Ahad, 4 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pasport haiwan jamin keselamatan

Posted:

Pasport haiwan jamin keselamatan

Pemasangan mikrocip kepada haiwan peliharaan seperti kucing berfungsi sebagai identiti mereka bagi menjamin keselamatan dan pemilikan.

SELEPAS kehilangan seekor kucing kesayangan yang dipelihara selama tujuh tahun, Hashimah Hasan, 34, mencari alternatif bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Menerusi pencarian maklumat di internet, peguam yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mendapat tahu mengenai teknologi mikrocip yang berupaya meningkatkan peratusan penemuan semula kucing yang hilang.

Tanpa berlengah, Hashimah terus mengunjungi klinik veterinar berhampiran bagi mendapatkan penjelasan berhubung mikrocip tersebut. Daripada lapan ekor kucingnya, kini seekor telah pun berjaya dipasang mikrocip identiti.

"Sejak saya bertemu veterinar pada bulan Februari lalu, doktor mencadangkan supaya saya memasang mikrocip. Hari ini saya membawa Blacky bagi proses tersebut dan diharapkan ia dapat menjamin keselamatannya pada masa depan.

"Memang mikrocip ini tidak dapat membantu pemilik kucing mengenal pasti lokasi haiwan itu berada, tetapi secara tidak langsung, kebajikan mereka terjamin.

"Ia amat berkesan sekiranya ada pihak yang mencuri kucing kita dan berkeras tidak mahu memulangkannya. Sekiranya kucing itu telah dipasang mikrocip, kita boleh buktikannya menerusi nombor identiti yang disimpan di dalam data komputer," jelas Hashimah yang kerap mengutip kucing jalanan dan kemudian dibawa ke veterinar.

Nahzatussyima Amat Yedon, 28, pula mengambil keputusan memasang mikrocip tersebut pada kucing betinanya yang berumur satu tahun setengah, Min Ki, pada penghujung tahun lalu.

Ia berikutan pengalaman yang ditempuhi Nahzatussyima ketika membawa Min Ki pulang ke kampung di Sabak Bernam, Selangor tahun lalu. Memandangkan kucing itu dipelihara di dalam rumah sahaja di Bandar Sunway, Selangor, haiwan itu mengalami masalah untuk bebas di luar.

KESEMUA hospital veterinar di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menawarkan perkhidmatan pemasangan mikrocip dan pembuatan pasport.


Faedah mikrocip

"Min Ki pernah terlepas keluar ke halaman rumah di kampung. Waktu itu saya bimbang ia hilang dan tidak akan ditemui. Nasib baik Min Ki sempat dibawa masuk ke dalam rumah dan bermula saat itu, saya bertekad untuk memasang mikrocip pada Min Ki.

"Banyak faedah yang boleh diperoleh pemilik kucing menerusi mikrocip ini. Antaranya, keselamatan, hak milik dan sekiranya ingin dibawa ke luar negara pun tidak berdepan masalah," jelasnya ketika ditemui di Klinik Haiwan dan Surgeri Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

Pemilik 18 ekor kucing, Azahar Mohd. Yunus, 46, beranggapan semua kucing yang dipelihara manusia wajar dipasang mikrocip. Tambahnya, ia tidak hanya untuk kucing di bandar malah kucing yang dibela di kampung-kampung juga memerlukan mikrocip pengenalan.

Ujar ayah kepada dua orang anak itu, diskriminasi terhadap kucing yang dipelihara perlu dihentikan. Baginya, semua kucing berhak mendapat layanan dan kebajikan sama rata selagi mereka di bawah penjagaan manusia.

"Memelihara haiwan ini bukanlah sekadar menyiapkan makan minum dan tempat tinggal mereka, malah kesihatan dan keselamatan juga perlu dititikberatkan. Anggap tanggungjawab menjaga mereka sama seperti kita menjaga diri sendiri.

"Majoriti rakyat Malaysia memang suka membela haiwan terutama kucing tetapi mereka tidak mahu membawa haiwan-haiwan ini ke klinik bagi pemeriksaan atau rawatan. Tanggapan kos yang tinggi sebenarnya tidak boleh diterima.

"Pemasangan mikrocip untuk seekor kucing saya kurang RM50 dan kos-kos rawatan lain seperti vaksinasi dan ubat nyahkutu pun tidak sampai RM100," demikian pandangan Azahar yang menyediakan sebuah bilik khas untuk kesemua kucingnya di rumah.

PASPORT baharu ini memudahkan pemilik membawa haiwan peliharaan mereka ke luar negara.


Pasport haiwan

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Kuala Lumpur, Dr. Mas Ayu Suraya Abd. Rahman menjelaskan, cip penyimpanan data haiwan dikenali sebagai Peranti Identiti Frekuensi Radio (RFID). Cip-cip RFID disediakan dalam pelbagai bentuk seperti mikrocip bersaiz kira-kira satu milimeter (mm), tanda identiti (tag) yang selalu dipasang pada telinga lembu dan gegelang untuk haiwan kumpulan burung.

RFID jenis mikrocip kini giat dipromosikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan kerjasama klinik-klinik haiwan berdaftar di seluruh Malaysia. Selain menjamin hak milik haiwan peliharaan kepada pemilik, ia juga membantu JPV menyimpan rekod-rekod haiwan dalam negara.

"Daya jejak haiwan dapat ditingkatkan menerusi mikrocip dan segala maklumat penting haiwan disimpan di dalam pasport haiwan tersebut memudahkan urusan pembancian haiwan peliharaan atau ternakan.

"Pengawalan penyakit juga dapat dilaksanakan kerana pihak kami dapat mengenal pasti haiwan yang membawa penyakit tersebut dan mempercepatkan kajian serta pengeluaran vaksin," jelas Mas Ayu. Pemasangan mikrocip tanpa kos servis di klinik haiwan kerajaan dalam lingkungan harga RM18 hingga RM25.

Fasa satu atau peringkat permulaan pasport haiwan telah dibangunkan pada tahun 2009 dan diperkenalkan pada tahun 2010. Sebelum ini, pemilik haiwan perlu membawa empat dokumen bagi urusan rawatan atau ke luar negara, kini mereka hanya perlu menggunakan satu pasport sahaja.


KUCING milik Nahazatussyima ini telahpun dipasang mikrocip pada penghujung tahun 2011.


Kurang pendedahan

Projek tersebut dimulakan di Kuala Lumpur. Dalam tempoh dua tahun, ia mampu mengumpul sebanyak 700 pendaftar. Hari ini, pasport haiwan yang memerlukan pemasangan mikrocip telah berkembang kepada 2,000 haiwan dengan 1,000 pemilik di seluruh negara.

"Mikrocip telah diperkenalkan JPV sejak tahun 2000, namun ia lebih kepada tanda identiti pada telinga yang mengalami masalah mudah tertanggal dan hilang.

"Masyarakat kita kurang diberi pendedahan tentang perkara begini dan maklumat hanya sampai kepada golongan tertentu. Sesetengah negara mewajibkan pemasangan mikrocip ke atas haiwan peliharaan bagi memudahkan pengenalan baka dan kawalan penyakit jika ia dibawa masuk atau keluar negara.

"Trend pemasangan mikrocip dan pendaftaran pasport haiwan dilihat meningkat setiap bulan. Menerusi kerjasama JPV Kuala Lumpur dan Kelab Kucing Malaysia, kita harapkan agar lebih ramai penduduk kota sedar tentang kepentingan mikrocip dan pasport," ujar Mas Ayu yang mengesahkan terdapat beberapa kes pencurian haiwan peliharaan berjaya diselesaikan menerusi pengimbasan mikrocip pada badan haiwan tersebut.

Mas Ayu turut mengingatkan kepada mereka yang kehilangan haiwan peliharaan untuk menyemak portal pasport haiwan di www.petpassport.dvs.gov.my pada ruangan lost & found.

Sekiranya terdapat aduan kehilangan, pemilik boleh menyemak status dengan memasukkan nombor mikrocip haiwan.

Kucing Burma pulang ke Myanmar

Posted:

Kucing Burma pulang ke Myanmar

SEBANYAK 50 ekor kucing baka Burma kini dipelihara oleh Myo Su.


TERKENAL dengan bulu yang berkilat, rupa yang comel, mata yang menggoda dan suka berjemur. Ciri-ciri tersebut dapat dilihat pada kucing Burma yang kurang dikenali masyarakat moden Myanmar hari ini.

Ironinya, kucing-kucing itu merupakan baka asal negara tersebut tetapi ia mengalami kepupusan sekitar abad ke-19 dan 20 dan ditambah pula dengan kehadiran kucing baka lain. Hanya beberapa ekor kucing baka itu dapat dibawa ke Britain ketika pemerintahan kolonial British di Myanmar yang berakhir pada tahun 1948.

Berdasarkan rekod pertubuhan pedigri dunia, Persatuan Kucing Antarabangsa, kebanyakan baka moden datangnya daripada seekor kucing betina bernama Wong Mau. Ia merupakan salah seekor kucing Burma yang dibawa ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1930.

Kucing Burma yang berkongsi karakteristik dengan baka-baka kucing lain di rantau Asia Tenggara seperti kucing Siam dipercayai telah wujud di benua ini sejak ribuan tahun dahulu.

Terdapat kepercayaan bahawa kucing Burma merupakan haiwan peliharaan keluarga diraja dan dijadikan penjaga kuil dan rumah ibadat. Baka itu kemudiannya hilang dari tanah asalnya, Asia Tenggara, sehinggalah kumpulan pencinta haiwan membuat keputusan untuk mengembalikan mereka ke Myanmar.

Idea menghantar semula kucing Burma datangnya dari Persatuan Penyelidikan dan Eksplorasi China (CERS).

Warisan negara

Yin Myo Su yang mengusahakan projek pembiakan kucing Burma di Myanmar telah membina sebuah rumah kucing di pesisir Tasik Inle, di timur negeri Shan. Sasaran projek tersebut bertujuan melindungi dan mengekalkan warisan negara itu.

Wanita itu berharap untuk meningkatkan profil baka tersebut dalam kalangan penduduk Myanmar. Seekor kucing Burma turut diberikan kepada ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi yang dilihat menjadi strategi bernas bagi melonjakkan publisiti terhadap kucing tersebut.

Namun, penerima Anugerah Nobel Keamanan itu dilihat lebih mengutamakan anjing miliknya yang menunjukkan rasa cemburu dengan kehadiran kucing itu. Suu Kyi telah diminta mengembalikan kucing tersebut.

"Kini, kami mengambil alih tugas menjaga kucing beliau di rumah dan sekiranya beliau betul-betul bersedia untuk memelihara kucing ini, beliau boleh datang mengambilnya semula," ujar Myo Su.

Daripada tujuh ekor kucing yang diimport pada tahun 2008 dengan bantuan gedung mewah Harrods di Britain, projek itu kini berkembang kepada 50 ekor kucing. Kesemuanya tinggal di sekitar Inle termasuk sembilan anak kucing dan mula menjadi tarikan pelancong.

Sebanyak 17 ekor yang lain pula telah diberikan kepada pencinta kucing di Shan dan beberapa bandar utama di Yangon.

Suka dimanja

Walaupun mengalami alergi terhadap haiwan itu, Myo Su tidak pernah berhenti memperjuangkan projek pembiakan baka tersebut. Dia turut memberikan kucing Burma yang telah dimandulkan kepada penduduk tempatan yang berminat secara percuma dan mengenakan caj sebanyak 500,000 kyat (RM1,774) kepada pelancong.

"Kucing suka dipeluk sepanjang masa," ujarnya di rumah kucing tersebut, Inthar Heritage House, sambil seekor kucing berwarna coklat menjilat-jilat kaki dan kemudiannya berbaring di kakinya tanda bersedia untuk digeletek.

Kucing berbulu pendek itu mempunyai mata keemasan, biru berkilauan atau putih kekuningan namun perang gelap merupakan warna utama mata baka tersebut.

"Kami amat gembira dengan pembiakan semula kucing tersebut kerana kami mendapat warna-warna yang asli," luah Myo Su yang turut menjalankan operasi Hotel Inle Princess.

Kini, Myo Su memelihara dua ekor kucing di rumah bersama-sama binatang kurungan yang lain sekali gus membentuk zoo mini. Haiwan lain termasuklah itik, babi, kambing, angsa dan monyet perlu dijaga dengan baik kerana ia hadiah pemberian sami.

Pengurus rumah kucing tersebut juga terlibat dengan beberapa projek perlindungan dan berkata dia berharap rumah kucing itu boleh menjadi lebih daripada tempat perlindungan semata-mata.

"Rakyat negara ini pun sukar memiliki rumah sendiri dan saya membina rumah untuk semua kucing ini?

"Tidak mungkin saya mampu menguruskannya sendiri," katanya yang mendapat sokongan kewangan daripada sebuah restoran yang menyajikan hidangan tradisional bagi menampung kos pengurusan bulanan sebanyak AS$800 (RM2,447).

Antara projek lain Myo Su ialah pembinaan pusat penyelidikan dan perlindungan ikan tempatan di Tasik Inle. Namun, kakitangannya bersifat skeptikal terhadap motif pembinaan projek akuatik tersebut.

"Mereka ketawakan saya dan menganggap ikan-ikan itu akan dijadikan sumber makanan kucing," kongsinya lagi. - AFP.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


10 anggota bomba disambar api

Posted:

10 anggota bomba disambar api

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

AZMI (kanan) melawat anggotanya yang parah ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.



SEORANG anggota bomba berada dalam keadaan cemas setelah api menyambar pakaiannya di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Operasi memadam kebakaran oleh sepasukan anggota bomba di sebuah kilang tayar yang tidak beroperasi di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini bertukar malang apabila 10 orang daripada mereka mengalami kecederaan.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi semalam apabila sebuah tangki minyak silinder yang terletak di bahagian belakang kilang tersebut tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan api menyambar anggota terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman memberitahu, ada empat tangki minyak silinder di tempat tersebut dengan dua daripadanya mengalami kebocoran dan terbakar dengan salah satu daripadanya meletup.

"Minyak silinder yang berada di dalam dua buah tangki tersebut bocor dan tumpah sebelum mengenai api yang masih menyala menyebabkan kebakaran menjadi marak sehingga api tersebut menyambar 10 anggota kita yang sedang berusaha memadamkan kebakaran.

"Tujuh daripada anggota yang cedera dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian manakala, selebihnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, dekat sini. Lima daripada mereka melecur dengan agak serius," katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika operasi memadam kebakaran tersebut hampir selesai.

Sebelum itu, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.11 pagi dan seramai 39 pegawai dan anggota bersama lima buah jentera dari Balai Bomba Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Darulnaim dan Tunjung telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Azmi, antara kecederaan yang dialami anggotanya ialah melecur pada muka, tangan, leher dan badan.

Pegawai dan anggota bomba yang mengalami kecederaan serius ialah Pegawai Kanan Bomba I (PBK I), Abdullah Din Mohamed; PBK II, Nazah Nafi; Pegawai Bomba (PB), Wan Asri Wan Yaacob, PB Zulkifli Mahmad dan PB Abdul Razak Abdullah.

Sementara itu, lima lagi yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Unit Pesakit Luar ialah Penguasa Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahrin Yusmar Mat Yusoff, PB Mohd. Zakee Daud, PB Rohanizam Othman, PB Mohd. Fathir Mohd. Jusoh dan PB Mohd. Shaiful Fitri.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Ong Cheok Hong, 38, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerjanya kira-kira pukul 8.10 pagi dan terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jelasnya, gudang tersebut sebelum ini digunakan untuk aktiviti mencelup tayar terpakai sebelum operasi kilang tersebut dipindahkan ke Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu dan gudang tersebut kini hanya dijadikan pusat servis tayar sahaja.

"Ketika ini saya hanya mempunyai lima orang pekerja dan kesemua mereka tidak mengalami kecederaan," ujarnya.

Produk ayam syarikat terkenal diuji di makmal

Posted:

Produk ayam syarikat terkenal diuji di makmal

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
dan MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

GEORGE TOWN – Operasi sebuah syarikat pengeluaran produk makanan sejuk beku dan ayam segar terkenal di negara ini mungkin dihentikan jika ujian makmal oleh Kementerian Kesihatan terhadap produk daging ayam keluaran syarikat terbabit didapati mengandungi antibiotik yang diharamkan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai dakwaan terdapat antibiotik yang dikenali sebagai Chloramphenicol pada produk ayam syarikat itu dan kini sedang menunggu keputusan ujian yang dilakukan oleh Bahagian Makanan kementerian tersebut.

Menurutnya, siasatan awal dibuat dan telah dihantar ke makmal apabila penemuan antibiotik itu dalam daging ayam dikesan oleh pihak veterinari di Sarawak baru-baru ini.

"Hanya stok yang dikenal pasti itu telah ditarik balik daripada pasaran sebagai langkah keselamatan. Saya tengah tunggu laporan makmal yang dijangka siap dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan kepastian sebelum keputusan lanjut dibuat.

"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk mengesan bagaimana bakteria itu boleh terkandung di dalam produk daging ayam tersebut," katanya pada satu sidang akhbar ketika mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Chloramphenicol merupakan sejenis antibiotik yang berfungsi untuk menghalang pertumbuhan bakteria selain digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan mata pada manusia.

Kewujudan antibiotik tersebut pada ayam bagaimanapun dikatakan boleh memberi kesan sampingan kepada orang ramai yang memakannya seperti muntah, cirit-birit dan sakit kepala.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri Sarawak pada Khamis lalu yang mengeluarkan larangan import produk berkenaan berkuat kuasa serta-merta selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.

Sementara itu, di Kuching, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menarik balik produk makanan sejuk beku dan ayam segar keluaran sebuah syarikat terbabit di pasaran jika dakwaan penggunaan antibiotik berkenaan disahkan.

Menurutnya, ketika ini pihaknya belum lagi menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung dakwaan itu.

"Jika benar dakwaan itu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pembekal ayam segar sejuk beku dan produk ayam tersebut," katanya di sini semalam.

Cucu saksi nenek dibunuh

Posted:

Cucu saksi nenek dibunuh

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my

ORANG ramai berkumpul di rumah tempat Sadariah ditemui mati akibat dibunuh dua penyamun yang memecah masuk rumahnya di Sabak Bernam semalam.


SABAK BERNAM – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pengalaman paling sukar dalam hidupnya apabila menyaksikan bagaimana neneknya dibunuh oleh dua penyamun yang memecah masuk rumah kedai warga emas itu di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar di sini semalam.

Mohd. Hafizul Azuan Mohd. Aznan, 17, masih tidak dapat melupakan tragedi yang meragut nyawa Sadariah Tohbasar@Ahmad, 65, walaupun perompak hanya memasuki rumah mereka selama 10 minit sebelum melarikan diri bersama bekas berisi barang kemas dan wang RM500.

Mohd. Hafizul tinggal bersama keluarganya di Sungai Besar, dekat sini dan hanya menemani Sadariah pada setiap hujung minggu.

Sadariah merupakan bekas guru Jabatan Kemajuan Masyarakat dan mengusahakan perniagaan menjahit pakaian sejak kematian suaminya tujuh tahun lalu dan tinggal sendirian.

Mengimbau semula kejadian pada pukul 4.45 pagi itu, Mohd. Hafizul memberitahu, dia yang sedang tidur di ruang tamu bersama neneknya terjaga selepas merasakan tubuhnya dihempap sesuatu dan mukanya ditumbuk.

Katanya, perompak bertopeng itu kemudian mengacukan parang di lehernya dan mengarahkannya supaya diam manakala seorang lagi menumbuk muka neneknya kerana menjerit sebelum ditekup dengan bantal.

"Penjenayah kemudian mengarahkan saya masuk ke dalam bilik untuk mencari barangan berharga sebelum saya yang ketakutan menyerahkan satu bekas berisi barang kemas termasuk cincin dan gelang emas serta wang RM500.

"Selepas itu, saya dibawa keluar dari bilik dan melihat muka nenek masih ditekup. Penjenayah kemudian mengikat tangan dan kaki kami dengan tali manakala mulut nenek diikat dengan tuala good morning selain mukanya ditutup dengan selimut," cerita pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar itu.

Tambahnya, selepas melepaskan ikatan sebaik penyamun itu melarikan diri, dia telah menghampiri Sadariah sebelum mendapati warga emas itu tidak lagi bernyawa.

Menurut Mohd. Hafizul, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada seorang jiran yang baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Sepanyol di sebuah restoran.

"Kedua-dua penjenayah itu bertubuh kurus dan tinggi serta bertopeng dan memakai sarung tangan. Perompak hanya mengeluarkan tiga patah perkataan iaitu diam, ambil barang dan bergerak," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, berdasarkan kenyataan cucu mangsa, siasatan awal mendapati warga emas itu mati akibat lemas selepas mukanya ditekup dengan bantal.

"Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang memasak kuih dan mengukus roti untuk dijual di kedai berhampiran. Kita percaya Sadariah menjadi mangsa selepas dia menjerit manakala cucunya terselamat kerana dia diam dan tidak melawan," ujarnya yang masih belum membuat sebarang tangkapan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Masri Md. Hassan di talian 03-322 42613 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Tanjung Malim, Perak pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Urban

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Homedec inspirasi kediaman warga kota

Posted:

Homedec inspirasi kediaman warga kota

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my

DALAM kesesakan manusia yang hadir ke pameran jualan Pameran Dekorasi Kediaman 2012 (Homedec) di Dewan Satu hingga Enam Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sebuah rumah yang terletak di tengah-tengah ruang pameran paling menarik perhatian.

Rumah dua tingkat yang menampilkan konsep rumah sebenar itu dinamakan sebagai Urban Loft. Urban Loft mempunyai ciri-ciri kediaman idaman bagi setiap warga kota kerana ia dilengkapi dengan pelbagai hiasan dekorasi moden.

Ia juga ditambah dengan kelengkapan rumah seperti set sofa dan dapur yang ringkas serta kolam renang yang terhampar luas di luar rumah.

Menerusi konsep yang ditonjolkan dalam rekaan rumah di Homedec, ia mampu memberi gambaran dan inspirasi kepada setiap pengunjung yang hadir mengenai konsep kediaman mereka.

Apa yang menariknya mengenai rumah itu ialah ia dipersembahkan dengan dua mood keadaan yang berbeza iaitu untuk waktu siang dan malam.

IBU BAPA juga berpeluang membeli kelengkapan untuk dimuatkan dalam bilik anak-anak.


Tema

Pameran tahunan Homedec tahun ini dibahagikan kepada dua tema berbeza iaitu Design+Renovate yang mewakili bahagian pertama dan Furnish+Decorate pada bahagian kedua.

Bahagian pertama pameran jualan itu berlangsung dari 18 hingga 21 Oktober, manakala bahagian kedua pula dari 25 hingga 28 Oktober lalu.

Pameran pada tahun ini menampilkan 1,500 gerai daripada 430 syarikat industri dekorasi kediaman terkenal tanah air yang berbeza di kedua-dua pameran itu.

Seorang pengunjung yang ditemui pada pameran bahagian pertama, Ho Sit Chye, 49, memberitahu, dia sememangnya menunggu pameran itu saban tahun.

HARGA yang ditawarkan oleh kebanyakan syarikat yang terlibat dengan pameran ini nyata jauh lebih murah daripada harga pasaran.


Dia terus menjejakkan kaki ke pameran tersebut sebaik sahaja ia membuka tirai pada 18 Oktober lalu.

Sit Chye yang bekerja dalam sektor pengurusan perhotelan berkata, kunjungannya ke pameran tersebut antaranya bertujuan untuk mendapatkan idea baharu bagi syarikat tempat dia bekerja.

"Pada tahun ini, saya dapat lihat banyak produk baharu yang berada di pasaran. Antaranya ialah panel bumbung berteknologi tinggi yang jarang ditemui di pasaran, tetapi ada di sini. Ada beberapa barangan kelengkapan yang mungkin akan dibeli untuk syarikat saya.

"Kunjungan saya ke sini juga tidak terhad untuk hal ehwal pekerjaan sahaja. Saya juga dapat melihat pelbagai dekorasi terkini untuk kediaman saya," ujarnya sambil ketawa.

Menurutnya lagi, pameran pada tahun ini lebih tersusun dan lebih variasi terutama dari segi bilangan syarikat dan produk yang dijual.


PELBAGAI jenis dekorasi lampu terkini menjadi tumpuan para pengunjung.


Ulang tahun ke-10

Homedec yang diadakan di Kuala Lumpur sejak tahun 2003, kini telah menyambut ulang tahun ke-10 penganjurannya pada tahun ini.

Pameran tersebut merupakan pemegang rekod pameran dekorasi kediaman terbesar oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2010 dan 2011.

Dengan kejayaan itu, pameran berkenaan turut dianjurkan di Pulau Pinang dan Johor selain ke Kota Kinabalu, Sabah pada September lalu.

Bagi Noor Sazulya Zulkifli, 27, kunjungannya bersama suami dan keluarga ke pameran Homedec adalah untuk memilih perabot-perabot terkini yang sesuai bagi kediaman mereka.

"Saya dan suami amat tertarik dengan kepelbagaian perabot seperti set sofa, set meja makan serta lampu hiasan yang dijual di sini. Kebetulan pula, kunjungan kami ini juga merupakan antara persiapan kami untuk berpindah ke kediaman baharu tidak lama lagi.

"Saya juga telah meninjau keseluruhan senarai harga promosi kelengkapan rumah di sini dan saya dapati ada di antaranya dijual 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran," ujar Sazulya ketika ditemui pada pameran Homedec bahagian kedua baru-baru ini.

Menurutnya lagi, setiap gerai yang terlibat juga memberikan informasi yang relevan serta lengkap mengenai setiap produk keluaran syarikat mereka kepada pengunjung.

KUNJUNGAN warga kota ke pameran Homedec mampu memberi idea pengubahsuaian kediaman mereka.


Akuarium hiasan

Sementara itu, pengarah sebuah syarikat hiasan akuarium dan kolam ikan, Aquatic Design, Wee Boon Chen memberitahu, ini merupakan tahun keenam syarikat tersebut menyertai pameran Homedec.

"Setiap kali pameran Homedec membuka tirai, Aquatic Design pasti akan melancarkan produk baharu untuk tatapan para pengunjung. Untuk tahun ini, kami melancarkan akuarium yang turut dilengkapi dengan set perabot yang dibuat khas mengikut permintaan pembeli.

"Sistem akuarium yang ditawarkan oleh syarikat kami tidak menggunakan kos penyelenggaraan yang tinggi dan ia mengambil masa enam bulan sekali untuk setiap penyelenggaraan," ujarnya.

Menurutnya lagi, pada pameran kali ini pihaknya menawarkan potongan harga antara RM500 hingga RM3,000 untuk setiap tempahan akuarium.

Festival Navarathiri di Pasar Seni

Posted:

Festival Navarathiri di Pasar Seni

Oleh NIZHA PERIASWAMY

SETIAP gerak tari klasik India memerlukan kelenturan tubuh luar biasa untuk memukau para penonton.


APABILA bercakap mengenai kompleks Pasar Seni di ibu negara, apa yang dapat dibayangkan ialah ratusan gerai-gerai kecil yang menjual cenderamata dan kartunis yang sedia duduk menghadap kertas putih selain galeri-galeri seni.

Berdiri sebagai sebuah pusat sehenti seni dan warisan, kepelbagaian yang dipamerkan di situ turut menyaksikan beberapa perubahan fasa kemas kini, tentu sekali demi kemudahan pengunjung sekali gus menarik perhatian para pelancong.

Menambahkan lagi nilai tarikannya sebagai hab seni budaya bangsa, baru-baru ini Pasar Seni menjadi tuan rumah kepada festival tarian, seni dan budaya yang dikenali Festival Navarathiri Arts Kuala Lumpur (KLNAF).

Memasuki edisi kelima tahun ini, KLNAF merupakan perayaan sembilan malam yang disambut oleh penganut agama Hindu.

Berbentuk perayaan yang dikhaskan kepada tiga dewi iaitu Saraswathy, Letchumy dan Parvathy, nava bermaksud sembilan dan rathiri bermaksud malam. Sepanjang sembilan hari itu, pentas di pintu masuk utama Pasar Seni menjadi saksi kepada pelbagai persembahan tarian yang lebih menonjolkan nilai seni dan budaya.

PARA penari lelaki yang tidak ketinggalan beraksi pada Festival Navarathiri di Pasar Seni.


Penganjuran istimewa

Menganjurkan KLNAF yang berlangsung dari 16 Oktober hingga 24 Oktober lalu merupakan sesuatu yang sangat istimewa bagi Pengarah Artistik Asthana Arts, Ravi Shanker, dan juga para penari dan pemilik sekolah tarian yang berpusat di Brickfields, Kuala Lumpur itu.

Idea tersebut diinspirasikan ketika Ravi terlibat dalam Festival Tarian Thiruvayur di Chennai dan Festival Tarian di Orisa

Kedua-dua festival di bumi India yang menyatukan aspek budaya antara kumpulan tarian, pemuzik dan aktivis seni di bawah satu bumbung itu telah membangkitkan semangat Ravi untuk mengajurkan festival yang sama di Malaysia.

"Oleh itu, pada tahun 2008, saya mengumpul sekumpulan rakan yang merupakan guru tarian serta pemilik sekolah tarian untuk menganjur satu festival tarian tersendiri di Malaysia," kata Ravi.

Menyentuh mengenai lokasi, Ravi memberitahu, pihaknya memilih Pasar Seni seiring dengan fokus kompleks berkenaan bertunjangkan seni dan warisan.

"Persembahan KLNAF berjaya menarik perhatian bukan sahaja orang ramai, aktivis seni dan pelajar bahkan pelancong asing yang terpukau dengan persembahan yang diberikan," tambah Ravi.

Ravi memberitahu, tahun ini buat pertama kali, dia memperkenalkan tarian kathak dan kuchipudi sebagai tumpuan di KLNAF.

Selain itu tiga lagi genre tarian yang turut dipersembahkan sepanjang KLNAF ialah odissi, mohiniattam dan bharathatanatyam. Semua tarian klasik India itu amnya mewakili setiap budaya dan seni dari pelbagai pelosok negeri di India.

PESERTA bengkel tarian anjuran Ashtaana Arts berpuas hati dengan pendedahan yang diberikan.


Namun, persembahan KLNAF tidak hanya terhad pada lima jenis tarian berkenaan. Ia turut dimeriahkan dengan persembahan tarian merak, fusion dan dramatari Ramayana oleh kanak-kanak menggunakan tarian tempatan Rajasthani.

Lebih membanggakan buat kali pertama, Asthana Arts menganjurkan bengkel mohiniattam yang turut disertai seorang peserta muda berketurunan Cina, Nikki Law Pik Wan, 28.

Penari Nanthakumar dan Mohd. Izzuddin Amir Abdul Malik menyampaikan tarian Varnam selama 25 minit tanpa henti manakala tarian bharathanatyam pula dipersembahkan oleh Nimal Raj.

"Saya berbangga melihat penari Mohd. Izzudin. Dia, seorang graduan bidang biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan langkah tarian klasikal India, bharathanatyam sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di universiti. Kini, dia seorang penari yang berbakat," puji Ravi.

Persembahan khas

Buat julung-julung kalinya pada tahun ini, enam penari lelaki odissi dari Asthaana Arts iaitu Geethashankaran Pavitheranraj, Thinesh Rajaindren, Vickneswaran, Thanenthiran, Kirhubhamuruga dan Melvin Santhana membuat persembahan khas.

Sementara itu, Aahmu Thirunyanam dan Kannan Rajamanickan menyampaikan tarian mangalacharanam pada hari terakhir.

KLNAF kali ini disifatkan sebagai penganjuran yang berjaya memandangkan ia disertai lebih 70 penari dari usia semuda empat tahun hingga peserta separuh cacat penglihatan dan penari transeksual.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Penentang lancar serangan besar-besaran

Posted:

Penentang lancar serangan besar-besaran

KLIP video YouTube menunjukkan pejuang-pejuang penentang memerhatikan mayat beberapa askar Syria yang ditembak mati selepas mereka ditawan di bandar Saraqeb, Khamis lalu.


DAMSYIK - Pihak penentang di Syria menyatakan semalam bahawa mereka melancarkan serangan besar-besaran ke atas sebuah pangkalan udara utama di utara negara berkenaan.

Serangan itu dilancarkan menjelang satu rundingan penting berhubung masa depan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria.

Kepungan ke atas pangkalan udara Taftanaz itu berlaku selepas tentera Bashar melancarkan serangan udara bertubi-tubi minggu ini bagi melemahkan kedudukan penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).

Pangkalan udara itu menempatkan sejumlah helikopter tempur yang digunakan tentera Syria untuk menyerang kawasan-kawasan yang dikuasai FSA.

Satu klip video di internet menyatakan, sebanyak lapan batalion FSA mengambil bahagian dalam serangan itu termasuk kumpulan Islam radikal, Barisan Al-Nusra.

Rakaman turut menunjukkan FSA menggunakan pelancar roket untuk menyerang kedudukan tentera Syria di pangkalan udara tersebut.

Semalam, pemberontak menawan kedudukan pertahanan udara di Duwila, dalam wilayah Idlib dalam pertempuran yang meragut nyawa seorang pegawai tentera dan mencederakan lapan pejuang FSA.

Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, FSA turut menawan beberapa kedudukan tentera Bashar di bandar Douma, dekat sini dan merampas sebuah balai polis, sebuah bangunan majlis perbandaran dan selepas membunuh 21 askar Syria.

Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika pihak penentang Syria bersiap sedia menyertai rundingan di Qatar hari ini dengan Amerika Syarikat dijangka mendesak satu organisasi baharu diwujudkan bagi menyatukan kesemua kumpulan serpihan penentang rejim Bashar.

Sementara itu, FSA dikecam berikutan tersiarnya satu klip video di laman web YouTube yang mendakwa pejuang-pejuangnya membelasah dan menembak mati kira-kira 10 askar selepas menyerang beberapa pos kawalan tentera di bandar Saraqeb, barat daya Syria pada Khamis lalu.

Setakat ini, lebih 36,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac tahun lalu kerana menuntut hak demokrasi. - AFP

Taktik kotor cemari pilihan raya Presiden AS

Posted:

Taktik kotor cemari pilihan raya Presiden AS

OBAMA (kanan) berjabat tangan dengan lawannya, Romney sebelum pusingan pertama debat pilihan raya Presiden di Denver, Colorado papda 3 Oktober lalu.


CHICAGO - Iklan menakutkan pengundi, borang pendaftaran pengundi dibuang ke tong sampah dan kenyataan mengelirukan adalah antara taktik kotor yang mencemarkan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Menjelang proses pengundian Selasa ini yang menyaksikan Presiden Barack Obama ditentang calon Republikan, Mitt Romney, pakar-pakar politik memberi amaran taktik kotor mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya itu.

"Sekiranya pilihan raya sudah dekat, perkara-perkara seperti itu (taktik kotor) perlu diambil kira," kata Pengarah Pusat Dasar Awam Annenberg, Kathleen Jamieson.

"Pengalaman berdepan taktik kotor pernah dialami pada pilihan raya tahun 2000 dan 2004," tambahnya.

Bagaimanapun, kata Jamieson, sebahagian taktik kotor boleh memakan diri.

Menurutnya, sejumlah cakera video digital (DVD) yang dihantar kepada pengundi di beberapa negeri atas pagar di AS mendakwa bahawa ibu Obama pernah berbogel dalam sebuah majalah lucah mengundang kemarahan pengundi.

"Apabila taktik kotor seperti itu digunakan, ia hanya dipercayai oleh penyokong fanatik sesebuah parti dan tidak akan mengubah pendirian pengundi lain," jelas Jamieson.

"Taktik sebegitu juga berisiko mencetuskan kebencian ramai orang berbanding mereka yang terpedaya," tambah pakar politik berkenaan.

Namun, editor sebuah laman web fakta di AS, Brooks Jackson berkata, taktik memburukkan lawan kerap digunakan kerana ramai pengundi cetek pengetahuan politik.

Baru-baru ini, Romney dikecam hebat penyokong parti Demokrat dan pengurusan General Motors serta Chrysler kerana menyiarkan iklan politik palsu yang membayangkan dua syarikat pengeluar kereta itu mementingkan pekerja China dengan membuka kilang di negara berkenaan.

Kedua-dua firma berkenaan yang hampir muflis telah diselamatkan oleh Obama menerusi pelan ekonominya. - AFP

Katak berjari tiga spesies baharu

Posted:

Katak berjari tiga spesies baharu

KATAK kecil berjari tiga, Brachycephalus tridactylus yang ditemui di hutan simpan di selatan Brazil.


BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di sebuah hutan simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada minggu ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli biologi, Michel Garey.

"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di puncak sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari tiga," kata Garey.

"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.

Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan panjang kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.

Dikenali dengan nama saintifik, brachycephalus tridactylus, penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa, Herpetologica.

Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter, brachycephalus tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang berjari empat.

Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.

Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950 spesies amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di seluruh dunia. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Anak bekas ahli parlimen parah ditetak

Posted:

Anak bekas ahli parlimen parah ditetak

04/11/2012 8:54pm

KUALA LUMPUR — Anak lelaki bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan cedera parah selepas ditetak dengan parang oleh seorang daripada tiga lelaki yang menyerangnya berhampiran deretan kedai makan di Seksyen 6, Wangsa Maju, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt. Othman Abu Bakar berkata, dalam kejadian 10.30 pagi ini, anak kepada Wan Mohd. Najib Wan Mohamad iaitu Wan Mohd. Faizal, 24, cedera di bahagian belakang kepala, tengkuk dan tangan.

"Ketika kejadian, mangsa berjalan bersendirian melalui deretan kedai makan sebelum dia diserang tiga lelaki terbabit manakala salah seorang daripada suspek telah bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah parang.

"Mangsa kemudiannya berjalan ke sebuah kedai makan untuk meminta pertolongan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program keselamatan jalan raya 'Reuniting Families-Child Safety Road Show' di sini hari ini.

Motif kejadian masih lagi disiasat, katanya.— BERNAMA

Amir Mustafa juara GP Kebangsaan Sirkit Perak

Posted:

Amir Mustafa juara GP Kebangsaan Sirkit Perak

04/11/2012 7:25pm

KUALA LUMPUR — Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Amir Mustafa Rusli meraih kejuaraan pada perlumbaan Grand Prix Kebangsaan Sirkit Perak (GP Perak) sejauh 202.5 kilometer di Mutiara Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak hari ini.

Menurut Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan, Amir Mustafa menamatkan saingan dengan masa empat jam, 44 minit dan 24 saat dan diikuti pelumba pelapis kebangsaan, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dengan catatan masa 4:45:11s.

Amir Mustafa, yang mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), memanfaatkan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik 2012 dan Kejohanan Lebuh Raya Sedunia 2012 untuk muncul juara.

"Saya sudah biasa berlumba pada jarak lebih 200km. Jadi saya tak berdepan masalah mental apabila turun berlumba hari ini. Ia sangat memenatkan dan kita perlu bijak mencatur strategi, selain harus pandai menyimpan tenaga.

"Pada 2km terakhir, saya tahu tiga lagi pesaing saya tidak mampu untuk mengejar saya. Saya telah susun strategi dan menyimpan tenaga dengan sebaik-baiknya," kata pelumba yang turut menyertai pasukan benua, Drapac Professional Cycling Team dari Australia.

PKBM buat pertama kali telah menetapkan jarak perlumbaan sejauh 202.5km pada Grand Prix Sirkit Kebangsaan kali ini kerana sebelum ini, jarak perlumbaan sehari di negara ini khususnya Grand Prix Kebangsaan tidak melebihi 175km.

Sementara itu, bekas pelumba berbasikal wanita kebangsaan, Nor Azian Alias sekali lagi muncul juara selepas memenangi GP Sarawak pada September dan Terbuka Perlis 2012 pada Oktober lepas.

Nor Azian, pemenang pingat emas di Sukan SEA Manila, Filipina pada 2005, menamatkan saingan sejauh 135km dengan catatan masa 3:49:50s dan diekori rapat Nurul Suhada Zainal dan Lauretta Eva Adrian yang turut mencatat masa yang sama. — BERNAMA

Syarikat rokok digesa bantu penanam tembakau

Posted:

Syarikat rokok digesa bantu penanam tembakau

04/11/2012 7:23pm

BACHOK — Syarikat rokok yang pernah meraih keuntungan besar daripada hasil industri tanaman tembakau di Kelantan diminta tampil membantu bekas penanam yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah dan bekalan air bersih.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, jasa penanam yang mengusahakan tanaman itu sejak puluhan tahun lepas, tidak seharusnya dilupakan syarikat terbabit.

"Syarikat berkenaan sehingga kini mendapat keuntungan ratusan juta setahun seharusnya datang membantu mereka ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan program membaiki rumah rakyat miskin kawasan Parlimen Bachok di Kampung Baru Rekang hari ini. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nadia sukar jadi diva

Posted:

Nadia sukar jadi diva

TIADA satu pun sensasi yang melekap pada tubuhnya untuk dijadikan topik bicara. Duduk berbual dengan Nadia Aqilah Bajuri lebih tiga jam tetapi semuanya berlegar soal kerja, kerja dan kerja.

Licik sungguh si bunga yang mesra disapa Nadia ini menjaga tingkah laku. Biarpun ada nama, namun gadis berumur 27 tahun nekad bebas gosip.

Nadia bukan lagi wajah baharu dalam dunia hiburan, malah Nadia Aqilah kini sudah menjadi bualan. Jika dihitung daripada segi masa, dia sudah merasai ranjau seni sejak berusia 14 tahun. Nadia pernah menubuhkan kumpulan Luscious bersama Eenaz dan Ruzana untuk mencuba nasib dalam rancangan realiti televisyen Gangstarz pada 2007.

Dalam kerja-kerja lakon pula, gadis berbintang Leo ini sudah lima tahun bergelar anak wayang. Namun bakat yang dipahat itu masih lagi terselindung. Empunya diri ada alasan mengapa dia mahu menyorok daripada mendapat liputan luas.

Dia enggan menghulur salam perkenalan dengan peminat secara semberono biarpun sedar publisiti itu penting. Sebaliknya Nadia ada jalan positif untuk dikenali.

"Bukannya menyorok daripada media, cuma tiada apa yang mahu diceritakan. Lagipun saya tidak gemar berkongsi cerita pasal peribadi.

"Saya masih berpegang kepada kata-kata abang saya sendiri yang pernah berpesan. Katanya, kalau kita bagus, suatu hari nanti orang akan cari kita. Itulah cara yang mahu saya amalkan.

"Memang benar suatu ketika dahulu saya pernah berasa tidak senang kerana tidak dikenali. Sebaliknya kini saya sudah boleh menerima keadaan itu, bahkan selesa dengan keadaan sekarang," kata gadis yang tingginya hanya 167 sentimeter itu.

Kelibat Nadia begitu eksklusif. Kerja lakonannya tampak mengalir perlahan. Tetapi dalam senyap Nadia sibuk melakukan itu dan ini. Setelah habis dengan suatu persembahan teater, dia beralih pula kepada jadual penggambaran drama.

"Kalau tidak berlakon dalam drama, saya akan terlibat dalam produksi teater sama ada komersial mahupun skala kecil. Ada juga tawaran berlakon yang terpaksa saya tolak kerana tidak mahu jadualnya bertindih.

Lampias panggung

"Syukur kerana sehingga kini rezeki masih tidak putus. Sesuai dengan jiwa saya yang kuat bekerja ini. Jika tidak berteater atau berlakon saya akan menerima undangan nyanyian. Itu sebabnya saya tidak selalu muncul di kaca televisyen," katanya yang pernah terlibat dalam produksi teater Secret Life of Nora, Puteri Gunung Ledang The Musical, P. Ramlee The Musical dan Terima Kasih Cinta.

Tahun ini Nadia bakal menutup diari hidupnya dengan senyuman lebih melebar. Sejak Khamis lalu, filem pertama lakonannya, Zaiton Ceritaku sudahpun menjengah panggung.

Ada pengkritik filem yang menganggap naskhah itu sekadar sebuah filem lampias panggung, Nadia pula, jauh di sudut hatinya naskhah itu terakam cantik menjadi sejarah baharu buat dirinya.

"Mungkin kalau empat, lima tahun lalu saya menerima tawaran ini, saya akan terkejut. Mungkin juga saya akan sedikit menolak atau terkejut kerana mendapat tawaran sebegini. Tetapi untuk masa kini, saya sekadar menerimanya sebagai perkara biasa.

"Dari satu sudut lain pula saya bertuah kerana diberi kepercayaan membawa watak Zaiton Sameon yang begitu disanjung ketika zaman kegemilangannya. Filem ini menuntut saya bermain emosi dan diberi peranan utama," katanya yang mengenali lagu-lagu Zaiton terutamanya Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar sejak berusia tiga tahun.

Zaiton Ceritaku garapan pengarah dan pelakon Esma Daniel itu mengisahkan kehidupan Zaiton yang pernah berada di puncak populariti pada suatu ketika dahulu.

Puas jadi Zaiton

Filem biografi Zaiton yang diangkat sebagai diva itu merakam kisah ketika dia berusia sekitar 20-an hingga 50-an.

Antara yang dipaparkan termasuklah insiden kemalangan jalan raya yang merubah kehidupan Zaiton secara total. Dalam kemalangan itu Zaiton kehilangan anak lelakinya Azirwan Abu Bakar yang maut di tempat kejadian di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Batang Kali, Selangor, lebih dua dekad lalu.

Jelas Nadia, garapan yang penuh emosi itu turut memberi cabaran besar buat dirinya terutama untuk menggalas watak seorang diva yang pernah terang cahaya popularnya itu.

"Naskhah itu benar-benar ditunggu. Bukan sahaja diberi peluang untuk menggalas watak utama, tetapi dapat menyelami kehidupan seorang bintang hebat pada zamannya dan menyelami emosi Zaiton menuntut usaha yang tak sedikit.

"Biarpun orang akan menganggap ia sebagai satu kejayaan buat saya kerana menjadi teraju utama dan buat pertama kalinya berlakon dalam filem, saya tetap tidak mahu berasa hebat. Apa yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saya ialah mendapat kepuasan dengan filem itu," katanya yang pernah terlibat dalam drama seperti Emel Emelda, Sinderella, Merah Putih, Puteri Rania dan Tari Tirana.

Perbualan tentang kerja memang tidak memenatkan mahupun membuatnya bosan. Satu persatu jika mahu diceritakan pastinya masa tidak akan mencukupi untuk meneroka lebih jauh.

Tambah Nadia yang tidak letih bercerita soal filem terbaharunya itu, penonton pasti akan pulang dengan kepuasan apatah lagi dapat mengenali kehidupan sebenar Zaiton.

"Tontonlah filem ini kerana anda akan tahu kisah hidupnya. Banyak cerita tidak benar yang disampaikan daripada mulut ke mulut. Sebenarnya dia bukannya tidak waras seperti diperkatakan, cuma perasaannya sahaja yang tertekan," kata Nadia bersemangat.

Sudah berpunya

Lumrah yang harus ditelan buat seorang yang bergelar selebriti termasuklah untuk dikorek perihal isi peribadinya. Tidak kiralah artis itu terkenal atau pun tidak, setiap gerak-geri yang diperhatikan boleh menjadi bahan bualan, sekurang-kurangnya di meja makan kedai tepi jalan.

Tidak mahu alah dengan lumrah itu, Nadia seboleh-bolehnya cuba mengunci kisah peribadi. Baginya cukuplah sekadar dia mempertaruhkan bakat dan jiwa luarannya sahaja buat tatapan peminat. Hal yang privasi mahu ditutup erat-erat.


NADIA AQILAH lebih rela menjauhkan diri daripada bercerita atau menjaja kisah peribadi .


Sengaja diusik sedikit tentang cerita peribadi, dengan kata tersusun, Nadia menolak untuk bercerita. Katanya, dia enggan menjaja kisah hidup sendiri berbanding galak berkongsi kisah kerjaya.

"Tiada apa yang perlu saya kongsikan dengan orang lain kerana ia mungkin menyusahkan saya kelak. Contohnya kalau saya jawab persoalan tentang sama ada diri sudah berpunya atau masih solo, pasti akan ada soalan susulan selepas itu.

"Lepas menjawab pasal hubungan, nanti orang mahu bertanya pula mengenai siapakah nama lelaki itu, apakah ketinggiannya ataupun dia kerja apa. Perkara ini yang lama kelamaan boleh menjerat diri saya juga. Lebih elok rasanya saya bercerita soal kerjaya sahaja," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Selain cerita lakonannya hangat di panggung, peminat boleh menonton aksi Nadia menerusi drama Dendam Pencinta di TV9. Selain bakal muncul dengan telemovie Atas Cinta Bawah Cinta di TV3 dan siri televisyen berbahasa Inggeris, I Eat KL di saluran televisyen berbayar, Nadia juga sedang sibuk berlatih untuk majlis Royal Art Charity Show pada 12 November ini.

Nadia pernah menghasilkan sebuah album solo yang mengandungi tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu berjudul DIVA. Bagaimanapun album itu dianggap gagal setelah dua tahun berada di pasaran.

"Album itu tidak berjaya kerana silap percaturan dan perancangan. Tetapi saya menerimanya secara positif untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik.

"Namun buat masa ini masih belum ada hitam putih untuk menghasilkan album seterusnya. Sekadar ada perancangan sahaja. Semoga tercapai jua suatu hari nanti," ujar Nadia.

Becok punca Ika jadi deejay

Posted:

Becok punca Ika jadi deejay


IKA NABILA mengakui, usia muda boleh membuai dirinya untuk memikirkan keseronokan sementara, namun dia masih dalam proses pembelajaran dan memperbaiki diri.


TANPA pengalaman, latar belakang pengacaraan ataupun menjadi pengacara majlis perkahwinan, tiba-tiba sahaja nama pelakon serta bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keenam, Ika Nabila diumumkan sebagai penyampai radio di Era FM.

Perkara itu disahkan Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran. Bukan Ika Nabila seorang, bahkan seorang lagi penyanyi yang juga bekas peserta AF, Aril juga kini secara rasmi bergelar penyampai baharu atau deejay di stesen radio nombor satu negara itu.

Nazri berkata, Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus sudah pun memulakan tugasnya bersama Era FM sejak 7 Oktober lalu menerusi segmen jam 6 petang hingga 10 malam, namun ia masih dalam peringkat pembelajaran.

"Setelah kami mengadakan uji bakat berperingkat, Aril dan Ika Nabila adalah calon yang paling layak dan bakat mereka boleh digilap lagi dalam bidang penyampaian radio," kata Nazri pada majlis kesyukuran Era FM, Khamis lalu.

Aril dan Ika bakal bergandingan dalam segmen hujung minggu yang berjudul Muzik ERAthon selama empat jam, kebiasaannya ke udara pada hari Ahad.

Sensasi Bintang mendapatkan penjelasan daripada Ika berhubung pelantikan dan tugas baharu yang digalas sebagai penyampai di sebuah stesen besar seperti Era FM.

Sensasi Bintang: Bagaimana tugas deejay anda kini memandangkan Ika tidak ada pengalaman dan masih terlalu muda?

IKA: Memanglah saya muda lagi, baru berumur 20 tahun tapi tawaran untuk jadi deejay ini bukan diterima secara tiba-tiba. Sebenarnya saya dipanggil untuk uji bakat sejak bulan Februari lagi. Proses uji bakat itu banyak kali dan macam-macam peringkat. Mula-mula kena uji bakat secara solo, lepas itu uji bakat bersama calon penyampai yang lain. Banyak proses yang dilalui.

Atas alasan apa Ika dipilih jadi deejay?

Ikut apa yang pihak Era maklumkan, saya dipilih jadi deejay kerana banyak cakap. Lagi satu saya juga ada minat terhadap bidang muzik dan industri hiburan.

Cukup ke sekadar becok dan minat?

Memang tak cukup, tapi saya terima tawaran itu kerana anggap itu peluang keemasan yang tidak patut saya tolak. Cabaran paling besar ialah untuk banyak cakap tapi penuh maklumat serta berupaya menarik perhatian pendengar.

Sebenarnya anda sudah bertugas atau belum?

Sudah. Saya sudah ke udara sejak tiga minggu lalu tapi tidak pernah digandingkan lagi dengan Aril sebaliknya dengan penyampai senior lain.

Pernah ada insiden memalukan atau tersasul?

Pernah. Saya terlupa nombor telefon stesen sendiri, tapi nasib baik ia berlaku semasa dalam rakaman. Jadi, tak sempat ke udara.

Semacam tradisi Era FM mengambil lepasan AF untuk menjadi deejay sehingga memberi gambaran bahawa kalian produk gagal yang terpaksa dieksport ke konti radio.

Rasanya tidak. Saya sendiri kurang dilihat sebagai penyanyi kerana masa masuk AF, awal-awal lagi saya terkeluar. Orang lebih nampak saya sebagai pelakon.

Adakah pemilihan itu dibuat lantaran anda dilihat sudah popular sebagai pelakon?

Bab itu saya tak berani komen. Saya tak banyak berlakon untuk Astro sebaliknya banyak muncul di stesen Media Prima. Saya cuma nak cuba. Kalau tak menjadi tak rugi apa-apa tapi saya akan buat yang terbaik untuk kembangkan karier. Sekarang saya juga dilantik jadi duta golf untuk kerja amal bersama Kementerian Belia dan Sukan. Majlis pelancaran akan dibuat pada 17 November nanti, itupun rezeki dan peluang buat saya.

Perkembangan lain tentang kerja anda ketika ini.

Sekarang saya sibuk dengan penggambaran program realiti Panik untuk ntv7, ia semacam program Seekers, Fear Factor atau Amazing Race. Selain itu ada drama berjudul Darjat di TV3.

Baru-baru ini ada isu tindik lidah. Khabarnya Ika terkandas pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu?

Saya bertindik untuk suka-suka. Kadang-kadang saya juga terleka, mungkin sebab masih muda. Tapi saya tak pakai benda itu sepanjang masa pun. Bab tangguh belajar itu pula terpaksa saya buat, rezeki lebih kepada bidang seni tapi saya masih berminat untuk belajar. Mungkin akan buat pendidikan jarak jauh di Kuala Lumpur sahaja, untuk sambung semula diploma komunikasi di USM itu, mungkin tidak.

Loka ikut rasa

Posted:

Loka ikut rasa

DARI kiri: Moe, Daniel, Adib dan Zubair mahu meneruskan perjuangan grup seperti Flop Poppy dan Spider dalam industri seni tempatan.


EMPAT jentera Loka mendakwa nama kumpulan itu bermaksud antara syurga dan dunia. Tambah mereka, muzik ialah sebuah balutan rasa dengan lirik-lirik berkisar kehidupan.

"Mungkin lirik kami terlihat biasa. Ada maksud yang tersirat dan terpulang kepada setiap individu untuk memberi tafsiran. Kami letakkan perihal cinta dan kehidupan yang dijalani dalam lirik," lancar Daniel selaku vokalis bersuara.

Menariknya tentang sebuah grup yang ditubuhkan pada akhir 2011 itu, mereka mengaku mahu menjadi penyambung generasi dan nafas yang telah diberikan oleh grup seperti Flop Poppy dan Spider. Misi mereka untuk membawa kembali muzik dan suasana seperti itu.

"Loka bermula daripada sembang-sembang di kedai mamak antara saya dan Moe. Kemudian kami ajak Adib dan Zubair turut serta. Bermula daripada detik itu kami mulakan latihan dan semuanya berjalan lancar," cerita Daniel tentang asal usul Loka.

Lalu keserasian dikesan melalui minat setiap ahli kepada aliran muzik dan jalur grup yang digemari. Keempat-empat jentera baharu ini meletakkan input masing-masing bagi membentuk sebuah keserasian.

Ujar Zubair, Loka yang bernaung di bawah Life Records ini meletakkan sasaran untuk memberi pelajaran dan pengalaman buat khalayak.

Setelah keserasian terbentuk erat, mereka mula menggali material. Membentuk sepakat, single perdana berjudul Mungkin Kau Terlupa akan dihadapkan kepada khalayak pada Disember ini.

Membuat kajian dan pemerhatian terhadap musim dan pergerakan muzik dalam industri tempatan, Loka menjelaskan bahawa mereka kembali kepada asal.

"Kami lihat banyak grup kini yang mahu menjadi identiti lain. Di Kuala Lumpur sahaja ada 5,930 grup. Ada yang terikut-ikut akan trend atau grup yang mereka puja. Loka mahu menjadi diri sendiri. Mahu membuka minda kepada magis yang lain.

"Ya, kami juga mahu mengusung perjuangan Flop Poppy dan Spider. Meletakkan muzik seperti mereka kerana mungkin khalayak sudah terlupa. Kami mahu meneruskan tradisi," ulas Adib tentang perjuangan Loka.

"Penting juga diingatkan bahawa kami hadir dalam industri muzik untuk memberi keindahan kepada pendengar. Bukannya mahu bersaing. Kami tidak berasa takut untuk hadir dalam ribuan grup yang sudah ada dalam pasaran," tambah Daniel tentang Loka yang mahu mengukuhkan lagu-lagu dalam industri muzik.

Membawakan genre pop namun diselitkan nuansa rock dalam perjalanan muzik Loka, elemen paling penting yang ditekankan Loka ialah rasa yang dimasukkan dalam lagu-lagu mereka.

"Kami menekankan rasa. Mungkin muzik kami nampak santai tetapi elemen rasa itu penting. kami tidak mahu berpura-pura faham atau tunjuk bagus tentang muzik. Apa yang penting adalah untuk menjadi lebih bagus daripada tunjuk bagus," senyum Daniel dalam kata yang tersirat.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved