Sabtu, 13 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Rap Sosan bela nasib wanita

Posted:

Rap Sosan bela nasib wanita

Oleh SYALMIZI HAMID

JIKA wanita-wanita Afghanistan lain selesa membiarkan seluruh tubuh dibaluti jubah biru dan burqa ketika berada di luar rumah, seorang gadis berumur 23 tahun di negara Asia Selatan itu memilih untuk menentang arus.

Sosan Firooz selesa membiarkan rambut panjangnya mengurai melepasi bahu manakala kepalanya sekadar ditutupi dengan sehelai bandana bercorak tengkorak. Sehelai jaket berwarna terang dan jean lusuh pula menjadi penutup tubuhnya.

Bagi masyarakat tempatan yang masih utuh dengan pemikiran konservatif, penampilan itu dianggap sebagai satu tindakan yang tidak bermaruah.

Namun bagi Sosan, dia selesa memilih cara tersebut memandangkan kerjayanya sebagai seorang penyanyi rap. Sosan merupakan penyanyi hip hop wanita pertama Afghanistan.

Namanya mungkin masih belum dikenali, tetapi semangatnya berjaya memecahkan tabu masyarakat tempatan. Dia menyanyi untuk menyampaikan mesej yang terbuku dalam hati tentang wanita dan semangat patriotik.

Antara permulaan petikan bait lagunya yang berjudul Our Neighbours, berbunyi: "Dengarlah kisahku, dengarlah kesakitanku dan kesengsaraanku."

Lirik tersebut merupakan sebahagian daripada luahan emosi Sosan tentang isi hatinya. Segalanya tentang iktibar daripada sejarah lampaunya yang suram.

Dia memilih untuk menyanyi bukan kerana suka-suka. Sosan pernah melalui hidup yang menyedihkan. Sekurang-kurangnya cara itu merupakan ekspresi dirinya untuk merayu kepada sebuah keamanan di Afghanistan.

Seluruh ahli keluarga Sosan terpaksa menjadi pelarian di Iran semasa dia masih kecil. Ketika itu perang saudara baru sahaja meletus dan kebangkitan rejim Taliban bermula pada 1996.

Sepanjang lima tahun menetap di Iran pada 1990-an mereka sekeluarga dipandang rendah. Mereka dianggap sebagai manusia kelas bawahan oleh masyarakat tempatan.

BUKAN sekadar menyampaikan mesej buat wanita, Sosan turut menyeru warga Afghanistan mencintai negara mereka dan bersatu melawan cabaran dalam lagu berentak rap yang berjudul Our Neighbours.


Cium debu

"Saya masih ingat ketika kami berada di sana. Kami digelar sebagai 'Afghan yang kotor' dan disuruh beratur di barisan belakang ketika berada di kedai roti," ujar Sosan.

Bagaimanapun Sosan dan keluarganya pulang ke kampung halamannya di Afghanistan sejak tujuh tahun lalu. Ketika itu ketika usianya baru 16 tahun.

Mesej yang disampaikan melalui lagu itu cukup mendalam. Ia tentang kata-kata semangat untuk seluruh warga Afghanistan. Katanya, walau apa pun yang berlaku, adalah lebih baik tinggal di negara sendiri. Jika tidak, mereka hanya boleh menjadi tukang cuci pinggan atau tukang cuci kereta.

"Mereka akan merindui tanah air. Mereka pasti mahu mencium debu Afghanistan. Apa kesudahannya jika warga Afghanistan menjadi pelarian di Iran dan Pakistan? Separuh daripada mereka adalah penagih dan sebahagian lagi menjadi pengganas," dendang Sosan dalam nada hip hop. Lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Dari, yang merupakan antara bahasa utama Afghanistan.

Lagu tersebut dimuat naik di laman sosial YouTube untuk tontonan seluruh dunia. Biarpun bukan menjadi klip video rasmi, ia tetap memaparkan gambar-gambar Sosan yang berani berpakaian ala hip-hop.

Selain itu, Sosan mahu menyampaikan isi hatinya tentang kehidupan wanita yang didakwa masih ditindas di negara dengan populasi 30 juta orang penduduk itu.

"Keganasan terhadap wanita masih lagi berlaku di sini terutamanya di kawasan pedalaman. Masih ada wanita yang direjam dengan batu di tempat awam apabila ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan lelaki.

"Kami mahu keadilan yang sewajarnya kepada wanita dan kanak-kanak," kata Sosan menerusi lagu tersebut yang dirakamkan di sebuah studio di Kabul.

Tidak ketinggalan, dia bercerita mengenai peperangan yang tidak sudah-sudah di negara yang berkeluasan 647,500 kilometer persegi itu.

Dipulau jiran, keluarga

"Apabila peperangan bermula di negara kami, peluru, roket dan meriam mula berguguran. Pokok-pokok kami semuanya terbakar. Perang juga memaksa kami meninggalkan kampung.

"Kami meminta agar negara-negara jiran membiarkan kami hidup dengan aman," ungkap Sosan dalam studio tersebut.

Kehidupan Sosan begitu daif. Dia menetap bersama keluarganya dalam sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah liat di kawasan miskin di selatan Kabul Utara.

Sebuah komputer lama digunakan untuk dia menulis nota muzik. Komputer tersebut sering tergendala. Mujurlah dia dihadiahkan dengan sebuah keyboard oleh seorang peminat. Sekurang-kurangnya mudah untuk dia berkarya.

Sosan tidak mempunyai banyak sumber kewangan. Sebab itulah dia tidak mampu menghasilkan klip video rasmi apatah lagi memasarkan album dalam bentuk cakera digital (CD).

Lagu tersebut merupakan ciptaan penyanyi dan komposer tempatan, Fared Rastagar. Dia juga merupakan pelarian perang yang baru sahaja pulang dari Jerman.

"Saya mengagumi Sosan kerana keberaniannya dan menghargai sepenuh sokongan daripada keluarganya.

"Budaya rap diperlukan di sini. Kita perlu membawa kelainan dalam hidup termasuklah dalam bidang muzik," kata Fared jujur.

Pada awal bulan ini, Sosan telah membuat persembahan di sebuah festival muzik tiga hari di Kabul. Oleh kerana lelaki dan perempuan dilarang duduk bercampur di negara itu, Sosan terpaksa membuat persembahan sama selama dua hari.

Hari pertama untuk penonton wanita, manakala hari kedua adalah persembahan khas untuk peminat lelaki.

Bagaimanapun perjuangannya itu mendapat tentangan hebat. Hubungan saudara-maranya terputus manakala jiran tetangga bertindak memulaukan keluarganya. Bapa saudara Sosan turut memutuskan hubungan dengannya setelah melihat dia beraksi dan menyanyi di kaca televisyen.

Bapanya, Abdul Ghafar pula terpaksa terpaksa berhenti kerja sebagai seorang juruteknik elektrik di jabatan kerajaan semata-mata memberi sokongan penuh kepada Sosan.


Sebelum Taliban berkuasa pada 1996, hanya sebahagian wanita sahaja yang mengenakan burqa ketika keluar rumah.


"Saya adalah pembantu peribadinya. Saya menjawab panggilan telefon dan saya juga menjadi pengawal keselamatannya di mana-mana sahaja.

"Apabila dia melangkah keluar rumah, sayalah yang akan menjadi peneman. Sepatutnya sebagai ibu bapa kita perlu memberi sokongan penuh kepada anak kita agar membantu mereka berkembang," kata Abdul Ghafar.

Ibunya pula yang aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di sebahagian kawasan pedalaman di Selatan Afghanistan.

Budaya rap dan hip-hop baru sahaja mula diterima oleh golongan muda di negara itu. selain Sosan, terdapat beberapa orang penyanyi rap lelaki. Antara yang popular termasuklah Bejan Zafarmal, 28, atau dikenali sebagai DJ Besho.

Wajah cair bagai lilin

Posted:

Wajah cair bagai lilin

Oleh MAHFUZ MOHAMAD

KEHIDUPAN Chandra Wisnu berubah apabila mula mendapat ketumbuhan pada muka dan badannya pada usia 19 tahun.


MEMPUNYAI wajah yang seakan-akan cair seperti lilin, Mohammad Latif Khatana yang berasal dari Kashmir, India, menempuh masa sukar dalam hidupnya kerana wajah yang pelik.

Lelaki berusia 32 tahun yang hidup di wilayah sangat daif itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan menelan semua sindiran dan cercaan orang ramai hanya kerana ketumbuhan di wajahnya.

Latif dilahirkan dengan ketumbuhan kecil pada mukanya tetapi ia mulai membesar saban tahun sehingga akhirnya menutup muka dan pancainderanya.

Anak bongsu daripada enam adik beradik itu merupakan satu-satunya anggota keluarga yang menghidap penyakit yang dipanggil neurofibromatosis itu.

Bagi Latif, adik-beradiknya merupakan inspirasi kehidupan tatkala dia kesunyian akibat dipinggirkan masyarakat sekeliling.

"Ibu masih menangis setiap kali melihat saya. Dia rasa bersalah dan tidak faham mengapa anak bongsunya ditimpa nasib sebegini.

"Tidak ada orang yang mahu bermain dengan saya. Setiap hari saya dipukul dan diejek oleh kanak-kanak lain. Saya kehilangan mata kiri ketika berusia lapan tahun. Mereka memanggil saya si mata satu," katanya.

Tidak sempurna

Disebabkan wajahnya yang menakutkan, Latif tidak dapat mencari pekerjaan dan terpaksa mengemis untuk mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup keluarganya. Hasil daripada simpati orang ramai, beliau mampu memperoleh 400 rupee (RM25) sehari.

Kekurangan Latif juga menyebabkan dia sukar mencari jodoh. Ibu bapanya berusaha mencari isteri untuknya tetapi tidak ada wanita yang sudi berkahwin dengan Latif sehinggalah dia mendengar mengenai Salima.

"Isteri saya hanya mempunyai sebelah kaki sahaja dan sudah lama dia berusaha untuk mendapatkan seorang suami.

"Sebaik bertemu, kami sedar bahawa kami dicipta untuk satu sama lain. Kami berdua tidak sempurna anggota dan itu menjadikan kami pasangan yang sepadan," katanya.

Kini dia gembira apabila mendapat berita wanita yang dikahwinnya itu hamil tetapi dia begitu bimbang, anak yang bakal dilahirkan itu akan berwajah sepertinya.

"Saya tidak sabar untuk menjadi bapa dan memiliki sedikit kebahagiaan dalam kehidupan saya. Tetapi saya bimbang dan berdoa setiap hari supaya anak saya tidak dilahirkan seperti saya.

Kesengsaraan Latif itu turut dirasai oleh Chandra Wisnu, 57. Lelaki separuh abad dari Indonesia itu menghidap penyakit sama seperti Latif, bagaimanapun wajah Chandra ditumbuhi ketulan seperti gelembung tumbuh.

Ketulan kecil itu mula tumbuh di mukanya ketika dia berumur 19 tahun tetapi ia hanya merebak ke bahagian belakang badannya pada usia 24 tahun. Dalam tempoh lapan tahun, seluruh tubuh Chandra ditumbuhi gelembung.

Keadaan tersebut adalah kerana faktor genetik dan mungkin disebabkan oleh kelainan pada sistem saraf yang menyebabkan tumor pada kulit atau tulang. Walaupun diberikan bermacam-macam jenis krim, namun ketulan tersebut terus merebak.

Sangat aneh

"Penyakit ini memberi kesan besar terhadap kehidupan saya, ketulan itu sangat gatal dan sakit ketika cuaca panas. Bagi mengelakkan daripada gatal dan menghentikan jelingan orang ramai, saya akan pakai jaket tiga lapis dan menutup kepala jika hendak keluar.

"Orang tidak pernah mengolok-olok atau memperkecilkan saya secara langsung, tetapi mereka merenung dan mengelakkan saya, kebanyakan orang bertindak sangat aneh di sekeliling saya.

"Ia membuatkan saya berasa amat tidak selamat dan marah apabila orang melayan saya dengan cara berbeza. Orang menjadi takut dengan muka saya yang mengerikan dan bimbang akan berjangkit kepada mereka.

"Saya jarang keluar kecuali untuk mengambil anak perempuan saya dari sekolah dengan menutup kepala dan muka kerana tidak mahu anak saya dibuli kawan sekolahnya kerana mempunyai ayah seperti saya," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Kebimbangan Chandra makin bertambah apabila dua orang anaknya iaitu Martin Ananda dan Lis Chandra mempunyai ketumbuhan yang sama pada tubuh mereka.

"Mereka hanya mempunyai beberapa ketulan kecil pada masa ini tetapi mereka bimbang akan datang ia akan menjadi lebih buruk.

"Saya amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang sanggup memberikan rawatan secara percuma.

"Tetapi sekarang satu-satunya penawar yang saya ada ialah keluarga yang terus memberikan sokongan moral," ujarnya.

Di sebalik tujuh syarat

Posted:

Di sebalik tujuh syarat

Oleh MAHFUZ MOHAMAD

KISAH legenda Puteri Gunung Ledang pernah difilemkan oleh Tiara Jacquelina yang juga peneraju filem epik itu.


KISAH legenda Puteri Gunung Ledang pasti mengingatkan kita terhadap Sultan Mahmud Shah yang meminang puteri itu yang turut dikenali sebagai Gusti Putri Retno Dumillah.

Pelbagai versi bercerita mengenai asal usul dan siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang.

Versi cerita yang paling popular dan selalu diperkatakan mengenai asal-usul puteri itu adalah daripada Majapahit yang lari ke Gunung Ledang kerana dipaksa berkahwin dengan Putera Demak.

Menurut buku lama Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu, Sultan Ahmad mengutuskan Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa pegawai istana untuk meminang Puteri Gunung Ledang.

Pinangan itu bagaimanapun ditolak oleh Gusti Putri dengan menetapkan beberapa syarat yang mustahil. Antara permintaan Gusti Ratu ialah jambatan emas dan jambatan perak, tujuh dulang hati nyamuk, hati hama, satu tempayan air mata anak dara, satu tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Sultan Ahmad.

Di sebalik penolakan itu dan tujuh syarat yang ditetapkan, terdapat pelbagai spekulasi yang dibuat mengenai sebab pinangan ditolak dan syarat yang dikenakan.

Seperti yang diceritakan dalam filem yang pernah diterbitkan pada 2004, penolakan tersebut adalah kerana cinta Puteri Gunung Ledang terhadap Laksamana Melaka, Hang Tuah. Versi lain yang disampaikan dari nenek moyang pula menyatakan Puteri Gunung Ledang telah bersuami.

Namun, persoalannya bukanlah sebab mengapa Puteri Gunung Ledang menolak pinangan tersebut tetapi syarat yang diberi kepada Sultan Mahmud.

Terdapat beberapa teori yang timbul dalam kisah ini antaranya syarat yang ditetapkan bukanlah dari Puteri Gunung Ledang sendiri tetapi ia adalah rekaan Tun Mamat dan Hang Tuah.

Antara tujuan syarat-syarat tersebut direka bertujuan untuk membersihkan kota Melaka yang sedang pesat membangun sebagai bandar pelabuhan terkenal di seluruh dunia daripada serangga yang membawa penyakit melalui syarat tujuh dulang hati nyamuk dan hati hama.

Selain itu, syarat semangkuk darah putera mahkota pula bertujuan untuk menyedarkan Sultan Ahmad tentang tanggungjawab utama baginda sebagai pemerintah Melaka.

Sesetengah pendapat menyatakan legenda ini adalah rekaan semata-mata yang dicipta untuk menyindir sifat kaki perempuan Sultan Mahmud dan kezaliman baginda.

Tujuh dulang hati kuman dan hati nyamuk menggambarkan sikap Sultan Mahmud yang sanggup menggadaikan hati-hati rakyat jelata semata-mata demi mencapai matlamat yang dihajatkan.

Tujuh tempayan air mata dara pula sebagai perlambangan anak-anak gadis yang dipaksa menjadi gundik sultan dan berpisah dengan keluarga.

Walau apa pun versi dan spekulasi yang wujud daripada kisah Puteri Gunung Ledang ini, ia haruslah dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua supaya sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perkara.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Sokongan Suharto membawa rebah

Posted:

Sokongan Suharto membawa rebah

Oleh NORHAYATI YAHAYA dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI
berita@kosmo.com.my

MAZLINA (dua dari kiri) menguruskan jenazah suaminya yang tiba di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas sebelum dikebumikan malam tadi.


KLANG - Semangat membara seorang ejen insurans, Suharto Abdullah melihat pasukan kesayangannya, The Red Warriors menang dan mara ke akhir Piala Malaysia 2012 tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia sewaktu bersama-sama dengan 75,000 penonton menyaksikan perlawanan Kelantan dengan Selangor di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Walaupun perlawanan itu berkesudahan dengan Kelantan menang 2-0, Suharto, 45, tidak sempat meraikannya kerana beliau meninggal dunia pada pukul 10 malam, kira-kira 30 minit sebelum Kelantan membuka jaringan.

Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh penyerang import, Mohamad Ghaddar pada minit ke-85 manakala jaringan kedua disempurnakan oleh Mohd. Badri Mohd. Radzi pada minit terakhir.

Allahyarham yang tinggal di Taman Uda Permai, Pengkalan Chepa, Kelantan menaiki pesawat penerbangan tambang murah, Firefly dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada pukul 3 petang bersama dua orang rakan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Polis cari enam lelaki kes curi cip mikro RM22 juta

Posted:

Polis cari enam lelaki kes curi cip mikro RM22 juta

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan enam lelaki bagi membantu siasatan kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta di sebuah gudang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah di sini Ahad lepas.

Mereka ialah M. Vikneswaran, 21, K. Karunageran, 27, P. Vinokumar, 23, Ooi Kah Ken, 36, S. Kalidas, 28, dan A. Jaykumar, 26.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka diminta hadir ke balai polis yang terdekat bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua suspek lelaki berumur 34 dan 27 tahun telah ditahan pada Khamis serta Jumaat lalu dan polis berjaya menemui semula sekotak cip bernilai RM75,000.

"Lelaki berusia 34 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Kepala Batas dipercayai orang tengah yang menjual baki cip mikro manakala seorang lagi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

"Mereka direman tujuh hari dan polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam sedikit masa lagi seterusnya menyerahkan kertas siasatan kes kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya selepas Program Senamrobik Perdana di Politeknik Seberang Perai di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Telinga hilang dihakis kanser kulit

Posted:

Telinga hilang dihakis kanser kulit

Oleh MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

KENTY GABOT, 18, mencuci luka di kepala ibunya yang menghidap kanser kulit di Lundu, Sarawak semalam.


LUNDU – Tiada apa yang diinginkan oleh seorang pesara tentera, Gabot Sindoh selain melihat isterinya kembali ceria selain memiliki wajah seperti manusia normal.

Namun, suami berusia 57 tahun itu terpaksa pasrah menerima takdir bahawa isterinya, Jingus Nyambei, 50, berdepan dengan perubahan wajah yang mengerikan apabila menghidap kanser kulit sejak lima tahun lalu.

Penyakit yang menyerang bahagian sebelah kiri kepala wanita dari Kampung Stoum Muda dekat sini semakin merebak sehingga peluangnya untuk hidup kini tipis.

Bermula dengan kerosakan kulit kepala, Jinggus sudah hilang telinga kiri sementara mata kiri pula membengkak hingga hampir buta.

Gabot memberitahu, kisah pahit kehidupan mereka sekeluarga bermula selepas isterinya disahkan menghidap kanser kulit tahap empat pada Februari 2007.

Penyakit tersebut hanya dikesan selepas ia membesar dan cukup menyakitkan.

"Doktor sudah beritahu bahawa isteri saya tidak ada lagi harapan untuk hidup," katanya diiringi air mata kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Gabot menambah, doktor turut mengesan beberapa ketumbuhan lain di bahagian saraf kepala yang menyebabkan isterinya semakin lemah.

Katanya, hanya harapan dan ketabahan dapat mengatasi penderitaan yang ditanggung isterinya apabila rambutnya semakin menipis dan kandungan cecair di dalam badannya juga dikatakan tidak stabil.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Wanita iktiraf sumbangan wanita

Posted:

Wanita iktiraf sumbangan wanita

AZLINA (tengah) merupakan pemenang Anugerah Wanita Ikon 2008 diapit pemenang Anugerah Wanita Dinamik, Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin (kiri) dan penerima Anugerah Wanita Waja, Che Muna Din pada Majlis Malam Gala Anugerah Wanita Ikon 2008.


BAGI mengangkat martabat wanita sebagai tulang belakang pembangunan negara, majalah Wanita, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., buat kali ketiga akan menganjurkan Anugerah Wanita Ikon (AWI) 2011/2012.

Majlis berprestij tersebut diadakan bertujuan mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan wanita Malaysia yang telah mengukir kejayaan dalam bidang masing-masing.

Majalah Wanita membuktikan komitmennya untuk memperkasa golongan wanita Malaysia ke tahap yang cemerlang bagi memacu kemajuan negara tercinta.

Bertuah ditemukan jodoh dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Wanita menyambut salam Mara untuk mengadakan kolaborasi strategik bagi merealisasikan Malam Gala Anugerah Wanita Ikon 2011/2012 kali ini.

Selama ini, Mara cukup akrab dengan peranan murninya membantu, mendidik dan membimbing usahawan untuk berjaya terutamanya golongan wanita.

"Kolaborasi strategik ini diharap akan membuka peluang kepada usahawan dan wanita Malaysia yang berpotensi serta berwawasan untuk mencapai impian mereka.

"Sebagai perintis majalah wanita yang pertama di Malaysia, maka majalah Wanita terpanggil meneruskan anugerah ini yang dirasakan amat bermakna buat kaum wanita Malaysia," kata Pengarang Wanita, Normala Hamzah.

Tambahnya, Wanita turut memaparkan kecemerlangan golongan ini dalam pelbagai bidang sebagai pengisiannya untuk dikongsi dengan pembaca dan masyarakat menerusi segmen Wanita Cemerlang, Personaliti, dan Usahawan Wanita.

"Sedikit sebanyak, mereka yang pernah tersiar ceritanya di dalam majalah Wanita telah memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya. Mereka secara automatik disenarai pendek untuk diketengahkan sebagai calon AWI 2011/2012.

"Pada masa yang sama, persatuan, pertubuhan wanita, individu, syarikat swasta, korporat serta syarikat yang merasakan mereka mempunyai calon yang berpotensi untuk diketengahkan boleh berbuat demikian dengan mengirim biodata dan profil calon berkenaan kepada kami untuk dipertimbangkan," ujarnya.

Suntik inspirasi

Selain berkongsi kisah kejayaan wanita-wanita dinamis untuk dijadikan teladan, ia juga diharap mampu menyuntik inspirasi kepada wanita lain yang ingin mencipta kejayaan baik di rumah mahupun dalam dunia kerjaya.

Anugerah Wanita Ikon pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007 menyaksikan ahli perniagaan Syarikat Megah Padu merangkap usahawan produk kecantikan Kayla Beverly Hills, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon 2007.

Bagi tahun berikutnya, Anugerah Wanita Ikon 2008 dirangkul oleh pemilik D'Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah. Kedua-dua pemenang Anugerah Wanita Ikon berkenaan turut aktif dalam kerja-kerja amal.

Selepas dua tahun diadakan, AWI turut menobatkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar sebagai Tokoh AWI 2007 seterusnya Tan Sri Rafidah Aziz sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita 2008. Pengiktirafan dibuat berdasarkan jasa dan sumbangan mereka terhadap kemajuan ekonomi negara dan pembangunan wanita.

"Tahun ini, penganjur memperkenalkan satu lagi kategori baharu iaitu Anugerah Gadis Ikon 2011/2012 yang akan memilih seorang wanita muda yang unggul dalam bidang yang diceburi.

"Anugerah tersebut dipecahkan kepada empat kategori iaitu Sukan, Pendidikan, Sosial dan Bisnes sebagai menghargai golongan wanita muda yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara," jelas Normala.

Malam gala AWI 2011/2011 akan berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 30 November ini.

Seramai lima calon dipilih untuk diadili oleh panel juri, tetapi seorang sahaja yang akan dinobat sebagai Wanita Ikon 2011/2012.

Mereka juga diwajibkan menyertai kerja amal yang ditentukan penganjur sebagai syarat penyertaan. Tarikh akhir penyertaan pencalonan ialah pada 15 Oktober 2012.

Selain Mara, Rakan Strategik/ Kerjasama yang telah mengesahkan penyertaan ialah Loreal, Alfio Raldo, D'Navechee, Harmony dan RTM (Apa Kata Wanita).

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lorenzo cipta rekod baru Motegi

Posted:

Lorenzo cipta rekod baru Motegi

13/10/2012 6:13pm

MOTEGI, Jepun - Jorge Lorenzo mempamerkan kehebatannya pada aksi kelayakan motosikal Grand Prix Jepun, apabila mencatat masa terpantas 1 minit 44.969 saat dan merupakan rekod baharu litar tersebut.

Penunggang pasukan Yamaha itu unggul 0.246 saat daripada pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa dan lebih mengkagumkan beliau mengalah Pedrosa pada pusingan terakhir kelayakan. - Agensi

1,200 sertai Gerek-Ton Kastam Kedah

Posted:

1,200 sertai Gerek-Ton Kastam Kedah

13/10/2012 6:07pm

ALOR SETAR - Seramai 1,200 peserta, termasuk dari Indonesia, Thailand dan Singapura, mengambil bahagian dalam acara berbasikal Karnival Gerek-Ton Kastam Kedah 2012 di Kompleks Kastam Kedah.

Acara yang bermula pada kira-kira 8 pagi itu disempurnakan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu"adzam Shah, yang turut berkenan untuk mengayuh basikal dalam acara "Funride" bersama Ketua Pengarah Kastam Datuk Khazali Ahmad.

Turut mengambil bahagian Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri Datuk Latt Shariman Abdullah, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, serta beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Kategori Terbuka Lelaki dimenangi pelumba basikal kebangsaan Anuar Manan, yang mewakili Team Giant, untuk membawa pulang wang tunai RM2,500 manakala Kategori Terbuka Wanita diungguli seorang lagi pelumba basikal kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi, mewakili pasukan sama (RM1,500).

Kategori Veteran Lelaki dimenangi Noor Affendi Rosli manakala Kategori Fixie Kriterium Mohd Emir Shafiq Zainal.

Karnival itu bertujuan menggabung penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti sukan ke arah melahirkan jati diri yang tinggi, kental, berdaya saing serta sihat rohani dan jasmani, selain memperkenal Majlis Sukan dan Kebudayaan Kastam Kedah kepada rakyat bagi menjalin persahabatan serta memupuk semangat kekitaan. - BERNAMA

Mesin ATM perlu pindah tempat selamat

Posted:

Mesin ATM perlu pindah tempat selamat

13/10/2012 6:04pm

BACHOK - Kementerian Kewangan mahu pihak bank yang mempunyai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kawasan berisiko tinggi berlaku rompakan supaya segera memindahkannya ke kawasan lebih selamat.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pihak bank juga diwajibkan mengadakan mesin ATM yang baru bertaraf piawaian antarabangsa yang sukar dipecahkan.

Pihak bank juga diwajibkan memasang sistem penggera yang dapat didengar dari jauh oleh pasukan keselamatan apabila ia dipecahkan, katanya.

"Di samping itu mereka juga perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan kerap mengadakan rondaan oleh pasukan keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyampai elaun sara hidup kepada 540 nelayan, yang keseluruhan berjumlah lebih RM100,000 di Perupuk di sini hari ini. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kontroversi permitdan cium Randy

Posted:

Kontroversi permitdan cium Randy

SEJUJURNYA, sebelum nama Randy Pangalila menjadi satu topik hangat kerana isu permit yang dibangkitkan oleh Presiden Seniman, Zed Zaidi, bukan satu industri, jauh sekali satu Malaysia mengenali pelakon tersebut. Mendengar namanya sahaja sudah pelik.

Jika ada yang mengenalinya pun, golongan tersebut merupakan pelanggan saluran berbayar Astro yang menyiarkan kisah romantik pasangan kekasih antara dia dengan pelakon genit Elfira Loy menerusi telefilem Mimpi Sampai Ke Bintang yang ditayangkan pada tahun lalu.

Namun, selepas isu tersebut dibangkitkan, nama Randy naik mendadak. Dalam laman blog dan internet, ramai yang mencari siapa gerangan pelakon Indonesia yang dipertikai permit kerjanya di Malaysia oleh Presiden Persatuan Seniman (Seniman), Zed Zaidi. Maka, hari ini, semakin ramai yang mengenali, malah terus jatuh cinta dengan sosok kacak Randy.

Randy, 22 tahun, berasal Surabaya, Indonesia cukup bertuah. Dia masuk ke dalam bidang seni Indonesia secara tidak sengaja apabila dipelawa oleh sebuah agensi yang melihat potensi dirinya mampu menjadi seorang pelakon yang baik beberapa tahun lalu.

Maka, sejak itu, dengan bakat lakonan yang ada, Randy mendaki populariti menerusi banyak sinetron termasuk yang telah mempopularkannya, sinetron Nada Cinta dan Cinta Fitri yang dibuat sebanyak 1000 episod selama empat tahun.

Pada pandangan mata kasar dalam pertemuan pertama kali pada sidang media drama bersiri Dalam Hati Ada Taman yang bertempat di Flora Café, Amp Walk, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tidak hairan mengapa dia boleh menjadi begitu popular.

Seorang yang cukup merendah diri, sopan dan peramah, Randy petang itu melayan segala persoalan yang dilontarkan dengan cukup baik. Antara yang dijawab Randy adalah berkenaan isu permit, tentang kekasih hati, serta kepuasannya berlakon bersama produksi di Malaysia, khususnya bekerjasama dengan penerbit Michael Ang serta Elfira Loy.

Isu pertama yang diajukan kepadanya berkaitan dengan kontroversi permit.

Sambil menghela nafas, dengan tenang Randy mula memberi hujah bagi mempertahankan dirinya. Mengaku dia sedar tentang isu permit yang ditimbulkan, ujar Randy, ia sebenarnya tidak lebih daripada salah faham sahaja.

"Saya melihat isu ini sebagai satu salah faham sahaja. Jadi saya tidak mahu memperbesarkan isu ini. Sebenarnya, daripada pihak produksi Micheal Ang, mereka telah mendapatkan semua keizinan untuk saya berlakon di sini kerana bagi saya itu perkara paling utama buat diri saya.

"Sebelum hadir ke Malaysia untuk berlakon, soalan pertama yang saya tanyakan ialah adakah saya telah mendapat keizinan berlakon di sini (Malaysia).

"Ini kerana saya sedar saya pelakon luar dan tidak mahu menjadi seperti pendatang. Saya rasa semuanya telah jelas dan permasalahan ini hanyalah salah faham," jelas Randy panjang lebar.

Sementelah, akui Randy, dia begitu selesa berlakon di Malaysia. Bukan kerana mendapat layanan istimewa, jauh sekali menerima bayaran lumayan melebihi bakat seni anak tempatan, sebaliknya, cara kerja produksi di sini membuat dia jatuh cinta dan tidak menolak untuk berlakon dengan mana-mana produksi tempatan.

"Sebagai seorang pelakon, mengikut dari segi kepuasan bekerja, saya akui lebih gemar dengan cara di Malaysia. Ini kerana saya mampu membaca skrip dan menghayati serta menjiwai watak yang diberi dengan lebih baik kerana waktu kerja yang tidak terburu-buru membuat saya boleh lebih fokus.

"Namun, pada hakikatnya, di mana-mana juga (bekerja di Indonesia atau Malaysia) sama. Cuma di sini, saya suka kerana dapat mengetahui pengakhiran cerita berbanding di Indonesia," ujar Randy yang telah terlibat dalam dua buah karya Michael Ang setakat ini.

Randy bagaimanapun kemudian memberitahu, secara jujur, dia memperoleh pendapatan yang lebih lumayan di Indonesia.

Katanya: "Jika mengikut bayaran pula, bayaran yang diterima di Indonesia lebih lumayan kerana kami menerima bayaran setiap hari. Ini kerana penggambaran dilakukan dalam tempoh yang lama sehingga boleh mencecah setahun atau dua tahun."

Beralih bicara kepada soalan peribadi, dia saat diajukan tentang teman wanita, Randy hanya tersenyum. Tanpa berselindung, dia mengaku sudah punya kekasih hati dan telah dua tahun menyulam cinta dengan seorang pelakon sinetron.

"Ya, saya sudah punya cewek (teman wanita) di Indonesia dan kami sudah berpacaran sejak dua tahun lepas. Dia juga merupakan seorang aktres di Indonesia dan kami pernah berlakon bersama dalam sinetron Nada Cinta," ujar Randy tenang.

Randy yang pada mulanya agak keberatan dan segan untuk berkongsi siapa sebenarnya wanita yang telah mencuri hatinya, akhirnya akur dengan 'peluru soalan' media.

Jelas Randy sedikit segan: "Namanya Michella Putri dan berumur 19 tahun. Tapi, kami sudah sebulan tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan jadual karier. Sudah tentu saya rindukannya dan mengerti kesibukan masing-masing. Kini kami hanya berhubung melalui Skype."

Ditebak persoalan tentang perancangan masa depannya bersama aktres muda itu, bicara Randy, walaupun mereka serius bercinta, namun perancangan untuk ke fasa seterusnya belum direncanakan lagi. Tambahnya, dia sendiri menyasarkan untuk berkahwin dalam masa tiga tahun, namun tetap menyerahkan segalanya pada Tuhan.

Adegan cium

RANDY berduet dengan Marsha Milan Londoh untuk lagu tema Dalam Hati Ada Taman yang berjudul Selalu Milikmu.


Bercerita tentang penampilan terkininya bersama Elfira Loy dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman, Randy terpaksa berhadapan pula dengan isu salah satu babak bercium bersama pelakon tersebut.

Menjawab isu tersebut, tutur Randy, drama tersebut berlandaskan genre romantik komedi. Jadi, kewujudan babak cium tersebut dilihat relevan dengan genre romantik yang diketengahkan.

"Saya bukan mencium Elfira betul-betul, kerana itu hanyalah sudut kamera yang pintar dan kreatif yang telah menampakkan seperti saya mencium dia. Ini merupakan sebuah naskhah romantik komedi, jadi mungkin babak seperti itu hanya mahu meperlihatkan sisi romantik itu sendiri. Itu sahaja. Tidak lebih daripada itu," jelas Randy tentang kontroversi tersebut.

Drama bersiri 13 episod yang turut menampilkan Amy Mastura, Sharifah Shakinah, Rizman Khuzaimi dan Amar Asyraf akan mula bersiaran pada 29 Oktober ini di saluran Astro Ria, pukul 9.30 malam.

Eja sahut cabaran

Posted:

Eja sahut cabaran

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


EJA kini memikul tanggungjawab untuk membawa watak Tun Dr. Siti Hasmah dalam Teater Tun Dr. Siti Hasmah menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh pelakon Sofia Jane.


KONTROVERSI Teater Tun Dr. Siti Hasmah bermula apabila Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan dengan Erma Fatima beberapa bulan lalu. Malah, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Tidak hanya membabitkan pengarah dan tundaan tarikh pementasan, beberapa episod pengunduran pelakon utamanya juga terjadi. Entah kenapa pelakon utama yang membawakan peranan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika dewasa sering sahaja bertukar tangan.

Selepas pengunduran Erra Fazira pada penghujung Ogos lalu yang dikhabarkan disebabkan faktor jadual, terkini Datin Sofia Jane pula disahkan mengambil langkah serupa atas alasan yang sama.

Ingin mengetahui cerita di sebalik pengunduran Sofia, Kosmo! cuba menghubungi dan menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya, tetapi malangnya tiada jawapan yang dapat kami terima daripada pelakon filem Perempuan, Isteri dan .....? itu.

Bagaimanapun Kosmo! berjaya menemu bual pengganti Sofia iaitu pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 40. Eja berbicara tentang persiapan dan kesanggupan menjadi Siti Hasmah sebelum teater tersebut dipentaskan sebulan dari sekarang.

Kosmo!: Apa perasaan Eja ketika ditawarkan membintangi peranan utama teater Tun Dr. Siti Hasmah?

EJA: Bohong jika saya tidak berasa gementar. Perasaan saya bercampur baur. Teruja dan dalam masa yang sama gementar. Namun saya akan pastikan perasaan gementar itu bukan menjadi halangan untuk saya melakukan yang terbaik. Sebenarnya perasaan gementar itu bagus untuk menjadikan diri saya lebih bersedia memikul peranan itu nanti.

Apa yang membuatkan anda menerima tawaran ini, sedangkan sudah dua pelakon asal (Erra Fazira dan Sofia Jane) mengundurkan diri?

Saya sahut cabaran Datin Paduka Ummi Aida dan Erma Fatima, malah saya cabar diri untuk terima dan menjayakan peranan ini. Saya tidak mahu ambil tahu kenapa dua pelakon sebelum ini mengundurkan diri.

Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, tiada satu produksi yang sempurna. Tidak kira ia filem, drama mahupun teater, pasti akan berlaku masalah. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah.

Ini merupakan pementasan pertama anda sejak bergelar anak seni. Kenapa baru sekarang terpanggil untuk menyahut cabaran beraksi di atas pentas teater?

Ya, ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di atas pentas teater. Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran untuk berlakon teater kerana faktor masa. Dahulu, sewaktu tidak ada anak, saya terlalu banyak terima tawaran berlakon drama dan filem. Jadi saya tidak mampu untuk buat teater. Kini, sudah ada masa dan ruang yang sesuai, saya terima tawaran berlakon teater.

Berapa lama latihan yang dibuat sebelum pementasan? Adakah sebarang masalah yang timbul?

Saya cuma ada masa sebulan sahaja untuk latihan. Tiap-tiap malam kami akan menjalani latihan. Semuanya berjalan dengan lancar. Saya kena berkorban masa demi anak dan juga pementasan.

Kedengaran sekarang suara anda seperti tidak sihat? Benarkah?

Ya, memang tidak sihat dan tidak cukup tidur, tetapi bila sudah terima sesuatu pekerjaan, saya akan fokus dan lakukan 100 peratus.

Anda sudah bersedia untuk menerima kritikan dengan penampilan sulung di atas pentas teater?

Saya bersedia untuk ditegur dan dikritik, tetapi janganlah menghentam. Kalau mahu tegur, biarlah dengan cara yang berhemah. Saya kena cuba berlakon teater dan tidak perlu takut jika gagal. Apa yang penting, saya kena berusaha beri yang terbaik. Bila kita buat dengan bersungguh-sungguh Allah akan membantu.

Apa harapan anda untuk teater Tun Dr. Siti Hasmah?

Saya mohon pada Allah agar pementasan hari pertama dan seterusnya nanti berjalan dengan lancar.

Rockaway Festival 2012 lebih rock

Posted:

Rockaway Festival 2012 lebih rock

SEBAHAGIAN anggota band yang terlibat dalam Rockaway Festival 2012 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada 20 September ini bergambar pada sesi sidang akhbar baru-baru ini.


TAHUN lalu kemuncak festival rock Rockaway dihangatkan dengan kemunculan band The Used mengubat rindu peminat mereka di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Pada tahun ini pula, empat buah band antarabangsa diterbangkan khas buat peminat muzik rock, pop punk, heavy metal dan indiependent untuk festival yang sama.

Bagi memeriahkan Rockaway Festival 2012, Soulfly, MXPX All Stars, Unearth dan Set Your Goals bakal membuat persembahan dan bakal disertai dua buah kumpulan Pee Wee Gaskin dan Plainsunset masing-masing dari Indonesia dan Singapura.

Selain itu, barisan band rock tempatan seperti Go Gerila, Akta Angkasa, Guba, Gerhana Ska Cinta, Hujan, Love Me Butch, Bunkface, Massacre Conspiracy, The Padangs, Koffin Kanser dan Twilight Actiongirl akan turut sama terlibat sepanjang festival yang berlangsung pada 20 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Menurut Pengarah Urusan Livescape Sdn. Bhd., Iqbal Ameer, sebanyak 30 buah band akan menggegarkan pentas utama Rockaway Festival 2012 bersama buah tangan terbaharu.

"Setiap band yang bakal beraksi perlu memenuhi kriteria yang kami tetapkan sejak kali pertama penganjuran Rockaway Festival tiga tahun lalu iaitu mereka perlu mempunyai album atau single terbaharu untuk dipersembahkan.

"Sudah pasti kemeriahan festival tahun ini akan lebih bermakna dengan kehadiran empat buah band antarabangsa serta beberapa legenda rock tempatan," katanya ketika sidang akhbar Rockaway Festival 2012 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, tambah pengarah bersama Rockaway Festival 2012, Rahul Kukreja, menjelang tarikh sebenar festival tersebut, pihaknya akan membawa muzik rock mendekati peminat-peminat di Kelantan, Johor dan Perak menerusi siri jelajah khas.

"Menerusi sedikit kajian berdasarkan tahun-tahun sebelum, kami mendapati pengikut irama rock turut tertumpu di beberapa kawasan lain selain Kuala Lumpur. Jadi kami membawakan muzik ini mendekati mereka," tambahnya.

Tiga lokasi yang terlibat dengan jelajah tersebut adalah Hotel Rebana Kota Bharu, Kelantan (5 Oktober), Ipoh Rainhouse, Perak (6 Oktober) dan The Wall Johor Bahru, Johor (13 Oktober).

Peminat tegar muzik rock usah bimbang akan faktor pengangkutan sepanjang festival berlangsung kerana pihaknya akan menyediakan bas ulang-alik percuma untuk pemegang tiket dari KL Sentral ke Litar Antarabangsa Sepang.

Tiket sudah mula dijual dengan harga RM138 hingga RM178 beberapa rakan pengedar seperti Mukha Cafe, Mollydookers Coffee Bar dan Dolls Store sekitar Lembah Klang. Maklumat lanjut di www.rockawayfest.com.

– KHAIRUL AMRI HASSAN

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved