia.

Susulan daripada pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad pada Sabtu lalu, TV3 dengan kerjasama Primeworks Studios bakal menerbitkan konsert mini amal Untukmu Palestin pada hari ini yang akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam bermula pukul 11 malam.

Untukmu Palestin yang akan bersiaran selama satu jam menampilkan barisan artis hebat seperti Faizal Tahir selaku teraju utama dan turut ditemani oleh Aizat, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Noh Salleh (Hujan), Tomok dan Misha Omar.


FAIZAL melelong tiga trofi yang dimilikinya dalam usaha untuk mendapatkan dana bagi disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin untuk membantu penduduk Palestin.


Bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Tabung Kemanusiaan Palestin dan inisiatif murni untuk membantu ribuan mangsa serangan tentera Israel, konsert mini ini merupakan platform terbaik untuk menyeru dan mengajak orang ramai termasuklah badan-badan korporat untuk beramal melalui sumbangan terus kepada tabung khas ini.

Lebih istimewa, Faizal Tahir yang pernah dilantik sebagai duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin oleh TV3 pada tahun 2010 akan mendermakan tiga trofi yang dimenanginya sepanjang enam tahun dalam arena seni. Kesemua trofi tersebut akan dilelong khas kepada badan korporat yang berminat untuk membuat bidaan.

Sementara itu, antara lagu yang bakal dipersembahkan pada malam mini konsert amal tersebut ialah Zikir Terapi - Astaghfirullahal'azim, Untukmu Palestin, Kembara Di Tanah Gersang, Kau Yang Satu, Kembara, Erti Hari Ini, Anti Graviti dan Insyallah.

Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad merupakan hasil kerjasama dengan Mercy Malaysia. Atas dasar keprihatinan dan rasa simpati para pengunjung, sebanyak RM12,530.85 telah berjaya dikumpul.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved