Rabu, 17 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Antara fenomena, populariti dan kuasa bertahan

Posted:

Antara fenomena, populariti dan kuasa bertahan

TERCETUSNYA sesuatu fenomena dalam industri hiburan khususnya, adalah disebabkan oleh khalayak yang terlalu minat mahupun obses terhadap seseorang selebriti.

Ia adalah ekoran kejayaan mereka melalui bidang muzik mahupun lakonan dan tidak kurang juga menerusi pakej bakat dan rupa.

Walaupun masih hijau dalam lapangan seni, namun arus populariti mereka merebak bagaikan satu virus sehingga membuatkan peminat hiburan tempatan terus 'terjangkit' dengan aura mahupun pesona penyanyi atau pelakon tersebut.

Penyanyi - Datuk Siti Nurhaliza Tarudin

Datuk Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa sebagai Siti, mula menempah nama sebagai artis dalam bidang seni pada tahun 1995.

Ketika usianya baru 16 tahun, dia telah menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini.

Berbekalkan rupa dan suara yang merdu, Siti terus menjadi igauan peminat di Malaysia ketika bakatnya mula mendapat perhatian ramai semasa mendendangkan lagu Kau Mawarku bersama kumpulan 2 By 2.

Bukan itu sahaja, sebagai seorang penyanyi baharu pada waktu itu, Siti juga berjaya mengalahkan penyanyi-penyanyi senior dalam beberapa anugerah muzik yang diadakan.

Saban tahun, setiap pertandingan yang menampilkan dirinya, hampir semua kemenangan menjadi milik Siti.

Sehingga pada satu tahap, Siti dengan rela hati menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan untuk memberi laluan kepada artis lain.

Siti menjadi tokoh terkenal dalam budaya pop Melayu. Kombinasi wajah wanita Melayu asli dan suara merdu bak buluh perindu membuatkan Siti digemari oleh peminatnya.

Tidak dinafikan, sehingga kini selepas 15 tahun, Siti masih menjadi idola peminat seni muzik tempatan.

Setakat ini, Siti telah memenangi lebih 200 anugerah muzik, dianugerahkan gelaran Datuk pada tahun 2006 kerana sumbangan terhadap industri seni, melakar nama sehingga ke pentas Royal Albert Hall London membuat konsert tersohornya di sana serta memiliki empayar perniagaan SimplySiti yang semakin berkembang.

Dalam kebanyakan temu bual, kata Siti tentang rahsia kejayaannya: "Sentiasa merendah diri, menghargai peminat, kerja keras dan tidak mudah putus asa."

Bintang Akademi Fantasia - Mawi

Juara Akademi Fantasia 3)

Siapa yang tidak mengetahui tentang program realiti TV popular, Akademi Fantasia yang ditayangkan di Astro selama sembilan musim.

MAWI mencipta fenomena mega sebaik diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2006.


Sejak dari musim pertama kemunculannya iaitu pada tahun 2003 hingga ke musim penamatnya pada 2010, khalayak bagaikan dijangkiti demam untuk menunggu dan melihat siapakah pelajar yang seterusnya dipilih bagi mempertaruhkan bakat pada setiap musim.

Tidak dinafikan setiap musim Akademi Fantasia ditayangkan, ia pasti meraih rating yang tinggi.

Populariti program tersebut mencapai kemuncaknya ketika musim ketiganya ditayangkan pada tahun 2006, ekoran kemunculan seorang peserta yang bersifat naif, Asmawi Ani.

Kemudian dikenali dengan nama komersialnya, Mawi, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor Bahru ini sememangnya mendapat perhatian peminat kerana penampilan diri yang naif tersebut.

Tidak mempunyai kelebihan vokal, namun dia pernah tersingkir tetapi diserap kembali, Mawi menang di hati peminatnya menerusi cerminan dirinya yang dikatakan berpengetahuan agama.

Dia lantas mewujudkan fenomena yang digelar Tsumawi sewaktu bertanding dalam program tersebut, sebelum dinobatkan sebagai juara.

Mawi kemudian digelar sebagai Raja SMS (khidmat pesanan ringkas), diiktiraf kerana popular selepas dia mendominasi hampir semua kemenangan yang berbentuk populariti sejak tahun 2005 hingga 2007.

Walaupun masih wujud dalam industri seni, namun fenomena Mawi tidak kekal lama dan hanya bertahan selama beberapa tahun sahaja.

Aaron Aziz - Pelakon

Bersandarkan pakej lengkap, aktor kacak kelahiran Singapura ini berjaya menambat hati peminat tempatan khususnya wanita melalui watak lakonannya iaitu Seth Tan menerusi drama bersiri, Nora Elena pada tahun lepas.

Sejak itu, dia telah berjaya melonjakkan nama sebagai seorang aktor yang harus diberi perhatian kerana bukan sahaja dengan rupa yang kacak, namun bakat yang ditampilkan.

Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz ini lantas menempa kejayaan demi kejayaan yang yang mana dua naskhah lakonannya, KL Gangster dan Ombak Rindu masing-masing meraih kejayaan kutipan pecah panggung melebihi RM11 juta.

Jejak bertapak Aaron begitu teguh dalam industri hiburan tempatan sehinggakan dia dipilih untuk mengikat kontrak dengan banyak produk dan kalender karier Aaron dari tahun 2011 sehingga saat ini masih lagi bersinar cerah.

POPULARITI Raihan sebagai kumpulan nasyid yang mengalunkan lagu-lagu merdu dan menenangkan hati, melangkau hingga ke luar negara.


Sehinggakan, apa sahaja yang menampilkan Aaron Aziz, pasti produk tersebut dilihat berpotensi besar meraih sambutan daripada masyarakat.

Rezekinya semakin mencurah-curah dan namanya disebut-sebut oleh segenap lapisan masyarakat.

Namun sebagai aktor yang berjaya, Aaron bagaimanapun tidak pernah melupakan asal usulnya dan sentiasa memberikan yang terbaik buat peminat tempatannya.

Terkini, namanya kembali menjadi igauan ramai menerusi lakonannya untuk watak Adam Mukhriz, seorang juruterbang yang digilai kaum wanita dalam drama bersiri, Adam dan Hawa.

Raihan - Kumpulan Nasyid

Raihan bukan lagi sebuah nama yang asing bagi peminat muzik tenpatan. Raihan yang bermaksud wangian dari syurga, telah ditubuhkan pada tahun 2006.

Ketika itu, kumpulan nasyid ini dianggotai oleh Azhari Ahmad sebagai ketua, Nazrey Johani, Che Imran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim.

Melalui album sulung mereka, Puji-Pujian yang diterbitkan pada tahun 2006, Raihan telah mencipta fenomena tersendiri dalam dunia seni suara tempatan yang didominasi oleh pasaran muzik pop.

Album-album nasyid dan lagu-lagu dakwah mereka telah diterima dengan baik sehingga mencatat rekod jualan album terlaris di Malaysia mencecah 750,000 unit - satu pencapaian luar biasa untuk sebuah album nasyid yang gagal disaingi album genre muzik lain sehingga ke hari ini.

Selepas kejayaan Raihan berdakwah melalui muzik, maka muncul banyak kumpulan nasyid yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimanapun, populariti Raihan tidak dapat digugat dan mereka terus bertahan. Raihan bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam negara, namun mereka terus mengharumkan nama Malaysia di persada seni antarabangsa.

Antaranya, Raihan berjaya meraih anugerah nasyid antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di Binayas Ballroom, Hotel Grand Hyatt, Dubai pada 26 Oktober 2006.

Anugerah yang diberi nama Almahabba Awards Art of Love turut diraih beberapa kumpulan nasyid terpilih dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Afrika Selatan.

Apa yang menariknya, Raihan merupakan satu-satunya kumpulan nasyid dari benua Asia yang berjaya memperoleh anugerah antarabangsa tersebut.

Ia membuktikan bahawa genre nasyid juga kini telah diterima bukan sahaja oleh peminat tempatan, namun oleh peminat di seluruh dunia.

Lebih membanggakan, setelah 10 tahun berkorban untuk memperjuangkan irama nasyid, Raihan berpeluang mengadakan persembahan di hadapan Putera Charles pada tahun 1999.

Sehingga kini, nama Raihan masih teguh dan mereka tetap memperjuangkan nasyid walaupun anggota kumpulannya sudah bertukar ganti.

Pada hakikatnya, banyak lagi kejayaan dalam pelbagai genre muzik oleh pelbagai artis yang berjaya dalam arus perdana industri hiburan tempatan.

Tidak kurang artis tempatan yang berjaya mencipta nama di luar negara seperti Yuna dan baru-baru ini, Shila Amzah yang menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai, China.

Kesimpulannya, untuk mengecapi kejayaan dalam tempoh masa yang lama, ia harus diiringi bakat dan minat ingin berjaya.

Tidak dinafikan rupa sememangnya mampu menaikkan nama seseorang namun jika tidak disulam dengan bakat yang bagus, lama-kelamaan populariti yang dikecapi tidak kekal lama.

Fenomena seni takluk dunia

Posted:

Fenomena seni takluk dunia

WONDER GIRLS antara nama popular yang muncul daripada penularan fenomena budaya K-Pop.


GELOMBANG fenomena artis luar negara lebih terasa kerana bukan sekadar menempa nama dalam bidang nyanyian di negara sendiri, malah menggegarkan industri muzik di seluruh dunia.

Apa sahaja yang dipakai, dilakukan dan dibicarakan pasti ingin diketahui peminat dan tidak kurang juga yang meniru gaya yang ditampilkan mereka.

Para figura berikut iaitu Lady Gaga, Justin Bieber, Psy dan artis-artis K-Pop kini sedang menjadi fenomena global, tidak terkecuali di Malaysia.

Lady Gaga

Stefani Joanne Angelina Germanotta atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Lady Gaga menemui kejayaannya yang tersendiri apabila dia dikenali menerusi penampilan dan cita rasa fesyen yang unik serta bersifat provokatif.

Antara busana pelik yang pernah disarungkan Gaga merupakan baju yang diperbuat daripada daging. Dia juga selesa menyarung kasut tumit tinggi berukuran 10 inci (25 sentimeter).

Sejak awal pembabitannya dalam industri seni, nama Gaga terus melonjak dan dikenali di seluruh dunia menerusi lagu hit, Born This Way.

Dalam kebanyakan klip video serta kemunculannya menerusi album, Gaga menampilkan idea pelik serta menggelarkan dirinya sebagai anak raksasa.

Kemashyuran wanita berusia 26 tahun itu nyata mencetus fenomena yang berlarutan dengan impak hebat.

Dilihat sisi positifnya, dia menjadi artis nombor satu dunia dari segi bilangan pengikut paling ramai di laman sosial Twitter yang kini melebihi 30 juta orang.

Sisi negatifnya pula, Gaga telah menerima bantahan daripada banyak pihak, terutama yang berkaitan dengan persatuan agama. Dia telah disekat daripada muncul untuk siri jelajah konsertnya di Indonesia dan Filipina baru-baru ini dan ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

Justin Bieber

Lain pula kisah remaja lelaki yang bakatnya mula menarik minat penyanyi terkenal, Usher menerusi video yang dimuat naik ke dalam laman YouTube.

Justin Drew Bieber yang ketika itu berumur 14 tahun telah berjaya menawan hati peminat dunia, khususnya gadis remaja kerana dia dikurniakan wajah yang comel.

Mula membina nama dengan lagu pertamanya yang berjudul Baby, ternyata Bieber mempunyai bakat dalam seni suara dan tarian.


LADY GAGA meraih perhatian global dengan gaya unik dan lagu-lagunya yang senang menangkap fokus peminat muzik rancak dan segar.


Semakin hari semakin panas termometer populariti Bieber sehingga dirinya kini dikenali di seluruh dunia dan antara remaja terkaya.

Setiap pergerakan atau kehidupan yang dijalani Bieber pasti diikuti.

Setiap kali muncul di pentas untuk membuat persembahan, kemunculan Bieber disambut dengan jeritan dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana dapat melihat idola mereka berdiri di depan mata.

Gangnam Style

Tarian yang dikenali sebagai Gangnam Style antara fenomena baharu dan masih segar yang berlegar dalam industri hiburan antarabangsa.

Apa yang menariknya tentang klip video Gangnam Style, sehingga awal Oktober tahun ini, ia telah ditonton sebanyak 400 juta kali menerusi laman YouTube.

Sebenarnya Gangnam Style merupakan tarian ala kuda yang ditarikan oleh seorang penyanyi kelahiran Korea Selatan, Psy (Park Jae Sang) untuk lagu berjudul, Oppa Gangnam Style.

Sejak fenomena muzik video lagu tersebut dimuat naik ke dalam laman YouTube, ia sememangnya telah mencetus kegilaan ramai.

Dalam temu ramah dengan media Korea Selatan, ujar Psy, dia sendiri tidak menyangka tarian ala kuda yang dipersembahkan itu telah menjadi fenomena di seluruh dunia.

TAHUN 2012 akan diingati kerana kemunculan tarian Gangnam Style yang diperkenalkan Psy sehingga kini menjadi fenomena global.


Pada mulanya, kehadiran Psy dalam persada seni Korea Selatan tidak menonjol lantaran fizikalnya yang tidak kacak, berbadan gempal dan hanya jadi bahan gurauan.

Namun kini, seluruh dunia telah mengenali lelaki berumur 34 tahun ini. Maka benarlah peribahasa yang berbunyi, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu'.

K-Pop

Fenomena artis Korean Pop atau K-Pop sememangnya kini sedang merasuk peminat muzik, khususnya di Malaysia.

Mungkin kerana fizikal dan rupa barisan anggota kumpulan K-Pop ini yang 'jambu' (comel), maka ia khususnya, menjadi kegilaan remaja.

Walaupun mereka berasal dari Korea, namun populariti budaya K-Pop ini bukan sahaja menular di negara Asia, malah hingga ke negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Brazil turut terkena tempiasnya.

Tidak kurang juga, peminat dan selebriti muda yang meniru fesyen serta gaya yang ditampilkan para bintang K-Pop ini. Antara kumpulan yang mendapat perhatian ialah Wondergirls, Big Bang, 2PM, Super Junior dan banyak lagi.

Ada yang mengakui sanggup berhabis ratusan ringgit untuk aksesori pelengkap gaya K-Pop.

Ia termasuklah aksesori lengkap dengan nama artis pujaan seperti tag nama, baju, skaf dan lain-lain apabila hadir ke konsert idola mereka itu.

– NOOR ASHREEN ISMAIL

Bunker imbau era perang Vietnam

Posted:

Bunker imbau era perang Vietnam

BUNKER konkrit bersaiz 20 meter persegi ini digunakan ketika era peperangan Vietnam.


BUNKER konkrit era komunis Vietnam yang terletak di bawah hotel di bandar Hanoi kini menjadi tumpuan pelbagai tetamu daripada bintang Hollywood hinggalah delegasi persatuan perdagangan yang berpakaian selekeh.

Selepas peperangan tamat pada tahun 1975, bunker atau bilik bawah tanah yang terdapat di hotel tersebut dikunci dan kewujudannya dilupai. Namun apabila pihak hotel melakukan kerja-kerja menaiktaraf baru-baru ini, ia ditemui tersembunyi di bawah tanah.

"Saya rasa seperti Indiana Jones yang menjumpai Temple of Doom," kata Kai Speth, Pengarah Urusan Hotel Metropole ketika menggambarkan perasaannya yang pertama kali memasuki bunker tujuh bilik itu.

Bunker sebesar 20 meter persegi itu dibina pihak hotel pada tahun 1968. Hotel itu kemudiannya dikenali sebagai Thong Nhat.

Pelakon seperti Jane Fonda dan penyanyi, Joan Baez juga pernah menggunakan bunker tersebut. Baez pernah merakamkan lagu di dalam bunker itu pada Disember 1972 ketika sambutan Krismas yang dihujani kira-kira 20,000 ton bom dalam tempoh 11 hari oleh Amerika Syarikat (AS).

Lebih daripada 1,600 orang awam mati dalam serangan itu. Lagu yang dirakam Baez Where Are You Now My Son di dalam konkrit itu turut memuatkan bunyi letupan bom.

"Kamu boleh mendengar bunyi letupan bom dan bunyi tembakan mesingan antikapal perang yang terletak di Opera House berhampiran hotel ini," kata Speth.

Selepas pengeboman itu, Fonda tiba dan melakukan satu jelajah di negara tersebut yang menimbulkan kontroversi lalu beliau ditahan pihak berkuasa. Beliau kemudiannya digelar Hanoi Jane.

"Bunyi letupan bom boleh didengari dari jarak jauh dan mereka (Fonda dan tetamu hotel lain) turun ke bunker. Bom tentera udara AS tidak mengenai hotel. Ketika itu, Fonda dilihat sangat tenang dan dia tidak menunjukkan perasaan takut," kata Speth lagi.


TOPI keselamatan disediakan pihak hotel sebagai jaminan keselamatan para pengunjung bunker.


Bunker di hotel berkenaan dipelihara dalam bentuk asalnya dan dibuka kepada pelancong. Bunker seumpama itu merupakan salah satu daripada beribu bunker yang dibina oleh penduduk pada era peperangan Vietnam.

Kebanyakan bunker telah tertimbus, namun bunker yang pernah dihuni oleh Jeneral Vo Nguyen Giap dan Presiden Ho Chi Minh masih utuh di sebalik dinding batu di Thang Long Citadel.

Ketika kebanyakan industri pelancongan berkaitan peninggalan peperangan Vietnam bertumpu di selatan, pelancong di bandar Ho Chi Minh pula boleh mengunjungi muzium perang dan laluan bawah tanah di Cu Chi.

Wajah baharu

Di Tasik Truc Bach, Hanoi turut terpahat sejarah kapal tentera udara Senator AS, John McCain ditembak jatuh sekali gus beliau dijadikan tahanan perang. Kapal terbang tersebut antara 10 buah kapal AS yang ditembak jatuh oleh pasukan penembak antikapal terbang dalam tempoh sehari pada tahun 1967.

Pelancong juga boleh melawat penjara yang dikenali sebagai Hanoi Hilton. Meskipun sebahagian besar Penjara Hoa Lo musnah, beberapa bahagian masih lagi masih kekal seperti pintu masuk.


BUNKER seumpama ini antara beribu bunker yang dibina penduduk pada era peperangan Vietnam.


Bagaimanapun, tidak semua tinggalan perang masih kekal seperti dahulu. Sebagai contoh, sebuah pangkalan yang terletak di Tasik Barat yang sebelum ini menjadi stor penyimpanan senjata Perancis telah diubah menjadi kafe.

"Kafe ini istimewa kerana mempunyai kesan sejarah lampau. Apabila pelanggan datang, mereka amat berminat tentang sejarahnya," kata pemilik kafe, Vu Thi Huong.

Di beberapa tempat di bandar Hanoi, kesan peninggalan perang juga telah dijadikan sebagai landskap sesuatu kawasan.

Di pasar Yen Hinh-Hang Bun, pada 1946 berlaku kejadian seorang askar Perancis melakukan tembakan terbuka yang membunuh sedozen manusia.

Hari ini, kawasan yang dianggap keramat itu terkenal dengan hidangan mi yang lazat.

"Penduduk di sini menggelarnya gerai mi keramat," kata pemiliknya, Do Thi Yen. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Tarikan istimewa mukim kecil

Posted:

Tarikan istimewa mukim kecil

Oleh NASRI JAMALUDIN
nasri.jamaludin@kosmo.com.my

BATANG KALI sejak sekian lama menjadi laluan penting orang ramai yang ingin ke Timur, Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia. Mukim di daerah Hulu Selangor itu sememangnya sering menjadi pekan transit dalam perjalanan ke destinasi lain.

Ia juga dijadikan pilihan alternatif pengguna jalan raya yang ingin ke pusat peranginan Genting Highlands. Hanya kira-kira 25 minit diperlukan untuk sampai ke puncaknya melalui Batang Kali.

Namun, di sebalik kesibukan lalu lintas di kawasan tersebut, Batang Kali masih agak ketinggalan jika dinilai daripada aspek pelancongan. Tanpa disedari, destinasi tersebut tersembunyi pelbagai tarikan untuk mereka bercuti bersama ahli keluarga.

Sehubungan itu, Smart Discovery Leisure & Tours Sdn. Bhd. (Smart Discovery) mengambil inisiatif memperkenalkan tujuh tarikan utama di Batang Kali kepada para pelancong.

Tarikan-tarikan pelancongan itu adalah Kolam Air Panas Hulu Tamu, Perkampungan Orang Asli, Teratak Nelly Resort, Taman Rekreasi Sungai Sendat, Taman Pertanian Kekal, Perigi Tujuh dan kuil Siam.

Berendam

Sambil menikmati pemandangan suasana perkampungan Melayu seperti Kampung Genting Malik, Kampung Sungai Masin, Kampung Kuantan dan Desa Hulu Tamu, perjalanan sejauh 6 kilometer (km) dari pekan Batang Kali ke Kolam Air Panas Hulu Tamu dirasakan begitu singkat.

Kolam air panas itu sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. Justeru tidak hairanlah, pada hujung minggu atau cuti umum, kolam yang mendapat punca air daripada mata air bawah tanah ini menjadi tumpuan orang ramai untuk berendam.

Dengan bacaan suhu antara 30 hingga 60 darjah Celsius, dari jauh dapat dilihat wap yang keluar daripada kolam air panas itu. Air di kolam itu dipercayai mampu mengubat penyakit seperti penyakit kulit.


KOLAM air panas ini digemari mereka yang ingin menghilangkan keletihan tubuh.


Bagi memberikan kemudahan kepada para pengunjung, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah menaik taraf kawasan tersebut dengan membina dua buah kolam dan pondok wakaf.

Jika pengunjung tidak berminat untuk berendam di kawasan kolam air panas, Taman Rekreasi Sungai Sendat yang terletak kira-kira 4km dari pekan Hulu Yam Baharu boleh dijadikan pilihan untuk bersantai bersama keluarga dan teman-teman.

Lokasi itu menawarkan dua buah air terjun yang cantik malah sesuai untuk aktiviti bermandi-manda dan perkelahan. Ia mampu menjadikan percutian anda satu kenangan indah.

Bukan itu sahaja, bunyi cengkerik dan unggas rimba turut mewarnai suasana di sekitar kawasan air terjun itu sekali gus menjadi terapi pendengaran saat menjalankan aktiviti barbeku ataupun perkhemahan.

Pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi termasuk rimbunan pokok buluh memberikan dos oksigen terbaik selain berfungsi menyaring terik matahari pada waktu siang.

Jika bertuah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan rama-rama yang menjadi ikon kebangsaan. Dikenali sebagai rama-rama Rajah Brooke, ia berlegar-legar sekitar kawasan air terjun dengan pesona corak sayap berwarna hijau dan hitam.

Orang Asli

Perkampungan Orang Asli Ulu Tamu yang terletak kira-kira 15km dari Batang Kali juga tersimpan keunikan budaya dan kehidupan suku kaum Temuan.

Perkampungan itu dikelilingi landskap alam semula jadi yang berlatarbelakangkan tanah tinggi Genting Highlands.

Seramai 360 orang atau 50 keluarga menghuni kawasan perkampungan tersebut. Aktiviti utama mereka termasuk menoreh getah, mencari hasil-hasil hutan selain ada yang bekerja di bandar.


ANTARA wakaf yang disediakan untuk keselesaan tetamu di Teratak Nelly.


Pengunjung boleh menyaksikan kehidupan Orang Asli di sini selain menyusuri anak-anak sungai yang terdapat di penempatan itu.

Menunggang kuda

Sebelum memasuki perkampungan Orang Asli Ulu Tamu, pengunjung akan melewati kawasan resort Teratak Nelly yang menawarkan pelbagai kemudahan penginapan dan aktiviti kepada para tetamu.

Antara kemudahan atau aktiviti yang disediakan pemiliknya termasuklah berkayak, menunggang motosikal scrambler, terbang keluang (flying fox), memancing. menunggang kuda, menaiki pacuan empat roda dan meredah hutan.

Mereka yang berminat untuk menunggang kuda yang diimport dari Poland, resort tersebut turut menyediakannya dengan bayaran semurah RM5 bagi satu pusingan di kawasan itu.

Ladang sayur

Jika singgah di Taman Pertanian Kekal pula, pengunjung akan mengetahui bahawa terdapat sebuah ladang sayur terbesar di daerah itu. Ladang itu menghasilkan antara 40 hingga 50 metrik tan sayur sehari.

Berdasarkan kajian Jabatan Pertanian Selangor, sawi yang ditanam di kawasan tersebut adalah yang terbaik di negara ini berikutan kualiti tumbesarannya daripada tanah yang subur.

PETAI merupakan salah satu contoh jualan penduduk setempat yang boleh ditemui di pinggir jalan sekitar Batang Kali.


Pengusaha-pengusaha ladang turut mengusahakan tanaman seperti kangkung, timun, bayam, kacang panjang dan beberapa lagi jenis sayuran lain.

Pengunjung mesti terpukau dengan perspektif batas-batas tanaman yang tersusun cantik. Kegigihan para pekerja menguruskan tanaman seperti menanam, membuang rumput, membaja dan meracun juga dapat disaksikan.

Ketika pancuran air menyiram sayur, bukan sahaja suasana dingin dapat dirasai malah turut menghasilkan pelangi yang indah untuk dirakam melalui lensa kamera.

Elak banjir

Setelah puas menyaksikan sayur-sayuran, apa kata anda berkunjung ke Perigi Tujuh, Serendah.

Tujuan Perigi Tujuh tersebut dibina adalah untuk mencegah banjir besar berlaku di kawasan rendah.

Sehubungan itu, sebuah empangan kecil telah dibina oleh pihak pengusaha lombong bijih timah yang berada di bahagian rendah di situ bagi mengelakkan banjir berlaku.

Di bahagian atas empangan berkenaan dapat dilihat tujuh perigi yang menjadi laluan keluar air menerusi empangan itu.

Pengunjung bolehlah berehat di kawasan ini sambil mendengar deruan air yang terhasil daripada empangan itu. Di kawasan itu, pengunjung dinasihatkan agar tidak bermandi-manda kerana bahagian bawah empangan itu sangat dalam.

Tarikan yang ketujuh di Batang Kali ini adalah Kuil Siam yang terletak 2.7 kilometer dari pekan Ulu Yam Baharu. Kuil Siam itu merupakan yang terbesar di Batang Kali.

Sepanjang perjalanan ke kuil itu, pengunjung dapat menyaksikan kehidupan penduduk kampung selain keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Smart Discovery, Muhd. Halilur Rahman berkata, kesemua tujuh tarikan itu boleh dinikmati pengunjung dengan bayaran pakej pelancongan antara RM115 hingga RM250 seorang.

"Dengan pengenalan tujuh tarikan utama di Batang Kali ini, kami berharap kawasan ini bukan lagi sekadar menjadi transit orang ramai ke lokasi lain.

"Batang Kali sebenarnya kaya dengan tarikan alam semula jadi yang indah selain aktiviti-aktiviti yang wujud di sekitarnya termasuk kemudahan calet atau resort," katanya.

Jejak ahli sihir bandar Salem

Posted:

Jejak ahli sihir bandar Salem


TUGU ahli sihir yang terbang dengan sebatang penyapu melintasi bulan ini menjadi tumpuan di sebuah taman awam.


PEMINAT rancangan televisyen pasti masih mengingati siri sitkom bertajuk Sabrina, The Teenage Witch. Sitkom itu mengisahkan seorang remaja perempuan Amerika bernama Sabrina, yang baru menyedari bahawa dirinya mewarisi darah ahli sihir sempena ulang tahun hari kelahirannya yang ke-16,

Sabrina tinggal bersama dua ibu saudaranya, Hilda dan Zelda, yang juga ahli sihir, serta seekor kucing hitam yang bijak berbicara bernama Salem.

Salem juga ialah nama sebuah bandar di Essex County, Massachusetts, New England. Ia dikenali sebagai bandar yang dikatakan mempunyai sejarah tersendiri berkenaan kewujudan ahli sihir.

Sabrina bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menjadi drama ahli sihir terawal yang membanjiri skrin televisyen, disusuli dengan fenomena ahli sihir tiga beradik yang dikenali dalam siri Charmed.

Ingatan yang masih segar mengenai dua cerita televisyen itu membuatkan penulis terpanggil untuk berkunjung ke bandar Salem, yang dikatakan mempunyai sejarah tersendiri berkenaan kewujudan ahli sihir.

Dengan populasi penduduk kira-kira 41,300 orang, bandar Salem boleh dikunjungi dengan menaiki feri atau kereta api, masing-masing menawarkan pengalaman perjalanan yang berbeza.

Penulis memilih untuk menaiki kereta api yang ternyata lebih murah dan cepat iaitu hanya mengambil masa 30 minit dari Boston berbanding feri (45 minit hingga sejam).

Pengunjung perlu mengambil kereta api di North Station, yang terletak satu bangunan dengan gelanggang pasukan bola keranjang terkenal, Boston Celtic, seterusnya menaiki kereta api yang menuju Newburyport.

Salem adalah perhentian ketiga dan pengunjung perlu membayar sebanyak AS$11 (RM33.78) untuk perjalanan pergi dan balik.

Kemudahan WiFi dalam gerabak kereta api turut disediakan bagi mereka yang mahukan kemudahan melayari internet.

Ratusan tahun

Dari stesen kereta api, penulis mengambil masa antara lima hingga 10 minit berjalan kaki untuk ke bandar.

Pandangan hadapan Muzium Ahli Sihir Salem yang menjadi binaan ikonik di bandar itu.


Ternyata, saya terpesona dengan bangunan-bangunan berusia beratus-ratus tahun yang masih gah berdiri. Turut ditemui ialah hiasan berbentuk penyapu terbang dan kucing hitam yang mempunyai kaitan dengan ahli sihir. Semuanya terpampang sebagai aksesori menghiasi kedai-kedai di situ.

Memandangkan penulis hanya mempunyai kira-kira lima jam untuk menjelajahi seluruh bandar Salem, trem menjadi pilihan terbaik bagi memanfaatkan waktu yang singkat.

Perjalanan menaiki trem mengambil masa hampir dua jam yang melalui lebih 10 tempat tarikan pelancong.

Misi utama penulis ialah ke Muzium Ahli Sihir yang dikatakan menjadi tarikan utama pelancong yang berminat mengetahui kisah sebenar di sebalik kejadian hukuman gantung beberapa penduduknya kerana dakwaan terlibat dalam ilmu sihir.

Pengunjung perlu membayar tiket berharga AS$9 (RM27) untuk dewasa, yang bakal menggunakan wisata berpemandu.

Ia bermula dengan para pengunjung diletakkan dalam sebuah bilik yang dipenuhi patung-patung yang menjadi simbol penceritaan.

Kemudian, lampu akan ditutup dan pengunjung akan mendengar sendiri kisah ahli sihir di bandar berkenaan melalui penceritaan audio selama 45 minit.

Patung-patung di dalam bilik itu mewakili setiap bab dalam penceritaan audio berkenaan. Ia turut diiringi latar bunyi yang berupaya menimbulkan bibit-bibit menyeramkan buat pengunjung.

Selepas itu, pengunjung akan dibawa untuk mendengar penjelasan pendek oleh pemandu pelancong mengenai sejarah ahli sihir, bukan sahaja di Salem tetapi di Amerika Syarikat secara am.

BANYAK bangunan, muzium dan rumah yang masih mengekalkan ciri-ciri binaan zaman lampau.


Bagaimanapun, imej ahli sihir pada awal penubuhan Amerika Syarikat tidaklah seindah khabar atau selucu Sabrina, ahli sihir remaja itu.

Menyorot sejarah bandar Salem, ternyata kisahnya kelihatan lebih menyayat hati.

Antara tahun 1692 sehingga tahun 1693, lebih 200 orang telah dibicarakan di Salem kerana disyaki mengamalkan sihir, yang ketika itu tidak berapa disenangi. Peristiwa itu menjurus kepada hukuman gantung sampai mati terhadap 19 orang.

Bagaimanapun, imej ahli sihir yang dikatakan jahat itu semakin dilupakan, selaras dengan arus pemodenan Amerika Syarikat.

Bila penulis bertanyakan sama ada kewujudan ahli sihir masih wujud pada hari ini, rata-rata penduduk Salem yang ditemui hanya tersenyum mendengarnya.

Tumpuan lanun

Selain muzium ahli sihir, penulis juga berminat dengan sejarah lanun di sini yang dikatakan pernah menjadi sebuah daripada pelabuhan terkenal satu ketika dahulu.

Dengan tiket berharga AS$8 (kira-kira RM25), pelancong berpeluang menyelusuri sejarah beberapa lanun yang dikatakan pernah mengganas di sekitar laut New England.

Penulis ditemani pemandu pelancong yang bernama Ozan, yang lengkap berpakaian seperti seorang lanun, yang memberi penjelasan selama 20 hingga 30 minit sambil melawat lebih 60 lanun yang terkemuka seawal tahun 1600.

Antara yang terdapat di muzim berkenaan ialah replika pelabuhan dan kapal lanun, artifak milik lanun-lanun dan meneroka gua sambil menemui replika beberapa lanun terkenal abad ke-17.

Lanun-lanun yang terkenal pada abad itu termasuk Kidd, Blackbeard, Bellamy dan Quelch, yang berkeliaran di serata perairan Boston North Shore yang dikenali sebagai Gold Coast.

Ozan berkata, mereka dikatakan banyak menyimpan khazanah haram, hasil rompakan dan rampasan di sekitar kawasan berkenaan yang dipercayai masih wujud sehingga kini. – Bernama

Meneroka budaya etnik Sabah

Posted:

Meneroka budaya etnik Sabah

KUNJUNGAN ke Mari-Mari Cultural Village menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan sampai bila-bila.


SABAH bukan sahaja dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli dan keindahan alam semula jadi, malah kaya dengan warisan sejarah serta budaya yang tinggi nilainya.

Terdapat tidak kurang daripada 30 suku kaum yang tinggal di negeri itu dan mereka menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 90 dialek.

Etnik terbesar di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut. Antara suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan beberapa lagi.

Mempunyai pelbagai adat istiadat, pegangan hidup, pakaian, agama dan latar belakang, setiap etnik mengamalkan gaya hidup yang tersendiri.

Bagi mereka yang mahu mengenali dan mengenal kepelbagaian etnik di Negeri Di Bawah Bayu itu dengan lebih dekat, bolehlah berkunjung ke Mari-Mari Cultural Village yang terletak di Kionsom, Inanam.

Jauh dari hiruk-pikuk kota, perjalanan ke perkampungan itu mengambil masa kira-kira 40 minit dari Kota Kinabalu.

Panorama desa dan kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan laluan begitu mengasyikkan lantas membuatkan membuatkan perjalanan panjang itu tidak begitu dirasakan.

Sebaik tiba bahagian pintu masuk, pengunjung akan diberi taklimat ringkas oleh petugas mengenai aktiviti yang diadakan.

Pelbagai demonstrasi menonjolkan keunikan budaya setiap etnik.


Perkara pertama yang dilakukan pengunjung ialah berjalan merentasi jambatan gantung menuju ke kawasan perkampungan.

Melihat binaan rumah-rumah tradisional yang menjadi identiti perkampungan seakan-akan dibawa kembali ke zaman silam. Tiada peralatan moden yang digunakan sebaliknya bahan-bahan semula jadi seperti kayu, buluh, rotan dan rumbia.

Penerokaan di perkampungan ini dimulakan di rumah tradisional etnik Dusun, iaitu etnik terbesar di Sabah. Seterusnya, pengunjung dibawa melawat rumah tradisional etnik Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.

Identiti seni bina

Menariknya, setiap rumah dibina mengikut rekaan dan seni bina asal melambangkan identiti setiap etnik berkenaan.

Misalnya, rumah Rungus mirip rumah-rumah panjang yang sering dilihat di Sarawak. Itu tidak menghairankan kerana kaum itu mempunyai beberapa komuniti yang tinggal di bawah satu bumbung.

PERKAMPUNGAN ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti restoran, gerai cenderamata dan pentas terbuka.


Sementara itu, rumah Lundayeh pula agak ringkas dengan ruang bilik, beranda dan dapur. Sekali imbas, ia tidak jauh berbeza berbanding rumah-rumah tradisional Melayu di negara ini.

Di samping melihat kehalusan dan seni bina setiap rumah, pengunjung juga berpeluang mempelajari kebudayaan setiap etnik melalui kostum dan demonstrasi yang diadakan.

Antaranya, teknik menghidupkan api dan memasak tapai (etnik Dusun), bermain muzik (etnik Rungus), teknik membuat tatu (etnik Murut) dan demonstrasi masakan tradisional (etnik Bajau),

Di samping itu, perkampungan itu turut dilengkapi sebuah pentas terbuka bagi acara pesembahan tradisional. Setiap persembahan adalah berbeza setiap hari dan pengunjung tidak sekadar melihatnya dari bawah pentas sebaliknya boleh turut serta dan merasai keseronokan yang ditawarkan.

Selepas puas meneroka, akhiri lawatan ke kedai cenderamata atau menjamu selera Mari Mari Cultural Village Restaurant. Ia menawarkan seleksi hidangan tradisional Sabah yang pastinya membuatkan pengunjung pulang kekenyangan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Pelajar sertai Larian Hijau sempena kempen MASM

Posted:

Pelajar sertai Larian Hijau sempena kempen MASM

PEMENANG Pertandingan Larian Hijau bergambar bersama di Taman Rekreasi Teluk Ketapang, Kuala Terengganu baru-baru ini.


LARIAN. Lebih 500 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menyahut kempen Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) dengan menyertai Pertandingan Larian Hijau di Teluk Ketapang, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Larian sejauh kira-kira lima kilometer itu julung-julung kali diadakan sempena sambutan MASM yang dirai setiap 21 Oktober melibatkan empat kategori yang dipertandingkan.

Kategori IPT lelaki dimenangi pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin, Muhammad Kodri Abu Bakar sementara kategori wanita dimenangi peserta Universiti Malaysia Terengganu, Nur Farizah Radzi.

Bagi kategori sekolah, ia dimenangi dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu iaitu Mohd. Khairul Anan Azizan bagi kategori lelaki dan Fatin Nabila Mohd. Latifi untuk kategori wanita.

Konvokesyen Tadika Jalan Langgar disambut meriah

Posted:

Konvokesyen Tadika Jalan Langgar disambut meriah

SEBAHAGIAN kanak-kanak yang membuat persembahan pada Hari Konvokesyen ke-44 Tadika Jalan Langgar di Alor Setar baru-baru ini.


TRADISI. Tadika Jalan Langgar meneruskan amalan mereka selama 44 tahun pada hari konvokesyen dengan menyampaikan sijil kepada pelajarnya yang terdiri daripada kanak-kanak berusia empat, lima dan enam tahun di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar baru-baru ini.

Konvokesyen dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh kanak-kanak yang juga pelajar tadika berkenaan.

Persembahan itu bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak cilik seterusnya menampilkan kemahiran mereka dalam nyanyian dan tarian.

Ahli Lembaga Pengelola Tadika Jalan Langgar, Lim Keow Seng berkata, tadika itu ditubuhkan pada tahun 1968.

"Sejak tadika ini ditubuhkan, kami tidak pernah ketinggalan meneruskan tradisi menganjurkan hari konvokesyen dan penyampaian sijil kepada para pelajar," katanya.

Smart FC juara bola sepak Liga Bukit Mertajam

Posted:

Smart FC juara bola sepak Liga Bukit Mertajam

PENGURUS pasukan Smart FC, Ganesh Ramiah (duduk kanan) bersama piala dimenangi sebagai juara Pertandingan Bola Sepak Liga Bukit Mertajam di Bukit Mertajam baru-baru ini.


MENANG. Pasukan Smart FC dari Seberang Jaya muncul juara Pertandingan Bola Sepak Division Satu, Liga Bukit Mertajam di Stadium Mini Permatang Rawa, Pulau Pinang baru-baru ini.

Smart FC yang dibimbing oleh jurulatih terkenal Pulau Pinang, S. Thiagarajan menundukkan Pasukan Kubang Semang Permatang Pauh FC dengan jaringan 4-0 pada pertandingan anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah Tengah Bukit Mertajam.

Selaku juara, pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan plak yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Kapal selam Scorpene mampu beroperasi dengan baik

Posted:

Kapal selam Scorpene mampu beroperasi dengan baik

ABDUL AZIZ berdiri di hadapan kapal selam Scorpene di Kota Kinabalu, Sabah kelmarin.


KOTA KINABALU – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menegaskan sekali lagi bahawa kapal selam Scorpene diselenggara dengan baik dan mampu beroperasi dalam mengawal keselamatan negara.

Beliau berkata, sudah banyak operasi menggunakan kapal selam itu dilaksanakan di bawah arahannya.

"Perkara ini mengecewakan saya. Saya seru agar dakwaan yang tidak benar ini dihentikan," katanya kepada kumpulan media yang dibawa melawat pangkalan TLDM di sini kelmarin.

Kumpulan media itu turut dibawa meninjau kapal selam Scorpene yang dibeli dari Perancis dengan nilai RM3.4 bilion itu.

Kapal selam tersebut menggunakan nama KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.

Abdul Aziz mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini bahawa tindakan beberapa pihak, terutama parti pembangkang, yang sering mempertikai perolehan aset pertahanan negara akan hanya memberi kesan negatif kepada pasukan keselamatan negara.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Neelofa mengakui selesa dengan Hans

Posted:

Neelofa mengakui selesa dengan Hans

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

PETALING JAYA – Pelakon jelita Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, mengakui selesa berkawan dengan aktor terkenal, Hans Isaac, 41, yang disifatkannya antara rakan rapat yang sentiasa dihubungi jika ada kelapangan.

Pengacara rancangan Nona terbitan TV3 itu menjelaskan, Hans merupakan kawan lelakinya yang akan dihubungi apabila tidak terlibat dengan sebarang penggambaran.

Justeru Neelofa tidak menafikan memang ada keluar bersiar-siar dengan aktor itu jika ada masa terluang.

"Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan apa-apa tetapi Hans adalah kenalan rapat saya antara beberapa kawan yang saya ada," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Skrin 2011 di Mutiara Damansara di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bayi didera mati di pangkuan ibu

Posted:

Bayi didera mati di pangkuan ibu

ANGGOTA keluarga mengangkat jenazah Nur Irisyafida Balkis untuk dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak, Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT – Setelah enam hari bertarung nyawa, seorang bayi berusia lapan bulan yang mengalami keretakan di tempurung kepala dipercayai akibat didera, meninggal dunia dalam dakapan ibunya di sini kelmarin.

Bayi malang itu, Nur Irisyafida Balkis Abdul Azim, meninggal dunia pukul 2.30 petang di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini setelah dimasukkan ke hospital itu pada 11 Oktober lalu.

Bayi itu yang turut mengalami patah tangan kanan dan kaki kiri dipercayai didera teman lelaki ibu mangsa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak di sini, pukul 5 petang semalam.

Ibu mangsa, Rafidah Mohd. Ashak, 29, berkata, ketika dimasukkan ke hospital Khamis lalu, doktor memberitahu anaknya itu tidak mempunyai peluang untuk hidup.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo

Posted:

Masjid bersejarah Syria terbakar di Aleppo

KABAKARAN berlaku di Masjid Umayyad di Aleppo pada Sabtu lalu.


ALEPPO - Pertempuran yang berlaku antara tentera Syria dengan para penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memusnahkan Masjid Ummayad yang didirikan pada abad ke-13, kata seorang koresponden agensi berita AFP kelmarin.

Kebakaran akibat pertempuran memusnahkan permaidani antik dan perabot kayu yang digunakan untuk menghiasi masjid berkenaan pada Sabtu lalu.

Tiga helai rambut dan sebatang gigi Nabi Muhammad SAW yang terdapat di dalam masjid tersebut telah dicuri.

Bashar dilaporkan mengarahkan pembentukan sebuah panel untuk memantau kerja-kerja pemuliharaan masjid tersebut, lapor agensi berita SANA.

Menurut seorang wartawan AFP, pihak tentera menguasai sepenuhnya kawalan di masjid tersebut.

Bagaimanapun, katanya, para penentang berada di sekitar masjid berkenaan.

Para penentang turut menembak mati seorang jurutera, Mohammed Marwan Jarada yang mengiringi satu jawatankuasa pakar ke masjid tersebut untuk menyaksikan kerosakan kelmarin.

Kehadiran para penentang di sekitar Masjid Ummayad menyebabkan sukar untuk memindahkan jurutera tersebut yang cedera di kaki.

Sementara itu, jet-jet tentera Syria melakukan serangan udara di bandar Idlib dan Aleppo, utara negara tersebut.

Bagaimanapun, para aktivis yang menyokong para penentang berkata, serangan tersebut adalah yang paling buruk sejak minggu lalu.

Dalam perkembangan yang sama, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi mendesak supaya gencatan senjata diadakan bagi menghormati ketibaan Hari Raya Aidiladha.

Brahimi turut meminta supaya pihak berkuasa Iran membantu memastikan gencatan tersebut berjaya dilakukan.

Lebih 30,000 orang terbunuh ekoran pertempuran yang berlaku antara kumpulan penentang dengan tentera Syria sejak Mac tahun lalu.

Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara. - Agensi

Jet pejuang tentera Indonesia terhempas

Posted:

Jet pejuang tentera Indonesia terhempas


BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa bangkai jet Hawk 200 yang terhempas di sebuah kampung di Kampar, semalam.


JAKARTA – Tentera Udara Indonesia semalam menggantung operasi 32 buah jet pejuang Hawk 200, lapor agensi berita Xinhua.

Ketua tentera udara negara itu, Imam Sufaat berkata, keputusan itu dibuat selepas salah sebuah jet tersebut terhempas di Pekanbaru, wilayah Riau.

Jet itu terhempas pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan semalam semasa satu latihan ketenteraan.

Bagaimanapun, juruterbang jet tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi anjal.

Tiada laporan mengenai kecederaan dan kematian akibat kejadian tersebut.

Menurut Imam, penggantungan itu merupakan prosedur biasa jika terdapat sebuah jet yang terhempas sehingga siasatan tentang punca nahas selesai dilakukan oleh sebuah pasukan penyiasat.

Jet tersebut terhempas di kampung di Kampar dekat sebuah pangkalan tentera udara di Pekanbaru.

Imam berkata, jet tersebut dibeli dari Britain.

Jet-jet tersebut ditempatkan di pangkalan tentera di Pontianak, Kalimantan Barat dan Pekanbaru.

"Kami menerima jet-jet itu dari Britain pada 1994," kata Imam.

– Agensi

Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA

Posted:

Waris Raja Richard III tunggu keputusan ujian DNA


GAMBAR fail menunjukkan dua lelaki yang memakai kostum askar pada zaman pertengahan berdiri di lokasi tempat rangka tulang dipercayai milik Raja Richard III ditemui di Leicester pada 12 September lalu.


LONDON - Sekumpulan ahli arkeologi kini menunggu dengan penuh debaran hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan menentukan sama ada rangka tulang yang ditemui di dalam lubang di sebuah tempat meletak kereta di Leicester milik bekas pemerintah England, Raja Richard III.

Baginda mangkat pada 1485 semasa menyertai pertempuran menentang tentera Henry Tudor yang kemudian menggantikannya sebagai Raja Henry VII.

Generasi ke-17 anak saudara raja berkenaan, Michael Ibsen, 55, turut menunggu dengan penuh debaran keputusan tersebut kerana dia terlibat dalam ujian itu.

Ibsen yang dilahirkan di Kanada dan berpindah ke London 27 tahun lalu berkata, kekecewaan pastinya akan berlaku jika keputusan ujian tersebut tidak sepadan.

Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kayu berharap jika identiti tulang itu sah milik Raja Richard, ia akan membantu memulihkan reputasi baginda.

Sebelum ini, raja itu pernah digambarkan oleh dramatis terkenal, mendiang William Shakespeare sebagai seorang yang suka dengan kuasa dan pernah membunuh dua anak saudaranya bagi membolehkan baginda menjadi pemerintah.

Pendedahan tentang penemuan rangka tulang itu disiarkan media pada September lalu.

Beberapa saintis menyatakan bahawa rangka tulang itu mempunyai kesan kecederaan di tengkorak dan tulang belakang.

Keputusan ujian DNA itu akan diketahui pada Disember depan.

Rangka tulang tersebut ditemui oleh pasukan arkeologi Universiti Leicester.

Beberapa pakar sebelum ini berpendapat bahawa mayat raja tersebut dikebumikan di sebuah gereja di Leicester selepas baginda terbunuh dalam pertempuran itu.

Bagaimanapun, terdapat cerita yang disebarkan pada abad ke-17 bahawa makam raja tersebut digali dan rangka tulangnya dibuang ke sungai. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


ELAK kahwin suami orang

Posted:

ELAK kahwin suami orang

MELIHAT kehidupan penyampai radio popular Rozlinda Onn atau nama glamornya Linda Onn, semuanya kelihatan serba lengkap.

Bekerja tetap sebagai penyampai radio Suria FM, memiliki bakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan bahkan juga memiliki deretan perniagaan yang berjaya.

Namun dalam kesibukan dirinya, Linda sedar usianya yang kini menjangkau angka 34 tahun sedang mengejarnya untuknya segera menamatkan zaman bujang.

Bahkan Linda yang ditemui ketika Kosmo! mengikuti rombongan Suria FM dalam program Santai Sabah bersamanya dan Farish Aziz pada awal bulan ini, dia amat berharap supaya jodohnya tiba dalam masa terdekat.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran bila saya harus kahwin, tetapi saya amat berharap dalam masa terdekat. Jika jodoh itu tiba, memang saya akan berkahwin juga," jawabnya.

Getus Linda, dia bukanlah seorang wanita yang cerewet dalam mencari calon suami. Malah tidak meletakkan sebarang piawaian yang ketat namun syarat utamanya, lelaki itu haruslah bukan suami orang.

"Rasanya semua wanita ingin elakkan mengambil suami orang, itu syarat yang paling penting. Selain itu, saya mencari lelaki yang sedap mata memandang, baik hati budi, beragama dan rapat dengan keluarga," katanya.

Disoal sudahkah hatinya ditambat oleh mana-mana jejaka, hanya senyuman yang terukir di bibirnya, lantas menggelengkan kepala.

"Saya ada berkawan dengan beberapa orang (lelaki), tetapi yang serius belum ada lagi. Bukan tidak mahu, tetapi selepas apa yang pernah berlaku terhadap saya sebelum ini, membuatkan saya lebih berhati-hati.

"Saya akui bimbang jika dikecewakan dan harus bersedih lagi kerana lelaki. Kalau boleh saya tidak mahu menangis lagi, cukuplah dengan apa yang saya sudah lalui," balasnya dalam nada serius.

Belum berkahwin pada usia 34 tahun tidak membuatkan Linda berasa terasing atau berbeza daripada wanita lain kerana dia kini cukup bahagia dengan kehidupannya.

"Bila tengok rakan seusia sudah berkeluarga, saya tidak pernah rasa kasihan pada diri sendiri kerana saya cukup bahagia dengan apa yang saya miliki hari ini, kerja, perniagaan dan keluarga.

"Kadangkala, saya pula berasa kasihan kepada rakan saya yang dilihat sempurna daripada segala segi. Mereka ada keluarga dan anak-anak, tetapi mempunyai masalah dengan rumah tangga. Apa pun saya tetap akan berkahwin, bila dan dengan siapa, saya sendiri tidak tahu," tuturnya.

Buang kontroversi

LINDA tidak ketinggalan menikmati keenakan juadah masyarakat Kadazan Dusun di Kampung Budaya Mari-Mari.


Nama Linda sebelum ini memang sarat dengan kontroversi namun sejak berhijrah ke Suria FM tiga tahun yang lalu, namanya kini bersih daripada sebarang kontroversi negatif.

Katanya, kehidupan yang dilaluinya kini cukup tenang, namun, sebagai seorang selebriti dia juga sedar kontroversi itulah yang membuatkan dirinya popular.

Saya sedar hakikat, baik buruk publisiti yang diterima, ia tetap publisiti. Bagaimanapun kerja dalam bidang hiburan kadangkala saya tidak dapat elakkan daripada kontroversi itu terjadi.

Jika kontroversi datang lagi, saya terpaksa harunginya ,tetapi sekarang ia umpama kacang (senang) kerana saya telah melalui kontroversi yang sangat besar dan membebankan. Harap kontroversi tidak akan berlaku lagi," katanya.

Bercakap soal kerjayanya, Linda yang ke udara setiap petang dalam segmen Ceria Petang pada pukul 4 petang hingga 8 malam di Suria FM, mengaku kerjayanya sebagai pengacara dan pelakon tidak serancak dahulu.

Jelas Linda, dia bukan menolak tawaran, tetapi disebabkan kesibukan kerja serta tiada tawaran lakonan yang berkenan di hatinya. Itu yang membuatkan dirinya memperlahankan kerjaya lakonan buat sementara waktu.

"Sebenarnya saya ada dapat beberapa tawaran berlakon, tetapi selepas membaca skrip, saya dapati wataknya tidak sesuai dan skripnya tidak menarik. Itu yang membuatkan saya tidak berlakon.

"Kalau boleh saya mahukan watak tidak kira baik atau jahat, tetapi saya menjadi punca segala yang berlaku dalam filem itu," luahnya yang telah berlakon dalam lima buah filem dan beberapa buah drama.

Selain itu, Linda juga menjadi pengacara untuk sebuah program penjagaan kecantikan berjudul Belaian Jiwa yang sedang dalam proses rakaman dan bakal ditayangkan di TV3.

Santai Sabah

Saban tahun, Linda akan memastikan dirinya berehat dengan bercuti di dalam atau luar negara. Justeru, tawaran untuk melancong sekitar Sabah dalam program Santai Sabah disambut baik olehnya.

Program yang turut disertai oleh penyampai radio Suria FM Sabah, Farish Aziz bermula pada 4 Oktober sehingga 7 Oktober lalu ditaja sepenuhnya oleh pihak Sabah Tourism Board.

Meskipun melancong, Linda dan Farish akan membuat lintas langsung daripada setiap lokasi lawatan. Antara destinasi menarik yang dilawati sepanjang di Sabah seperti Taman Kinabalu, Kundasang, Poring Hot Spring, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Kampung Budaya Mari-Mari, Pasar Filipina dan Pasar Ahad Gaya Street.

"Saya seorang yang suka melancong. Kali ini, walaupun berkesempatan berehat tetapi program Santai Sabah merupakan kerja.

"Bagi saya, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik. Destinasi paling saya suka sudah tentunya lawatan ke pulau-pulau," katanya yang telah beberapa kali melancong ke Eropah.

LINDA dan Farish serta kru Suria FM yang menyertai mereka berdua untuk program Santai Sabah bergambar bersama kaum Kadazan Dusun di Kampung Budaya Mari-Mari, di Kota Kinabalu, Sabah.


Tidak hanya menikmati keindahan Pulau Sapi dan Pulau Manukan yang mengambil masa 15 minit perjalanan dari jeti Sutera Harbour Marina, Linda, Farish dan pihak media berpeluang melakukan aktiviti snorkeling dan berjalan di dalam laut.

"Laut di Sabah memang sangat cantik, saya suka snorkeling, sekarang kulit sudah hitam sedikit sebab berjemur di laut. Selain itu, ketika berada di sekitar Gunung Kinabalu, saya terasa seperti bercuti di luar negara kerana keadaan cuacanya yang sungguh sejuk dan pemandangan yang sangat cantik.

"Jika diberi peluang dan masa, saya akan melawat Sabah lagi dan menjelajah ke destinasi lain pula," katanya yang pernah ke Pulau Redang, Langkawi, Tioman dan Pangkor.

Cantik, tak cantik boleh berentap

Posted:

Cantik, tak cantik boleh berentap

Oleh KHAIRIYAH HANAFI

DAPAT sambutan. Ramai peserta hadir untuk mencuba nasib dalam Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua baru-baru ini.


LEBIH 2,000 orang peserta hadir mencuba nasib untuk merealisasikan impian mereka bergelar seorang penghibur pada sesi uji bakat Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua terbitan TV3.

Pencarian yang berlangsung hampir sebulan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah itu telah melabuhkan tirainya minggu lalu apabila sesi uji bakat terakhir dijalankan di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya.

Menariknya, semua gelagat para peserta yang mencuba nasib untuk menjadi sebahagian daripada anak seni generasi baharu akan mula disiarkan pada malam ini pada pukul 9.30 malam di TV3.

Seperti biasa, terdapat banyak 'drama' barisan peserta selain ketegasan dan sikap dua orang juri program realiti tersebut iaitu komposer, Azmeer dan penyanyi, Mas Idayu dapat disaksikan dalam saringan untuk mencari peserta yang benar-benar berkualiti.

Secara umumnya, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua masih mengekalkan konsep lama iaitu pemilihan vokal diutamakan selain daripada rupa paras peserta.

Bagaimanapun, menurut Penerbit Eksekutif rancangan tersebut, Ahmad Shaifullizam Arshad, kali ini ia memberi sedikit kelainan apabila terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira paras rupa serta fizikal peserta berbanding musim yang lalu.

"Kalau musim lalu kita hanya tumpu kepada mereka yang tidak mempunyai rupa, tetapi kali ini, cantik atau tidak, mereka tetap diberi peluang untuk beradu nasib sebab kami nak cari vokal yang mantap sahaja" ujarnya.

Justeru, adakah ini bermakna bakal berlaku keputusan berat sebelah dalam pemilihan peserta kali ini seperti faktor fizikal dan paras rupa lebih menjadi daya tarikan, sedangkan matlamat asal program itu adalah untuk mencungkil peserta yang berpotensi namun kurang menonjol dari segi penampilan?

Ahmad Shaifullizam bagaimanapun menepis persepsi itu.

"Kali ini kita akan gunakan tabir atau tirai pada sesi uji bakat. Maka, juri tidak akan dapat melihat rupa fizikal peserta yang sedang diuji. Hanya suara peserta yang akan kedengaran di sebalik tabir tersebut.

"Jika peserta berjaya memukau juri dengan vokal mereka yang mantap, barulah kita akan buka tabir itu untuk mempamerkan wajah mereka" ujarnya mengenai konsep uji bakat peserta.

Program tersebut akan menampilkan Azmeer sebagai juri tetap manakala deejay, Faizal Ismail masih dikekalkan sebagai pengacara majlis.

Pemenang tempat pertama untuk Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000.00 berbanding RM50,000.00 tahun lepas, manakala tempat kedua akan membawa pulang sejumlah wang bernilai RM30,000.00 sama seperti musim pertama.

Sambutan yang diterima untuk sesi pencarian bakat kali ini sememangnya mengejutkan apabila orang ramai berasak-asak untuk menghadirkan diri ke sesi uji bakat.

Namun menurut juri profesional yang terlibat sepanjang sesi uji bakat tersebut, Mas Idayu, kehadiran peserta pada kali ini amat tidak memuaskan, lebih-lebih lagi apabila ramai yang dilihat seperti tidak bersedia, malah tidak menunjukkan ciri-ciri seorang peserta yang ingin bertanding.

"Sukar untuk juri kali ini membuat pemilihan sebab semua yang datang sama sahaja. Setakat ini kami masih tidak ketemui peserta yang mampu buat kami terpukau dan terpegun apabila mereka melontarkan suara," katanya yang perlu memilih lapan peserta wanita dan lapan lelaki untuk berentap dalam program realiti tersebut.

Tom Cruise tinggalkan Scientology

Posted:

Tom Cruise tinggalkan Scientology

AKTOR kacak, Tom Cruise dikhabarkan akan meninggalkan agama anutannya, Scientology demi memenangi semula hati bekas isterinya, Katie Holmes.

"Sekarang, dia sudah kehilangan perkara paling berharga dalam hidupnya dan dia melihat fahaman Scientology tidak menjejaskan reputasi kariernya. Malangnya, agama yang menjadi ikutannya itu telah membuat dia berakhir dengan dua penceraian!

"Ia seperti kebangkitan semula Cruise yang sangat dahsyat apabila Holmes menghantar dokumen perceraian baru-baru ini. Dia kini sangat menderita," ujar sumber terdekat Cruise kepada majalah People.

Aktor tersebut mula menganut agama Scientology pada tahun 1990 apabila dia mengahwini isteri pertamanya, Mimi Rogers. Selepas berpisah dengan Rogers, dia berkahwin pula dengan aktres Nicole Kidman, tetapi perkahwinan kedua itu juga berkecai dan dikatakan ia berpunca daripada fahaman agamanya itu.

"Dia sudah kehilangan Kidman dan sekarang isterinya (Holmes) serta anak perempuannya (Suri). Dia selalu menggunakan teknik Scientology, namun baru kini dia sedar ia tidak berkesan dalam hubungan perkahwinannya," ujar sumber tersebut itu lagi.

Malah, sumber tersebut sempat memberitahu kebarangkalian Holmes mahu kembali bersama Cruise agak besar sekiranya aktor tersebut meninggalkan agama tersebut.

Katanya: "Jika Cruise betul-betul meninggalkan agama itu, Holmes akan mempertimbangkan semula keputusannya. Cruise merupakan impiannya sejak kecil. Dia pasti memerlukan kekuatan untuk meninggalkan Cruise."

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved